IKLAN

 

Bagi pemancing tegar yang gemarkan aktiviti casting, Sungai Merbok satu lokasi yang ideal untuk diterokai.

Sarat dengan tinggalan sejarah zaman dahulu, sungai ini juga terdapat khazanah spesies yang masih boleh diperoleh dengan baik, jika kena dengan waktu terbaiknya.

 

Menggunakan bot adalah satu langkah yang bijak kerana dapat meninjau dan menduga lebih banyak lokasi berbanding pancingan dari tebing.

Di sini, terdapat beberapa lubuk istimewa untuk menaikkan ikan-ikan pemangsa seperti siakap merah, siakap putih, kerapu dan juga bulan.

Kami mengaplikasikan umpan gewang tiruan sebagai senjata untuk mencari spesies-spesies Ini.

 

Semestinya, gewang-gewang yang memiliki warna-warna killer, kuat dan renangan yang baik serta menggunakan mata kail yang tajam telah kami sediakan bagi memburu spesies ini.

Mata kail yang tajam dapat membantu mempercepatkan proses pendaratan ikan. Lebih-lebih lagi jika saiznya bersaiz bagak atau mega.

Pancingan menggunakan gewang memberi kepuasan lain dari yang lain, ia diakui sendiri oleh ramai kaki casting yang selalu berkunjung di Sungai Merbok ini.

 

Walaupun lapangan ini tidak kerap kami kunjungi, namun sesekali keseronokan mencari ikan pemangsa, terutamanya siakap merah atau juga digelar MJ (mangrove jack) menyebabkan kami sentiasa berkobar apabila ada trip bertandang ke sini.

baca juga kenali ikan siakap merah

 

Semuanya Tuah!

 

 

Ketibaan kami disambut dengan cuaca yang baik. Tidak menunggu lama, Elvi Ching memulakan rentak terawal dengan membuat balingan casting menggunakan gewang jenis

minnow iaitu dari siri gewang tiruan Strike Pro Aquamax Minnow yang miliki ketumpatan berat 6.4g dan panjang 6.5cm.

Karauan dilakukan secara jerking, ada kalanya dikarau laju dan diselang-seli dengan karauan yang perlahan.

 

Tiba di satu reba kayu bakau yang timbul di permukaan air, terasa gewang berkenaan dipagut rakus sekali gus tali menegang tanda sang pemangsa sedang melarikan gewang berkenaan.

 

IKLAN

Terus sahaja, Ching mengayuh tombol kekili membuat karauan sekali gus menarik naik ke permukaan.

 

 

baca juga tip mancing siakap

 

Namun, kami terkejut kerana bukanlah spesies idaman yang diperolehi, tetapi seekor ikan belacak bersaiz besar.

Sambil ketawa, ujar Elvi Ching, ini merupakan kali pertama dia memperoleh ikan ini.

 

Casting Alu-Alu

 

Menuju ke pertengahan trip, kami teruskan niat untuk mencuba casting ikan alu-alu bersaiz matang.

Lontaran demi lontaran dibaling ke kawasan spot ‘panas’ alu-alu mencari makan dan bergerak aktif.

 

Setelah cubaan lontaran gewang ke beberapa spot yang dikehendaki, akhirnya berlaku henjutan oleh si pemangsa.

Lim Kim Peng terus sahaja menahan asakan. Akhirnya sang alu-alu yang dicari berjaya juga diperolehi.

IKLAN

 

Mujur tacapan kemas mata kail terkena pada mulutnya. Selagi lagi tuah mengiringi kami, kerana alu-alu cukup terkenal di kalangan kaki casting ataupun jigging sebagai spesies yang cukup handal memotong tali.

 

 

Mujur, tali sulam dan perambut Ajiking yang digunakan begitu kuat mampu menahan larian ikan berkenaan.

Walaupun tidak besar, secara tidak langsung juga, dengan tangkapan alu-alu ini juga membuktikan keadaan air Sungai Merbok ini berkualiti dan dalam keadaan yang bebas dari pencemaran.

 

 

Teruskan Perjalanan

 

Kami meneruskan perjalanan mencari spot-spot lain yang menarik. Cuaca yang baik sedikit sebanyak menyumbang kelancaran perjalanan kami untuk mencari siakap merah.

Kata putus diambil, dengan kami mencuba untuk casting di kawasan berdekatan dengan pulau-pulau kecil berhampiran.

 

Kami cuba casting dengan sebaik mungkin, namun nasib masih belum menyebelahi kami.

Walaupun ada getuan yang diperolehi, namun tidak lekat. Elvi Ching turut menerima strike, namun spesies yang kami percayai siakap merah berjaya menyelinap masuk ke di dalam reba sekali gus memutuskan tali perambut.

 

Akhirnya tuah mengiringi Lim Kim Peng lagi, apabila lontaran gewang Strike Pro miliknya berjaya memperdayakan seekor siakap merah yang telah lama dicari.

Sekalipun spesies ini cuba untuk melepaskan diri dengan memasuki reba kayu, tetapi Kim Peng berjaya mengelakkannya.

Kami masih lagi mencuba, namun siakap merah, kerapu dan juga siakap putih gagal di cari.

 

 

Lewat petang, kami mempraktikkan casting menggunakan mikro jig untuk mencari spesies bulan pula.

Lontaran mikro jig dilakukan ke setiap boiling bulan yang kami temui. Karauan secara jerking dan laju berjaya memperdayakan beberapa ekor bulan.

Setidak-tidaknya ia sebagai penghibur buat kami apatah lagi memang asyik melihat sang bulan melakukan akrobatik di udara dalam usaha melepaskan diri.

 

baca juga kenali keluarga alu-alu

 

Sungai Merbok Memang Terbaik!

 

Melihatkan keadaan ketika sudah dua kali trip ke sini, kami mendapati Sungai Merbok mempunyai keunikan sendiri.

Pemancing tegar yang ingin lari dari kesibukan kota dan merasai kudrat spesies ikan lapangan air tawar seperti siakap merah, siakap putih, bulan dan juga alu-alu cubalah mengilat di sini pasti menarik.

(Muhammad Safuwan Zakaria)

 

Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!

Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan

Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan