
Seorang tekong bot memancing meninggal dunia akibat sesak nafas, sementara enam pemancing lain berjaya diselamatkan, selepas bot yang mereka naiki terbalik dan karam
dipukul ribut dalam kejadian di perairan Pulau Tinggi, Mersing pada awal pagi kelmarin (Khamis).
Mustafa Harun, yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Mustafa di kalangan pemancing,
64, menghembus nafas terakhir akibat semput nafas pada pukul 4 pagi selepas terapung lebih dua jam setelah bot dinaiki mereka terbalik dan karam.
Difahamkan, kesemua tujuh mangsa yang berusia antara 30 hingga 64 tahun itu dikatakan keluar ke laut pada pukul 4.30 petang Isnin sempena cuti Hari Pekerja untuk memancing ikan di perairan berkenaan.
Timbalan Pengarah Operasi Mairitim negeri Kepten Maritim Sanifah Yusof berkata kesemua mereka ditemui oleh tekong bot nelayan tempatan, yang ketika itu melalui kawasan kejadian pada jam 7.30 pagi.
“Akibat daripada keadaan cuaca yang sejuk, tekong bot pancing dikenali sebagai Mustafa Harun, 64, meninggal dunia, kerana mengalami kesesakan nafas ketika terapung, sebelum meninggal dunia pada jam 4 pagi tadi.
“Bagaimanapun, kesemua mereka ditemui seorang tekong bot nelayan tempatan lain yang ketika itu membawa sekumpulan pemancing lain, telah membawa mereka pulang ke jeti berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Sanifah, Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC Johor Bahru) menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 mengenai kejadian bot pancing terbalik di perairan Pulau Tinggi itu pada jam 11.15 pagi tadi.
Terdahulu, menerusi akaun Facebook orang awam, tular satu video yang memaparkan sebuah bot menyelamatkan beberapa mangsa yang memakai jaket keselamatan di tengah laut.
Dalam video berkenaan juga, kelihatan mangsa yang meninggal dunia turut diangkat memasuki bot berkenaan oleh sekumpulan pemancing.
Sanifah berkata, Maritim Malaysia memuji tindakan prihatin komuniti maritim setempat yang dapat menyelamatkan nyawa orang ramai.
Mengabang Port Dickson!!

(Oleh: JT Anglers)
Port Dickson merupakan bandar peranginan yang terkenal di Negeri Sembilan Darul Khusus. Malah juga terkenal di seluruh negeri.
Selain itu Port Dickson turut terkenal sebagai padang pancing yang berpotensi. Sama ada untuk pancingan pantai mahu pun laut dalam.
Dalam perkongsian terdahulu, Rasengan Limited tertumpu di kawasan mengilat sotong mengabang atau eging di perairan pantai Timur.
Ketika di sana kami membuat perancangan dan kajian lokasi berpotensi di bahagian pantai barat pula. Port Dickson menjadi kawasan pilihan untuk padang ujian mengilat sotong mengabang.
Ini kerana faktor air laut yang agak jernih, kawasan berbatu dan benteng pemecah ombak serta mudah dikunjungi.
Namun begitu terdapat dua lokasi yang disenarai pendek oleh kami sebagai berpontesi untuk mengilat sotong mengabang iaitu di Tanjung Tuan dan benteng pemecah ombak PD Marina.
Setelah tarikh percubaan untuk mengilat ditentukan, benteng pemecah ombak PD Marina menjadi pilihan utama kami.
Carta jadual pasang surut air laut di kawasan Port Dickson merekodkan air laut akan pasang penuh dengan ketinggian 3.5 meter pada pukul 8.30 pagi.
Kami menjangkakan waktu kemuncak untuk mengilat sotong mengabang adalah pukul 8.45 pagi.
Kami Memulakan perjalanan dari Shah Alam seawal 7 pagi dan tiba di kawasan pemecah ombak PD Marina tepat pukul 8.45 pagi.
Perjalanan sangat lancar lebih-lebih lagi melalui Lebuhraya Utara-Selatan dan Seremban-Port Dickson amat selesa.
Jalan masuk ke kawasan benteng pemecah ombak PD Marina ini melalui gerai makan Cowboy Palace.
Jika mengunakan kereta sedikit kesukaran untuk destinasi yang dituju kerana jalan tanah merah berlopak dan becak sekiranya berlaku hujan.
Kami terpaksa menghabiskan sedikit masa untuk meredah kawasan ini mujurlah tayar kereta tidak terbenam dan tersangkut.
Apa yang kami perhatikan keadaan sekeliling benteng pemecah ombak di PD Marina amat berpotensi untuk aktiviti mengilat sotong mengabang mahu juga ikan.
Kami tiba di benteng pemecah ombak pukul 9.30 pagi dan disambut awan mendung dan hujan lebat.
Nasib menyebelahi kami hujan lebat berhenti selepas turun dalam tempoh 10 minit sahaja.
Apa yang menarik adalah ombak yang sangat lembut menghentam benteng pemecah.
Ini satu petanda yang sangat baik walaupun ditimpa hujan lebat dan awan yang mendung.
Peluang ini kami manfaat dengan beberapa balingan kami telah berjaya mendaratkan sotong mengabang.
Kami masih terus mencuba walaupun ketika itu arus laut sudah mula bergerak surut. Dua jam kami luangkan masa untuk mengilat sotong mengabang dan hasil yang didaratkan juga sangat menggembirakan.
Apatah lagi ia adalah percubaan kali pertama di kawasan ini. Ternyata kawasan pantai barat juga berpontensi untuk aktiviti eging sotong Mengabang.
Dengan meluangkan masa membuat kajian lokasi-lokasi tertentu di pantai barat anda juga berupaya menemui lubuk-lubuk sotong Mengabang.
Bagi yang berminat untuk eging sotong mengabang anda bolehlah ke Juara Tackle Shah Alam untuk matlumat lanjut berkaitan peralatan pancing, gewang, teknik dan lubuk berpotensi.
Penangan GST Trip Tahunan Perairan Sabah

Perairan Sabah merupakan lokasi kegemaran bagi pemancing memburu ikan-ikan yang jarang-jarang bertemu di perairan Semenanjung.
Misi tetap diteruskan meskipun kegagalan 4 orang ahli asal yang tidak dapat turut serta atas alasan cuti dan terikat dengan pekerjaan yang tidak dapat pelepasan daripada majikan.
Tanpa gantian kami terpaksa menampung sedikit perbelanjaan dan kos tambahan disebabkan kekurangan ahli.
Trip selama 4 hari 3 malam ini menggabungkan separuh ahli yang pernah bertandang dan separuh lagi ingin merasai sendiri pengalaman memancing di Sabah.
Di lapangan terbang Kota Kinabalu, kami dijemput oleh pemilik bot dan terus dibawa ke jeti di mana bot sedang menunggu.
Seperti biasa aksesori tambahan dan mana-mana yang tertinggal dalam senarai dibeli di kedai pancing yang terletak bersebelahan dengan pasar ikan. Bekalan umpan tambahan turut ditambah untuk mengimbangi jika berlaku kekurangan umpan.
Perjalanan panjang
Rasa mengantuk menguasai benak kepala gara-gara jam 3 pagi sudah bersiap mengemas barang dan bergerak ke lapangan terbang. Untungnya tempoh perjalanan ke lubuk pertama memakan masa hampir 7 jam, sudah cukup untuk semua ahli meletakkan kepala di 12 tempat peraduan dalam kabin bot.
Tiada perebutan, cukup, malah berlebihan pula tempat buaian di laut ini. Kali ini bot Seastar III dengan tekong Abdol digunakan. Lewat petang bot memperlahankan kelajuan, berlegar seketika sebelum sauh diturunkan ke dasar.
Kunjungan pada lewat hari pertama kami disambut dengan angin yang sedikit kurang mesra terhadap pemancing dari Semenanjung.
Apa pun ia tidak mematahkan semangat ramai yang seperti lazim tidak sabar menurunkan set pancing masing-masing setelah sekian lama menunggu untuk merasai ikan laut Sabah.
Basung atau selayang bersama ikan kayu atau tongkol menjadi sandaran umpan pada sesi pembukaan. Bahagian belakang bot dikosongkan untuk ahli yang ingin jigging.
Ketika memasang kekili pada joran, Muslim antara yang mula-mula menurunkan set pancing beliau mengena ikan pertama trip ini.
Seekor ibu kerisi menyuntik semangat buat semua. Bacaan kedalaman pada set kekili elektrik yang digunakan ialah 90 meter, masih cetek lagi jika dibandingkan di sesetengah kawasan laut Sabah.
Angin nampaknya lebih kuat daripada arus sehingga semua tali hanyut menuju ke tali sauh.
Depan sudah jadi posisi belakang, satu situasi sukar untuk memancing. Menjelang senja seekor merah coreng membuatkan Hj Din menjadi orang kedua mendapat hasil.
Jarak masa sejam sudah menampakkan ikan kurang di lokasi pertama, memaksa tekong berpindah lubuk.
Umpan sotong
Di lubuk kedua, tekong dan awak-awak menumpukan usaha mencandat sotong yang kebetulan cukup banyak timbul di permukaan.
Lubuk berkenaan juga adalah tempat ikan jenahak dan siakap merah. Walaupun deruan angin semakin bertambah kelajuan, sotong begitu galak mengejar candat twist saiz kecil. Umpan cantik tapi ikan dasar pula enggan membuka selera.
Kutisan dan getuan ikan dengan sotong cumit hidup cukup lama. Namun satu getuan saiz ikan yang menelan sotong boleh dibanggakan. Sehingga awal pagi ikan terus menyepi apabila seekor jenahak skala 7 kg terlucut ketika di permukaan air.
Awal malam kedua kami menumpukan usaha mengumpul sotong hidup sebagai bekalan. Basung dan ikan kayu dibiarkan sepi dalam bekas ais. Perambut kekuatan 100 lb dua depa dengan dua mata 5/0 kerana sasaran kali ini bukan yang kecil.
Sotong yang baru dapat terus dicangkuk pada perambut yang sedia menanti. Selang beberapa detik kedengaran pemancing hadapan bergaya dengan sekor siakap merah.
Kekili elektrik terpakai Digitana SLS Shimano yang baru diuji sebelum ini beberapa kali kecundang akhirnya tidak menghampakan pemiliknya apabila tewasnya seekor kerapu 8.5kg.
Selepas kerapu suasana sepi kecuali aktiviti mencandat semakin rancak. Dari jigging, ramai yang memilih untuk turut serta mencandat sotong, menghilangkan rasa jemu menunggu dan letih jigging, baik layan sotong termasuk tekong sekali.
Siakap merah kedua malam tersebut muncul setelah begitu lama menunggu menjadikan ia siakap merah terbesar dalam trip ini.
Iffa yang setia menunggu sotong hidupnya disentap ikan boleh tersenyum apabila jenahak kedua muncul lagi dalam selang tempoh sejam lebih. Proses penantian yang cukup menyeksakan dan berkat kesabaran tinggi.
Fenomena air merah
Hari-hari terakhir, kawasan laut dipenuhi dengan fenomena air merah menjadikan ia kurang sesuai untuk memancing.
Mencari kawasan yang bebas dari air merah menjadi tugas jurumudi kerana harapan meninggi pada hari terakhir. Beberapa ekor kerapu bara berjaya dipancing sebelum kehadiran laut merah melanda.
Banyak juga kami dikejutkan dengan strike kasar namun kehilangan hasil kerana perambut sering putus apabila bergesel dengan karang.
Nasib sotong yang banyak diperolehi pada malam sebelumnya menjadi umpan pertaruhan apabila malam terakhir tiada sotong di lokasi.
Harapan seperti malam sebelumnya kalau dapat sotong hidup suspens sikit menunggu strike. Ibu kerisi dan anak kerapu memberi semangat buat yang masih berjaga malam berumpan sotong.
Paling seronok ialah menikmati sup kerapu bara oleh ahli trip di malam terakhir tanpa mempedulikan joran di sekeliling.
Kabin sekali lagi dipenuhi pemancing setelah penat seharian memancing. Terkilan sedikit kerana tekong banyak alasan apabila meminta supaya bertandang ke lubuk 200 meter untuk mengintai si ruby.
Apa yang dipastikan tekong dan awak-awak lebih gemar mencari kawasan air kedalaman purata 80 meter sesuai dengan set koyan yang digunakan mereka.
