Duncan braid loop knot adalah satu jenis ikatan gelung menghubungkan tali pancing dengan gelung atau cincin gewang, mata kail atau swivel.
Ciri utama ikatan ini, ia hanya untuk tali sulam atau braided sahaja. Sekiranya menggunakan tali tangsi (mono atau fluorocarbon), bentuk gelung tidak akan terhasil kerana sifat tali tangsi yang licin tidak akan menjerut dan membentuk gelung.
Kelebihan ikatan ini membolehkan gewang bergerak dengan lebih bebas dan meningkatkan lagi aksi persembahan gewang.
Langkah 1
Masukkan hujung tali melalui cincin gewang dan lepasi kira-kira sejengkal bagi memudahkan simpulan yang akan dihasilkan.
Langkah 2
Lingkarkan bahagian hujung tali yang melepasi cincin menindan bahagian tali utama hingga terbentuk huruf O.
Ads
Langkah 3
Masukkan hujung tali ke dalam bulatan tadi dengan melilit kedua-dua tali utama dan bahagian tali yang melepasi cincin seperti di dalam gambar.
Langkah 4
Lakukan lilitan sekurang-kurang 3 kali. Untuk hasil simpulan yang lebih kuat sebaiknya buat 5 lilitan.
Ads
Langkah 5
Perlahan-lahan tarik bahagian hujung tali dan pastikan simpulan tidak bertindih antara satu sama lain.
Langkah 6
Ads
Sebelum simpulan ditarik ketat, rapatkan dahulu simpulan ke cincin dan buat anggaran sebesar mana gelung yang anda ingin hasilkan.
Langkah 7
Pegang bahagian gelung di hadapan cincin dan jerut ikatan dengan kuat. Kemudian potong lebihan tali yang tidak diperlukan.
Penggunaan shock leader ini semakin meluas digunakan oleh kaki pancing yang menggemari teknik seperti casting, jigging, trolling dan lain-lain lagi. Fungsi utamanya ialah ia menjadi alat untuk menyerap tekanan mengejut daripada sambaran ikan apabila ikan menyambar umpan.
Fungsi lain ia bertindak sebagai alat untuk mengurangkan tekanan geseran pada struktur dan pada masa yang sama ia juga mampu untuk mencangkukkan mata kail dengan lebih kemas pada mulut ikan.
Kelebihan inilah menjadikan shock leader ini sering digunakan oleh kaki pancing terutamanya bagi mereka yang menggunakan tali sulam kerana tali sulam juga tidak mempunyai kuasa regangan untuk menampung henjutan kuat ikan secara tiba-tiba dan tugas ini dipikul oleh perambut tangsi yang akhirnya bertindak sebagai absorber.
Selain itu, tali sulam yang dijual di pasaran sekarang mempunyai pelbagai warna. Kebanyakan daripada warnanya lebih untuk menarik perhatian kaki pancing untuk membelinya selain berkesan untuk kaedah pancingan tertentu tetapi tidak kepada ikan.
Jika diabaikan pemasangan perambut ketika casting, ia sedikit sebanyak akan mengganggu perhatian ikan untuk menyambar umpan anda. Dengan pemasangan shock leader (lut sinar) sepanjang sedepa atau sedepa lebih, mampu untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Pancingan kelong memang menjadi antara tarikan utama kaki pancing untuk keluar memancing terutama bagi yang meminati pancingan laut tetapi alah untuk menaiki bot dan dilambung ombak besar.
Namun, bukan semua kelong mampu memberikan hasil yang terbaik buat kaki pancing. Ada yang memberikan hasil ala kadar sahaja dan ada juga memberikan perkhidmatan yang kurang memuaskan. Tetapi tidak di Kelong Maswira, Serkat.
Pengalaman memancing dan perkhidmatan terbaik di sini pasti akan membuat kaki pancing datang kembali untuk memancing di sini. Siapa sangka di sebalik namanya, Kelong Maswira telah lebih 20 tahun beroperasi di perairan Serkat, Pontian.
Bermula sebagai kelong kecil-kecilan hinggalah menjadi sebuah kelong yang selesa memuatkan 20 orang pemancing pada satu-satu masa seperti hari ini.
Dikelilingi karang hidup dan terletak berhampiran dengan laluan kapal menjadikan kelong ini sebagai lokasi utama permainan ikan dan sering didiami spesies gred A. Ini terbukti apabila pelbagai jenis ikan seperti kerapu, merah, jenahak, tebal pipi, kurau, siakap dan pari sering dinaikkan oleh kaki pancing yang berkunjung ke sini.
Malah, saiz yang dinaikkan bukan kecil-kecil anak, ada pemancing yang pernah menaikkan ikan pari seberat 20 kg, siakap 13kg dan kerapu 10kg ketika memancing di sini. Lokasi ini juga menjadi tempat permainan ikan-ikan pelagik seperti selar, kembung dan tamban yang sesuai dijadikan umpan untuk memancing.
