Seekor bangkai ikan yu paus (whale shark atau nama saintifiknya Rhincodon typus) anggaran berat 5tan ditemui hanyut di perairan Tanjung Tohor awal pagi Sabtu lalu sebelum dibawa sekumpulan nelayan ke Jeti Pengkalan Nelayan Parit Jawa.
Ketua Jabatan Perikanan Daerah Muar, Mohd Faris Adnan berkata, spesis yang semakin pupus itu ditemui hanyut oleh sekumpulan nelayan pada jarak tujuh batu nautika dari Jeti Pengkalan Parit Jawa.
Katanya, yu paus dianggarkan seberat lima tan itu akan dibawa ke Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC) Rantau Abang, Terengganu, hari ini bagi proses bedah siasat.
“Di pihak Unit Perlindungan Sumber Batu Pahat pula, mereka akan membuka kertas siasatan bagi mengetahui punca kematian termasuk maklumat lengkap berkaitan umur, jantina dan saiz sebenar yu paus ini.
Ads
“Setakat ini, kita anggarkan ia sepanjang enam meter dan selebar 1.5 meter. Bagaimanapun, kita masih belum mengenal pasti jantinanya,” katanya ketika ditemui di Jeti Pengkalan Nelayan Parit Jawa, hari ini.
Menurut Mohd Faris, pihaknya dimaklumkan TUMEC bahawa ikan itu akan diawet selepas selesai proses bedah siasat.
Katanya, yu paus antara spesis ikan terancam dan berkemungkinan besar ia sesat memandangkan perairan negara lokasi habitatnya.
Ads
“Berikutan itu, saya menasihati orang ramai termasuk nelayan sekiranya menemui spesis hidupan laut yang aneh supaya segera menghubungi pihak berkaitan.
“Jangan bertindak melulu sekiranya ia masih bernyawa kerana mereka (nelayan dan orang ramai) boleh didakwa di bawah akta berkaitan,” katanya.
Ads
Namun, kami Team Umpan beranggapan ikan yu paus ini bukanlah sesat kerana ia bukanlah spesies asing di negara kita.
Saya sendiri sudah beberapa kali bertemu dengan spesies ketika memancing di perairan Pulau Tenggol di Terengganu serta perairan Pulau Tioman di Pahang.
Malaysia sebuah negara bertuah yang kaya dengan sumber perairan umum (air tawar) iaitu persekitaran akuatik yang berada dalam lingkungan sempadan tanah, seperti sungai, tasik, kolam, bekas lombong dan empangan. Sumber ini kaya dengan hidupan akuatik dan aliran air; ini penting bagi menampung kehidupan harian penduduk di persekitaran dan juga sebagai daya tarikan untuk rekreasi.
LATAR BELAKANG
Pada tahun 2011, jumlah pendaratan perairan umum ialah 5,694.36 metrik tan (M.T.) bernilai RM54.83 juta, iaitu meningkat sebanyak 23.6% dan 22.7% masing-masing dari segi kuantiti dan nilai berbanding tahun 2010. Namun, sumbangannya terhadap jumlah pengeluaran ikan masih amat kurang jika berbanding dengan sub-sektor pendaratan ikan marin dan akuakultur. Pada 2011, sub-sektor ini hanya menyumbangkan 0.34% dan 0.58% kepada keseluruhan pengeluaran ikan makan di Malaysia masing-masing dari segi kuantiti dan nilai.
Negeri Pahang merupakan penyumbang utama bagi sub-sektor ini. Pada 2011, pendaratan dari negeri terbesar semenanjung itu ialah sebanyak 1,600.01 M.T. bernilai RM16.12 juta iaitu 28.1% kepada jumlah pendaratan ikan dari perairan umum. Negeri Perak juga telah menyumbangkan sebanyak 23.04% (1,311.98 M.T.) kepada jumlah pendaratan pada tahun yang sama.
Sungai dan bekas lombong merupakan sumber yang paling penting bagi sub-sektor ini. Sungai dan bekas lombong masing-masing telah menyumbangkan sebanyak 53.1% (3,021.12 M.T.) dan 19.6% (1,114.5 M.T.) kepada jumlah pendaratan perikanan perairan umum.
Spesies yang paling banyak didaratkan adalah tilapia nilotika (Oreochromis niloticus) (997.95 M.T.), lampam sungai (Barbodes schwanenfeldii) (460.24 M.T.), udang galah (Macrobrachium rosenbergii) (411.16 M.T.), dan keli (Clarias spp.) (357.93 M.T.), di mana jumlah pendaratan keempat-empat spesies itu adalah sebanyak 39.07% kepada jumlah pendaratan pada 2011.
KEPENTINGANNYA
Walaupun sumbangan sub-sektor ini terhadap jumlah pengeluaran ikan adalah sangat kurang, tetapi kepentingannya tidak boleh dinafikan. Sub-sektor ini adalah penting dibanyak kawasan, seperti di mana sektor ini membekalkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Sebaliknya, data atas kegiatan yang bermusim dan sara diri ini adalah sangat sedikit dan banyak aspek tidak diambil kira. Ini mungkin kerana kegiatan mereka tidak teratur, sukar dikesan, dan mudah alih. Dengan ini, ada kemungkinan bahawa nilai sebenar dalam sub-sektor ini jauh melebihi anggaran rasmi.
Kekurangan data perikanan perairan umum ini bermakna peranan mereka dalam sumbangan bekalan ikan makan kurang diiktiraf. Dengan ini, kebajikan mereka boleh dipandang ringan atau diabaikan apabila pihak berkuasa membuat keputusan mengenai pembangunan yang boleh merosakkan biodiversiti dan perikanan di kawasan berkenaan.
PEMELIHARAAN SUMBER PERAIRAN UMUM
Pada tahun 2012, World Wide Fund for Nature (WWF) telah mencadangkan beberapa cara untuk memelihara sumber perairan umum seperti berikut.
#1 PASTIKAN PERALIRAN SUNGAI BERTERUSAN
Perairan sungai terhalang (fragmentation of rivers) adalah faktor utama kemusnahan biodiversiti dan perikanan. Ini kerana masalah ini boleh menjejaskan kelajuan perairan sungai dan turut menjejaskan kualiti habitat itu. Pemelihara perairan sungai dan sambungan sistem perairan umum adalah penting untuk kepelbagaian hidupan akuatik.
#2 MENGURUSKAN HABITAT IKAN DAN STOK IKAN.
Habitat ikan merupakan asas bagi perikanan yang produktif, tetapi banyak habitatnya telah dimusnahkan atau diubah. Usaha untuk memulihkan dan pertambahan habitat akuatik adalah penting. Selain itu, usaha pengurusan stok ikan melalui nurseri dan pelepasan stok ikan yang lebih matang ke habitat juga adalah wajib diteruskan.
#4 MEMBENTUK PAKATAN, MELIBATKAN KOMUNITI.
Kepentingan penduduk di kawasan pedalaman yang sangat bergantung kepada sumber perairan umum boleh terlepas pandang dalam proses perancangan pembangunan oleh pihak berkuasa atas sebab-sebab tertentu. Dengan ini, mereka perlu ada wakil untuk menyuarakan pandangan mereka dan yang mampu membawa impak atas keputusan yang dijanakan.
#5 MELABUR DALAM PENYELIDIKAN.
Banyak aspek dalam sumber perairan umum dan individu yang terlibat masih belum dikaji dengan teliti. Hasil dapatan kajian-kajian itu adalah sangat penting bagi pihak berkuasa menghasilkan dasar, polisi dan peraturan yang berkesan.
#6 PERANCANGAN, PERUNDANGAN, PELAKSANAAN, DAN PENGUATKUASAAN YANG BERKESAN.
Prinsip-prinsip yang digariskan di atas semua memerlukan undang-undang dan penguatkuasaan yang berkesan, dan memerlukan semua bidang dasar yang berkaitan, termasuk pengurusan perikanan dan sumber air, peraturan pemasaran, kebajikan penduduk persekitaran, dan perlindungan alam sekitar. Proses perancangan perlu melibatkan semua pihak yang berkepentingan dan menangani isu-isu pada skala yang sesuai, dengan mengambil kira kesan kumulatif daripada perubahan.
KESIMPULAN
Ramai percaya bahawa di mana ada air, di situ ada ikan. Tetapi, ini telah terlepas pandang bahawa hidupan akuatik adalah rumit dan sangat sensitif terhadap keadaan air. Kelajuan aliran air, kualiti air, suhu air, dan sambungan sungai dengan sungai lain, tasik, dan tanah bencah adalah sangat penting bagi hidupan akuatik. WWF International pernah menyatakan bahawa perlindungan hanya atas tanah bencah dan sungai-sungai tertentu sebenarnya masih tidak cukup untuk memelihara kepelbagaian hidupan akuatik; usaha pemeliharaan harus dilakukan dengan menyeluruh, dan kerjasama daripada pelbagai pihak diperlukan.
Lima individu lelaki warganegara berumur dalam lingkungan 20 hingga 57 tahun ditahan Pasukan Polis Marin dalam Ops Benteng Covid di sini semalam (27 Okt 2020). Kesemua lelaki tersebut ditahan atas kesalahan menembak ikan di kawasan Pulau Payar, Langkawi, Kedah pada jarak 0.2 BN dari daratan Pulau Payar. Menyedari kehadiran pihak polis, kelima lima saspek bertindak membuang peralatan menembak ikan ke laut.
Menurut Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Langkawi, DSP Rohizan Bin Mohamad Saaid tangkapan itu dibuat semalam pada jam 1 petang setelah botronda PSC 18 menerima maklumat dari orang awam.
“1 pegawai bersama 4 anggota telah dikerahkan ke sana. Antara barangan lain yang turut disita adalah sebuah bot aluminium berwarna biru berserta enjin sangkut 30HP, tong ikan dan 4 set alatan menyelam berserta ikan hasil pemburuan”, katanya. Anggaran keseluruhan nilai rampasan yang dibuat adalah RM 70,000.00 dan kesemua tangkapan dan rampasan diserah kepada Jabatan Perikanan Langkawi untuk tindakan lanjut.
“Semua ditahan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 43(1)(a), Akta Perikanan 1985; berada dalam taman laut atau rizab laut di perairan Malaysia tanpa mendapat kebenaran secara bertulis daripada Ketua Pengarah-(a) menangkap ikan atau cuba menangkap ikan.” Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Rohizan berkata, kawasan Taman Laut adalah zon larangan bagi sebarang aktiviti menangkap ikan menurut peruntukan Akta Perikanan 1985 (Pindaan 1994).
“Mana-mana individu yang melakukan kesalahan menangkap ikan di kawasan larangan Taman Laut boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM20,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.”
Sumber dari Cawangan Cawangan Pengurusan dan Perlindungan Pejabat Perikanan Negeri Kedah
Kali terakhir saya mencari bahan cerita trip memancing di Pulau Pinang hanyalah setakat ke Bagan Ajam, Seberang Perai.
Lokasi memancing yang dituju juga tidak sampai ke bahagian sebelah pulau. Di tengah-tengah antara tanah besar dan pulau.
Bukan di atas jambatan, sebaliknya di bawah jambatan hubungan pertama.
Ketika itu jambatan hubungan kedua masih dalam pembinaan dan sudah pun dibuka secara percuma apabila kedatangan kali kedua saya ke Pulau Pinang ini.
Justeru, apabila ada rakan mempelawa saya untuk berkomplot di kelong di Pulau Pinang ini, tanpa banyak bertanya saya terus menyetujuinya.
Hanya ketika memandu ke sana barulah saya tertanya-tanya sendiri… ada ke kelong kat Pulau Pinang ni?
KELONG KE SANGKAR IKAN?
Berdiri di hujung jeti nelayan Teluk Bahang, saya merenung lemah ‘kelong’ yang dimaksudkan tersebut.
Salah saya juga kerana tak bertanya lebih jelas tentang kelong itu dan bukan juga salah orang di sana jika menamakan sangkar ikan sebagai kelong.
Saya tiada sebarang masalah untuk memancing di sangkar ikan cuma kelengkapan pancing yang dibawa lebih sesuai untuk kegunaan pancingan di kelong, bukannya di sangkar ikan.
Deretan sangkar ikan yang dapat dilihat dengan jelas dari jeti nelayan ini memerlukan masa kurang dari 5 minit sahaja untuk ke sana dengan bot fiber yang disediakan.
Sangkar ikan atau Kelong Keong yang merupakan sangkar ikan paling lama diusahakan di kawasan pantai berteluk itu menjadi pilihan untuk memancing ikan-ikan liar yang datang mencari makan lebihan makanan ikan yang diternak di dalam sangkar.
Ketibaan kami waktu itu sebenarnya umpama langkah kanan kerana tepat pada waktu ikan-ikan di dalam sangkar diberi makan.
Saranan daripada tauke sangkar itu supaya segera melabuhkan umpan tidak saya pedulikan sangat kerana belum bersedia untuk memancing.
Tumpuan saya lebih terarah kepada anjing-anjing dari spesies Rottweiler yang bertugas menjaga keselamatan di kawasan sangkar.
Walaupun diberi keyakinan anjing-anjing tersebut jinak dan tidak mengganggu, ia tetap juga adalah anjing… Rottweiler pulak tu!
Joran berumpankan udang dan belanak hidup dilabuhkan ke ruang sangkar yang tiada berjaring atau ruang kosong antara sangkar.
Setelah agak lama tiada sebarang sambaran, sebaliknya udang hidup banyak kehilangan kaki dan mata dikutis ikan-ikan kecil dan ketam, belanak pula keras di mata kail, saya
mengambil keputusan memancing ikan-ikan kecil saja menggunakan udang kopek dihiris kecil. Tak disangka pula umpan udang kopek dipotong tiga itu pula yang dikutip oleh siakap remaja sebesar tapak tangan.
UMPAN GAM
Cerita rakan tentang ikan tamok dan rabbitfish atau dengkis banyak berkeliaran di bawah kelong, mendorong saya untuk menyediakan umpan bagi memikat ikan-ikan tersebut.
Dedak bom, matsumoto udang antatika dan umpan gam dibancuh, dikepal pada spring dan digantung di pra permukaan air sebagai pemikat ikan.
Bancuhan dedak yang sama juga digentel pada mata kail bersaiz kecil untuk menjerat ikan yang datang. Hasilnya terbukti mengasyikkan.
Tamok, dengkis dan kitang banyak yang terpedaya namun tidak semua yang berjaya dinaikkan melalui celah-celah lubang lantai kelong.
Menjelang petang, ahli komplot bertambah dengan kedatangan pemancing-pemancing yang kerap bertandang ke Kelong Keong.
Sama ada secara kebetulan atau sudah mengetahui jadual ikan sangkar di bahagian belakang diberi makan, spot yang mereka pilih ternyata menjadi-jadi.
Setelah melihat mereka menaikkan beberapa ekor siakap dan GT juvana di spot yang sama, saya terpaksa juga meniti dari sangkar ke sangkar dan berselisih dengan Rottweiler-
rottweiler serta mengelak daripada terpijak najis-najis yang ditinggalkan oleh makhluk itu untuk ke spot tersebut.
LUBUK IKAN
Memang cuak juga apabila terpaksa berselisih dengan penjaga sangkar tersebut tetapi hasil ke spot tersebut amat menyenangkan hati.
Tidak perlu menunggu lama, udang hidup yang diturunkan ke ruang petak sangkar kosong itu segera disambut oleh pemangsa yang sedang berkeliaran mencari makanan.
Malah macam tak percaya pula dalam radius kecil itu banyak pula spesies yang menanti. Siakap, siakap merah, GT juvana, tetanda, jenahak dan kerapu seperti berkumpul di situ.
Cuma tidak boleh lama melayan tarikannya ekoran banyak rintangan di bawah kelong. Sama ada tali-tali pengikat sangkar atau jaring sangkar itu sendiri boleh menyebabkan ikan tersangkut dan berjaya melepaskan diri.
Sedar tak sedar, hari dah mula gelap dan umpan hidup turut kehabisan. Perancangan awal untuk bermalam di kelong tersebut terpaksa dibatalkan ekoran hasil tangkapan agar banyak dan tidak cukup ais pula untuk menyimpan ikan-ikan tersebut.
Keputusan terbaik, kembali semula ke darat, nikmati hasil tangkapan di kedai seafood, berehat dan kembali semula keesokan harinya ke sangkar yang sama dengan harapan membuahkan hasil yang sama juga.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...