
SOALAN:
Boleh tak admin buat penjelasan umpan apa yang lebih berkesan dalam memancing sama ada umpan alami atau umpan tiruan?
JAWAPAN:
Tidak dinafikan malah sememangnya diakui penggunaan umpan hidup lebih berkesan berbanding penggunaan umpan tiruan kerana ia adalah makanan ikan atau umpan betul untuk menjerat spesies predator seperti sebarau, baung besar, belida (anak ikan, udang), tenggiri (ikan kembung, tamban) toman (keli, lampam).
Namun, harus diingat penggunaan umpan hidup ada batasnya seperti umpan hidup sukar diperolehi, sukar dibawa ke mana-mana dan mudah mati. Berapa lama anda mampu mengusung dan menjaga umpan hidup sekiranya anda seorang kaki casting tegar yang memancing sehariannya.
Penggunaan gewang adalah revolusi oleh penciptanya yang memikirkan umpan tipu perlu dicipta kerana kaki pancing tidak sebolehnya terus bergantung pada umpan hidup. Mereka telah mengkaji dari segi bentuk, fleksibel renangan, bentuk dan sebagainya sehingga lahirnya pelbagai jenis bentuk, warna, jenama gewang ada di pasaran.
Secara amnya, penggunaan gewang lebih praktikal kerana ia memberi lebih kebebasan kerana tidak perlu membeli umpan hidup, segar, tidak perlu buang masa, cangkuk umpan hidup baru terutama semasa ikan sedang frenzy, tidak berbau, mengotorkan tangan anda, tidak perlu menyediakan bekas besar untuk simpan umpan hidup, boleh dibawa ke mana-mana sahaja serta memberikan lebih liputan kawasan ketika memancing berbanding umpan hidup yang perlu dikarau perlahan.
Walau bagaimana pun tidak sewajar pemancing terlalu taksub terhadap gewang sehingga ada gewang yang dianggap sebagai gewang keramat. Hakikatnya pihak yang untung disebalik sifat mengagung-agungkan gewang ini lebih menguntung syarikat pembekal gewang, bukannya pemancing.
Pancingan Laut Dalam Pahang!!

(Oleh: Wannazir Wanosman)
Apabila hendak memancing trip laut dalam di sebelah Pantai Timur, Terengganulah yang terlintas di fikiran dan telah pun berulang kali dikunjungi.
Apabila ada ahli grup yang mencadangkan perairan Kuantan, agak ‘goyang’ juga untuk setuju.
Kuantan lebih dikenali di kalangan kaki light jigging. Perairan dari Cherating, Kempadang hingga ke Penor menjadi medan bagi jig-jig kecil memperdaya mangsa.
Tapi setelah di ‘racun’ dengan gambar-gambar daripada Whatsapp hasil pancingan yang telah lepas, kata sepakat telah sebulat suara bersetuju untuk komplot.
Kalendar memancing kami tahun ini berubah dengan tidak semena-mena dek silau kemerahan si ikan merah dan pantulan kilau kerapu minyak.
Apa salahnya kita mencuba dilapang sasar yang baru. Cerita merah bagak yang boleh melentur joran pancing ke tahap ‘minum air’ membuatkan kami bersedia dengan peralatan yang agak kasar khususnya tangsi perambut serta mata kail.
Jam 1.30 pagi konvoi kami mula bergerak dari KL. Berhenti rehat seketika di Hentian RnR Temerloh untuk membetulkan urat serta mengisi minyak.
Sekitar jam 4.00 pagi kami tiba di pangkalan Tanjung Lumpur lantas terus mencari wakaf untuk melelapkan mata buat seketika.
Usai berjemaah subuh di surau berhampiran, kami sempat ke pasar pagi di Tanjung Api mencari ikan serta sotong segar untuk stanby umpan.
Mana tahu kadang-kala apabila sampai di unjam, sesi apollo tidak mendapat sambutan. Bila malam pula candat yang dihulurkan dengan harapan ada sotong yang sudi. Itu pun kalau ada sotong.
Sebaik tiba di lokasi pertama, tekong membunyikan hon sebagai isyarat umpan sudah boleh dilepaskan ke dasar.
Borhan yang duduk di bahagian hadapan bot mula-mula mendapat strike. Hujung joran yang melendut-lendut menyerap asakkan hingga mencecah air menandakan mangsa bersaiz kasar.
