Boleh dikatakan mencandat sotong di perairan Terengganu, merupakan satu-satunya aktiviti memancing yang bukan sahaja disertai oleh pelbagai kategori pemancing malah disertai oleh sesiapa sahaja walau pun bukan seorang pemancing. Aktiviti ini turut diminati oleh golongan wanita. Malahan peningkatan golongan wanita dalam aktiviti ini saban tahun begitu memberangsangkan.
Bot nelayan yang digunakan untuk mencandat sotong
Tiada kajian khusus kenapa aktiviti mencandat sotong ini begitu diminati ramai meskipun berhadapan dengan kemungkinan mabuk laut, boleh dikatakan hampir kesemua individu yang pernah bercandat sotong, keberangkalian untuk mengulanginya pada tahun berikutan amat tinggi.
Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, saya tidak pernah melepaskan peluang untuk menyertai trip mencandat sotong sekiranya berkelapangan. Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya juga jeti Marang akan menjadi tumpuan ramai apabila musim mencandat sotong. Bermula jam 5.00 petang, puluhan bot nelayan dan memancing yang membawa para pecandat sotong dari setiap pelosok negeri bergerak keluar dari kuala Sungai Marang menuju perairan beberapa batu nautika dari Pulau Kapas.
IKLAN
Saya bersama tujuh orang pemancing lain turut sama dalam `konvoi’ ini. Sekitar jam 8.00 malam, tekong bot melabuhkan sauh di suatu lokasi yang jauh dari spot mencandat yang menjadi tumpuan puluhan bot mencandat lain. Sementara spot pilihan tekong kami ini hanya terdapat beberapa buah bot sahaja namun kami semua menaruh kepercayaan penuh kepada tekong yang sudah puluhan tahun bergelumang dalam dunia mencandat sotong ini.
IKLAN
Sesi mencandat bermula dengan agak perlahan. Justeru untuk memperolehi `lesen’ sedikit sebanyak memberi tekanan khususnya kepada ahli-ahli trip yang belum berjaya. Tekanan kian terasa apabila hujan lebat turun tatkala aktiviti mencandat baharu sahaja bermula. Lebih setengah jam juga aktiviti mencandat tergendala kerana hujan. Namun setelah hujan teduh, perlahan-lahan nasib mula menyebelahi kami. Walaupun tidak berada di kandang sotong dan sekadar dikunjungi `sotong gatal’, ia sudah cukup membuatkan mata kami berjaga sehingga dinihari.
IKLAN
Setelah seorang demi seorang melelapkan mata, sekitar jam 4.00 pagi ditamatkan secara rasmi berikutan arus yang kian laju. Beberapa jam kemudian tekong membongkar sauh dan kami bergerak ke jeti bersama kira-kira 50 kilogram sotong. Biarpun sekadar 50 kilogram, ia sudah lebih dari jangkaan kami berikutan kami lebih banyak bersantai daripada mencandat.
Trip mancing ini sebenarnya dah lama tapi saja nak up sebagai kenangan antara kami berlima. Berbeza dengan trip yang pernah hadapi, trip ini adalah yang mencabar buat kami berlima. Bukan mencabar sebab menghadapi ribut, tetapi kami berhadapan dengan keadaan air laut permukaan umpama cermin… tiada angin panas terik dengan arus yang tidak bergerak.
Walau bagaimana pun kami dengan sedaya upaya memujuk ikan dasar atau sedap panggil ikan sisik. Sememangnya ikan sisik menjadi spesies sasaran utama setiap kali kami berjigging di Port Dickson.
Pembuka selera seawal pagi Abam Mie Nderk dapat menjinakkan si baracuda anggaran sekilo lebih.. ia sedikit sebanyak buat kami bertambah semangat. Sangkaan kami meleset, tiada sekor ikan selepas itu yang dapat kami pujuk terutama ikan dasar.
Menyedari situasi yang amat kurang memberangsangkan, skipper tersohor Shariman Are-pex mengambil keputusan drastik mengubah teknik pancingan apung.
