
Ia dipanggil mengolok aya istilah Pantai Timur. Mata appollo berangkai biasanya 20-100 mata dilabuhkan di belakang bot yang sedang bergerak merentasi kawasan yang dikenal pasti adanya tongkol.
Saiz mata yang digunakan sekitar pada saiz 10-15. Anak perambut disyorkan 40-60lb setiap satu diikat pada ibu perambut 100-200Ib. Tali perambut 300lb untuk tali utama.
Jika lebih dari 20 ekor tongkol menyambar dalam satu-satu masa, 2 hingga 3 orang diperlukan untuk menarik kumpulan tongkol yang tersangkut pada mata appollo tersebut .
Selain itu appollo yang dijual (maksimun 6 mata) boleh digunakan dengan syarat perambut tersebut mestilah melebihi 30lb.Warna bulu yang digunakan untuk membuat apollo
tongkol biasanya warna putih (warna bilis) dan sekarang ini warna putih, kuning dan merah turut digunakan.
Awak-awak akan menurunkan set ngolok sepanjang 15-18 meter ini tatkala bot akan menghampiri kawasan unjam.
Setelah mendapat isyarat daripada tekong perambut ngolok ini dilepaskan di belakang bot sama ada di sebelah kanan atau kiri bot dan kadang-kala mereka mengolok di kedua-dua sisi bot.
Ikan-ikan tongkol yang menggelepar di lantai bot dikumpulkan dan dimasukkan ke dalam raga.
Apabila raga penuh, ikan dicurahkan ke dalam tong ais sebagai bekalan umpan sepanjang sesi memancing.
Isi ikan tongkol mengandungi banyak darah dan kuat baunya antara penyebab kenapa ia begitu cepat ‘memanggil’ penghuni dasaran.
Jika tidak untuk mencari umpan bagi sesi memancing, teknik ngolok ini turut dilakukan oleh nelayan bagi menangkap ikan tongkol.
Mengenal Lubuk Karang Luas Di Pekan

Perairan Karang Luas, Pekan, Pahang memang terkenal di kalangan pemancing laut dalam. Kebanyakan kaki pancing yang berkunjung ke sini menggemari teknik jigging ringan dan pancingan dasar.
Jika kena pada musim, kehadiran ikan tenggiri memang sangat dinanti-nantikan oleh kaki-kaki pancing seluruh Malaysia mahupun pemancing dari luar negara. Waktu yang sesuai adalah dari bulan April – September. Ini kerana alunan ombak ketika ini tidak kuat melainkan cuaca tidak mengizinkan.
Boleh dikatakan alunan ombak di sini tidak sekuat alunan ombak di perairan lain. Selalunya musim tenggiri akan tiba dari penghujung bulan Mac sehingga bulan September.
Jika ingin memancing di sini pada hujung minggu, digalakkan tempahan tekong dibuat 2 atau 3 bulan lebih awal kerana, selalunya tekong-tekong terkenal di perairan Pekan ini sentiasa mendapat tempahan penuh sepanjang musim ini.
Peralatan memancing yang sesuai digunakan, boleh menggunakan set medium seperti rod PE3-4, kekili berkuasa saiz 5000-8000 yang boleh memuatkan tali 150 meter ke atas, dan tali utama 30lb-50lb. Perambut 20-40 lb boleh digunakan.
Tetapi sebagai insurans, perambut dawai mesti disediakan. Mata kail yang sesuai adalah daripada saiz 3/0-5/0. Jangan malu bertanyakan teknik dan tip memancing di sini daripada tekong dan awak-awak.
Dinasihatkan sekiranya memancing di laut, jangan bawa banyak joran. Cukuplah 2-3 (maksimum) joran sahaja bagi seorang pemancing.
Saiz apollo yang digunakan tidak berapa besar dan tidak berapa kecil. Digalakkan menggunakan saiz 10–14. Suasana begitu riuh rendah apabila setiap kali mata apollo dinaikkan mesti akan mendapat strike penuh.
Beberapa orang rakan pemancing terus menggunakan umpan tersebut untuk teknik menghanyut.
Info tekong
Supian Keranda adalah nama gelaran bagi Mahamed Supian Yahya, sebut saja nama Supian Keranda sejumlah besar masyarakat di sini akan mengenali beliau sebagai pembuat dan penjual keranda manakala di kalangan pemancing mengenalinya sebagai tekong hebat.