Kami yang menanti umpan dijamah ikan, memerhati sambil menunggu apakah hasil sulung trip ini yang bakal dinaikkan oleh Borhan.
Seekor kerapu minyak berjaya didaratkan ke lantai bot. Semakin berkobarlah semangat kami.
Selang beberapa minit sahaja, Khalim pula mendapat strike. Di sebelah kiri bot, kelihatan Rizal pula sedang bertarung.
Wah… meriah betul. Beberapa minit sahaja di lokasi pertama 3 ekor kerapu berjaya dipancing.
Saiznya pun boleh tahan besar. Sekitar 15 minit kemudian tekong membunyikan hon 2 kali agar pemancing menaikkan umpan dan bot terus membelah ombak untuk ke lokasi seterusnya.
Lepas dia… dia lagi!
Ini antara situasi yang saya kira pernah dialami semua pemancing. Tidak kiralah sama ada memancing di kolam, tasik, sungai atau laut.
Bila mana ‘mamat’ yang memancing bersebelahan kita, dengan peralatan pancing yang ala-kadar tak henti-henti menaikkan ikan, memang haru jadinya.
Kita yang ‘membangau’ untuk kesekian masa hanya menjeling ‘kepanasan’. Nak kata umpan tak power, tidak juga.
Dengan perambut yang sama, umpan yang sama tetap juga ‘orang sebelah’ yang pacak. Semakin kerap kita menukar umpan, semakin menjadi-jadi pula dia menaikkan ikan.
Bila terjadi suasana begini, apa yang dibuat serba tak kena. Berdiri salah, duduk pun salah. Rokoklah yang sering menjadi mangsa. Lepas sebatang,sebatang dicucuh walaupun belum sampai ke puting sudah dibuang. Jiwa kacau!
Ketika trip ini berlangsung, Khalim merupakan pemancing yang ‘hanyir’. Ikan merah terberat serta kerapu bersaiz besar, dia yang naikkan di samping ikan-ikan lain yang menghuni tongnya.
Bila bot singgah sahaja di mana-mana lokasi pasti jorannya bergegar dan kekili elektriknya menjerit nyaring.
Awak-awak sentiasa berada tidak jauh darinya untuk membantu.
Ini kali dia punya ‘ong’. Akan datang orang lain pula. Kadang-kala kita lupa yang kita sudah pun mengalami situasi lepas aku..aku, suatu ketika dahulu.
Atau mungkin belum pernah mengalaminya sehingga sekarang. Suatu ketika nanti pasti hari ‘menjadi’ menjelang tiba. Allah Maha Adil dalam pemberian rezekinya.
Turun bubu
Ini istimewanya bila memancing menggunakan bot Pok Li ni. Ini kerana botnya bot membawa bubu. Terdapat spot khas untuk diletakkan bubu telah di ‘setting’ dalam GPS.
Apabila hampir dengan kawasan tersebut, awak-awak akan menyiapkan bubu dengan meletakkan umpan ikan-ikan yang telah dicucuk serta batu pemberat diikat kemas di sisi bubu.
Pelampung putih pula diikat di hujung tali sebagai tanda untuk memudahkan pencarian bubu ketika mahu mengangkatnya nanti. Hasil bubu akan diserahkan kepada pemancing.
Tali lekat
Di pertengahan jalan tiba-tiba enjin bot mati. Beberapa kali cubaan menghidupkan enjin tidak berjaya. Tekong mengarahkan awak-awak menyelam untuk melihat kipas bot.
Memang betul kipas telah berbelit dengan tali. Setelah selesai membuang tali, enjin dihidupkan dan kami menyambung kembali perjalanan menuju kapal karam.
Antara spesies yang berjaya ditewaskan seperti ikan merah, kerapu, jemuduk, jebong, kaci serta beberapa ikan lain.
Cuaca juga cantik cuma pada malam kedua angin serta ribut kecil melanda. Bila bot dah bergoyang dan hujan yang mencurah, apa pun tak boleh.
Lebih baik masuk ke kabin dan baring. Langsung terlelap. Sedar-sedar ruang kabin dah ‘penuh’ dengan rakan-rakan yang lena.
Keadaan laut kembali tenang, saya merangkak keluar dan kelihatan di birai bot 2 orang rakan sedang bergasak dengan aruan tasik.
Trip kali ini kami hanya memancing di lubuk kapal karam yang hampir. Menurut Pok Li ada sebuah lagi kapal karam yang jauh tapi tidak dapat dikunjungi kerana kesuntukan masa.