Kami berlima seolah-olah menjadi pekerja part time membersihkan sampah sarap di permukaan laut, hasilnya sangat memberangsangkan. Ikan pecah periuk atau ikan patipok berjaya kami daratkan dengan keadaan agak kelam-kabut sedikit, kami berlima strike serentak.
Selepas habis mengerjakan ikan patipok kami bergerak menuju ke arah lain pula. Trit… trit… trit… bunyi menandakan ikan berada di dasar laut. Kami meneruskan teknik jigging, namum si talang yang menyambar jig. Hafizuliz Amri Ariffin berjaya memujuk saiz talang raya yang sangat besar.
Manakala saya jugak berjaya memujuk talang menggunakan set light jigging, memang osem kena buli teruk (jangan kecam abam). Hahahha.
Sesi petang pula kami mencari spesies senangin. Sekali lagi Abam Mie berjaya menjinakkan senangin bersakala 3kg. Situasi yang lucut… rabak jig sangkut tidak terkira.
Akhirnya saat kecemasan Shahrul Nizam berjaya menaikkkan baracudda bersakala 6kg. Kami semua gumbira…. hahahaha.
Biarpun hasil tidaklah seberapa namun ia tetap menggembirakan kami. Kalau nak kira ia satu hasil yang padu juga jika nak dibandingkan dengan factor air pada hari tersebut. Kalau kumpau sekali pun ia tetap menggembirakan kerana bukan selalu kami dapat mancing bersama.
Cuaca agak baik pada pagi itu dan selepas hampir 1 jam perjalanan kami sampai ke satu spot yang diperkatakan tekong Ruby merupakan spot panas untuk trolling. Tanpa membuang masa, kami semua melabuhkan set trolling dengan mengenakan gewang yang sinonim dengan kaedah ini antaranya ialah Halco Sorcerer dan Rapala Deep Tail Dancer.
Tidak sampai 30 minit menunda, joran Juslin di bahagian hadapan bot mengeluarkan tali tanpa henti diringi deringan drag dari Penn Fierce 4000. Riuh sekejap apabila GT seberat hampir 2kg berjaya dinaikkan menggunakan gewang Halco Sorcerer sebagai first catch kami pada trip ini.
Sesampainya kami di satu spot karang yang kedalamannya tidak sampai 10 meter, sekali lagi kami dikejutkan dengan deringan drag dari Ajiking Airmax 2000 milik Hasnor yang berjaya menaikkan kerapu dengan gewang TDD9 Parrot yang merupakan spesies wajib di kawasan karang.
Kami berpindah ke spot seterusnya untuk pancingan bottom disebabkan angin yang semakin kuat memaksa kami untuk berlindung di balik pulau. Berumpankan udang hidup, berbagai-bagai jenis ikan berjaya dinaikkan dengan menggunakan skill Beluran bak kata Azrul.
Disebabkan hujan renyai mula turun, kami semua terus berlabuh ke Pulau Jambongan untuk berteduh. Sebaik sahaja hujan reda, pemancing-pemancing yang masih lagi bertenaga terus mengenakan set casting untuk menduga pemangsa di bahagian jeti Pulau Jambongan.
Rakan penulis yang dari tadinya senyap menghendap baby GT akhirnya mendapat sambaran daripada ikan rare iaitu spesies flathead atau ikan baji menggunakan gewang Storm Thunder Crank. Dua ekor barracuda, seekor baby GT, 2 ekor Kerapu dan 3 ekor tetanda hasil casting tidak sampai 1 jam di jeti sahaja sudah menunjukkan bahawa perairan di sekitar Sandakan masih lagi terpelihara.
Trip Repeat
Tepat jam 8.00 pagi, bot bergerak menuju ke satu takat yang dianggarkan sedalam 60 meter untuk pancingan dasar. Kebetulan kami terserempak dengan satu bot nelayan, kami sempat meminta sedikit bekalan umpan untuk pancingan dasar nanti.
Sesampainya di spot, kami semua melabuhkan umpan sotong yang baru diperoleh tadi. 10 minit berlabuh, akhirnya joran Juslin digetu oleh sang dasar. Dengan tarikan kurang agresif akhirnya Juslin berjaya menaikkan kerapu seberat hampir 600 gram.