Di Sabah dan Sarawak kebanyakan konsep memancing ikan kepunyaan mereka berbanding Pantai Timur di mana tekong membantu pemancing menaikkan ikan. Ikan pula adalah kepunyaan penyewa sepenuhnya.
Di sini mereka memancing sebagai pendapatan tambahan dan hasil kadangkala dijual pula kepada pemancing yang berminat di atas bot. Ada kelemahan dan kebaikan sistem ini, tepuk dada tanya selera.
Oleh sebab julat getuan ikan ini amat jarang-jarang, penulis menulis artikel ini dari kabin bot sambil memerhatikan joran yang melenggok dibuai alun tanpa ada sentuhan dari pemangsa dasar.
Trip Retro – Bila Otai Casting Candat Sotong

Ketika ahli Team Alucast merancang satu trip ala-ala family day di Marang, Terengganu dalam Whatsapp group team, saya tak ambil kisah sangat.
Lagipun tarikhnya masih lambat. Lebih kurang dua bulan lagi pada waktu itu.
Apabila tentatif program mula direncanakan dalam kemas kini trip tersebut, saya mula tertarik apabila terselit acara cadangan jigging dan mencandat sotong.
Memandangkan majoriti ahli Team Alucast lebih fokus pada cabang mengilat di tasik-tasik sungai maka saya percaya cadangan acara tersebut kurang mendapat sambutan. Terutamanya jigging.
Seminggu sebelum trip family day tersebut bermula, sebagaimana yang dijangkakan hanya cadangan acara mencandat sotong mendapat sambutan.
Itu pun masih belum penuh. Berikutan ada tugasan di Kuala Terengganu pada tempoh waktu itu, saya pun selitkan nama untuk join trip candat sotong.
Melalui ahli Team Alucast yang merupakan anak tempatan Marang, segala urusan dilakukan oleh beliau termasuklah trip mencandat sotong.
Apa yang membuatkan saya agak teruja untuk turut serta kerana inilah julung-julung kalinya Team Alucast yang terkenal dengan Megatrip tahunan ke Tasik Kenyir turun ke laut.
Tanpa disangka trip yang dianggar akan kekurangan korum seramai 8 orang akhirnya bukan saja penuh malah berlebihan pula.
Berikutan ramai ahli trip datang dari luar Terengganu maka agak lewat sikit kami turun mencandat.
Boleh dikatakan bot kami merupakan bot terakhir yang bergerak keluar dari jeti Marang menuju perairan Pulau Kapas.
Hampir jam 8 malam barulah kami memulakan aktiviti mencandat sotong dengan harapan yang menggunung.
Tambahan pula menurut kata tekong yang dikenali sebagai Pok Tar (Mokhtar), pelanggan yang menaiki bot beliau pada hari kelmarin berjaya membawa pulang 40 kg sotong, walaupun lebih ramai yang mabuk laut daripada yang memancing.
Sebaliknya sesi mencandat sotong kami bermula dengan begitu perlahan sekali.
Saya sendiri hampir setengah jam barulah berjaya memperoleh lesen setelah mendaratkan sotong yang pertama.
Sementara yang belum memperoleh lesen mulalah buat perangai sehingga ada yang meminta tekong tolong sentuh joran dan macam-macam lagi.
Begitu pun tekong sangat membantu dengan memberi tunjuk yang sewajarnya.
Walaupun agak perlahan hasil yang dinaikkan namun ia lebih dari mencukupi untuk kami jadikan juadah.
Dan apabila masing-masing mula kekenyangan setelah menjamu sotong sambal dengan nasi putih panas-panas, mata pun mula layu.
Saya sendiri hanya mampu bertahan sehingga jam 1.30 pagi sahaja. Sotong bukan tiada langsung cuma sesekali saja hadir dalam kumpulan yang kecil.
Jadi saya tidur dulu dan bercadang untuk bangkit jam 4 pagi bagi menyambung semula aktiviti.
Tatkala seronok melelapkan mata di ruang sempit belakang bot, terdengar pula enjin bot berderum lama. Takkan nak berpindah lubuk begitu lama.
Rupanya bot sudah menghala ke jeti atas permintaan seorang dua rakan yang dengan alasan tertentu. Saya jam belum pun 3.00 pagi. Setuju tak setuju terpaksa jugalah turut saja.