Seorang isteri, Chong Yoke Lin, 34, menarik nafas lega apabila suaminya yang dikhuatiri hilang selepas turun ke laut sejak pagi kelmarin, ditemui selamat.
Suaminya, Chang Chee Hoe, 36, bersama dua lagi rakan, Loh Chong Young, 60 dan lelaki dikenali sebagai Ah Kiong, 50-an, turun ke laut untuk memancing dan memasang bubu kira-kira jam 11.30 pagi.
Mereka menaiki sebuah bot gentian kaca menuju ke arah Pulau Tenggol dan terputus hubungan kira-kira 30 jam selepas Bot dinaiki mengalami kerosakan enjin dan hanyut dalam jarak 30 batu nautika dari arah Pulau Tenggol ke perairan Kemaman.
Ketiga-tiga mereka bernasib baik apabila diselamatkan nelayan di perairan kemaman dan dilaporkan berada dalam keadaan baik.
Tidak pulang hingga lewat malam
Menceritakan kejadian, Yoke Lin berkata, dia mula resah apabila suaminya tidak pulang ke rumah walaupun hari sudah lewat malam.
Menurutnya, usaha menghubungi suami melalui telefon juga gagal.
Ads
“Suami saya bekerja sebagai tukang baiki bot dan enjin di jeti Rajawali. Dia selalu juga pergi ke laut untuk memancing dan menangkap ikan.
“Biasanya kalau pergi ke laut, sebelah petang dia sudah pulang ke rumah tapi kali ini tidak. Pukul 12 tengah malam dia tidak pulang dan gagal dihubungi,” katanya.
Menurut Yoke Lin, memandangkan suaminya gagal dihubungi hampir 24 jam, dia membuat laporan polis pada sebelah pagi.
“Saya ke jeti tapi dia tiada di situ dan hanya kereta yang ada. Rakan-rakannya pergi cari menggunakan bot tetapi masih tidak jumpa.
Ads
“Dalam kepala memang sangat serabut dan bimbang kejadian tidak diingini menimpanya,” katanya.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana suaminya ditemui selamat dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu.
“Dia sendiri menghubungi saya menggunakan telefon orang lain kira-kira 3.30 mengatakan dia selamat dan dibantu nelayan di Kemaman.
“Esok hari lahirnya dan saya sangat gembira dia tidak mengalami sebarang kecederaan. Terima kasih nelayan, pihak polis dan APMM yang membantu suami saya dan rakan-rakannya,” katanya.
Ads
Elak turun ke laut ketika tengkujuh
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaccob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Beliau menasihati nelayan dan orang ramai supaya tidak turun ke laut pada musim sekarang kerana keadaan ombak bergelora serta mengancam nyawa.
“Kelmarin sebuah bot dilaporkan terbalik dihempas ombak dan kali ini bot rosak. Kita ingatkan kepada nelayan, pemancing dan sesiapa saja supaya tidak turun ke laut ketika musim tengkujuh atau air pasang kerana risikonya amat tinggi.
“Elakkan aktiviti di laut pada musim sekarang bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.
(Sumber: Sinar Harian)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Kuala Kubu Bharu adalah sebuah bandar yang terletak di daerah Hulu Selangor.
Pada awalnya bandar ini dikenali sebagai Kuala Kubu sahaja dan diletakkan di bawah pentadbiran Residen-Residen British yang pertama iaitu Presiden Frank Athelstane Swettenham, diikuti oleh J.P Rodger dan kemudiannya Edward Maxwell.
Ketika itu, Kuala Kubu merupakan jalan masuk utama ke negeri Pahang.
Oleh kerana banjir besar yang melanda pada tahun 1883, pihak British telah memindahkan pusat pentadbiran mereka ke Kuala Kubu Bharu pada 6 Mei 1931.
Pada tahun 1975 pula, Majlis Daerah Hulu Selangor ditubuhkan dan dipertanggungjawab untuk mentadbir dan membuat perubahan di dalam kawasan yang merangkumi dari
Serendah, Batang Kali hinggalah ke kawasan Felda Sungai Tengi, Soeharto, Gedangsa dan sekitarnya.
Banyak perubahan dan pembangunan telah dilakukan dari semasa ke semasa untuk keselesaan dan kemudahan penduduk.
Pekan Kuala Kubu Bharu yang dahulunya yang sunyi kini bertukar corak menjadi pekan yang ceria, bersih dan indah dengan landskap yang menyejukkan mata memandang di samping mengekalkan seni bina awal tahun 1900.
Potensi Spot Pancingan
Di Kuala Kubu Bharu sendiri terdapat sebuah empangan yang membekalkan air bersih untuk kegunaan penduduk sekitar Lembah Klang.
