IKLAN

 

Perjalanan dari Jeti Kong Kong untuk ke Rakit Pak Abu memakan masa hampir 10 minit. Sepanjang perjalanan kami memang dihidangkan dengan pemandangan memukau hutan paya bakau dan Jambatan Lebuh raya Senai-Desaru yang merentasi Sungai Kong Kong.

 

Sesampai sahaja di rumah rakit yang berkeluasan 24 x 60 kaki ini sudah mampu menaikkan keghairahan kami untuk memancing.

Apatah lagi bila dihidangkan cerita-cerita rakan pemancing yang pernah menaikkan pelbagai ikan gred A seperti merah, kerapu, jenahak, tebal pipi dan senangin.

 

Bagaimana ia bermula

Sebelum tiba di rumah rakit ini, penulis terlebih dahulu sempat berbual dengan pemilik rakit yang lebih mesra dipanggil Pak Abu.

Menurut Pak Abu, rumah rakit ini mula dibina pada tahun 2009. Dikhabarkan ia menggunakan sebanyak 165 biji tong untuk menampung rumah rakit yang mampu memuatkan 10-15 orang pada satu-satu masa ini.

 

Namun akibat kerosakan yang ketara pada tahun 2013, Pak Abu terpaksa membaiki semula rumah rakit ini dengan kos yang lebih besar.

Pada awal tahun 2014, Pak Abu mula menarik rumah rakit ini lebih jauh ke muka laut yang menghala ke Teluk Sengat iaitu berhampiran dengan Jambatan Lebuh raya Senai-Desaru untuk memastikan hasil yang lebih baik buat kaki pancing yang berkunjung ke sini.

 

IKLAN

Ini menjadikan Rakit Pak Abu sebagai antara yang terunik di perairan Kong Kong ini kerana ia terletak lebih jauh dan berhampiran dengan laut luas berbanding rumah rakit lain yang kebanyakan terletak di kuala sungai.

 

Tak hairanlah sambutan kaki pancing juga amat menggalakkan terutama di hujung minggu dan cuti umum.

 

Ujian Lapangan

Menurut Pak Abu, waktu terbaik untuk memancing di rumah rakit ini ialah sewaktu air kecil atau air menyorong besar. Ini kerana pada waktu itu arus agak kurang deras dan ikan-ikan banyak bermain di sekitar rumah rakit.

 

Namun, malang nasib kami kerana sewaktu kunjungan, kami berhadapan dengan air besar dan sudah tentulah arusnya cukup berdesup pada waktu itu.

Namun, rezeki tetap masih memihak kami apabila masing-masing dimeriahkan dengan tarikan ikan tebal pipi, duri, gerut-gerut, gelama dan seekor merah tunggal yang membaham umpan udang kopek.

IKLAN

 

Apa yang boleh penulis katakan, dengan bayaran serendah RM25 seorang, sememangnya menjadikan Rakit Pak Abu sebagai antara lokasi yang berbaloi untuk kaki pancing cuba dan rasai sendiri pengalaman memancing di sini.

Jika kena pada airnya pastinya kaki pancing tidak akan pulang dengan tangan kosong.

 

Baca juga Rumah rakit sungai pahang

 

Khidmat Sewa Bot

Bagi yang kurang berminat dengan pancingan rumah rakit, jangan risau! Pak Abu juga menyediakan khidmat sewa bot untuk kaki pancing menduga perairan Kong Kong.

Dengan khidmat sewa bot ini, pemancing boleh menduga lebih banyak lubuk di perairan Kong Kong dan lebih banyak teknik boleh diaplikasikan sama ada teknik casting, light jigging dan juga bottom.

 

Terdapat 2 pilihan bot dengan harga yang amat berpatutan ditawarkan oleh Pak Abu. Dengan bayaran RM50 (hari biasa) dan RM60 (hujung minggu), pemancing dibekalkan dengan bot fiber 19 kaki yang dipadankan dengan enjin 30 hp.

Manakala untuk bot fiber 22 kaki dengan enjin 40 hp, bayaran yang dikenakan hanya RM100, dan kedua-dua bot ini untuk masa 7 pagi – 7 malam.

 

 

Ada pelbagai lubuk terbaik untuk memburu ikan-ikan seperti siakap, merah, kerapu, siakap merah dan macam-macam lagi yang boleh anda terokai di sini.

Apa yang penting, rajin-rajinkanlah diri bertanya tip dengan Pak Abu ataupun kaki pancing yang biasa memburu di perairan Kong Kong untuk mendapatkan hasil terbaik.

 

 

Apa pendapat anda? Tinggalkan komen dan share ya. Terima kasih.

Jangan lupa like & see first Facebook Majalah Umpan.