Pertandingan memancing siri Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) bagi edisi keenam yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM28,400 untuk sirkuit terakhir akan bermula Ahad ini di Taman Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur.
Setelah sembilan lokasi siri jelajah diadakan, siri terakhir yang menawarkan dua buah motosikal, dua unit TV 32 inci dan satu bot getah sebagai hadiah cabutan bertuah disediakan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan DBKL, Zaharudin Basiron berpuas hati dengan penganjuran yang masuk tahun keenam itu berjaya menghimpunkan pelbagai bangsa, usia dan penglibatan keluarga yang menjadi penyokong setia.
Ads
“Banyak aktiviti sihat boleh dijalankan di taman-taman rekreasi dan pertandingan memancing adalah salah satu yang boleh dilaksanakan,” ujarnya pada majlis melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies di Taman Tasik Ampang Hilir.
Juara pertandingan itu akan membawa pulang wang tunai RM14,000, naib juara RM4,000 manakala pemenang tempat ketiga RM1,000. Pemenang keempat RM400 manakala kelima hingga ke-10 akan menerima RM250 dan pemenang tempat ke-11 hingga 30 menerima RM150. Peserta di tempat ke-31 hingga 50 akan menerima RM100 dan tempat ke=51 hingga ke-80 akan menerima RM50.
Ads
Hadiah wang tunai turut disediakan dalam kategori khas ikan keli terberat dan juara menerima hadiah RM400, naib juara RM300, ketiga RM200 dan keempat RM100. Paling menarik hadiah sapu bersih. Yuran pertandingan ialah RM50 untuk sebatang joran dan peserta berpeluang mendapat kira-kira 40 hadiah cabutan bertuah antaranya dua buah motosikal dan tiga buah basikal turut disediakan. Sebanyak 900 helai baju T dan 1300 botol minuman Oishi akan diberikan percuma kepada peserta terawal.
Ads
Pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia pertandingan di khemah urus setia, Tasik Ampang Hilir Sabtu ini dari 12 tengah hari hingga 10 Malam dan hari pertandingan sebelum jam 6.30 pagi. Maklumat lanjut boleh menghubungi urus setia di talian 013-3052811, 013-2667011 dan 012-2846811.
Timbalan Pengarah, Jabatan Kebudayaan Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Suriyani Zakaria (kanan kedua) bersama barisan penaja melepaskan spesies patin.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sudah agak lama juga saya diberi peringatan agar jangan meletakkan ikan yang berjaya dipancing ke tempat panas terdedah secara langsung pada matahari seperti di atas lantai sampan dari seorang tekong. Dan sepanjang tempoh itu tidak pernah sekali pun saya membantah atau mempersoalkannya.
Lama kelamaan, sedikit demi sedikit peringatan itu mula pudar dari ingatan. Begitu juga dengan tekong yang berikan peringatan tersebut pun saya dah lupa. Sehinggalah, peringatan itu tiba-tiba muncul kembali ketika saya sedang memancing udang galah di Bagan Datuh.
Ingatan itu muncul secara tiba-tiba tatkala saya lebih banyak menaikkan ikan duri berbanding udang galah.
Mungkin disebabkan rasa terganggu kerana banyak sangat dapat ikan duri bersaiz sejengkal yang sedikit sulit untuk melepaskannya dari mata kail, ingatan tersebut seperti mendorong saya untuk melakukan sedikit uji kaji.
Saya seperti terdorong untuk melihat apa yang terkesan atau apa impak yang akan berlaku kalau ikan duri itu diletakkan di tempat panas.
Tatkala itu memang panas pun kerana waktu tengah hari. Korang tentu tau macam mana keadaan lantai sampan fiber tatkala panas lit-lit. Nak letak punggung tanpa alas pun fikir dua tiga kali.
Sebelum ingatan itu muncul, saya tidak membawa naik mana-mana ikan duri ke atas sampan pun. Sekadar menggantungnya di tepi dinding fiber sambil menanggalkan mata kail.
Bila mata kail tertanggal maka ikan duri itu pun jatuh kembali air. Tapi bila ingatan itu muncul dan dapat lagi ikan duri, saya pun tak fikir panjang lagi dan terus letak ikan duri itu di atas lantai sampan fiber yang terdedah kepada bahang panas.
Impaknya segera terjadi! Sebaik saja perut ikan duri itu tersentuh lantai sampan, secara mengejut ia meronta dan meloncat-loncat. Ia mungkin tindak balas secara spontan akibat kepanasan.
Ketika bertindak balas terhadap kepanasan itulah salah satu sengat ikan duri tersebut tercucuk tangan saya.
Selepas itu barulah saya faham kenapa saya pernah diberi peringatan oleh tersebut. Tapi nak menyesal pun dah tak guna. Nak tak nak terpaksalah saya tanggung denyutan hampir sejam lamanya.