Beliau sering memancing pada masa lapang atau hujung minggu setelah penat bekerja membuat keranda. Pada musim terbuka (April-Oktober), khidmatnya sering dipanggil untuk membawa pemancing menduga beberapa lubuk di perairan Pekan.
Sikap mesra dan peramah beliau memudahkan pemancing mengetahui banyak lubuk memancing di perairan Pekan itu. Bahkan dia, juga adalah salah seorang tekong yang menyumbang khidmat pada siri Royal Pahang Billfish International Challenge.
Pilihan Mata Kail Dan Jenis Ikan Yang Dipancing

Terdapat pelbagai jenis mata kail dan setiap mata kail yang direka bentuk itu sebenarnya dikhususkan untuk jenis pancingan dan spesies sasaran tertentu. Berikut disenaraikan mata kail, jenis pancingan dan spesies ikan sasaran yang sepadan.
Siwash Hooks
Mata kail siwash kelihatan seperti mata kail yang asas, tetapi ia berbeza dari yang lain. Cangkuk siwash biasanya mempunyai teras panjang dan mata lurus yang terbuka. Dengan teras yang panjang ia amat sesuai untuk digunakan bagi memancing ikan yang mengambil makanan secara menyambar. Atas sebab itulah ia biasa digunakan menghasilkan perambut apollo. Ia juga sesuai digunakan untuk menggantikan mata tiga pada sesudu.
Nautilus Circle Hooks
Fungsi dan reka bentuk hampir sama dengan octopus circle hook. Namun ia lebih ringan dan nipis dan amat sesuai untuk kegunaan pancingan berhanyut dengan menggunakan umpan hidup yang lebih kecil. Dalam pancingan sukan seperi pancingan ikan layaran, mata kail ini adalah pilihan terbaik terutamanya untuk memanjangkan hayat umpan hidup yang kecil seperti tamban.
Demon circle hooks
Rangkaian mata lingkar yang menekankan konsep strike yang sama. Demon circle hook didatangkan untuk aksi pancingan yang lebih ringan dan sesuai untuk pancingan dasar air tawar. Ia adalah alternative kepada pemancing yang sudah jemu menggunakan J hook untuk pancingan dasar air tawar. Mungkin anda boleh mencubanya untuk memancing ikan dasar air tawar seperti baung dan lain-lain spesies yang lebih gemar menelan umpan berbanding mengutisnya.
Shiner Hooks
Mata kail ini direka bentuk berdasarkan bentuk udang. Jika anda perhatikannya betul-betul terbukti ia dibentuk seperti udang. Berdasarkan reka bentuk tersebut maka ia merupakan mata kail yang paling efisien untuk menyangkuk umpan udang sama ada udang hidup atau pun udang mati.
Cara penggunaannya juga pelbagai. Sama ada menyucuk ke dalam badan udang melalui bahagian ekor atau menggantung seekor atau lebih udang. Selain itu ia juga sesuai untuk memancing spesies ikan keli atau tongsan yang bermulut luas.
Iseama Hooks
Mata kail yang diperbuatan daripada carbon steel ini dengan warna permukaan yang terang berkilat. Point atau hujung mata kailnya amat tajam dan amat sesuai untuk memancing ikan-ikan yang bermulut tebal dan keras.
Mata kail ini amat sesuai untuk digunakan dengan perambut berangkai dan menjadi pilihan utama untuk pancingan ikan-ikan bermulut kecil seperti rohu atau ikan-ikan bersaiz kecil. Malah ia juga bagus untuk memancing ikan patin dan pacu.
Bream Hooks
Bream hooks sangat sesuai untuk menangkap ikan di laut. Dengan teras pendek dan tempaan keluli tambahan yang kuat menjadikannya sangat kuat. Sepadan dengan namanya juga ia merupakan mata kail utama untuk memancing ikan yang bergigi keras dan berahang kuat seperti ikan kuku dan bayan, yang sememangnya terkenal dengan kekuatan kunyahannya. Ia juga mata kail alternatif untuk memancing ikan yang mampu mematahkan teras mata kail seperti ikan pacu.
Prawn Hooks
Sebagaimana namanya, mata kail ini dicipta khusus untuk memancing udang terutamanya udang galah. Ia dibentuk seperti bilah sabit bagi memudahkan hujung matanya yang halus, nipis dan tajam mudah menembusi mulut udang. Selain udang, mata kail ini juga boleh digunakan untuk memancing ikan-ikan yang tidak kuat melawan atau ikan-ikan kecil.
Aberdeen Hooks
Ia adalah mata kail biasa yang boleh digunakan untuk pancingan ikan air tawar dan air masin yang bersaiz kecil. Ia biasanya diperbuat daripada logam yang lembut dan boleh dibentuk atau diubai suai beberapa kali sebelum kekuatannya menjadi lemah. Walau bagaimana pun ia masih tajam dan mampu memegang ikan dengan baik apabila tercangkuk pada mulut ikan.
KAHLE HOOKS
Keluk pada mata kail ini menjadikannya ideal untuk umpan hidup. Dibuat dari logam yang sama seperti cangkuk Aberdeen, mereka akan membengkok jika digantung di bawah beberapa struktur. Walau bagaimanapun, apabila ikan tertancap padanya, reka bentuk mata kail ini menghalangnya daripada diluruskan.
Faktor Penting Untuk Strike Belukang!!

Ikan belukang adalah jenis marine catfish yang mendiami habitat air masin dan sekitar muara yang berair payau. Ikan yang memiliki pertalian keluarga dengan mayong dan duri ini biasanya menghuni pinggiran laut dengan dasar yang berlumpur atau berbatu. Ikan belukang datang berkelompok dan akan memakan apa saja yang ditemui di sekitar habitatnya.
Sebagai penghuni habitat air masin dan payau, anda boleh menemui ikan belukang ini di laut atau muara sungai. Asalkan penggunaan umpan memancing yang tepat, ikan ini akan dapat dengan mudah dipancing. Boleh dikatakan hampir kesemua spot di pinggir laut dan muara yang memiliki dasar berlumpur dan berbatu boleh dijadikan lokasi memancing ikan belukang.
Boleh dikatakan langsung tidak sukar untuk memancing ikan belukang. Populasinya yang masih banyak, datang secara berkumpulan akan memudahkan anda untuk memancing kelompok ikan ini.
Namun ada baiknya juga jika anda mengambil tahu teknik memancing yang betul. Yang pertama adalah teknik pancingan dasar dengan dua teknik perambut berbeza.
Perambut pertama ialah dengan menggunakan batu hidup atau mati yang membolehkan umpan pada mata kail membuai. Dan keduanya menggunakan perambut apollo 2-3 mata kail.
Meskipun pada asasnya mudah kerana seperti catfish lainnya akan memakan apa saja umpan, ternyata ada umpan yang lebih disukai oleh ikan belukang.
Umpan utama yang paling berkesan berdasarkan pengalaman kebanyakan pemancing ialah umpun-umpun atau ruat nipah. Umpan inilah yang terkenal paling galak dan sangat disukai oleh kelompok keluarga catfish atau ikan-ikan pinggiran laut lainnya.
Jika dibandingkan dengan menggunakan udang mati atau udang kopek, belukang lebih menyukai umpan umpun-umpun. Umpan memancing ikan belukang laina yang juga cukup efektif adalah menggunakan isi kerang. Kerang mentah yang dipakai adalah kerang dara atau kerang bulu.
Sebenarnya bila-bila masa pun anda boleh memancing, ikan jenis ini akan dapat diperolehi. Tetapi, berdasarkan pengalaman, awal pagi dan senja hari adalah waktu yang paling tepat untuk memancing ikan belukang.
Selepas hujan biasanya sambaran akan lebih galak dan saat air laut bergerak pasang atau beranjak surut anda juga boleh mendapatkan sambaran lebih banyak berbanding ketika laut sedang pasang penuh ataa surut habis.
Beberapa pemancing juga mendapatkan sambaran yang banyak ketika pancingan malam. Ikan belukang seperti halnya Catfish lainnya memanfaatkan deria bau penciuman untuk mengesan umpan atau mangsanya.
Ketika ikan belukang mula menyambar umpan anda, segera bersiaplah kerana karakteristiknya yang berkelompok akan memberikan peluang untuk anda mendapatkan sambaran yang lebih.