Saya penggemar teknik casting air tawar. Apa yang menjadi masalah ialah penggunaan gewang agak kurang praktikal pada waktu malam. Jadi, teknik apa yang sesuai untuk saya mainkan jika mengikuti mana-mana trip memancing di sungai pergunungan?
Ads
JAWAPAN:
Sebenarnya tidak banyak perbezaan teknik memancing pada siang hari dan malam hari. Terutamanya jika anda memancing dengan teknik pancingan dasar. Sebagai contoh, jika anda memancing ikan kelah pada siang hari dengan teknik dasar, teknik yang sama boleh dipraktikkan pada malam hari.
Apa yang perlu diubah mungkin dari segi pemilihan umpan dan juga lubuk. Pada malam hari ikan kebanyakannya keluar dari tengah lubuk dan meronda ke bahagian kepala dan ekor lubuk. Oleh yang demikian, anda haruslah melabuhkan umpan di bahagian luar lubuk.
Ads
Pada malam hari juga penglihatan ikan tidak sebaik pada siang hari. Namun mereka masih mempunyai deria lain untuk mengesan makanan seperti bau dan getaran. Jadi, anda perlulah menggunakan umpan yang lebih berbau dan tidak statik pada malam hari. Umpan berbau seperti umpan tapa dan anak ikan merupakan pilihan umpan yang lebih realistik.
Ads
Sekiranya anda lebih menggemari teknik pancingan mengilat atau casting menggunakan umpan tiruan, maka teknik ini agak kurang berkesan pada hari. Ini kerana kebanyakan ikan pemangsa memburu dengan deria penglihatan. Dan kebanyakan ikan pemangsa ini agak kurang aktif pada malam hari.
Jika anda masih ingin memburunya, bolehlah cuba memancingnya dengan teknik dasar menggunakan umpan hidup.
Saya ada satu perkara nak tanya pendapat admin. Betul ke tenggiri hanya menyambar gewang atau jig yang dikarau laju sahaja? Jika betul, kenapa teknik slow jigging yang mengarau jig secara perlahan pun boleh dapat tenggiri? Mohon admin jelaskan kekeliruan ini.
JAWAPAN:
Saya tidak menafikan malah bersetuju dengan apa yang saudara kemukakan iaitu tenggiri menyambar gewang atau jig yang dikarau laju, dan slow jigging juga boleh dapat tenggiri. Dalam erti kata lain, tenggiri akan menyambar gewang atau jig sama ada dikayuh laju ataupun perlahan. Ia jelas menunjukkan bahawa tenggiri menyambar umpan yang bergerak, bukannya umpan yang pegun.
Selain menyambar ketika gewang sedang dikarau, tenggiri turut menyambar gewang yang sedang jatuh di dalam air. Tentu saja gerakan gewang atau jig yang menjatuh adalah jauh lebih perlahan berbanding gerakan menaik.
Faktor inilah yang kebanyakannya berlaku dalam teknik jigging perlahan. Boleh dikatakan kebanyakan jig disambar ketika ia sedang membuai jatuh ke dasar. Perkara yang sama turut berlaku dalam teknik speed jigging. Yang pastinya tenggiri boleh diperoleh sama ada melalui teknik jigging perlahan atau laju.
Apa saja yang berbentuk atau menyerupai diet makanan yang memasuki kawasan atau lalu di hadapan mata pasti akan disambar tanpa mengira tahap kelajuannya. Hanya hasil dari jenis karauan itu saja yang berbeza. Jika gewang dikarau lebih laju dari renangan ikan maka sambarannya akan kesasar dan singgah tepat pada gewang.
Jika dikarau perlahan dan renangannya lebih laju maka hasilnya tali perambut akan menjadi sasaran gigi tajamnya.
Belut merupakan salah satu spesies yang agak unik. Nak kata ular, bukan ular… nak kata ikan tapi tak sama dengan ikan yang lain.
Dengan bentuk fizikal yang agak panjang dan licin, belut seringkali disalah anggap sebagai ular jika bertembung secara tidak sengaja.
Apa sekalipun, belut mempunyai nilai pasaran yang agak tinggi malah sering mendapat permintaan untuk dijadikan hidangan makanan.
Spesies berbadan licin ini biasanya boleh ditemui di kawasan sawah bendang. Terdapat 2 cara yang biasanya digunakan untuk menjerat belut. Salah satu daripadanya ialah dengan cara memancing.
Biasanya memancing belut agak sukar bagi pemancing yang tidak biasa dengan pancingan belut. Umpan yang boleh digunakan termasuklah perut ayam dan jantung ayam.
Cara memancingnya pula ialah dengan mengenal pasti lubang yang menjadi habitat kepada belut ini sebelum dihulurkan umpan tadi ke dalam lubang belut.
Buat sedikit pergerakan pada umpan untuk menarik perhatian belut. Mata kail bersaiz nombor 2 sudah memadai untuk memancing belut.
Selain cara memancing, belut juga boleh ditangkap dengan menggunakan perangkap yang dipanggil ‘tukil’ yang secara tradisionalnya diperbuat menggunakan buluh.
Saya perhatikan dalam artikel teknik memancing ikan merah jalang tidak dinyatakan umpan dan mata kail yang sesuai. Boleh tak admin ulas sikit tentang ini?
JAWAPAN:
Umpan untuk memancing ikan merah jalang yang paling utama ialah ikan selayang (sardin) untuk siang dan malam dan sotong hidup di malam hari. Bagaimanapun jika jumpa kelompok ikan ini di satu lubuk, apa-apa umpan ikan janji kesegarannya terjamin boleh digunakan.
Umpan boleh dicangkok seekor jika kecil atau dihiris memanjang. Umpan mati terbaik ialah ikan atau sotong belum kena ais. Potong memanjang berjuntai sedikit lebih baik dibandingkan seketul isi dipotong bersama tulang.
Apa yang lebih penting sebenarnya ialah pemancing perlu pastikan agar umpan tidak terbelit dengan tali utama sama ada menggunakan teknik apollo mahupun tanduk. Menggunakan tanduk dapat mengurangkan risiko umpan berpintal dengan tali utama.
Faktor menentukan saiz mata kail biasanya dirujuk kepada saiz ikan yang dipancing. Ikan merah jalang adalah jenis ikan merah memiliki mulut saiz normal seperti ikan jenahak maupun siakap merah.
Jika saiz kurang sekilogram, boleh dipadankan dengan mata kail seperti Gamakatsu nombor 1 atau 2.
Jika saiz menjangkau 3kg ke atas, mata kail nombor 3/0 hingga 5/0. Saya gemar menggunakan gabungan 2 mata kail, kecil nombor di hadapan dan saiz 3/0 atau 4/0 di belakang.
Ikatan perambut tanpa perambut dawai kecuali jika ada pemangsa bergigi tajam mencuri umpan terutama pada malam hari.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...