Boleh dikatakan mencandat sotong di perairan Terengganu, merupakan satu-satunya aktiviti memancing yang bukan sahaja disertai oleh pelbagai kategori pemancing malah disertai oleh sesiapa sahaja walau pun bukan seorang pemancing. Aktiviti ini turut diminati oleh golongan wanita. Malahan peningkatan golongan wanita dalam aktiviti ini saban tahun begitu memberangsangkan.
Tiada kajian khusus kenapa aktiviti mencandat sotong ini begitu diminati ramai meskipun berhadapan dengan kemungkinan mabuk laut, boleh dikatakan hampir kesemua individu yang pernah bercandat sotong, keberangkalian untuk mengulanginya pada tahun berikutan amat tinggi.
Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, saya tidak pernah melepaskan peluang untuk menyertai trip mencandat sotong sekiranya berkelapangan. Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya juga jeti Marang akan menjadi tumpuan ramai apabila musim mencandat sotong. Bermula jam 5.00 petang, puluhan bot nelayan dan memancing yang membawa para pecandat sotong dari setiap pelosok negeri bergerak keluar dari kuala Sungai Marang menuju perairan beberapa batu nautika dari Pulau Kapas.
Saya bersama tujuh orang pemancing lain turut sama dalam `konvoi’ ini. Sekitar jam 8.00 malam, tekong bot melabuhkan sauh di suatu lokasi yang jauh dari spot mencandat yang menjadi tumpuan puluhan bot mencandat lain. Sementara spot pilihan tekong kami ini hanya terdapat beberapa buah bot sahaja namun kami semua menaruh kepercayaan penuh kepada tekong yang sudah puluhan tahun bergelumang dalam dunia mencandat sotong ini.
Sesi mencandat bermula dengan agak perlahan. Justeru untuk memperolehi `lesen’ sedikit sebanyak memberi tekanan khususnya kepada ahli-ahli trip yang belum berjaya. Tekanan kian terasa apabila hujan lebat turun tatkala aktiviti mencandat baharu sahaja bermula. Lebih setengah jam juga aktiviti mencandat tergendala kerana hujan. Namun setelah hujan teduh, perlahan-lahan nasib mula menyebelahi kami. Walaupun tidak berada di kandang sotong dan sekadar dikunjungi `sotong gatal’, ia sudah cukup membuatkan mata kami berjaga sehingga dinihari.
Setelah seorang demi seorang melelapkan mata, sekitar jam 4.00 pagi ditamatkan secara rasmi berikutan arus yang kian laju. Beberapa jam kemudian tekong membongkar sauh dan kami bergerak ke jeti bersama kira-kira 50 kilogram sotong. Biarpun sekadar 50 kilogram, ia sudah lebih dari jangkaan kami berikutan kami lebih banyak bersantai daripada mencandat.
Walaupun sudah 4 tahun kajian dan pertukaran nama dilakukan, namun kebanyakan dari kita masih terbiasa dengan nama binomial ikan kelah merah sebagai Tor tambroides, bukannya Tor tambra.
Dalam kajian terbaru (Walton et al 2015) common mahseer of Malaysia iaitu kelah merah yang selama ini dikelasifikasikan sebagai Tor tambroides telah diganti dengan Tom tambra.
Kajian ini sekaligus merubah nama saintifik kelah merah (semenanjung) dan empurau (Sarawak) yang sekian lama telah digunapakai.
Walaubagaimana pun spesies Tom tambroides tidak dapat dipastikan bagaimana rupanya (inilah yang menjadi persoalan sebenarnya).
Tor tambra atau kelah merah telah menjadi ikon raja air tawar dan sering diburu oleh kebanyakan pemancing.
Gelaran raja air tawar ini disebabkan oleh kesukaran mendapatkannya selain mempunyai nilai yang tinggi sebagai hidangan dan juga perhiasan akuarium.
Ramai juga yang memburu spesies ini pulang hampa dek tamparan kumpau atau ikan tak buka mulut. Jom kita selidik lebih lanjut tentang sang raja air tawar ini.
Ikan kelah atau mahseer merupakan antara spesies bernilai tinggi dan sering menjadi buruan kaki pancing khususnya di negara kita.
Selain mempunyai nilai tinggi dibuat hidangan makan, spesies daripada keluarga kap (cyprinnidae) ini juga menjadi ikan sukan yang sangat popular sehingga digelar ‘Raja Air Tawar’ di kalangan pemancing.
Dalam pengelasan taksonomi, perincian spesies agak sukar dibezakan kerana mempunyai sifat luaran yang hampir sama.
Secara amnya, kelah dikelaskan dalam tiga genus iaitu Tor, Neolissochilus dan Naziritor. Gelaran mahseer biasanya merujuk kepada spesies dalam genus Tor. Di negara kita, spesies kelah merah telah dikenal pasti sebagai Tor tambra atau Malayan mahseer.
Mengimbau ke belakang, spesies kelah pertama telah dihuraikan secara saintifik oleh Francis Buchanan- Hamilton sekitar 1822 iaitu Tor tor (Short-gilled mahseer).
Hamilton juga merupakan penemu kepada spesies T. putitora (Golden mahseer, Himalayan mahseer).
Pada 1833, majalah Oriental Sporting telah menyebut secara khusus bahawa mahseer sebagai ikan cabaran hebat dalam ikan sukan. Sejak itu, mahseer menjadi kegilaan bagi pemancing British di India.
TABURAN SPESIES
Taburan spesies ikan kelah boleh dijumpai di kawasan sungai yang berarus deras dan berjeram.
Kawasan sebegini merangkumi Burma, Thailand, Malaysia, Kemboja, Laos dan Sumatera di Asia. Taburan ikan kelah juga merentasi Asia Tenggara sehingga ke beberapa bahagian di India.
Begitu pun, kebanyakan sistem sungai berjeram termasuk di negara kita semakin rosak lantas mengundang risiko yang semakin tinggi kepada habitat ikan kelah.
Risiko kehilangan habitat secara langsung mengancam kemandirian spesies ikan kelah sehingga dikelaskan sebagai spesies terancam.
Antara penyebab utama terhadap kemungkinan kepupusan spesies ini termasuklah pencemaran sungai, pancingan tanpa kawalan dan juga aktiviti pembinaan yang sering dikaitkan dengan pembinaan empangan.
BIOLOGI DAN PEMBIAKAN
Ikan kelah secara tipikalnya mendiami dan berlegar di kawasan dasar yang berbatu dan berkayu sebagai tempat berlindung di kawasan hilir sungai.
Terdapat juga yang memilih untuk berlindung di kawasan yang lebih luas dan dalam. Ketika musim mengawan, ikan kelah akan bermigrasi atau berhijrah dan berenang melawan arus ke hulu sungai.
Di hulu sungai, ikan kelah akan memilih kawasan sungai-sungai yang lebih kecil untuk melepaskan telurnya.
Musim mengawan ikan kelah berlaku sekali secara puncak dalam setahun. Telur akan dilepaskan dalam kawasan air secara terbuka dan induk kelah tidak akan menjaga anak kelah atau juvenil yang menetas.
Menurut kajian di Thailand, puncak musim mengawan ikan kelah berlaku sekitar bulan Julai setiap tahun.
Ketika musim mengawan, pada bahagian pipi di bawah mata ikan kelah akan kelihatan bintik-bintik halus atau turbecles. Bintik-bintik ini menandakan ikan sedang dalam proses mengawan.
Badan ikan kelah mempunyai bentuk yang agak tirus dimana memberi kelebihan kepadanya ketika berenang melawan arus dan memanjat jeram.
Warna badannya pula bervariasi daripada kuning keemasan sehingga ke warna kemerahan. Sisik di badannya mempunyai warna berkilau dan cantik.
Kelah matang biasanya mempunyai sisik sehingga sebesar duit syiling 50 sen.
Sirip dorsal ikan kelah biasanya agak besar. Pada bahagian mulutnya, ikan kelah atau mahseer dari genus Tor mempunyai bibir median bawah yang lebih tebal.
Bibir ini membezakannya daripada spesies tengas atau kejor (copper mahseer) dari genus Neolissochilus.
Kelah jantan yang matang pula biasanya lebih kecil berbanding kelah betina yang matang.
DIET PEMAKANAN
Ikan kelah bersifat omnivor dan memburu ikan kecil serta serangga hutan sebagai diet makanannya.
Selain itu, ikan kelah juga menjadikan buah-buahan hutan sebagai diet lainnya. Antara buah hutan yang popular menjadi diet kelah termasuklah buah neram, buah ara, buah kepala sawit, serangga kecil dan sebagainya.
JENIS KELAH DI MALAYSIA
Menurut kajian, terdapat beberapa spesies kelah daripada genus Tor di Malaysia iaitu Tor tambroides, T. tambra dan T. douronensis.
Sementara itu, tengas dan kejor juga merupakan spesies daripada keluarga yang sama namun spesies tersebut datang daripada genus Neolissochilus.
Spesies T. tambra yang biasa dijumpai di semenanjung Malaysia juga digelar sebagai kelah merah manakala T. douronensis pula merupakan kelah biru.
Gelaran tempatan kepada kelah merah dan kelah biru berdasarkan warna sisik pada badannya.
Di Sabah, ikan kelah juga digelar sebagai pelian (Tor douronensis) sementara empurau (Tor tambra) merupakan gelaran ikan kelah merah di Sarawak.
Sementara semah di Sarawak adalah spesies Tor duoronensis.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...