Umpan untuk spesies merah mata hitam paling top ialah ikan selayang untuk siang hari, sotong hidup di malam hari. Ini sesuai dengan diet ikan dari kawasan yang sama seolah makanan asasi bagi rutin diet hariannya.
Bagaimanapun jika jumpa kelompok ikan ini di satu lubuk, apa-apa umpan ikan janji kesegarannya terjamin boleh digunakan. Umpan boleh dicangkukkan seekor jika kecil atau dihiris memanjang. Umpan mati terbaik ialah ikan/sotong belum kena ais.
Paling tidak ia tidak terendam di dalam ais. Potong memanjang berjuntai sedikit lebih baik dibandingkan seketul isi dipotong bersama tulang.
Ads
Yang penting pemancing perlu pastikan agar umpan tidak berbelit dengan tali utama tidak kira teknik apollo mahupun penggunaan tanduk. Menggunakan tanduk dapat mengurangkan risiko umpan berpintal dengan tali utama.
Ads
Teknik apollo 3 hingga 5 mata kail diikat dengan perambut 60lb dengan perambut utama 100lb paling sesuai diamalkan untuk ikan merah berkelompok ini.
Ads
Faktor menentukan saiz mata kail biasanya dirujuk kepada saiz ikan yang dipancing, jenis sama ada bermulut besar atau ikan berbadan besar mulut kecil. Merah mata hitam adalah jenis ikan merah memiliki mulut saiz normal seperti ikan jenahak maupun siakap merah.
Jika saiz kurang sekilogram boleh dipadankan mata kail seperti Gamakatsu nombor 1 atau 2, jika saiz menjangkau 3kg ke atas mata kail npmbor 3/0 hingga 5/0.
Saya gemar menggunakan gabungan 2 mata kail, kecil no 1 di hadapan dan saiz 3/0 atau 4/0 di belakang. Ikatan perambut tanpa perambut dawai kecuali jika ada pemangsa bergigi tajam mencuri umpan terutama pada malam hari.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Nak mancing udang galah pun kena belajar ke? Iya… udang galah bukan dipancing kerana kekuatannya melawan apabila tertusuk mata kail. Sebaliknya ada keseronokan tersendiri yang hanya boleh dirasai oleh penggemarnya. Lebih-lebih kalau dapat udang galah bersaiz besar atau jenggo.
Namun, untuk merasai peluang keseronokan sorong tarik dengan jenggo ni bukanlah mudah. Sedikit sebanyak korang perlu belajar bagaimana nak memancing udang galah.
Fahami Sifat & Tabiat Udang
Udang galah dikelaskan sebagai haiwan omnivor yang boleh makan apa sahaja di hadapannya. Bagi memudahkan kita untuk mengesan udang galah, seeloknya gunakan umpan berbau. Jika di kawasan air jernih, udang galah sangat peka dan agak sukar untuk ditangkap melainkan jika dipancing pada waktu malam atau di lokasi yang didominasi haiwan ini.
Ketahui Jenis Umpan
Umpan yang selalu digunakan untuk memancing udang galah adalah perumpun. Antara perumpun yang digunakan adalah jenis sarang, bakau, pantai, dan nipah. Cacing tanah atau anak udang sebagai umpan juga digalakkan. Isi kerang, remis, dan isi ikan juga selalu dijadikan umpan untuk memperdayakan sang udang galah.
Teknik Mengumpan
Sebenarnya tidak sukar untuk mengumpan udang galah kerana spesies ini tidak cerewet. Udang galah boleh makan ikan longkang sama ada ia mati atau hidup. Ada pilihan lain seperti jantung atau hati ayam tetapi lebih sesuai digunakan jika anda memancing di kolam.
Jangan pasang umpan yang terlalu besar pada mata kail kerana ia akan melambatkan udang galah untuk menelan mata. Sebaiknya sediakan umpan yang sepadan dengan mata kail yang digunakan. Saiz mata kail udang dan jenisnya bergantung pada batang pancing.
Waktu Sesuai
Kebanyakan kaki pancing suka untuk memancing udang galah kerana ia tidak bermusim. Tapi waktu terbaik untuk mendapatkan udang galah adalah pada musim kering (tiada hujan sebelumnya).
Selain itu, menghendap udang galah pada waktu malam juga lebih mudah. Kesimpulannya, udang galah tidak bermusim. Bila-bila masa pun ada! Cuma mungkin kurang sedikit di muara sungai selepas musim hujan atau ketika muara sungai tawar airnya.
Ketahui Lubuk Udang Galah
Seandainya anda memilih kawasan pendalaman seperti hulu sungai atau bekas lombong lama, eloklah ambil berat tentang soal keselamatan. Tempat yang tidak dikenali seperti itu biasanya berbahaya. Jika anda anda terdengar cerita tidak ‘elok’ tentang lokasi itu, tak perlulah menempah bahaya unuk ke sana.
Jika anda mahu mencari udang di muara sungai, biasanya udang galah akan banyak selepas beberapa hari turunnya hujan di tempat itu. Bila hujan, airnya akan keluar ke laut melalui sungai.
Haaa… Air inilah yang membawa udang galah bersama. Pada waktu ini, udang galah akan banyak di kawasan muara sungai. Udang galah akan mudik semula ke hulu sungai apabila air di muara sungai kembali payau atau masin.
Peralatan Memancing Udang Galah
Apa-apa saja joran yang dilabel sebagai joran udang galah boleh dipakai. Kekili pula biarlah sepadan dengan joran. Sebaiknya guna kekili kecil dengan siri 500 – 2000 sahaja. Tali utama sebaiknya tali sulam berkuatan 10-15lb sahaja.
Lagi halus lagi bagus bagi membelah arus. Perambut yang dicadangkan adalah yang menggunakan tangsi 6-12 paun. Ia sudah memadai untuk menampung berat atau kudrat udang.
Kebiasaannya, berat udang galah dalam lingkungan 50-500gm sahaja. Gunakan mata kail nombor 2 hingga mata kail nombor 6 kerana saiz ini paling sesuai. Sementara batu ladung pula bergantung kepada arus. Lazimnya batu hidup saiz 4-6 menjadi pilihan ramai pemburu udang galah.
Lure atau gewang terbaik untuk digunakan untuk kawasan atau spot dipenuhi reba ialah spoon dan spinner kerana ia berat dan diperbuat daripada logam memudahkan ia tenggelam ke dasar dengan cepat.
Kilauan yang terdapat padanya juga boleh menarik perhatian ikan walau ia sedang tenggelam sekalipun. Banyak juga sebarau yang boleh diperoleh ketika spoon masih bergelek (fluttering) ke dasar.
Paling penting sekali kebanyakan spoon dan spinner adalah berharga ekonomi dan teknik ini dimainkan rapat dengan reba, peratusan sangkut amatlah tinggi. Jika putus sekalipun tidaklah rasa ralat sangat. Saiz yang sesuai antara 7 hingga 20gm, lagi berat spoon lagi cepat ia jatuh ke dasar.
Warna tidak menjadi kriteria utama, asalkna ia berkilat sudah. Saya lebih suka menggunakan spoon berwarna tembaga, emas dan oren jika hari mendung, awal pagi dan lewat petang serta perairan yang keruh dan spoon warna perak berkilat, putih serta pink jika cahaya matahari kuat menyinar dan perairan yang jernih.
Alasannya ketika cuaca redup atau perairan yang sedikit keruh, cahaya matahari kurang menembusi air lantas kilatan sisik anak-anak ikan kurang berkilau. Sebab itu spoon warna tembaga dan emas lebih sesuai kerana cahaya yang dibiaskannya pudar.
Ketika cuaca cerah dan perairan jernih, cahaya matahari kuat menembusi air membuatkan sisik ikan-ikan kecil membiaskan banyak cahaya. Sebab itu spoon warna perak lebih berjaya. Ikan pemangsa selalunya tidak menyerang makanan yang kelihatan pelik dalam habitat semulajadinya.
Spoon biasanya dilengkap dengan mata tiga dan ia adalah agen sangkut nombor satu untuk teknik ini. Anda mesti menukarnya dengan mata tunggal untuk meminimakan sangkut. Terbaik jika mata tersebut dilengkapi wayar kalis sangkut.
Akan tetapi kerana ia dimainkan rapat dengan reba kejadian sangkut akan berlaku juga. Jika terasa spoon sudah sangkut, perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah jangan sesekali merentap joran untuk melepaskan sangkut tersebut, ia akan membuatkan mata kail terbenam dengan lebih dalam lagi.
Apa yang perlu anda lakukan adalah membawa bot melawan arah spoon yang tersangkut itu. Tegangkan tali dan tariklah ia ke atas sedikit kemudian lepaskan tali dan tarik semua, ulang proses sampai mata kail tertanggal dari reba.
Jika masih sangkut lagi barulah gunakan lure retriever yang sesuai. Lure retriever yang mempunyai rantai tidak berapa sesuai lantaran rantainya itu sendiri akan menjadi mudah sangkut di kawasan bereba. Jika sangkut lagi, jalan lain terpaksalah menariknya hingga putus.
Ikan puyu merupakan ikan air tawar bersaiz kecil yang cukup enak dijadikan juadah. Namun, sebelum dijadikan juadah ikan puyu perlulah dibersihkan dan dibuang rasa hanyirnya. Di sinilah yang sering menjadi masalah kerana untuk menyiang ikan puyu ini memerlukan cara yang betul bagi mengelakkan dari terluka tangan akibat sirip-siripnya yang tajam.
Ikan puyu perlu dimatikan terlebih dahulu sebelum menyiangnya. Menyiangnya hidup-hidup bukan saja agak kejam tetapi juga boleh mencederakan diri sendiri. Untuk mematikannya, anda bolehlah mengetuk bahagian tengkuk (bahagian antara belakang kepala dan badan) atau menabur garam ke atas badannya dengan jumlah yang agak banyak.
Langkah 1
Guna gunting yang agak besar dan tajam untuk memotong kesemua siripnya yang tajam. Terutamanya sirip dorsal dan pektoralnya. Gunting hingga ke pangkal sirip merapati badannya.
Langkah 2
Buang sisiknya menggunakan pisau dengan cara mengikisnya dari bahagian ekor ke arah kepala. Buang kesemua sisik yang melekat pada badannya.
Langkah 3
Potong dan buang bahagian kepala dengan cara memotongnya pada bahagian leher di penghujung penutup ingsangnya. Kepala puyu tidak memiliki banyak isi yang boleh dimakan, malah ia boleh mendatangkan rasa hanyir.
Langkah 4
Potong bahagian sirip perutnya terlebih dahulu sebelum membuang isi perutnya.
Langkah 5
Potong bahagian ekor hingga ke pangkalnya. Semua ikan air tawar perlu dibuang ekor kerana pada bahagian ekor ini agak berlendir dan berbau hanyir.
Langkah 6
Ikan puyu yang telah dibersihkan. Selepas dicuci bersih, sebaiknya lakukan proses membuang rasa hanyirnya sama ada merendamnya dengan air beras, tepung gandum atau sebagainya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...