Nama Team Lan Lubuk (TLL) satu nama besar dalam industri dunia pemancingan kolam di Malaysia.
Walaupun sering bertukar ahli namun semangat untuk terus berbakti dan menabur ilmu buat para pemancing baru khasnya dalam mempelajari tektik dan teknik untuk memujuk si
penghuni kolam maka dengan itu saudara Mohd Mazlan atau dikenali dengan nama Lan Lubuk terus mengorak langkah menyahut cabaran.
Bertempat di kolam pancing Man Ampang Batu 18 Hulu Langat, satu acara komplot telah diadakan untuk memberi semangat di samping memberi peluang kepada para sahabat lain mempelajari serta memantapkan ilmu dalam menjinakkan ikan.
Ads
Dengan adanya acara sebegini maka tak hairanlah, para pemancing nampak cukup gembira seperti adik beradik dengan gelak tawa. Inilah silaturahim yang diterapkan.
Dengan mendapat tajaan dari Kedai Umpan Pacak selaku penganjur bersama Kolam Pancing Man Ampang dan para sponsor seperti kedai pancing Joran Kita, Abg Mie Catering dan lain-lain.
Ads
Seawal jam 8.00 pagi seramai hampir 60 peserta sudah berkumpul dan mendengar taklimat ringkas mengenai acara yang bakal berlangsung. Satu demontrasi menyediakan umpan memancing juga diadakan.
Dan jam 9. 30 pagi bermulalah mini game bagi merebut hadiah wang tunai, barangan pancing dan satu rod custom CRS dari air tangan saudara Ikan Darat.
Ads
Nampaknya komplot kali ini puluhan spesies patin berjaya didaratkan. Ini membuktikan Kolam Man Ampang mempunyai ikan yang mencukupi di mana semua peserta berjaya mendaratkan ikan. Game ini ditamatkan jam 4.30 petang.
Rezeki TLL dinobatkan sebagai juara dengan tangkapan Patin 8.45 kg. Tempat kedua saudara Asrol patin 8.1 kg dan ketiga saudara Road Runner patin 7.3 kg.
Seterusnya sesi penyampaian hadiah diadakan dan sesi bergambar utk dijadikan kenangan sebelum kami berangkat pulang.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Nama Clearwater Sanctuary Golf Resort atau lebih dikenali dengan nama singkatan CWS yang terletak di Batu Gajah, Perak bukanlah lokasi asing lagi buat kaki pancing. Bekas tapak lombong bijih timah melebihi 1000 ekar ini ternyata masih menyimpan pelbagai khazanah ikan air tawar yang boleh dijadikan buruan kaki pancing Malaysia.
Sebelum ini telah dipaparkan serba sedikit mengenai kelab golf berkonsepkan resort yang dikelilingi kawasan bekas tinggalan lombong ini. Pada kunjungan terdahulu, ujian lapangan Team Umpan tidaklah begitu memberangsangkan. Hanya beberapa ekor PB bersaiz juvenil dan rohu yang masih dalam peringkat pembesaran diperolehi.
Jadi, melalui kunjungan kali kedua ini, ianya lebih menumpukan kepada melihat sejauh mana perubahan resort ini sewaktu kunjungan kali pertama dahulu dibandingkan dengan masa kini dan pada masa yang sama juga ingin melihat perkembangan populasi ikan-ikan yang masih menghuni bekas-bekas lombong yang dulunya diberitakan menyimpan 1001 khazanah bernilai.
Biarpun resort ini lebih menjurus ke arah port lepak kaki golf, namun boleh dikatakan ramai juga kaki pancing yang menjadikan resort ini sebagai lokasi percutian tetap bersama keluarga. Alang-alang dah cari tempat bercuti, kawasan sebegini yang biasanya dijadikan sasaran utama kaki pancing.
Iyelah, kata orang sambil menyelam, minum air! Dapat bawa ahli keluarga bercuti satu hal, dapat baling joran pun dah kira bonus. Apatah lagi bila dapat baling joran dari balkoni bilik je. Memang mengasyikkan!
Melihat kepada aspek perubahan, boleh penulis katakan tidak banyak yang berubah di CWS ini. Hampir kesemua dekorasi lama masih dikekalkan dan tiada penambahan fasiliti baru yang dapat dilihat.
Mungkin yang berubah hanyalah kayu-kayu di balkoni yang mulai reput dan tidak begitu stabil berbanding kunjungan beberapa tahun lepas. Diharap pihak pengurusan mengambil berat akan isu penyelenggaraan ini agar resort ini masih kekal relevan untuk dijadikan sebagai kawasan percutian popular negeri Perak.
Wilayah PB
Beralih kepada potensi pancingan, ternyata lokasi ini masih berbisa kepada kaki pancing. Biarpun ia kini dikuasai hampir sepenuhnya oleh spesies pendatang iaitu Peacock Bass atau PB, namun bagi kaki casting yang gemar melayan pemangsa rakus ini pastinya akan kerap berkunjung ke sini untuk memperbaharui rekod masing-masing.
Jika kunjungan terdahulu hanya mampu memperoleh PB bersaiz juvenil sahaja, kini PB bersaiz mama sudah semakin mudah diperolehi. Saiz 30cm – 50cm memang semakin banyak didaratkan kaki pancing. Ikan-ikan lain seperti rohu, jelawat, kaloi, lampam, haruan, toman dan temoleh juga masih terdapat di sini.
Namun, faham-faham sajalah, bila kawasan sudah dikuasai sepenuhnya oleh spesies pendatang, pembiakan ikan-ikan asal di sini semakin kurang berbanding sebelumnya. Namun, berita baiknya, spesies-spesies ini sudah mula mencapai saiz aboh! Ikan rohu misalnya, sudah mula menjangkau berat belasan kilogram!
Dan sewaktu kunjungan kami ini, diberitakan ada pemancing yang berjaya menaikkan temoleh bersaiz 30 kg sehari sebelum kami tiba. Entah benar atau tidak, itu tidak dapat dipastikan kerana ia diceritakan sendiri oleh pekerja resort ini.
Apa yang pasti, potensi pancingan di CWS ini memang masih relevan kepada kaki pancing. Kawasannya yang mendamaikan dengan harga yang berpatutan sememangnya menjadikan CWS Golf Resort sebagai salah satu lokasi percutian yang sesuai untuk kaki pancing datang bersama keluarga serta ingin menenangkan fikiran dan lari jauh dari hiruk pikuk belantara konkrit.
Satu komplot casting yang dianggap paling ramai disertai oleh ahli MAG dan rakan lain telah berlangsung di sebuah tasik buatan manusia milik Mukah Power Generation (MPG).
Tiba hari yang dinantikan, seawal jam 6 pagi, saya telah terpacak di depan gate waterpump MPG seperti mana yang telah dijanjikan. Memandangkan masih awal dan belum ada ahli komplot yang sampai, saya telah mencapai set ringan untuk mengilat bulan di sebuah tali air bersebelahan dengan tempat kereta saya parking. Beberapa sambaran diterima dari bulan, tetapi rabut.
Setelah menukar gewang ke Rapala Ultra Light Minnow 4cm FireTiger, seekor ikan bulan dapat didaratkan. Selepas mengambil gambar, ikan tersebut berjaya dilepaskan semula dengan selamat ke habitat asalnya.
Rombongan ini tiba disertai oleh beberapa orang rakan caster dari Bintulu. Setelah bersalaman dan berkenalan, kami pun terus mencapai joran yang telah tersedia untuk mengilat sang bulan yang makin galak bermain air sementara menunggu rakan caster dari Kuching dan Sibu datang.
Setelah sebilangan besar para ahli komplot pada hari tersebut hadir, maka sedikit penerangan telah saya buat berkenaan komplot pada hari tersebut. Ahli komplot seramai lebih 20 orang telah bergerak dalam 3 kumpulan kecil ke spot mengilat yang telah dikenal pasti.
Kumpulan pertama yang terdiri daripada River Barra, AdieZul, Sanip Noh, Uncle ‘Burn’, Frank Joseph dan beberapa orang lagi memilih spot Culvert. Acara mengilat dilakukan secara ‘landbase’ sahaja. Manakala Pak Anjang menghantar kumpulan saya ke spot Tanjung.
Tidak menunggu lama, Adie Zul yang beberapa kali sudah membuat kunjungan ke sini, mendapat lesen pertama MJ beliau. Begitu juga dengan saudara Sanip Noh dan River Barra yang mana masing-masing berjaya mendaratkan beberapa ekor ikan seperti tetanda, MJ, GT juvenil dan kitang.
Kumpulan yang memilih spot Tanjung juga mendapat banyak strike pada pagi tersebut. Paling menarik, beberapa GT juvenil menggunakan set ringan yang digunakan kebanyakannya oleh kami. Memang syok melihat rod melentur dengan lentik.
Penggunaan micro jig betul-betul berkesan tatkala gewang replika ikan konvensional kurang mendapat sambutan. Jig saya lontar seperti biasa dan karauan dibuat baik secara laju, henjutan dan stop & go memang menjadi pada hari tersebut.
Terubuk Sarawak yang datang nun jauh dari Kuching pun tidak kurang hebatnya pada hari tersebut. Berkat kerajinan dan ketekunan beliau mengilat dan sedikit trekking di tebing berbatu, beliau juga berjaya mendaratkan beberapa ekor MJ dan tetanda.
Manakala kumpulan Pak Anjang telah memilih spot Batu Hampar yang berada betul-betul sebelah seberang spot Tanjung tempat kumpulan saya. Suara yang sayup-sayup kedengaran dengan sorak gembira memberikan tanda yang kumpulan mereka juga berjaya mendaratkan ikan buruan.
Oleh kerana keasyikan mengilat, tak terasa pula jam sudah menunjukkan ke angka 2 petang. Semua ahli komplot ternyata berpuas hati dengan sesi pagi tersebut. Tidak kurang juga rungutan daripada ahli komplot yang gagal mendaratkan apa-apa tangkapan, meskipun mendapat beberapa sambaran.
Ahli komplot yang sudah letih memerlukan rehat untuk sesi seterusnya petang tersebut. Ahli komplot segera bergerak ke bandar Mukah untuk makan tengah hari dan membuat kunjungan ke kedai pancing.
Namun begitu, kumpulan Pak Anjang yang terpaksa balik awal pada petang tersebut, masih meneruskan acara mengilat hingga ke jam 4 petang sebelum berangkat ke Sibu.
Komplot pada hari tersebut terpaksa ditamatkan awal kerana keadaan air yang sudah mula surut besar. Ahli komplot mencuba pula di sebuah muara sungai yang bersambung dengan Tasik MPG, namun gagal mendatangkan sebarang hasil.
Setelah hampir sejam mencuba, ahli komplot kembali semula ke Tasik MPG untuk merancang aktiviti yang seterusnya. Lewat petang, keputusan telah dibuat oleh pengilat-pengilat dari Bintulu untuk kembali lagi pada keesokan harinya yang rupa-rupanya telah pun menempah hotel di bandar Mukah untuk bermalam.
Hari kedua
Awal-awal lagi saya telah menempah sebuah bot yang mampu memuatkan lima orang pengilat untuk satu-satu masa. Untuk sesi pagi ini saya tidak dapat menyertainya kerana komitmen kerja. Namun begitu saya mengikuti perkembangan sesi pagi tersebut dengan SMS dan panggilan beracun daripada AdieZul.
Selesai urusan kerja, petang berkenaan saya kembali ke MPG untuk menemui geng Bintulu. Komplot pada hari kedua ini berakhir juga setelah semua pengilat berpuas hati dengan hasil tangkapan masing-masing. Sebelum berangkat pulang, kami sempat juga menjamu selera sekali lagi di bandar Mukah.
Perjalanan dimulai dengan bergerak dari kediaman masing-masing seawal jam 4 pagi dan tiba di destinasi iaitu bandar Mukah pukul 8 pagi.
Kemudian para pemancing pun mencari umpan segar yang dijual di pasar Mukah. Antara umpan yang dicari sotong, ikan tongkol, jamah (selar), kembung dan alu-alu.
Selepas bersarapan dan membeli alatan memancing yang diperlukan di Kedai Pancing Mukah, rombongan menuju pula ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Mukah (LKIM).
Kapten kapal yang akan menjadi jurumudi iaitu Tekong Ah Sui, yang mempunyai banyak pengalaman telah pun sedia menunggu di jeti.
Ia jelas menunjukkan komitmen tekong dalam perkhidmatannya. Kami mula berangkat ke lokasi memancing pukul 10 pagi dan perjalanan yang mengambil masa 4 jam untuk tiba di destinasi memancing iaitu perairan Oya, Mukah.
Tanpa membuang masa, para pemancing terus menurunkan umpan yang telah dilekatkan pada mata kail. Umpan sotong dan tongkol yang telah siap dipotong kecil menjadi taruhan.
Tidak menunggu lama, sambaran demi sambaran dapat dilihat kerana hampir semua joran melentur dek asakan daripada penghuni dasar terutamanya ikan kerapu dan merah.
Sementara itu, tekong Ah Sui amat rajin berpindah lubuk bila tiada sambutan di lokasi yang dilawatinya.
Pada hari kedua, cuaca agak kurang mesra terhadap kami. Kami dilanda ombak tinggi dan ini memaksa untuk berhenti memancing dari pukul 6 pagi hingga 11 pagi.
Walau bagaimana pun badai itu tidak melunturkan semangat kami sebagai pemancing. Kami terima dugaan itu dengan berlapang dada dan bersyukur.
Setelah ombak besar kembali reda, tekong telah memberi isyarat untuk memulakan semula pancingan. Kali ini kami menduga perairan Igan, Mukah.
Selain teknik pancingan dasar atau bottom, para pemancing juga menggunakan teknik jigging pada sebelah malamnya untuk menjerat ikan pelagik seperti cupak.
Untuk trip kali ini, rombongan kami telah berjaya mendaratkan hasil pelbagai spesies mencecah hampir penuh tong ikan 400 liter.
Pada trip ini juga, ikan terbesar seberat 7 kg iaitu ikan merah berjaya dinaikkan oleh Stevenson.
Manakala ikan termahal iaitu kerapu bara seberat 3.5kg pula berjaya dinaikkan oleh Beritin Empawi.
Trip bottom dan jigging kali ini amat berjaya dan nantikan aksi Simanggang Anglers lagi.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...