Tadahan air ini terletak di kawasan Pertak yang menjadi penghubung jalan ke Bukit Fraser dan Raub, Pahang.
Sejak ia beroperasi sepenuhnya, empangan ini telah menjadi salah satu spot pancingan pilihan kaki-kaki pancing di sekitar Lembah Klang kerana jarak pemanduan hanya lebih kurang 1 jam 30 minit sahaja dari Kuala Lumpur.
Antara spesies-spesies ikan buruan yang terdapat di empangan ini adalah sebarau, baung, jelawat, tengas, patin, toman, lampam, haruan dan juga tilapia.
Bagi kaki-kaki pengilat yang sentiasa mendambakan tarikan padu sang sebarau, banyak terdapat spot menarik yang boleh diduga di sekitar empangan ini.
Namun untuk memasuki empangan ini menggunakan bot amatlah dilarang sama sekali oleh pihak pengurusan empangan.
Bagi kaki-kaki bottom pula, antara spot kegemaran mereka ketika paras air tinggi sudah pasti di atas jambatan panjang yang berdekatan dengan kampung orang asli Pertak terutamanya pada sebelah malam setiap hujung minggu.
Sang Merak
Selain empangan tersebut, taburan lombong di sekitar mukim Ampang Pecah dan Rasa juga turut mempunyai potensinya yang tersendiri.
Sedar tak sedar, rupa-rupanya telah lama lombong-lombong di sini dihuni oleh spesies peacock bass (PB) yang diketahui umum banyak merajai lombong-lombong di Perak.
Ramai pengilat tempatan rata-ratanya telah sedia maklum akan kehadiran spesies pendatang ini sejak beberapa tahun yang lepas.
Sama situasinya seperti saudaranya di Perak, PB di sini tidak segan silu menghentam gewang permukaan seperti pencil dan popper berukuran 5-7cm.
Ada ketikanya, ia begitu galak menghambur anak-anak ikan di permukaan air.
Namun, saiz yang diperolehi masih belum dapat mengatasi skala-skala mega yang biasa didaratkan di spot-spot lazim seperti di Air Kuning dan Malim Nawar.
Apa pun juga saiznya, pada saya ia tetap mengujakan dan tidak perlu untuk memandu jauh hingga ke Perak.
Mukim Serendah
Satu lagi spot pancingan kegemaran saya adalah di mukim Serendah. Terdapat sebuah lombong yang agak besar dan gelap airnya di sini yang banyak dihuni oleh toman-toman agresif.
Dua kali kunjungan saya ke lombong ini belum lagi mengecewakan.
Kali pertama saya bersama seorang rakan berjaya mendaratkan seekor toman bujang yang gelap skema warnanya dan mencecah 10kg timbangan menggunakan lip grip hanya dengan kaedah mengilat dari tebing sahaja.
Kunjungan kali kedua, saya ditemani seorang lagi rakan menduga dengan menaiki bot pula dan dipacu oleh thruster 55lb.
Dengan cara ini kami berpeluang untuk menyelongkar setiap sudut lombong tersebut yang terhad untuk diakses dari tebing.
Kali ini banyak toman bujang berskala 1-2kg yang rakus menghentam gewang selaman dalam berjaya kami daratkan.
Tangkapan bonus bagi kunjungan kedua ini adalah seekor induk toman yang begitu gemuk dan sihat.
Namun, satu pengalaman baru yang saya perolehi sebelum berjaya mendaratkan induk toman ini adalah sebaik sahaja balingan pertama ke arah timbulan kumpulan anaknya, timbulan yang seterusnya kumpulan anak tersebut telah berpecah menjadi tiga.
Agak sukar untuk mengesan kedudukan sebenar induknya di kalangan tiga kumpulan anak yang telah berpecah.
Oleh itu, cara yang paling mudah dan efektif adalah dengan menunggu sahaja induknya timbul bersama anak-anaknya kemudian barulah gewang dihantar.
Kegembiraan bersama rakan tidak kira di mana sahaja lokasi kita memancing, keseronokan utamanya adalah dapat bersama rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama.
Sekiranya memperoleh strike itu adalah bonus yang sememangnya diidam-idamkan sebagai seorang pengilat.
Jadi, sama-samalah kita mendisiplinkan diri dengan mematuhi etika pemancing demi menjamin alam sekitar dan perairan awam terpelihara.
Dalam masa yang sama, hak pemancing lain perlulah kita hormati dan kita seharusnya ada inisiatif dalam membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil menyebarkan pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama.
Senantiasalah mengamalkan ‘Tangkap dan Lepas’ ataupun menghadkan pengambilan ikan (selected harvest / bag limit).
Semoga usaha yang kita amalkan ini turut dipraktikkan oleh pemancing-pemancing lain demi memastikan stok ikan di perairan kita terutamanya spesies tempatan sentiasa terjamin demi kesinambungan pancingan pada masa hadapan.
Black kokanee atau kunimasu merupakan spesies daripada keluarga salmon.
Nama saintifik : Oncorhynchus kawamurae
Habitat asal : Tasik Tazawa (satu-satunya habitat asal)
Penemuan semula : Tasik Saiko
Sekitar tahun 1940, sebuah empangan hidroelektrik dibina di Akita, sebuah daerah di negara Jepun. Ketika itu, projek pembinaan empangan tersebut diakui akan memusnahkan satu-satunya habitat ikan spesies salmon iaitu black kokanee atau kunimasu dalam bahasa jepun, kerana akan mengakibatkan air menjadi lebih berasid. Begitu pun, projek pembinaan empangan tetap diteruskan. Satu konsesi telah ditubuhkan dalam usaha untuk mengekalkan spesies salmon ini.
100,000 telur salmon ini telah dipindahkan ke sebuah tasik berdekatan bernama Tasik Saiko dengan harapan dapat menyelamatkan spesies ini. Malangnya, telur yang dipindahkan gagal menetas dan kemungkinan paling buruk iaitu ancaman kepupusan terpaksa ditelan. Populasi black kokanee atau kunimasu menghilang secara drastik dan dianggap pupus.
Sekitar tahun 2010, populasi kecil spesies ini telah ditemui semula di Tasik Saiko, tempat pemindahan telur ikan ini 70 tahun yang lalu. Menurut seorang profesor di Universiti Kyoto, Tetsuji Nakabo, penemuan ini sangat mengejutkan. Dia yang merupakan salah seorang yang menemui kembali spesies ini juga mengatakan bahawa mereka mahu memastikan spesies ini tidak hilang buat kali kedua.
Menurut Nakabo lagi, selagi persekitaran dan ekosistem Tasik Saiko dijaga, black kokanee mempunyai harapan yang cerah untuk bertahan. Dia juga meluahkan kebimbangan jika terdapat kehadiran pihak secara mengejut yang mahu menangkap spesies ini selepas tersebarnya berita penemuan tersebut akan mengancam populasi kecil ikan ini.
Awal pagi tatkala matahari baru menjengah memancarkan sinarnya, kami berempat menyusuri laluan estet getah dan kelapa sawit ke lokasi yang terletak kira-kira 8 km dari rumah saya dengan motosikal masing-masing.
Sampai sahaja di lubuk yang dikenal pasti, peralatan segera dipersiapkan sambil mata meliar mengesan sebarang atau cakupan daripada sebarau yang menyambar anak-anak ikan.
Lantas bersimpang siurlah gewang dan besi sesudu menerjah spot yang difikirkan berpotensi menghasilkan sesuatu.
Selepas beberapa percubaan, rezeki pertama berpihak kepada Ayim apabila lontaran sesudu Seahawk nya disambut sebaik sahaja mencecah air.
Gandingan set mengilat kelas sederhana ringannya tiada masalah untuk mengekang larian mangsa dan beberapa minit kemudian seekor sebarau berskala 1.2 kilogram berjaya didaratkan.
Dalam pada itu lontaran gewang saya dan juga sesudu Salleh disergap sesuatu hampir serentak. Walau bagaimanapun mangsa di hujung tali saya berjaya melepaskan diri dan meninggalkan mata tiga yang terkangkang dikerjakannya.
Manakala Salleh terus melayan tarikan seekor lagi sebarau yang akhirnya berjaya dihela naik. Agak kecil sedikit kira-kira 600 gram yang kemudiannya dilepaskan kembali.
Tiba-tiba kedengaran drag kekili Asri berbunyi akibat sambaran sesuatu di bawah air. Asakan yang diterima agak hebat juga menyebabkan hujung jorannya melengkung menyentuh permukaan sungai.
Dengan berhati-hati Asri mengawal larian mangsa agar tidak terus membawa tali ke struktur berkayu di dasar sungai.
Salleh segera menghulurkan bantuan mendapatkan sebarau berskala 1.8 kilogram yang akhirnya terdampar kepenatan di gigi air. Terpancar senyuman kepuasan pemancingnya dengan hasil yang agak kasar ini.
Walaupun jam baru pukul 9.30 pagi, kami membuat keputusan menghentikan pemburuan kerana keadaan air sungai yang mulai bertukar kepada warna teh susu akibat kerja-kerja mengorek pasir haram di bahagian hulu sungai.
Kami pulang selepas tiada lagi minat sebarau mengejar sesudu atau gelekan gewang yang dipersembahkan. Walau bagaimanapun, kami bersyukur dengan rezeki yang diperolehi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...