Selepas aksi memancing hambar selepas itu, kami sepakat berpindah ke muara sungai untuk sesi trolling dan casting. Tidak lama menunda di satu kawasan anak sungai, kekili Pioneer Altitude Prestige milik Hasnor berdesing memuntahkan tali mengejutkan pemancing yang lain di atas bot.
Hampir 3 minit pertarungan, GT dianggarkan 1.5kg berjaya dinaikkan menggunakan gewang Storm Thunder Crank warna clown. Walaupun menggunakan set yang agak heavy, kehebatan GT melarikan diri masih berjaya membuatkan Hasnor kelam kabut meleraikan pertarungannya.
Tiba-tiba kami semua dikejutkan dengan aksi Juslin dengan set castingnya di hadapan bot dengan gewang ekonomi Bakau Jointed Red Headnya yang disedut dengan bunyian boof!. Tidak sampai 5 saat pertarungan, gewang Juslin melompat di atas air. Rabut. Terkejut kami setelah gewang ditarik split ring dan treble hook gewang beliau hilang entah ke mana.
Ujar tekong, kes patah split ring dan hook ini mungkin disebabkan angkara siakap atau selungsung, nama panggilan orang Sabah yang cukup terkenal dengan sifat rakusnya.
Juslin yang tidak berputus asa kembali melontarkan gewang yang sama ke satu suak kecil disambut kasar penghuni bakau. Akhirnya setelah puas mengepam kekili Pioneer Karman 2000 akhirnya seekor siakap merah seberat 2 kg yang merupakan siakap merah tunggal kami pada trip ini.
Azrul yang dari tadi senyap terus mendapat sambaran daripada baby kerapu di satu suak menggunakan gewang Salmo Butcher warna Fire Tiger.
Sedang asyik casting dan trolling, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Berkat pengalaman tekong Ruby yang tahu selok-belok kawasan sungai telah membawa kami ke satu kawasan teduhan di tepi bukit menunggu hujan reda.
Selepas hujan reda, sesi trolling diteruskan menuju ke arah laut dalam perjalanan pulang ke Jeti Beluran. Hampir 1 jam menunda tiada hasil, akhirnya sekali lagi joran Daiwa Palie bengkok menahan larian ikan.
Pertarungan hampir 3 minit hingga ke bawah bot, akhirnya sekali lagi gewang Strike Pro Alpha Minnow 95 Red Head berjaya mendaratkan seekor barracuda bersaiz kasar, dianggarkan seberat 3kg. Bahagian belakang bot dimeriahkan lagi dengan kerapu yang dinaikkan tekong menggunakan Rapala TDD9 Parrot.
Juslin yang memulakan trip kami dengan ‘first catch’ GTnya menggunakan gewang Halco Sorcerer sekali lagi mengakhiri trip ini dengan menggunakan gewang Halco Sorcerer yang berjaya menaikkan seekor barracuda anggaran seberat 2kg selepas hampir 2 jam kami menunda.
Dengan selamatnya barracuda dinaikkan ke atas bot, berakhirlah trip newbies yang betul-betul memberi seribu macam kenangan manis buat kami yang pertama kali menduga penghuni air masin ini.
Penulis dijemput menyertai trip yang dikelolakan oleh Johari Jamil selaku head tester daripada Team Expert Graphite yang terdiri daripada Faizal Nizam, Kaizer, Firdaus, Hidayat, Ajid Wagas dan Diana dengan misi menguji produk terbaru iaitu rod dan kekili keluaran Expert Graphite.
Usai mendarat setelah dua jam menaiki kapal terbang dari Semenanjung, kami dijemput oleh Tekong Haji Nasir dan dibawa menginap di apartmen yang diuruskan olehnya tidak jauh dari Jeti Labuan.
Apartment milik Haji Nasir ini memang disediakan khas untuk pemancing yang menggunakan khidmat beliau. Masa yang ada, kami menyiapkan semua peralatan memancing sebelum berjuang keesokan paginya.
