Setiap tahun pasti ada permintaan daripada teman-teman agar mengadakan ekspedisi memancing di Sabah.

Kata mereka, sekali sekala kena tukar selera sambil menambah lagi bilangan koleksi ikan yang pernah dipancing.

 

Dunia tanpa sempadan hari ini menjadikan kaki pancing seluruh negara dapat berhubung dan bertukar informasi dengan cepat dan mudah.

Terpisah oleh Laut China Selatan, bukanlah satu halangan. Semuanya biasa diatur kemudahan perhubungan telefon, SMS, e-mel, facebook dan sebagainya.

Lantas, urusan tempahan bot dan persiapan telah diaturkan oleh kenalan dari Sabah. Kami pula hanya perlu menguruskan urusan tiket dan pengangkutan dari semenanjung.

Semudah 1,2,3 tapi lecehnya pasal ‘extra luggage’ dan masalah birokrasi syarikat penerbangan semakin ketara.

 

Perjalanan Bermula

 

Hari yang ditetapkan seramai 8 orang pemancing dari semenanjung menaiki pesawat paling awal.

Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kami terus dibawa oleh kenalan dari Sabah menuju ke jeti, berdekatan Pasar Filipina memandangkan bot sudah menunggu.

 

Ketika menaiki Bot Clipper, iaitu antara bot pancing terbesar di Kota Kinabalu yang boleh memuatkan seramai 14 kaki pancing dalam satu-satu masa tanpa masalah.

Bot besar dengan kabin berhawa dingin memudahkan kami berehat sewaktu 6 jam perjalanan menuju destinasi.

 

Sasaran utama trip kali ini ialah ikan ajiaji. Masing-masing ingin mencatat rekod ‘personal best’ untuk ikan aji-aji yang terkenal di Sabah.

Walaupun saiznya tidak sehebat ikan dalam keluarga aji-aji di New Zealand, setidak-tidaknya ia boleh menarik keluar tali dari kekili tanpa sebarang masalah!

 

Kerana ikan inilah juga, ramai pemancing sengaja mencari masalah iaitu bertegang urat lengan dan leher asalkan berjaya mendapat ikan idaman.

Biar ia ‘muntahkan’ tali dan lenturkan joran bagai nak rak! Janji puas hati. Joran jigging aksi sederhana dengan PE1 hingga PE 5 sudah kami kenal pasti paling optimum bergasak dengannya.

 

 

Tiba di lokasi, jig segera diturunkan sehingga mencecah dasar. Lantas henjutan demi henjutan dilakukan untuk menarik minat aji-aji di bawah laut sana.

Pelbagai jenis, warna dan saiz jig dihenjut namun sambutan adalah suram sekali. Mungkin masih awal petang lagi kami membuat andaian.

Yang penulis boleh puji ialah kekuatan stamina yang di miliki oleh geng pancing Sabah ketika jigging. Tenaga dan stamina mereka cukup mengujakan.

 

Jigging Sambil Pancing Dasar

 

Beberapa ekor kerapu dan merah kecil menjadi hiburan kaki dasar. Cuma Zul lebih beruntung apabila seekor kerapu dewasa menelan umpan sotong yang dilabuhkan.

IKLAN

Kagum melihat geng Sabah ini yang boleh jigging berterusan tanpa menunjukkan tanda-tanda keletihan atau kehampaan apabila tiada sambaran.

 

Yang memancing dasar juga kurang hasil tidak seperti kebiasaan. Aji-aji pertama tangkapan Pok Mud’s anggaran 3 kg memulihkan kembali kekuatan yang kian pudar untuk ramai kaki jig kembali beraksi.

Serangan aji-aji tidak lama mungkin ia menyambar ketika laluan aji-aji tepat dengan unjun jig.

Omar menjadi orang kedua tersenyum apabila joran Jigging Master PE3-PE6 yang dipadankan dengan Shimano Stella 10000 menerima sambaran aji-aji kedua.

 

Itupun setelah beberapa jenis dan warna jig ditukar ganti. Kegelisahan akhirnya terpadam tatkala saat matahari mula hampir terbenam apabila beberapa ekor aji-aji mula tumpas di tangan kaki jigging yang rajin mengunjun jig.

Labuk, Sham dan Ajeem adalah kaki jigging yang paling rajin menghenjut jig dan setiap usaha mereka ada imbuhannya.

 

 

Rangka Strategi

 

Kami berhenti memancing sambil bersembang ketika menikmati makan malam. Bertukar cerita dan merangka pelan aktiviti memancing untuk keesokan hari.

Yang pasti selain cuaca yang tidak begitu mesra alam, faktor arus lemah (seolah tiada arus sama sekali) turut menyumbang kepada mood ikan di dasar yang negatif mahu menjamah umpan.

 

Ada yang memilih untuk berehat di kabin dan sebahagian kami memilih untuk sambung aktiviti memancing. Letih jigging kami menukar tumpuan memancing dasar pula.

Memancing dasar pada waktu yang tiada arus membuatkan pemancing lebih banyak termenung, terduduk, terperosok mencari tempat redup daripada tiupan angin, setiap getuan terjadi pada selang masa agak lama.

 

Menunggu dek ikan yang tiada berselera dengan umpan selayang dan sotong membuatkan penulis hampir melelapkan mata.

Tetapi saat lelap mata itu terganggu apabila kekili milik Pok Mud’s menjerit lagi. Rupanya umpan selayang yang dihanyutkan menerima sambaran. Hasilnya seekor tenggiri 5 kg tumpas.

IKLAN

 

Menyedari kehadiran tenggiri kami mula tukar strategi dari memancing dasar ke pertengahan dan bawah permukaan air.

Pada saat itu masing-masing semuanya merasa sambaran tenggiri dan paling besar tangkapan Pok Mud’s dalam anggaran 9 kg.

Anehnya tenggiri tidak terpedaya dengan jig yang kami hulurkan pada malam itu. Ia lebih gemar membuat sambaran pada selayang kaku di bawah permukaan air.

Ah! Tak kisahlah apa cara dia makan, janji kami semua puas melayan tenggiri yang gadang-gadang saiznya.

 

Menjelang awal pagi tenggiri mula menyepi, tapi geng Sabah ini pulih kembali tenaga untuk kembali jigging.

Syam membuka tirai awal pagi kedua apabila jig baru dilabuhkan menerima sambaran padu sebaik sahaja jig dihenjut dari dasar.

Menyedari dan kami dapat teka apa spesies yang membaham jig tersebut, joran jigging yang tersadai semalaman dicapai kembali.

Sah aji-aji dikesan berlegar di bawah bot kami pada kedalaman 120 meter.

 

 

Tatkala Syam masih lagi melayan kerenah aji-aji, Plabuk dan Zul turut mengena sasaran.

Ketiga-tiga beradik kaki pancing tegar dari Ranau ini bagai enggan mahu mengalah antara satu sama lain.

Seolah-olah diatur pula apabila Syam selaku abang sulung mendapat sambaran dan kemudian diikuti kedua beradiknya.

 

Saiz aji-aji kali ini lebih besar daripada petang hari pertama. Ini sudah baik, masing-masing mula memasang angau nak cari yang lebih dari yang lain.

Cuma saya yang dah berusia dengan jigging memberi ruang buat yang muda. Puas dan teruja melihat anak muda ini happy dengan hasil pancing mereka.

Apa yang saya perhatikan, rakan saya, RO masih belum jumpa lagi aji-aji buruannya dalam hidup. sedangkan yang lain dah memuatkan ikan aji-aji di dalam koleksi album peribadi.

Yang pasti beliau tidak cepat mengalah dan tetap jig walaupun belum menemui sentuhan kalbunya lagi.

IKLAN

 

Pindah Lokasi

 

Bot berpindah spot apabila aji-aji kembali sunyi sebaik sahaja matahari meninggi. Yang berjaga malam masuk beradu dan yang masuk shift siang membuat persiapan memulakan sesi hari kedua.

Penulis memilih untuk merehatkan badan di kabin berhawa dingin dan merancang untuk memancing pada sebelah petang.

Ketiadaan arus masuk hari kedua juga menjadi penyebab utama pancing dasar tidak begitu mengujakan.

 

Masing-masing bersetuju untuk menunggu lewat petang dan malam hari untuk mencari peluang memadam rekod aji-aji peribadi sebelumnya.

Bila waktu petang tiba, masing-masing mula mengambil tempat. Joran dasar rataratanya sudah disimpan kerana sambutan yang diterima hanyalah anak-anak ikan sahaja.

Aktiviti jigging sahaja ditumpukan berdasarkan ikan lebih berminat menyambar objek yang bergerak tatkala air kekat.

 

Seperti kebiasaan tiga beradik Sabah ini terlebih dahulu strike. Kerajinan mereka menjadi titik tolak yang lain untuk turut sama berjigging.

Bunyi kekili berteriak kasar memeriahkan lagi suasana untuk merasai kepuasan dengan membuat masalah dengan aji-aji.

Semua ini tidak berpanjangan kerana serangan aji-aji hanya seketika dan sepi bila perubahan pasang surut terjadi.

 

Kemudian malam menjelma, kami sekali lagi menyasarkan kepada tenggiri. Malam kedua tenggiri lambat ‘panas’ apabila gerombolannya mula menyambarumpan melewati tengah malam.

Ramai ketika itu sudah dibuai mimpi, kecuali Midie, Ann, Ajeen serta Zaba yang tahan bersengkang mata menunggu kehadiran tenggiri. Untungnya penggunaan umpan dan jig kedua-duanya berkesan ketika itu.

 

Tapi masalah timbul waktu ini kerana sewaktu semuanya strike serentak, tiada siapa yang membantu menggancu ikan.

Disebabkan kedudukan bot yang tinggi, banyak tenggiri lucut dan putus sewaktu ingin dinaikkan. Ikan semakin galak dan ramai yang turut menyertai sesi pancing menjelang masuk Subuh.

 

RO yang dah masuk hari ketiga masih belum menemui sentuhan turut mencuba nasib di hari terakhir.

Lazimnya Syam akan membuka tirai diikuti oleh Zul dan Labuk. Masing-masing tahu waktu aji-aji bakal hentam jig. Akhirnya strike kedua diterima RO barulah aji-aji idamannya tewas kerana sebelumnya ikan lain yang menyambar unjunan jig beliau.

Bila semua merasai ikan buruan, kami memberi isyarat pada tekong untuk menamatkan misi trip Sabah kali ini.

 

 

Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!

Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan

Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI