Setem dan ikan kelihatan tidak berkait antara satu sama lain. Namun bagi pengumpul setem mereka tahu terdapat setem-setem yang begitu bernilai sekali.
Bagi kaki pancing, tahukah anda negara manakah mengeluarkan setem bergambar ikan yang pertama di dunia? Mari kita lihat negara manakah ia dan spesies ikan manakah yang membuka sejarah ini.
Ikan merupakan antara sumber asli yang penting dalam banyak negara, dan ianya tidak dapat dielakkan bagi sesetengah negara mengabadikannya sebagai motif setem.
Satu setem peranti, yang menggambarkan ikan kod (Gadus morhua) telah dikeluarkan seawal 1755 dalam tanah jajahan di Massachusetts, manakala setem pertama yang seperti setem hari ini (bergam) menggambarkan satu lagi ikan kod dan telah dikeluarkan pada tahun 1865 di Newfoundland.
Jadi, negara pertama yang menggambarkan ikan pada setem mereka ialah Newfoundland pada tahun 1865, iaitu sejak lebih seratus tahun yang lalu. Setem yang menunjukkan ikan kod ini telah mempengaruhi corak bagi negara lain untuk menggambarkan ikan kod dan salmon sebagai lambang.
Ikan kod Atlantik atau Gadus morhua, merupakan ikan demersal tergolong kepada famili Gadidae. Ia juga dikenali bagi tujuan komersial ikan kod atau haberdine.
Ikan cod dan ikan salmon juga telah muncul sebagai ikon setem lebih kerap daripada mana-mana spesies ikan lain.
Pada setem yang menggambarkan ikan yang pertama sekali di dunia ini sebenarnya terdapat kisah yang agak menarik.
Pada asalnya, ikan kod yang terdapat di setem bagi negara Newfoundland ini dilukis secara terus dari kepala hingga ke ekor.
Namun oleh kerana ianya terlalu memakan ruang bagi skema setem, pihak American Bank Note melukis semula ekornya agar melengkung ke dalam.
Negara-negara lain mempunyai pelbagai objektif dalam menggambarkan ikan pada setem mereka. Kanada, Newfoundland, Borneo Utara, Seychelles, Chile, Iceland, St Pierre & Miquelon, Trieste dan Tunisia menggunakan setem untuk memberi publisiti kepada industri penangkapan ikan mereka.
Kanada telah menggambarkan ikan sebagai ikon bagi menunjukkan memancing sebagai sukan dalam siri empat setem sukan pada tahun 1957.
New Zealand dan Panama juga mempunyai idea yang sama di belakang setem ikan mereka.
Pada masa kini, terdapat begitu banyak setem ikan yang berwarna-warni bagi banyak negara untuk mempromosikan industri perikanan mereka.
Boleh tak admin jelaskan dengan baik kepentingan shock leader? Kalau tak guna shock leader tak boleh ke bagaimana?
JAWAPAN:
Fungsi utama shock leader atau perambut kejutan amat mudah iaitu menyerap dan memberi tekanan ketika sambaran mengejut dan bertarung dengan ikan.
Penggunaan perambut kejutan amat meluas sekarang berikutan kebanjiran penggunaan tali sulam.
Tali sulam seperti yang diketahui tidak mempunyai spring atau titik anjal. Jadi, ia tidak boleh berfungsi untuk menyerap tekanan terutama secara tiba-tiba dikenakan.
Konsepnya adalah mudah seperti mana kita melihat kereta yang dipasangkan absorber dan spring.
Absober berfungsi menyerap dan spring pula akan bertindak memberi dan mengurangkan tekanan melampau terhadap absorber.
Dalam perambut kejutan pula kita hanya menggunakan satu bahan iaitu monofilament atau polymer yang disambungkan pada tali sulam.
Saiz tali yang kita namakan ia sebagai perambut kejutan itu harus lebih kuat daya ketahanannya daripada kekuatan tali sulam.
Sebagai contoh, jika tali sulam yang digunakan 60lb, perambut kejutan yang disyorkan ialah 80lb.
Panjang perambut kejutan paling elok ialah 4 hingga 5 depa kerana yang panjang mampu menyerap lebih tenaga/ kejutan melampau berbanding perambut kejutan yang pendek.
Perambut panjang juga dapat mengelakkan cincin joran kaki jigging daripada terkena jig.
Dengan ini perambut kejutan yang digunakan akan bertindak sebagai pedoman kepada pemancing yang sedang melakukan aksi jigging supaya memperlahankan kelajuan karauan
jigs atau berhenti sebaik saja ia sampai pada perambut kejutan kerana menandakan jig sudah hampir ke permukaan.
Selain itu, perambut kejutan mengurangkan kebarangkalian kehilangan jigs atau gewang kerana keupayaannya terhadap geseran dan calar adalah jauh lebih baik dari tali sulam.
Sebarang jenis polymer atau fluorocarbon boleh digunakan sebagai perambut kejutan namun disebabkan faktor kualiti dan daya ketahanan.
Jika kita menggunakan tali tangsi sebagai tali utama, perambut kejutan ini adalah sama sekali tidak perlu kerana tali tangsi sendiri akan bertindak seperti perambut kejutan.
Sejauh manakah konsep catch and release dapat membantu untuk memastikan sumber ikan berterusan?
Saya difahamkan apabila ikan telah terkena mata kail dan kepenatan selepas bertarung, harapannya untuk hidup adalah tipis. Adakah ini suatu mitos sahaja?
JAWAPAN:
Saya telah melalui banyak pendapat sebagai seorang pemancing yang telah memancing sekian lama tentang subjek di atas.
Yang lebih menyedihkan adalah saya telah menyaksikan sendiri stok ikan amat berkurangan dari zaman saya mula berkecimpung dengan hobi memancing dulu dan sekarang.
Soalnya apakah yang kita perlu buat untuk menjaga supaya sumber ini tidak terus berkurangan atau pupus?
Kita boleh menunjuk jari kepada banyak fakta tetapi sebagai seorang pemancing apakah yang kita boleh buat untuk membantu alam untuk sumber ikan ini dapat berterusan (sumber ikan asal atau tempatan, bukannya ikan pendatang).
Salah satu cara adalah dengan amalan catch and release (C&R).
Amalan konsep C&R telah diamalkan di kebanyakan negara maju seperti di England, Amerika Syarikat, Australia dan banyak lagi sejak satu dekad yang lalu dan tahap
keberkesanannya yang memberangsangkan dilihat pada merata rata negara yang mengamalkan nya. Ia bukan satu perkara yang baru di dunia.
Saya sendiri pernah memancing seekor ikan toman di Tasik Temenggor di mana terdapat 3 bentuk mata kail di mulut ikan tersebut, pada apa yang kami lihat, kail yang terdapat pada
mulutnya berbeza masa oleh sebab tahap karat pada kail tersebut ada yang karat teruk, ada yang separuh karat dan ada yang baru. Yang menggembirakan saya adalah ia seekor
ibu yang membawa anak-anak toman yang masih merah lagi. Ini menunjukkan bahawa ia pernah di pancing sebanyak 4 kali dan kini masih hidup untuk bertelur dan menghasilkan baka-baka untuk meneruskan sumber ikan.
Kita tak dapat tahu adakah ikan itu dapat hidup seratus peratus selepas di lepas tapi kita tahu ia akan mati seratus peratus sekiranya kita tidak lepasnya.
Saya rasa ia bukan mitos tetapi satu amalan yang perlu dipraktikkan oleh setiap pemancing yang cintakan hobi memancing ini.
Konsep C&R bukan hanya pada melepaskan ikan sahaja tapi ia perlu mengambil kira alatan yang digunakan untuk memancing, cara pendaratan (landing) ikan, cara menangani
tangkapan (handling) dan cari merawat ikan (reviving) yang kita akan bincang pada masa hadapan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...