Pelawaan Firdaus atau lebih mesra dengan panggilan P sahaja, yang mengajak saya memancing spesies ini di atas rumah rakit Sungai Pahang di Temerloh semestinya peluang yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.

 

Satu tarikh yang pasti telah disepakati bersama. Sementara dateline tiba, saya membuat persediaan ‘apa yang patut’ sebagaimana yang diberitahu oleh P.  Peralatan seperti tali,

batu ladung, mata kail, perambut dan lain-lain kenalah sepadan dengan ikan sasaran dan padang pancing yang hendak diduga.

 

Umpan panadol

 

Dulu-dulu bila berhajat untuk mendapatkan patin sebagai ikan sasaran, umpan yang sering dipertaruhkan seperti buah bemban, pisang, ara, belimbing ranum dan buah perah.

Begitu juga udang, lipas, anak ikan, perut ayam, cacing dan lundi kumbang turut ‘menjadi’. Lain pula ceritanya bila memancing di atas rumah rakit ini.

 

Setelah joran disambung dan perambut disematkan kepada cili, P menghulur satu bungkusan kertas surat khabar lama kepada saya.

Segenggam palet ikan bersaiz besar yang telah diadun dengan resipi tersendiri berada di depan mata.

“Cangkuk 3-4 biji, baling…sempoi,” jelas P.

 

Trip Retro – Buru Patin Rumah Rakit Sungai Pahang

 

Lain padang, lain belalang. Curiga juga di hati saya dengan umpan ini. Adakah ikan mahu memakannya?

Kalau mahu, patin pun nampaknya sudah upgred menu seharian mengikut peredaran zaman. Biar betul!

 

IKLAN

Penjelasan daripada P merungkai persoalan. Semenjak industri ternakan patin dalam sangkar diperkenalkan, sejak itulah anak-anak patin menjamah lebihan palet yang terkeluar dari sangkar.

 

Kini palet bukan lagi makanan pelik tetapi sesuatu yang menjadi kegemaran dan tidak perlu ke hulu, ke hilir mencari makanan. Tunggu di bawah sangkar pun boleh kenyang!

Apatah lagi umpan palet yang kami gunakan lebih kasar berbanding palet biasa. Memang meleleh air liur. Palet kasar ini lebih dikenali sebagai ‘panadol’ di kalangan warga pancing Temerloh.

 

Panjang perambut

 

Memancing patin di atas rumah rakit tidak memerlukan peralatan kasar. Ikan sasaran dalam lingkungan 3kg ke bawah. Joran serta kekili kelas sederhana sudah memadai. Tali utama 15lb-25lb sudah cukup.

 

Perambut tangsi berkekuatan 12lb sepanjang satu kaki yang digunakan sepanjang saya memancing pada malam tersebut tidak mendatangkan sebarang masalah.

Mata kail yang digunakan bersaiz 14 tertancap kemas di rahang patin. Yang penting pastikan ia betul-betul tajam.

 

Trip Retro – Buru Patin Rumah Rakit Sungai Pahang

IKLAN

 

Tiga batang joran saya tagan. Dua berumpankan ‘panadol’, sebatang lagi cacing air. Mata kail yang dicucuk cacing air adalah untuk mendapatkan ikan spesies lain walaupun ada ketikanya dibelasah juga sang patin.

 

Penggunaan penyauk atau tangguk mustahak di sini. Beberapa ekor patin berjaya meloloskan diri sebaik sahaja cubaan mengangkat terus tanpa penyauk.

Sediakan payung sebelum hujan agar trip dan usaha tidak sia-sia.

 

Dalam keriuhan bersembang sambil menonton Discovery Channel, loceng di hujung joran yang berperanan sebagai ‘penggera isyarat’ berkocak riang.

Terus sahaja saya berlari mendapatkan joran yang bergegar-gegar.

 

Drag yang sengaja disetkan longgar, diketatkan sedikit. Tangsi dipamkan sedikit demi sedikit. Beberapa minit bertarung, muncung patin terdongak di permukaan air.

Mat yang berdiri di sisi saya bergegas menyauk ikan. Melihat sahaja sauk menghampirinya, mangsa memecut ke dasar. Berdesup perginya!

 

Pemangsa menggenggam erat joran menahan asakkan dan bila mangsa ‘bagi tali’, bail arm berpusing ligat menyusun tangsi ke dalam gelendong.

IKLAN

Mangsa yang keletihan berjaya disauk dan menggelupur di atas lantai rumah rakit. Pemangsa tersenyum puas.

 

Bagi anda yang berpeluang berkunjung ke Bandar Temerloh yang mendapat jolokkan sebagai Bandar Ikan Patin, apa kata labuhkan joran anda di Dataran Patin (Esplaned

Temerloh) atau di sepanjang pesisir tebing Sungai Pahang. Mana tahu tuah menyebelahi anda!

 

Informasi rumah rakit

Rumah rakit Temerloh di Sungai Pahang dibina lebih 20 tahun yang lalu. Dahulu, ada yang membinanya sebagai rumah untuk keluarga.

Tetapi atas faktor keselamatan, terutama ketika musim banjir, rumah rakit dilihat tidak sesuai untuk dihuni oleh sesetengah penduduk Temerloh.

 

Trip Retro – Buru Patin Rumah Rakit Sungai Pahang

 

Namun, masih terdapat beberapa rumah rakit yang berfungsi sebagai ‘port’ di kalangan nelayan sungai sekitar Temerloh, Triang dan Maran bertemu sambil membincangkan mengenai hal-hal yang berkaitan ikan air tawar.

Di atasnya dibina stor ruang dapur, bilik tidur sera stor untuk penyimpanan pukat dan enjin.

 

Hanya sesekali kaki pancing di sekitar daerah ini ‘tumpang sekaki’ memancing di atas rumah rakit ini.

Berhampiran rumah rakit terdapat jambatan lama Temerloh di mana ramai pemancing memacak joran terutama si sebelah malam.

 

Pada malam minggu suasana lebih meriah dengan kehadiran ramai kaki pancing melabuhkan umpan menunggu rentapan daripada penghuni Sungai Pahang.

(Oleh: Wannazir Wanosman)

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI