“Ikan apa yang selalu naik di kelong tu, wak?” tanya saya berbasa-basi sambil menanti air pasang di Jeti Kampung Banting, Sabak Bernam, Selangor.
Masalah mendapan lumpur menyebabkan bot dan sampan tidak boleh keluar masuk ke kuala ketika air laut sedang surut. Maka kami terpaksalah melangut sementara tunggu air pasang.
“Bukan ada ikan pun… kalau nak mancing sembilang bolehlah.”
Mak aii… bersahaja betul jawapan Wak Anuar tu. Tak ubah jawapan kawan-kawan bila minta pendapat hasil pancingan di kelong kupang milik Wak Anuar tersebut. Tersentap juga semangat dibuatnya. Rasa macam nak kensel saja trip ke kelongnya itu.
Namun, kejujuran Wak Anuar wajar dipuji kerana berani menyatakan situasi sebenar pancingan di kelong kupangnya. Menurut Wak Anuar, pada asalnya kelong kupangnya itu bukanlah kelong memancing sebaliknya pondok yang dibina untuk memantau ternakan kupangnya lebih 10 tahun yang lalu.
Gelaran kelong kupang itu hanya wujud hasil panggilan pemancing. Setelah kupang tidak sesuai lagi diternak ekoran pelbagai masalah, terutama mendapan lumpur yang menebal sehingga 13 kaki dalam tempoh 5 tahun terakhir, maka kelong itu bertukar status menjadi kelong memancing.
Ads
Perjalanan dengan sampan selama 10 minit ke kelong kupang dari jeti persendirian Kampung Banting tatkala air pasang, tidak dapat menggambarkan keadaan sebenar situasi yang dinyatakan oleh Wak Anuar.
Yang pasti, kelibat 10 orang pemancing yang sedang memancing di atas gelegar buluh yang ditenggelami air pasang membukti Wak Anuar berkata benar bahawa hanya sembilang yang banyak bermukim di kelongnya. Itu pun tidak menyeluruh sebaliknya perlu pandai mencari lubuk-lubuknya di tiang-tiang pelantar kelong.
Ads
Cerita dari mulut ke mulut mengenai lubuk pari yang menjadi tujuan sebenar saya ke kelong kupang ini sebenarnya bukan cerita kosong. Sebaliknya ia terbukti dengan deretan ekor pari yang dipaku pada alang kelong.
Lantaran, 50 ekor udang hidup yang dibeli sebagai umpan pari tidak dibiarkan lama di dalam tong umpan. Balingan umpan udang hidup segera disambut. Tapi bukannya pari, sebaliknya dikerjakan oleh gelama yang merupakan penghuni lain selain sembilang.
Ads
Apabila air surut sepenuhnya, barulah terserlah dilema yang diluahkan oleh Wak Anuar. Sekeliling kelong seluas mata memandang umpama keadaan padang datar yang dilapisi lumpur selepas banjir.
Aktiviti memancing bukan saja tidak boleh lagi dilakukan, malah kelong sudah terputus hubungan dengan daratan. Situasi inilah yang membingungkan Wak Anuar tentang masa hadapan kelong kupangnya.
Hendak diusahakan ternakan kupang sudah tidak bersesuaian, hendak dibiarkan usang dimakan usia, ramai pemancing yang masih mahu menziarahinya, hendak dijadikan kelong memancing, bukan sedikit pula belanja baik pulih.
Ikan pun dah tak banyak masuk selain sembilang dan gelama. Yang pasti, hari ini atau esok para pemancing bakal kehilangan spot memancing yang sedia ketandusan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Musim panas yang berlaku sekitar pertengahan hingga hujung tahun seperti diramalkan seakan memberi impak kepada hidupan air. Paras air empangan juga dikatakan menjadi semakin surut, begitu juga dengan terusan air yang semakin menyusut dan mengering menambahkan lagi kebimbangan di hati.
Apa tidaknya, trip Royal Belum yang telah dirancang awal lagi mungkin berpotensi menemui kegagalan akibat faktor cuaca ini. Sudah tentulah paras air di sana akan lebih rendah dan lubuk-lubuk yang terbentuk akan menjadi sangat terhad.