Spot Karang Luas
Seawal jam 4 pagi kami bersiap untuk turun ke jeti memandangkan pertukaran masa di Labuan lebih awal berbanding Semenanjung. Kami mula bergerak ke spot pertama iaitu kawasan karang luas.
Jarak pancingan sejauh 35 batu nautika mengambil masa satu jam bersandarkan enjin bot kembar 115 kuasa kuda. Menurut Haji Nasir, target utama di sini spesies kerapu sunuh dan kerapu bara. Jig yang disarankan sekitar 40 g – 80 g.
Tiba di spot karang luas, kami mulai mengunjun jig. Tidak menunggu lama Hidayat mendapat sambaran pertama iaitu kerapu bara berskala 1kg dengan padanan rod Expert Graphite Independence kekuatan pe 2.5 dengan teknik slow jigging.
Tidak lama, Kaizer dan Firdaus pula mendapat sambaran di spot yang sama. Ternyata kawasan batu karang ini penuh dengan spesies kerapu. Teknik slow jigging dengan menggunakan jig 40g hingga 60g amat efektif di sini.
Sedang saya tekun mengunjun jig besi di bahagian hadapan bot, kedengaran suara riuh rendah di belakang bot. Rupanya Johari Jamil mendapat sambaran padu yang datang dari dasar. Kelihatan di permukaan air seekor ikan kerapu anggaran 5 kg yang agak jarang ditemui.
Menurut Tekong Haji Nasir, spesies ini dikenali sebagai kerapu pulut oleh penduduk tempatan dan ikan ini tergolong antara ikan gred A selain harganya agak mahal di pasaran. Tidak beberapa lama selepas itu, Firdaus pula menerima strike daripada spesies sama dengan anggaran berat 2 kg.
Setelah seharian mengunjun jig, hasil tangkapan kami amat memuaskan dengan tangkapan kerapu bara dan kerapu tikus memonopoli hasil tangkapan. Jam sudah menunjukkan pukul 5 petang, lantas tekong bersuara menyarankan kami untuk pulang ke jeti dan meneruskan aktiviti memancing pada keesokan harinya.
Spot Kapal Karam
Keesokannya, tekong membawa kami ke spot berdekatan pelabuhan iaitu kawasan kapal karam. Di sini target utama kami ialah kerapu ‘tong gas’. Tekong menyarankan kami melepaskan jig besi setelah hon bot dibunyikan untuk mengelakkan jig tersangkut di atas kapal karam ini.
Setelah mendapat kedudukan yang sesuai, Faizal Nizam menjadi orang pertama mendapat tarikan padu daripada dasar. Selang beberapa minit, seekor kerapu anggaran 2 kg tewas menyerah diri. Sang kerapu nampaknya tidak berdaya melawan padanan rod Expert Graphite Mirage PE 0.8 – 1.5.
Setelah kami jauh berhanyut dan tiada sambaran daripada penghuni dasar, tekong menyarankan kami berpatah balik kepada kedudukan asal tadi. Selang beberapa minit jig kami mencecah dasar, tiba-tiba seorang demi seorang mendapat tarikan padu.
Tidak semena-mena, bagai pesta suasana kami di atas bot apabila triple strike berlaku. Firdaus mendahului dengan ebek kapak berskala 9 kg hasil padanan rod pink Expert Graphite Genius PE1-3 diikuti oleh Hidayat dan Johari Jamil.
Masing-masing mendapat strike daripada ebek kapak yang cukup terkenal dengan larian spool outnya. Setelah berhempas pulas bertarung, kelihatan wajah kepuasan terpancar pada setiap team Expert Graphite ini. Hasilnya, sebanyak 8 ekor ebek kapak tewas pada hari itu tanpa sebarang masalah. Terbuktilah jenama mampu milik ini tidak kurang hebatnya dan ternyata lasak sepanjang trip di Labuan ini.
Jam menunjukkan tepat pukul 1 petang, menandakan tamatnya aktiviti jigging setengah hari kami di perairan Labuan. Meskipun hanya sehari setengah di perairan Labuan, namun pengalaman bertarung dengan spesies ikan di sini sememangnya satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan.