Suatu ketika dahulu, air terjun Sungai Lasir bukan saja tumpuan pelancong ke Tasir Kenyir, tetapi juga lubuk memancing yang sangat berpotensi. Banyak rekod tangkapan siakap air tawar dicatatkan di kawasan ini.
Namun, kegiatan pembalakan di hutan simpan Hulu Terengganu berhampiran Kemat telah menjadikan Sungai Lasir sebagai sungai yang berlumpur sehingga operator rumah bot di Tasik Kenyir tidak lagi menjadikannya lokasi tarikan pelancong.
Perubahan berlaku kira-kira sebulan lalu, dengan pemandu bot pelancong semakin menghindari Sungai Lasir untuk menyembunyikan persekitaran yang rosak kepada pengunjung.
Kebimbangan yang lebih besar ialah aktiviti pembalakan juga mungkin menjejaskan kawasan Kelah Sanctuary yang popular di Sungai Petang dan kawasan pemijahan di sepanjang sungai.
Mohd Salleh Hamid, pengusaha rumah bot berkata sungai yang berlumpur di air tejun Lasir tidak lagi sesuai untuk mandi dan aktiviti riadah lain.
Ads
Air terjun Lasir sebelum ini
“Pengendali rumah bot telah mengelakkan Sungai Lasir sejak bulan lepas. Ia berlumpur, tidak selamat dan telah menjadi halangan bagi pengunjung.
“Kami tidak mahu membawa pengunjung ke sungai kerana ia mungkin memberi kesan negatif kepada Tasik Kenyir. Ia akan menjejaskan operasi kami, “katanya.
Salleh, yang juga anggota jawatankuasa Persatuan Pelancong Tasik Kenyir, menambah bahawa ancaman pencemaran di Kelah Sanctuary terbukti apabila pembalakan bermula di hulu Sungai Petang.
Ads
“Pengendali rumah bot bergantung kepada tarikan di Kelah Sanctuary untuk hidup. Ia adalah tarikan utama di Tasik Kenyir selain Sungai Lasir.
“Kami berharap kerajaan negeri akan menghentikan aktiviti pembalakan di kawasan Kemat. Kami juga meminta Jabatan Perhutanan untuk mengkaji konsesi, “katanya.
Salleh berkata beliau dimaklumkan bahawa Jabatan Alam Sekitar dan penduduk kampung akan melawat Sungai Lasir minggu depan untuk menilai kerosakan tersebut.
Jabatan Perhutanan tidak dapat dihubungi untuk komen.
Dalam istilah jigging, terdapat 2 jenis kaedah untuk jigging, iaitu vertical jigging dan jig cast.
Vertical jigging digunakan untuk mengumpan ikan yang mendiami dasar dengan cara melepaskan jig secara menegak atau ke depan sehingga ia tenggelam ke dasar laut. Kemudian karauan secara laju atau perlahan dibuat untuk mengayakan jig besi di dalam air.
Jig cast pula digunakan untuk mengumpan ikan predator yang bermain di pertengahan atau di permukaan air. Teknik ini sering kali digunakan untuk menjerat ikan tenggiri. Caranya, Jig dibaling sejauh mungkin dan karauan laju dibuat dan membuatkan jig seolah-olah ikan yang sedang berenang.
Joran jigging mestilah halus, ringan dan tahan lasak. Kebiasaan panjang rod jigging antara 4.5 hingga 6 kaki. Bagi menjimatkan kos jigging, anda boleh membuat sendiri ikatan mata kail jig.
Saiz kekili yang berbeza juga perlu dipadankan dengan berat jig yang anda gunakan. Misalnya, kekili saiz 4000-6000 sesuai untuk jig seberat 40 gram – 100 gram, saiz 8000-10000 untuk jig seberat 100 gram – 400 gram dan untuk jig seberat 400 gram ke atas, reel bersaiz 10000 ke atas sesuai digunakan.
Untuk menentukan saiz jig yang boleh anda gunakan, anda harus mengambil kira kedalaman air di lokasi memancing anda. Misalnya, kedalaman 100 kaki amat sesuai menggunakan jig bersaiz 100gm dan begitulah seterusnya. Senang cerita, jig yang semakin besar digunakan apabila air semakin dalam. Ini kerana pemilihan saiz yang besar ini akan mempercepatkan jig jatuh ke dasar.
Saiz jig mestilah disesuaikan dengan arus pada masa itu. Sekiranya arus agak laju, saiz jig yang sesuai perlu digunakan untuk memastikan jig jatuh betul-betul di kawasan yang sudah dikenal pasti kawasan ikan bermain sekaligus mengelakkan tersasar akibat dibawa arus.
Warna jig juga memainkan peranan besar. Apabila jigging pada waktu malam, jig jenis luminous adalah pilihan utama. Spesies seperti cupak dan tenggiri amat mudah diperdayakan.
Tali sulam atau braided line menjadi pilihan utama untuk teknik jigging. Tali sulam bukan sahaja dapat memotong air dengan lebih cepat, kurang daya regang, sensitif tetapi yang paling penting diameternya yang kecil akan membolehkan lebih banyak tali di sisi dalam gelendong kekili anda.
Penggunaan shock leader atau juga amat penting untuk teknik jigging. Ini kerana dengan leader ini ia mampu menampung main line apabila mendapat asakan secara tiba-tiba. Tali jenis fluorocarbon adalah lebih disarankan kerana ia lebih lasak menahan geseran dan kurang kelihatan di dalam air.
Peribahasa jangan menilai buku melalui sampulnya sangat menepati senario Kolam Pancing Seri Semabok yang terletak di Lebuh AMJ, Semabok, Melaka. Dengan saiz kolam yang kecil dan gelapnya air tanah gambut, maka tidak hairanlah Kolam Pancing Seri Semabok ini diberi jolokan ‘kolam puaka’. Walaupun pada mata kasar kolam ini kelihatan kecil, jangan sesekali beranggapan penghuni kolam turut sama kecil. Hanya setelah memancing barulah anda akan tahu bahawa penghuni-penghuni kolam bukanlah kecil anak. Malah jauh lebih bagak saiznya berbanding kolam-kolam lebih luas saiznya.
Setelah agak lama menjadi pelanggan setia kolam, pada tahun 2015 Mohd Haidzir Mohd Nordin atau lebih dikenali sebagai Papa Danish mengambil keputusan untuk menyewa kolam secara persendirian dari pemiliknya Adam Hussin. Selepas itu barulah kolam dinaiktaraf sedikit demi sedikit, diubah konsep dan penambahan stok ikan sebelum dibuka kepada publik sebagai kolam pancing komersial.
Selesai misi menakluki layaran Kuala Rompin terlaksana, agenda seterusnya adalah pencarian sang toman pula.
Walaupun terdapat lokasi berdekatan di daerah Rompin mengenai kewujudan spot toman, namun disebabkan kekurangan maklumat ia tidak dibincangkan secara terperinci.
Memandangkan produk toman yang di promosi di luar negara ialah Tasik Kenyir dan Tasik Banding maka hanya kedua lokasi ini yang diketahui warga asing.
Beberapa paparan dan risalah mengenai memancing toman di kedua-dua tasik terbabit diketengahkan kepada mereka dan akhirnya Tasik Banding dipilih kerana ia berdekatan dengan `pit stop` akhir iaitu hotel di Pulau Pinang.
Tempahan hotel terbaik di Pulau Pinang pada hari terakhir sebelum penerbangan balik ke negara asal mereka menjadi faktor penentu pemilihan Tasik Banding.
Program asal tiada perubahan maka perlulah memandu dari Kuala Rompin menuju ke Tasik Banding.
Mujurlah kali ini penulis ditemani dua lagi kaki casting yang menunggu di ibu kota bagi mengurangkan penat memandu berseorangan.
Dalam perjalanan sempat juga mereka singgah dan bersembang dengan Nick Ooi pemilik kedai pancing di Subang Jaya.
Perbualan mengenai fly fishing termasuk teknik memerangkap toman adalah agenda utama di samping pembelian beberapa set pancing fly untuk kegunaan di Tasik Banding.
Dari jam 8 pagi kami bergerak dari Kuala Rompin, jam 10 malam barulah tiba ke destinasi yang dituju, Rumah Rakit Mad Shah.
Sepanjang perjalanan Geng Newzie ini akan meminta saya memberhentikan kenderaan apabila ternampak kumpulan monyet.
Cuma permintaan terakhir mereka tidak mampu saya penuhi. Bukan apa, mereka suruh saya berhentikan kereta di Lebuh raya Gerik apabila ternampak sekumpulan gajah kira-kira jam 9 malam.
Nak ambil gambar kata mereka, tapi saya kata kita cari nahas. Namun setelah diberi penerangan serba sedikit mengenai kemungkinan bahaya yang bakal menanti, Newzie akhir faham dan kami meneruskan perjalanan meninggalkan kumpulan gajah dalam kegelapan di tepi lebuh raya.
Untuk misi toman selama dua hari saya menggunakan khidmat tekong Syed@Shed dan tekong Mie. Dua orang tekong muda yang rajin dan mahir dengan selok-belok tasik.
Manakala Bacang dan Belu membantu geng Newzie dari segi pemilihan gewang. Hari pertama, kedua orang tekong mencadangkan agar mencuba kawasan sekitar Sungai Ketir di Tasik Temenggor.
Fokus utama ialah fly toman walaupun ia agak sukar menjerat toman dengan teknik begini. Brett, Mike dan Mark adalah kaki fly manakala Derek lebih bersantai sahaja. Mike, Derek bersama Bacang dan Belu berada dalam sebuah bot.
Manakala saya bersama Brett dan Mike dalam sampan kedua. Dua buah bot bergerak seiringan dan kemudiannya berpecah sebaik sahaja memasuki zon Sungai Ketir.
Sebelum memancing, mereka lebih gemar menikmati keindahan tasik dan panorama. Kami banyak menghabiskan masa bersiar dan melewati tepian tasik dengan perlahan sambil membenarkan Brett dan Mark merakamkan gambar untuk penerbitan artikel mereka di New Zealand nanti.
Puas menikmati pemandangan termasuk melihat perkampungan Orang Asli barulah kami bergerak menuju ke spot casting pilihan tekong.
Pada sesi permulaan kami tertumpu pada aktiviti casting kerana toman biasanya lebih aktif bila matahari meninggi.
Dengan set fly yang dibeli di kedai Nick Ooi, Brett terlebih dahulu berjaya menjerat sekor sebarau yang terpikat dengan fly berwarna merah.
Keadaan sampan memaksa hanya seorang sahaja yang fly di hadapan, manakala seorang lagi akan casting di belakang sampan.
Ketika Brett seronok melayan set fly dengan sebarau, Mark tak senang duduk dan terus mencapai joran.
Tiga kali casting akhirnya beliau pula yang berjaya memikat sebarau. Kali ini gewang milik Brett yang dibawa dari New Zealand menjadi pilihan sebarau.
Setelah sesi fotografi selesai, kami bergerak ke dalam lagi menuju kawasan kuala sungai.
Enam ekor sebarau pada sesi pagi bukanlah suatu keputusan yang bagus. Tapi di sini hasil sebarau bukan elemen utama, sasaran sebenar belum lagi dimulakan.
Kedua-dua bot bertemu di air terjun untuk menyejukkan badan sambil menikmati jagung rebus di tengah hutan. Sesi petang sekali lagi sampan berpecah mencari spot toman pula.
Slot kali ini banyak menumpukan penggunaan teknik fly dalam cubaan mereka untuk merakam gambar toman dengan teknik fly.
Spot kami lewati banyak terdapat toman muncul di permukaan. Namun kerana mereka belum faham mengenai toman, banyak cubaan gagal.
Set fly perlu jatuh tepat pada kedudukan toman mengambil udara. Faktor angin dan ‘timing’ yang betul-betul ngam menjadi penentu.
Kalau gewang lebih senang, bila muncul sepantas kilat gewang dilontar dan menyelam berhampiran kawasan toman yang timbul sebelumnya.
Pujian harus diberikan kepada mereka kerana tidak kenal erti mengalah.
Satu persatu tabiat toman dikaji. Cuma bila dan di mana toman akan muncul masih tertanya-tanya. Fly juga ada kekurangan ‘bunyi’ bagi menarik perhatian toman sewaktu ia jatuh ke air.
Masa untuk melayangkan umpan fly perlu dipercepatkan supaya ia jatuh tatkala toman belum lagi menyelam jauh ke dalam air.
Sehingga petang hanya satu sahaja terkaman toman tersasar sedikit dari umpan fly. Seekor toman berjaya dipancing tetapi dengan lontar gewang ke arah ‘boiling’.
Hanya untuk menunjukkan toman berada di situ cuma belum ada jodoh lagi untuk umpan fly. Setidaknya usaha semakin hampir menjadi kenyataan.
Petang hari pertama ditangguhkan misi kerana terpaksa ‘check-in’ lebih awal di Belum Rainforest Resort setelah bilik terapung tidak sesuai bagi mereka.
(Hari kedua)
Sesi hari kedua mereka ditemani oleh dua orang rakan saya bagi memberi ruang lebih selesa dalam sampan.
Hari kedua mereka sesi pagi pencari toman di Temenggor dan tengah harinya pula menjejak toman kawasan taman Belum.
Mereka memohon untuk dipendekkan masa kerana ingin berehat lebih lama di resort. Tugas sukar bagi juru bot kerana terpaksa berusaha lebih untuk memastikan toman berjaya dijerat dengan teknik fly.
Cerita seperti semalam juga berlaku untuk hari kedua dengan sedikit perubahan. Terkaman toman tepat pada umpan fly yang jatuh ke air tetapi Mike tergamam seketika dengan bunyi terkaman toman sehingga lupa untuk menarik tali untuk menyentap mata kail. Sekelip mata toman berjaya melarikan diri bersama set fly yang terputus dari tali utama.
Begitu juga dengan kisah Brett dan Mark, masing-masing terpegun dengan cara toman menerkam umpan fly. Banyak yang harus mereka pelajari supaya misi untuk menjerat toman dengan fly berjaya dirakamkan.
Malah bunyi toman menerkam umpan terus menjadi bualan mereka sepanjang perjalanan ke Pulau Pinang.
Pastinya cerita ini tidak tamat di Malaysia sahaja, kisah dan produk toman kita akan mewarnai pentas New Zealand di suatu masa nanti.
Saya masih ingat kata-kata Derek, sepanjang berada di Malaysia, menikmati jagung manis yang direbus di tengah hutan adalah bahagian yang paling diingatinya. “This is the best part”, ujarnya ketika memamah jagung rebus.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...