Jika tempoh trip lebih panjang pastinya kami akan melenjan penghuninya.
PENUTUP TIRAI JELAJAH PANCING KUALA LUMPUR 2017

Pertandingan memancing siri Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) bagi edisi keenam yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM28,400 untuk sirkuit terakhir akan bermula Ahad ini di Taman Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur.
Setelah sembilan lokasi siri jelajah diadakan, siri terakhir yang menawarkan dua buah motosikal, dua unit TV 32 inci dan satu bot getah sebagai hadiah cabutan bertuah disediakan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan DBKL, Zaharudin Basiron berpuas hati dengan penganjuran yang masuk tahun keenam itu berjaya menghimpunkan pelbagai bangsa, usia dan penglibatan keluarga yang menjadi penyokong setia.
“Banyak aktiviti sihat boleh dijalankan di taman-taman rekreasi dan pertandingan memancing adalah salah satu yang boleh dilaksanakan,” ujarnya pada majlis melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies di Taman Tasik Ampang Hilir.
Juara pertandingan itu akan membawa pulang wang tunai RM14,000, naib juara RM4,000 manakala pemenang tempat ketiga RM1,000. Pemenang keempat RM400 manakala kelima hingga ke-10 akan menerima RM250 dan pemenang tempat ke-11 hingga 30 menerima RM150. Peserta di tempat ke-31 hingga 50 akan menerima RM100 dan tempat ke=51 hingga ke-80 akan menerima RM50.
Hadiah wang tunai turut disediakan dalam kategori khas ikan keli terberat dan juara menerima hadiah RM400, naib juara RM300, ketiga RM200 dan keempat RM100. Paling menarik hadiah sapu bersih. Yuran pertandingan ialah RM50 untuk sebatang joran dan peserta berpeluang mendapat kira-kira 40 hadiah cabutan bertuah antaranya dua buah motosikal dan tiga buah basikal turut disediakan. Sebanyak 900 helai baju T dan 1300 botol minuman Oishi akan diberikan percuma kepada peserta terawal.
Pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia pertandingan di khemah urus setia, Tasik Ampang Hilir Sabtu ini dari 12 tengah hari hingga 10 Malam dan hari pertandingan sebelum jam 6.30 pagi. Maklumat lanjut boleh menghubungi urus setia di talian 013-3052811, 013-2667011 dan 012-2846811.

Soal Jawab Mancing – Mohon Penjelasan Status Ikan Peacock Bass?

SOALAN:
Saya ada satu kemusykilan tentang ikan PB (peacock bass). Saya tengok kebanyakan pemancing ada yang tak suka ikan PB sampai kat orang yang mancing PB pun diorang tak suka jugak. Apa sebenarnya masalah ikan PB ni admin?
JAWAPAN:
Untuk pengetahuan anda, ikan PB merupakan ikan pemangsa berstatus pendatang. Sebagaimana sifat ikan pemangsa, sedikit sebanyak ia akan menjejaskan populasi ikan tempatan serta ekosistem perairan itu sendiri.
Anda juga perlu tahu setiap spesies mempunyai sifat dan habitat semula jadi (tempat tinggal) yang tersendiri dan ia telah pun dijelaskan secara saintifik. Habitat semula jadi ini merangkumi keseluruhan ekosistem sesebuah kawasan termasuk rantaian makanan, mangsa dan juga pemangsa.
Kesemua inilah yang akan mengekalkan kestabilan dalam sesebuah ekosistem. Spesies pendatang pula ialah apabila satu spesies dari habitat atau ekosistem lain masuk atau menumpang ke dalam habitat yang lain.
Spesies ikan peacock bass dikategorikan sebagai ikan pemangsa. Jadi, ia akan mengganggu kitaran asal sesebuah rantaian makanan di sesebuah habitat kerana keperluan dan nalurinya untuk hidup. Bila pertambahan spesies pemangsa dalam sesebuah habitat, ini akan mengecilkan jumlah mangsa dan tidak keseimbangan akan berlaku.
Ikan spesies pendatang ini bukan hanya berisiko memakan spesies asal sahaja, namun boleh berlaku kepada perebutan sumber makanan. Jika tidak dibendung, maka berkemungkinan spesies asal akan berkurangan dan hilang dari habitatnya adalah amat besar. Mungkin di atas sebab inilah kenapa ikan PB dibenci oleh sesetengah kaki pancing.