Sekiranya anda berhasrat untuk memancing di perairan Merchong atau Rompin, dan tidak mengetahui tekong yang harus anda pilih, maka anda perlu mencuba pakej memancing Adventura Outdoor yang menggunakan khidmat tekong Krel Nazri. Boleh dikatakan, tiada pemancing yang merungut setelah menggunakan khidmat servis beliau yang merupakan antara tekong terbaik di Merchong.
Nama bot: Adventura Outdoor
Nama tekong: Krel Nazri
Enjin: 300 hp (Yamaha 150 hp berkembar)
Saiz bot: 35 kaki x 10 kaki
Ads
Muatan: 6 pemancing
Lokasi jeti: Chalet Kg. Merchong
Ads
Harga sewa: RM1400 (Sabtu&Ahad), RM1300 (Isnin-Jumaat)
Pakej: 50 ekor udang hidup, air minuman dan ais disediakan.
Ads
Lokasi pancingan: Karang Luas hingga Pulau Berhala
Tempoh: 7 pagi hingga 5 petang
Tel: 014-5044335
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Khabar perihal sahabat saya ingin menduga spesies raja muara menarik minat saya untuk menduga spesies yang memang sudah lama tidak saya merasa tarikannya ini.
Tambahan pula lokasinya berdekatan dengan kampung halaman saya, jadi rugi kalau tidak bersama. Spot yang terletak di sebelah utara semenanjung ini sememangnya agak terkenal dengan siakapnya.
Zubir dan Asan, dua orang pemancing dari Kampar dan Gopeng memang berhajat besar untuk menarik spesies ini.
Mungkin kerana kampung halaman mereka yang agak jauh dari laut mengehadkan aktiviti mereka untuk menduga spesies muara ini. Saya pula yang bekerja di sektor swasta di Selangor, bergerak awal pagi terus ke lokasi ini.
Kami tiba awal pagi dan terus ke jeti dan memunggah senjata yang ada. Maklumlah hati sudah tidak sabar. Bagi saya dan Asan, acara casting tentulah menjadi acara wajib. Zubir pula lebih selesa dengan pancingan dasar. Zubir juga menjadi tekong bot kami pada trip kali ini.
Bot sepanjang 13 kaki menjadi sewaan kami memang cukup selesa untuk tiga orang pemancing. Setelah semua keperluan penting siap, Zubir selaku tekong terus memacu bot fiber yang disewa ke spot pilihan.
Tidak perlu menunggu lama, penggayaan sinking pencil Ofmer Wander saya disambut ikan sumpit-sumpit. Nampaknya ikan mula aktif. Air bunga pasang yang dikejar sedang berlaku.
Tidak lama kemudian kumpulan ikan bulan mula menerpa. Strike demi strike saya perolehi dan ikan dapat didaratkan.
Saya menggunakan gewang keluaran Ofmer Wander 50 berwarna pelangi. Memang cukup berkesan gewang ini hinggakan saya tidak mahu menukar gewang lain.
Selepas acara memanaskan badan dengan si bulan, saya berehat sebentar sambil melihat Asan terus menerus dengan acara casting. Lontaran dibuat ke arah tebing yang mempunyai bangkar kayu mati ke arah bot.
Setelah beberapa kali lontaran dilakukan, tiba-tiba satu sedutan yang menghasilkan bunyi ‘BOFF’ agak kuat berlaku ketika popper menghampiri bot.
Asan menjerit gembira bila sang siakap mula menghambur ke udara beberapa ketika selepas merasa dirinya terjerat. Faktor sambaran yang berlaku hampir kepada bot memberi kelebihan kepada Asan untuk mengawal keadaan dengan lebih mudah.
Rezeki akhirnya berpihak kepada kami dengan terdaratnya siakap liar pertama untuk trip kali ini. Dengan berat menghampiri 2 kg, Asan mampu tersenyum lebar.
Zubir terus sabar menggunakan teknik pelampung menggunakan umpan hidup. Apa lagi kalau bukan umpan killer iaitu udang hidup. Lontaran umpan menggunakan pelampung hanya beberapa meter dari bot kami.
Namun, Zubir juga tidak perlu menunggu lama. Teknik hanyutan pelampungnya cepat disapa siakap. Menyedari pelampungnya hilang, rod terus dicapai dan jeritan spool spinning memecah sebentar kesunyian.
Mangsa membuat larian padu setelah mulutnya tercangkuk kail. Zubir melayan karenah ikannya dengan cukup berhati-hati. Maklumlah set ringan dengan tali mono atau tangsi yang digunakan hanya berkekuatan 6 lb.
Memang berani betul untuk melayan siakap liar dengan setting sebegini. Sedang mangsa di hela menuju bot, tiba-tiba ikan ini membuat lonjakan dan gelengan terakhir dan berjaya meluahkan mata kail keluar. Kami semua hanya mampu melihat, tiada rezeki untuk Zubir.
Saya yang masih lagi belum merasai strike, menukar gewang, kali ini Ofmer Original Shad saya pertaruhkan. Air yang cantik tanpa keruh yang kuat ditambah terik matahari pasti menyerlahkan lagi aksi gewang ini.
Lontaran saya lakukan ke sudut tengah muara namun tiada sambutan. Saya berubah posisi dan lontaran dilakukan ke sebelah tebing menghala ke bot. Lontaran ke kawasan bangkar kayu turut dibuat oleh Asan.
Hanya sebelah menyebelah gewang kami beraksi. Maklumlah masing-masing ingin menghanyirkan gewang selaman dalam kami.
Beberapa kali lontaran dibuat sebelum tiba-tiba terasa seperti gewang berlanggar bangkar di dasar muara dan sangkut! Sembatan sederhana saya lakukan dan yes! Akhirnya sambutan berlaku ke atas gelekan gewang selaman dalam saya.
Larian kencang ‘penyamun’ pantas melarikan gewang. Siakap bisik hati saya walaupun belum kelihatan kelibat sang pemangsa muara ini. Tetapi gaya henjutannya menunjukkan angkara sebenar pelaku yang menghentam gewang selaman saya ini sehinggalah satu lonjakan padu ke udara berlaku.
Akrobatik yang berlaku sambil ikan ini membuat gelengan kepala untuk membuang gewang sungguh mempesonakan kami. Namun usaha sang raja sia-sia kerana treble hook tetap tertancap kemas di bibirnya dan di bawah mulut.
Saya melayan ikan ini berhati-hati. Saiz yang agak sedap dilayan ini dikawal sebaik mungkin menggunakan rod Abu Garcia Millenium 2000 sepanjang lapan kaki setengah ini. Seperti aksi melayan rod fly pula rasanya.
Lenturan rod ini agak lembut dan panjangnya membuat tenaga ikan dipindahkan sepenuhnya di tangan saya. Memang mengujakan. Saya dikerah bertahan apabila ikan mula membuat henjutan berkali-kali sehingga ke bawah bot. Kali ini tali sauh menjadi sasaran untuk perisai terakhir.
Rod Abu Millenium meliuk ke tahap ‘L’ menahan asakan bertali arus. Mujur Asan yang berada di hadapan bot pantas bertindak dengan bersedia dengan tangguk.
Sang raja akhirnya berjaya ditangguk setelah penat dipujuk. Alhamdulillah, siakap liar berjaya juga saya modelkan. Rezeki anak isteri, bisik hati saya.
Selain siakap putih yang kami cari, kami juga memasang hasrat untuk cuba menaikkan panglima muara di sini. Siapa lagi kalau bukan ikan siakap merah.
Info yang saya dapati daripada pengusaha-pengusaha bot sewa di sini mengatakan memang terdapat spesies ini namun agak sukar mendapatkannya. Mungkin belum rezeki saya atau ilmu yang belum cukup untuk mendapatkannya.
Saya juga biasa ternampak kelibat anak-anak siakap merah ni bermain-main ketika air pasang berlaku. Maklumlah rumah saya tidak jauh dari muara sungai.
Tetapi telahan beberapa pihak mengatakan yang spesies ini tidak ada di spot yang saya kunjungi ini menaikkan lagi semangat saya untuk mendapatkannya. Mungkin trip selepas ini saya akan menjadikan spesies ini sasaran utama saya pula.
Bila bercakap tentang spesies kelah, pasti terbayang kesukaran untuk memancingnya. Lubuk-lubuk kelah biasanya di hulu sungai dan perlu meredah bukit bukau dan hutan banat untuk ke hulu sungai. Salah satu lubuk popular ialah di Kebeng.
Kampung Kebeng merupakan sebuah kampung dalam gugusan kampung Belum Lama yang telah ditinggalkan setelah penduduknya diarah pindah oleh pihak kerajaan Malaya pada tahun 1947.
Setelah hutan Royal Belum ini diwartakan di bawah enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak pada tahun 2003, Kampung Kebeng ini bertukar wajah menjadi destinasi memancing khususnya bagi penggemar spesies ikan sungai pegunungan, kelah dan kejor.
Namun untuk ke Kampung Kebeng tidaklah semudah yang disangka kerana tiada sebarang pengangkutan melainkan perlu meredah denai hutan berbukit dan anak sungai berjeram sekitar 15 kilometer lengkap dengan permit dan juru pandu yang diiktiraf.
Aktiviti memancing di hulu Sungai Kejar ini telah lama diketahui oleh tiga orang ahli kelab perikanan rekreasi Aluminium Boat Casting atau Alucast. Hanya setelah didorong oleh seorang lagi rakan ahli kelab yang akan menyertai trip bersama grup lain, barulah mereka bertiga berpeluang untuk turut serta.
Menyedari perihal laluan dan rintangan yang bakal dihadapi, sedikit sebanyak persiapan khususnya fizikal dilakukan sebelum menjayakan ekspedisi meredah hutan memburu kelah.
Ekspedisi selama lima hari empat malam hampir 30 orang peserta termasuk juru pandu dan porter bermula apabila berakhirnya perjalanan air di hilir Sungai Kejar. Setelah menyelesaikan urusan permit di kem Sungai Kejar, perjalanan merentas kanopi hutan bermula dengan jalan berbatu tepi sungai yang mudah mencederakan otot jika tersilap langkah.
Begitu juga ketika meredah arus di sungai berbatu. Setelah melepas Sungai Ketir dan beberapa kawasan perkhemahan, ahli ekspedisi berehat dan bermalam dahulu di kawasan perkhemahan Kampung Kajang.
Mana-mana ahli ekspedisi yang masih bertenaga akan memulakan aktiviti memancing malam namun kebanyakannya melayan kepenatan dan mengumpul tenaga.
Keesokan paginya barulah kembali menyambung perjalanan sehingga tiba di Kampung Kebeng dengan trek perjalanan yang mampu membuatkan lidah terjelir hingga ke lutut.
Apa yang menarik, trek perjalanan yang digunakan merupakan trek yang sama digunakan oleh binatang liar dan kesan tapak-tapak kakinya boleh dilihat dengan jelas.
Di tapak perkhemahan Kampung Kebeng ini ahli-ahli ekspedisi akan berpecah menjadi kumpulan kecil bagi melakukan aktiviti memancing khususnya mencari spesies sasaran utama iaitu kelah merah. Ada kumpulan yang mencuba di kawasan berhampiran tapak perkhemahan, ada yang mudik ke hulu dan juga yang turun ke hilir sungai.
Walaupun tidak banyak spesies kelah merah yang berjaya dijinakkan, namun pengalaman meredah hutan ini sangat berharga khususnya bagi tiga orang ahli Alucast dan sejurus selamat pulang dari ekspedisi sudah mula berkira-kira untuk melangkah lebih jauh lagi hingga ke hulu Sungai Merah.
Pemancing yang berasal dari Miri, Sarawak dengan nama gelaran Laksamana Tanjung atau Awang Semana (nama Facebook – Lak Samana Lak Samana) sama sekali tidak menyangka berjaya mendaratkan seekor ikan pari seberat 103kg, ketika memancing pada 22 Jun lalu.
Menurut Awang Semana, 34 tahun yang pernah mendaratkan beberapa ekor pari dari berat 15kg hingga 68kg, sudah menjangkakan ia tangkapan melebihi 40kg sejurus ikan pari tersebut melarikan umpan yang dipertaruhkannya.
“Saya guna reel Wahoo 6000, rod Eupro 15 sec 200gram berwarna kuning, main line 50lb Power Pro dan leader 80lb Sufix.
Arus agak laju jadi saya guna ladung saiz 6 berbentuk anchor. Umpan pula ikan duri yang dipotong ekor senget. Perambut pula saya guna perambut T gantung umpan sedepa.”
Setelah menghela tali keluar dari kekili tanpa henti selama 3 minit, Awang Semana berusaha keras menghentikan lariannya.
Beliau percaya ia adalah pari yang luar biasa besar dan sudah berhadapan dengan pertarungan sedemikian yang mana kesemuanya berakhir dengan kegagalan.
Sepanjang 2017-2019, dia sudah 6 kali bertarung dengan pari gergasi dan kesemuanya putus tali utama dan kemenangan berpihak kepada pari.
Justeru kali ini Awang Semana menggunakan segala pengalaman dan kemahiran yang ada untuk menjinakkannya.
“2 jam 56 minit…!” ujar Awang Semana tentang tempoh waktu pertarungan tersebut. Beliau masih ingat waktu pari itu mengambil umpan sekitar jam 2.00 lebih dan berjaya mendaratkannya pada jam 5.00 lebih.
Sepanjang tempoh hampir 3 jam itu Awang Semana hampir saja berputus asa. Banyak perkara yang bermain dalam fikirannya.
Lokasi sungai Kuala Baram di Miri itu bukanlah lokasi yang selamat. Selain hari yang semakin gelap dengan serangan agas dan nyamuk, ia juga merupakan habitat buaya air masin.
Setelah berjaya mendaratkannya, Awang Semana membawa pari minyak atau pari bulan atau pari Thailand mengikut sebutan tempatan ke perkampungan berhampiran untuk ditimbang. Hampir saja beliau tidak percaya dengan angka terpampang.
Untuk tempoh 2017 hingga 2019 Awang Semana sudah mendaratkan 4 ekor pari saiz gergasi. Yang pertama seberat 30kg, pari kedua seberat 15kg, yang ketiga seberat 18kg,
yang keempat seberat 63kg dan kini dia mencipta rekod tersendiri apabila berjaya menaikkan pari seberat 103kg.
Menurut Awang Semana lagi, pari itu kemudiannya dilapah dan dibahagikan kepada orang-orang kampung. Walaupun bersaiz gergasi, masih ada bahagian isinya yang sangat lembut dan juga yang liat!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...