IKLAN

 

Dalam kunjungan kali kedua ke kawasan Yan, Kedah membolehkan saya mencuba pengalaman memancing di Pulau Bunting.

Ia gara-gara trip casting tenggiri di Tuas terpaksa dibatalkan sejurus hendak bertolak ke sana dari Shah Alam.

 

Alang-alang sudah tiba di sini, saya mengajak rakan yang juga pemancing tempatan untuk mencuba memancing di Pulau Bunting.

Mujur bila diberitahu Pulau Bunting spot sotong menggabang, saya sempat membawa beberapa ketul gewang candat udang.

 

 

Kami mencuba di kawasan spot berbatu di sebelah kanan pulau menghadap Pulau Langkawi. Memang banyak sotong menggabang di sini.

Cuma masalahnya candat perlu dilontar sejauh mungkin kerana sotong tidak berada berhampiran dengan pantai. Jadi terpaksalah mencari kawasan yang lebih bertanjung untuk melontar jauh.

 

 

Sotong menggabang di sini boleh tahan juga saiznya, malah ada bersaiz selebar tapak tangan.

Menurut seorang kaki pancing yang ditemui berkata, dia kerap mencari sotong menggabang di sini, jika dapat 3-4 ekor bersaiz tapak tangan sudah cukup untuk dijadikan hidangan keluarga.

 

 

Katanya lagi, di daerah Yan ini, sekiranya ingin betul-betul mencari sotong menggabang, lokasi terbaik sebenarnya adalah di Pulau Song Song kerana di sana tekanan kaki pancing tidak tinggi berbanding Pulau Bunting yang mudah diakses kerana adanya jambatan.

 

Pada sebelah petangnya, saya mencuba pula casting dari tebing terutama di bawah jambatan di bahagian pulau.

Cuma yang banyak hanyalah todak yang mengekori spoon yang diletakkan bulu pada mata kail.

 

Selain itu, hanyalah ikan kerapu kecil yang menjadi penghibur. Menurut pengamatan saya, kaedah casting mungkin kurang digemari oleh kebanyakan kaki pancing yang datang bertandang ke sini.

 

 

Kebanyakannya lebih gemarkan pancingan bottom dan juga teknik surf casting dari atas jambatan.

Majoriti umpan yang digunakan adalah udang hidup, anak belanak selain menggunakan udang kopek dan juga umpun-umpun.

IKLAN

 

POMPANO PULAU BUNTING

 

Secara kebetulan semasa berjalan melalui jambatan berkenaan, saya berkenalan dengan beberapa orang kaki pancing lain yang menggelarkan diri mereka Geng Tegar Pulau

Bunting di laman media sosial facebook. Mereka kerap memancing di kawasan ini terutama di bahagian tengah jambatan.

 

 

Menurut Rosdi, salah seorang ahli grup berkenaan, jambatan Pulau Bunting telah lama menarik perhatian kaki-kaki pancing dari seluruh negeri Kedah.

Malah ada juga geng kaki pancing dari Pulau Pinang, Perak dan Perlis datang ke sini.

 

“Di sini, kalau nak ikutkan, hari-hari ada orang datang memancing. Tidak kiralah pagi, tengah hari mahupun malam.

“Kalau ada kaki pancing yang nak balik, tak lama lepas tu mesti ada geng lain yang datang. Seolah-olah macam ada shift pula,”

 

Katanya yang tidak kisah duduk di atas jambatan berkenaan sepanjang hari semata-mata menunggu ikan makan umpan.

 

Dalam kunjungan saya ke sini juga, saya menyaksikan sendiri seorang pemancing yang juga rakan kepada Rosdi berjaya menaikkan seekor ikan bawal emas atau turut dikenali dengan nama pinang atau pompano yang beratnya sekitar hampir 5 kg.

 

IKLAN

Apa yang uniknya semasa menyaksikan pertarungan pemancing dengan bawal pinang ini, mereka telah menggunakan sejenis tangguk khas buatan sendiri untuk menaikkan ikan dari atas jambatan.

 

Tanpa tangguk berkenaan, agak mustahil menaikkan ikan yang bersaiz besar, pasti akan putus akibat tali akan tergesel dengan permukaan simen jambatan. Lebih-lebih lagi jika terkena ikan pari.

 

Rosdi sendiri tidak lama kemudian berjaya menaikkan ikan senangin sekitar 1 kg.

Menurutnya yang berasal dari Guar Chempedak ini lagi, bila musim senangin masuk ke kawasan jambatan ini, boleh dikatakan jambatan ini seperti pesta apabila dibanjiri ramai kaki pancing.

 

Tapi katanya perkara ini tidak akan bertahan lama kerana para nelayan pasti akan melabuhkan pukat berhampiran kawasan jambatan. Akibatnya kumpulan senangin akan berlalu pergi.

 

Selain ikan-ikan tersebut, Rosdi juga sempat menunjukkan gambar rakan-rakanya dari telefon bimbitnya hasil tangkapan di jambatan dan Pulau Bunting.

Boleh tahan juga, kerana ada tangkapan ikan talang dan juga alu-alu menggunakan gewang dari landbase selain tangkapan ikan yu, kuku, loban, siakap merah dan juga kerapu.

 

LUBUK MEMANCING & BERNIAGA

 

Sepanjang dua hari penulis bertandang ke Pulau Bunting ini, terbukti pancingan di jambatan dan juga Pulau Bunting ini cukup mengujakan.

Dengan kedudukan yang strategik, khususnya di kawasan pertengahan jambatan yang lebih dalam ia telah menjadi kawasan laluan ikan-ikan berkualiti.

 

 

Untuk yang gemar casting pula, cuba-cubalah untuk ke bahagian pulau. Sama ada untuk casting menggabang ataupun ikan.

 

Dikhabarkan jika sanggup untuk trekking di bahagian belakang pulau, GT bersaiz 5 kg ke atas mudah sahaja untuk diperolehi jika kena air cantik.

Tetapi bukan perkara mudah untuk sampai ke sana, kerana ketiadaan trek khusus selain ada sahaja perkara mistik yang didengari di sini.

 

Seperkara lagi, terdapat masyarakat tempatan yang bijak mengambil peluang dengan kehadiran ramai kaki pancing di sini.

 

Terdapat beberapa gerai menjual makanan dan minuman ringan dibina di pintu masuk jambatan dan juga di bahagian pulau, sekali gus menyenangkan kaki pancing mengisi perut sambil dapat membasahi tekak sepanjang tempoh memancing di sini.

 

Untuk pengetahuan, kereta tidak dibenarkan melalui jambatan ini, perlu menggunakan motosikal.

Di sini terdapat seorang anak muda, bernama Bob yang membuat perkhidmatan hantar dan ambil kaki pancing yang ingin memancing di hujung jambatan atau di pulau. Cuma telefon sahaja, Bob akan datang ambil semula.

 

Di sebalik potensi jambatan Pulau Bunting ini sebagai spot memancing, terdapat beberapa perkara yang saya rasakan begitu merugikan.

Saya tertanya-tanya bilakah pihak kerajaan akan membangunkan semula Pulau Bunting ini seperti mana yang mereka rancangkan dahulu.

 

 

Dengan kos berjuta-juta ringgit telah dilaburkan, pembangunan yang khabarnya bakal dinikmati oleh masyarakat setempat dan Yan amnya bagaikan terkubur, sama seperti

keadaan jambatan tersebut yang kian usang dan banyak telah rosak, longgokan sampah-sarap terutamanya plastik banyak bertaburan selain ia menjadi gelanggang segelintir mat

rempit berlumba dan juga golongan anak muda yang saya kira masih bersekolah dating di pulau berkenaan.

 

Apa pun, sepanjang trip singkat saya ke sini telah memberi gambaran bahawa jambatan Pulau Bunting dan pulau itu sendiri memiliki potensi yang besar buat kaki pancing.

Cuma ada baiknya biarlah keadaan di kawasan berkenaan terurus, terutama tiada sisa sampah ditinggalkan sebaik angkat kaki pulang dari memancing.