Hari Pertama
Seawal jam 6.00 pagi kami sudah tiba di jeti Tasik Temenggor. Sebaik sahaja tekong tiba tidak lama selepas itu, kami seramai 9 orang pemancing menaiki bot terus meredah kedinginan pagi. Terlebih dahulu, kami perlu mendaftarkan diri di pondok Jabatan PERHILITAN untuk mengambil permit.
Tanpa berlengah masa, kami terus sahaja menyusuri lubuk yang telah pun ditentukan oleh tekong. Sepanjang perjalanan kelihatan paras air tidaklah sesurut seperti yang kami gambarkan. Tetapi ia tetap juga menampakkan perbezaan paras air di tebing dan kedalaman suak yang menjadi agak cetek.
Pada awal pagi, tiada sambaran langsung diterima oleh kami walaupun mencuba pelbagai jenis gewang. Lontaran demi lontaran dibuat ke arah suak atau reba-reba yang diyakini dihuni oleh sang pemangsa namun masih tiada sambaran diterima.
Apabila jam menunjukkan ke angka 10 pagi, Ojang yang tidak jemu bertukar tukar teknik mencuba jig ringan 14 gram menerima sambaran daripada penghuni lubuk. Teknik henjutan jig berwarna kuning keemasan ke kawasan reba pokok tumbang betul-betul memberikan sinar harapan buat kami. Terkulai sang sebarau bersaiz remaja di tangan Ojang.
Azman yang menukar kepada spoon dengan mata kail tunggal terus melakukan lontaran ke arah tunggul kayu yang berada 10 meter dari bot kami. Tidak menunggu lama, ia terus direntap spesies yang diyakini sebarau. Lantas, beliau terus mengunci drag dan mengawal larian pemangsa tersebut. Tepat sekali, sebarau bersaiz 500 gram berjaya juga dijinakkan Azman.
Apabila matahari terpacak atas kepala, bahang yang panas mula merimaskan kesmua ahli komplot. Sambil itu, kami terus menyusuri suak demi suak mencari lubuk berpotensi. Pelbagai jenis gewang lagi ditukar, sama ada jenis tenggelam, separa timbul, timbul, gemerincing, tidak gemerincing dan bermacam-macam lagilah.
Riak air yang bergerak di permukaan air menandakan adanya kawanan anak toman terus sahaja menerbitkan nafsu untuk kami mencuba melontarkan gewang. Mana tahu ada mama toman berada di bawahnya. Malangnya, tetapi, tiada sambutan yang diterima. Dan kami akur, kawanan anak toman yang berjalur ini, mungkin sudah kehilangan ibunya.
Selepas hampir 2 jam berehat dan makan tengah hari, kami menyambung semula aktiviti casting hingga lewat petang. Namun, hanya seekor toman saja yang berjaya dijinakkan Affendy dan ia menjadi penutup hari pertama buat kami.
Hari Kedua
Hari kedua yang juga hari terakhir trip ini, kami sepakat untuk meneroka semaksimum spot berpotensi. Mana tahu hari kedua lebih baik dari hari pertama walaupun kami sebenarnya terpaksa menerima hakikat pencarian tangkapan pada ketika dan musim ini bukanlah mudah.
Banyak perkara yang dapat kami belajar dari hari pertama kami di sini, terutamanya tentang ‘rumah’ sang sebarau yang gemar mendominasi lubuk-lubuk yang dalam dan mempunyai reba sebagai tempat mencari makan.
Tidak sesukar hari pertama, hari kedua nampaknya rezeki lebih banyak memihak kami. Konsep memujuk atau menanti di setiap lubuk sehingga sebarau sudi menjamah umpan adalah antara teknik yang kami terapkan sepanjang hari kedua ini. Namun boleh dikatakan situasi ini amat mencabar dan menguji ketahanan mental.
Walaupun ada masa kami agak was-was dengan lubuk yang disinggahi, namun hasil pengalaman dan tunjuk ajar tekong yang lebih mengetahui isi dasar yang mempunyai banyak reba menjadikan hari kedua kami menjadi semakin baik.
Bot akan berhenti betul-betul di atas reba tersebut dan jig diturunkan dicelah celah dahan dan ranting yang mula mereput dimamah air. Di situlah banyak sambaran sang sebarau yang kami terima.
Penutup
Kesimpulannya, biarpun berdepan dengan keadaan cuaca panas yang tidak menentu, namun ia masih memberikan kami hasil yang memuaskan. Biarpun dikatakan paras air akan terus mengering, namun ia seakan tidak menjejaskan kawasan Royal Belum kerana ia masih banyak menerima air dari banyak sumber cabang sungai yang ada di sini.
Teknik ala jigging boleh digunakan dengan menjatuhkan jig terus ke dasar yang di bawahnya dipercayai terdapat tunggul atau kayu balak tumbang yang sering kali menjadi ‘rumah’ sebarau. Walaupun bersaiz kecil, jig boleh dilontar jauh terutama ketika ikan boiling jauh dari bot.
Kami tiba di lubuk pertama pada waktu senja. Lubuk pertama merupakan sebuah unjam yang banyak terdapat di timur Pulau Similan.
Menurut tekong, Pulau Similan yang terletak di Laut Andaman mempunyai struktur laut yang unik. Di sebelah timur pulau, lautnya amat cetek dengan kedalaman hanya 50–80 meter sahaja.
Di kawasan ini banyak terdapat unjam dan tukun tiruan yang dibina oleh nelayan tempatan. Kawasan ini kaya dengan lambakan sotong dan ikan-ikan karang. Kelihatan berpuluh-puluh bot pukat dan sotong sedang beroperasi di kawasan tersebut.
Pada sebelah barat Pulau Similan pula, keadaan lautnya amat berbeza. Hanya kurang satu batu nautika dari pulau tersebut, kedalamannya mencecah drop off sehingga 300 meter.
Di kawasan inilah terdapatnya kerapu hitam yang kami sasarkan. Ruby snapper, tuna dan banyak lagi spesies ikan laut dalam juga boleh dipancing di kawasan ini.
Selepas singgah di lubuk pertama di sebuah unjam. Tekong Sai Yan berhubung dengan bot nelayan berhampiran untuk membeli umpan segar.
Ikan tongkol dan sotong segar dibeli dengan kuantiti yang banyak sebagai bekalan umpan kami.
Di unjam, kumpulan kami mengamalkan pancingan dasar di hadapan bot dan jigging di belakang bot. Tanpa menunggu lama, pelbagai ikan bersaiz kasar yang berjaya dinaikkan.
Ikan ebek kelihatan banyak terdapat di kawasan unjam ini selain ikan merah dan kerapu. Selepas semalaman memancing di unjam, pelbagai jenis ikan yang berjaya dinaikan oleh kumpulan kami.
Antara ikan-ikan tersebut ialah kerapu (Malabar grouper, Epinephelus malabaricus), ebek (Diamond trevally, Alectis indica), merah (Lutjanus erythropterus), kakap merah (Mangrove jack, Lutjanus argentimaculatus) dan banyak lagi spesies ikan lain.
IKAN SASARAN, KERAPU HITAM!
Awal-awal pagi lagi tekong mula bertolak ke kawasan drop off di sebelah barat Pulau Similan untuk memancing ikan kerapu hitam. Kami segera membuat persediaan untuk memancing sepanjang perjalanan ke sana.
Perambut appollo berkekuatan 100-120lb diikat bersama mata kail 4X circle hook bersaiz 7/0. Penggunaan ‘bangla’ atau kekili elektrik amat digalakkan kerana mampu menyimpan tali utama lebih 500 meter.
Batu ladung yang akan digunakan untuk memancing di kawasan sedalam ini seberat 2kg. Pasti pemancing akan keletihan jika menggunakan kekili manual apabila berhadapan situasi seperti begini.
Semasa memancing ikan kerapu hitam, hanya sebelah kanan bot sahaja dibenarkan untuk memancing. Ini kerana kami akan memancing secara berhanyut kerana bot tidak mampu melepaskan sauh di tempat yang begitu dalam.
Apabila tekong memberi isyarat, kami segera menurunkan umpan. Umpan tongkol yang dibeli oleh nelayan semalam terus disambar ikan dengan rakusnya.
Bangla kepunyaan kami terpaksa berhempas pulas melawan asakan ikan kerapu supaya tidak lari ke dalam lubang yang menjadi tempat persembunyiannya.
Selepas beberapa ekor ikan kerapu berjaya ditawan, tekong akan berubah tempat ke lubuk yang lain.
Bot hanya berhenti seketika sahaja di setiap lubuk. Aktiviti sedemikian kami lalui sehingga petang.
Masa seakan-akan berlalu dengan pantas kerana kami sentiasa sibuk memancing ikan kerapu ini dan hasilnya berbelas-belas ekor ikan kerapu hitam yang berjaya kami perolehi.
UNJAM DI HARI KEDUA
Selepas seharian memancing ikan kerapu, tekong bergerak menuju ke kawasan unjam sebelum hari menjadi gelap. Selepas selesai menikmati makan malam.
Kami menyambung semula aktiviti memancing. Kami amat bertuah pada malam kedua di unjam. Lambakan sotong jarum banyak terdapat di sini. Kami berpesta mencandat sotong di sini.
Kehadiran sotong-sotong yang banyak ini juga menarik pelbagai ikan pemangsa di kawasan unjam. Selain mencandat, kami juga berpesta dengan acara jigging.
Ikan alu-alu, ikan cupak, skipjack tuna dan amberjack banyak dinaikkan melalui teknik jigging. Bagi yang suka memancing dasar, banyak ikan karang yang berjaya diperoleh.
Sotong yang di candat oleh kumpulan kami serta merta dijadikan umpan hidup untuk pancingan dasar.
Banyak ikan kerapu karang/boron yang bersaiz lebih 7kg berjaya kami perolehi. Tekong Sai Yan juga tidak melepaskan peluang turut serta jigging bersama-sama kami ketika kumpulan kami sedang berpesta ikan.
Walaupun kami dalam keletihan dan tidak cukup tidur, semuanya hilang akibat seronok berpesta dengan ikan-ikan yang tidak henti-henti memakan umpan hingga ke subuh.
KENA BULI
Waktu pagi seterusnya, tekong bergerak semula ke lubuk ikan kerapu hitam. Kali ini tekong Sai Yan akan membawa ke lubuk yang didiami ikan kerapu yang lebih besar berbanding semalam.
Berbekalkan pengalaman semalam, kumpulan kami tampak lebih bersedia. Umpan diturunkan selepas tekong memberi isyarat.
Seperti semalam, umpan tongkol terus disambar oleh ikan. Tetapi kali ini tekanan yang kami hadapi lebih hebat. Mesin bangla kami tidak mampu membuat karauan.
Sekali sekala kami terpaksa mengarau secara manual. Mulanya kami ingatkan umpan kami telah sangkut di struktur berbatu di dasar laut, tetapi disangkal oleh tekong Sai Yan. Beliau mengatakan tekanan yang hebat berpunca daripada kerapu hitam yang besar.
Keadaan ini sering berlaku apabila umpan dimakan oleh kerapu bersaiz besar dan sentiasa disangka seperti tersangkut oleh pemancing.
Kali ini tekong Sai Yan dan awak-awak beliau terpaksa turun padang membantu kami menewaskan kerapu ini.
Tali utama ditarik menggunakan tangan secara perlahan-lahan. Tempoh beberapa minit diambil untuk memujuk kerapu yang memakan umpan keluar dari lubang yang menjadi tempat perlindungannya.
Selepas terasa ikan telah keluar dari kawasan lubang, kami segera membuat karauan dengan pantas supaya ikan tersebut tidak berpatah balik masuk semula ke dalam lubang.
Memang benar tekaan kami, ikan kerapu hitam yang bersaiz gergasi kelihatan di permukaan air. Saiz ikan yang lebih besar daripada semalam amat mengujakan kami.
Kemudian beberapa ekor lagi kerapu gergasi berjaya kami tawan di lubuk-lubuk berhampiran menggunakan teknik yang sama. Kami dibuli teruk pada kali ini.
Beberapa orang ahli kumpulan kami terpaksa berhenti memancing akibat tali utama putus sepanjang 200 meter.
Walaupun kami menggunakan bangla atau kekili elektrik yang mengarau secara automatik, kami bagaikan kehabisan tenaga akibat menarik tali utama secara manual untuk memujuk ikan keluar dari lubang sebelum membuat karauan menggunakan bangla kami.
Puluhan lubuk yang kami terokai bersama tekong Sai Yan tidak mengecewakan. Puluhan kilo kerapu hitam berjaya kami sumbat di dalam tong ikan.
PUAS HATI
Selepas 3 hari 2 malam kami melakukan aktiviti yang sama, kami bersiap sedia untuk pulang ke jeti. Keletihan amat terasa sekali. Tong ikan yang dibawa oleh kami semuanya telah penuh diisi dengan ikan bersaiz kasar.
Selepas mengemas segala peralatan yang kami bawa. Kami melelapkan mata akibat keletihan sepanjang aktiviti memancing.
Perjalanan pulang ke jeti akan mengambil masa 6 jam lagi. Selepas itu perjalanan mengharungi 1200km untuk pulang ke rumah akan kami tempuhi sekali lagi.
Walaupun keletihan, kelihatan semua ahli sangat berpuas hati dengan trip ini. Kesimpulannya, trip ekplorasi pertama kali di perairan Laut Andaman di Pulau Similan boleh dikategorikan sebagai trip first class dan berjaya dengan jayanya.
Pelbagai pengalaman pahit manis yang kami telah lalui bersama tekong Sai Yan. Apa yang pasti, sayalah orang yang paling gembira atas kejayaan trip ini kerana impian untuk memancing di Laut Andaman telah pun dipenuhi.
Kali ini Team Pacak Strike (TPS) telah sepakat sekata untuk menduga asakan tengiri di tuas Pulau Payar. Kami telah merancang trip kali ini selama sebulan kerana selalunya trip tuas Pulau Payar sentiasa penuh. Ramai pemancing seluruh malaysia telah membuat tempahan. Setelah mengambil kira beberapa faktor seperti keadaan cuaca dan pasang surut air.
Segala persiapan telah kami sediakan. Umpan yang kami bawa ialah ikan kembung segar. Kami bertolak dari jeti pada jam 8.00 paga. Lokasi pertama kami ialah tuas darat untuk mencari umpan hidup. Teknik yang digunakan adalah teknik apollo. Target umpan hidup seperti borek dan kembung.
Setelah umpan hidup diperoleh secukupnya. Tekong Bang Jan menyuruh kami angkat joran dan bersedia untuk memburu tenggiri. Lokasi seterusnya ialah tuas tengah berdekatan Pulau Payar.
Setelah sampai di tuas pulau payar, tekong mengikat tali bot pada buluh tuas. Keadaan cuaca amat baik. Tiba-tiba kelihatan beberapa ekor ikan tenggiri menyambar anak-anak ikan di permukaan air laut yang bergelora.
Ini menaikkan lagi semangat kami untuk mengilat atau casting. Tok Kura menggunakan umpan bulu ayam. Balingan pertama telah disentap rakus sang tenggiri. Namun putus perambut dengan hanya sekali sambaran sahaja.
Bronk menggunakan umpan ikan kembung untuk casting dan berhasil. Marul, Yid, Nasir dan Nazri menggunakan umpan bulu dan juga ikan kembung. Rezeki memihak kepada kami kali ini. Sentapan demi sentapan rakus tenggiri berjaya didaratkan. Tekong Bang Jan turut aktif membantu kami dengan memberi tip-tip dan memasang set hambor.
Hambor ialah teknik menggunakan umpan ikan borek hidup yg dipasang pada belon. Walaupun banyak ekor tenggiri yang berjaya meloloskan diri. Alhamdulillah kami berjaya pacak strike 14 ekor ikan tenggiri anggaran 4 hingga 9.6 kg setiap ekor.
Kira-kira jam 6.00 petang kami bergerak pulang ke jeti. Kepuasan dan kesyukuran jelas terpancar daripada wajah kami semua. Separuh daripada hasil tangkapan telah kami jual kepada peraih.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...