Kemudahan Terbaik
Untuk ke kelong ini, ia memakan masa lebih kurang 15 minit dengan menaiki bot dari Pangkalan Penghulu Serkat. Kemudahan yang ada di sini memang serba mencukupi. Dilengkapi 4 buah bilik rehat dengan tandas yang selesa serta dapur untuk memasak menjadikan kelong ini bukan sahaja sesuai untuk kaki pancing, malah sesuai untuk seisi keluarga.
Tidak cukup dengan itu, di sekeliling kelong turut dilengkapi dengan rod holder bagi memudahkan kaki pancing meletakkan joran mereka sambil menunggu ikan memakan umpan. Kerusi juga turut disediakan di sekitar kawasan memancing beserta dengan tangguk dan gancu untuk membawa naik ikan besar ke atas kelong.
Menurut pengusaha kelong yang lebih mesra dipanggil En. Afis, pada masa hadapan beliau akan cuba untuk mendapatkan peruntukan bagi membesar dan menaiktarafkan kelong ini untuk menjadi homestay memancing tengah laut.
Beliau yakin dengan usaha ini, ia mampu menarik lebih ramai kaki pancing dari serata Malaysia dan sekaligus menggalakkan pertumbuhan industri pelancongan memancing negeri Johor.
Majalah Umpan sempat meluangkan masa merasai pengalaman memancing di Kelong Maswira ini. Meskipun ditemani cuaca penghujung tahun yang tidak menentu disertai dengan angin kuat, kami tetap komited untuk mencuba nasib.
Terbukti hasil di sini memang terbaik. Meskipun berdepan cuaca tidak menentu kami masih mampu menaikkan seekor pari berskala 4kg selain beberapa ekor kerapu, tebal pipi, sembilang dan pelbagai spesies lain.
Untuk memancing di sini, adalah amat digalakkan untuk membawa rod panjang 13 – 15 kaki untuk memburu pari dan tebal pipi. Jangan risau untuk membaling rod panjang kerana kelong ini mempunyai kawasan yang luas untuk membuat lontaran jauh.
Bagaimana ke sini?
Sekiranya anda dari arah Utara, keluar dari plaza tol Simpang Renggam dan menuju ke Pontian. Setibanya di Pontian, anda boleh berpandukan kepada papan tanda menuju ke Taman Negara Tanjung Piai.
Sebelum tiba di Tanjung Piai, anda akan dapat melihat papan tanda Kelong Maswira kerana kedudukan Kelong Maswira hanya kira-kira 1.5 kilometer sebelum anda tiba di Tanjung Piai.
Makluman terkini:
Kelong Maswira kini hanya tinggal kenangan. Tragedi kebakaran yang berlaku pada 23 Februari 2020 yang lalu telah memusnahkan port mancing kesayangan ramai ini.
Saya terasa ingin tahu… saya tengok tali tangsi atau sulam memiliki pelbagai warna tetapi adakah ia mempunyai fungsi berbeza? Dan apakah warna sesuai untuk memancing di muara?
Menurut pengamatan saya, ramai pemancing inginkan warna tali pancing yang terang dan mudah dilihat lebih-lebih lagi di malam hari.
Sesetengah pemancing suka warna yang cantik dipadankan dengan kekili dan joran. Ada juga yang suka warna gelap atau jenis halimunan kerana dikatakan tidak mudah dilihat ikan.
Bagi saya warna tali utama tidak begitu mendatangkan kesan pada tangkapan. Apa yang lebih penting untuk ikan adalah persembahan umpan (umpan biasa atau tiruan) yang boleh menarik minatnya untuk diterkam.
Namun yang perlu dititik beratkan ialah warna perambut biarlah sesuai dengan warna air atau persekitaran dan mudah memperdayakan ikan.
Jangan terlalu terang atau jelas di dalam air kerana sesetengah ikan begitu peka pada persekitaran dan ada juga yang fobia dengan tangsi (mungkin profilnya seperti tangsi pukat).
Memancing di muara yang airnya tidak dalam saya syorkan menggunakan tangsi berbanding tali sulam.
Ini akan menambah keseronokan dan kepuasan ketika membalas sentapan. Tangsi akan menghasilkan sedikit anjakan dan suntikan balas yang menyeronokkan.
Jika air keruh lebih elok guna tali warna gelap kerana tali warna cerah akan pudar disebabkan pengaruh air.
Tali sulam jika kehabisan salutan lilin akan menyebabkan air dapat meresap dan air yang keruh boleh menukar warna tali menjadi kotor.
Untuk tali utama apa-apa warna tidak begitu mendatangkan masalah asalkan sesuai dengan warna persekitaran. Jika masih berminat mengunakan tali sulam untuk memancing muara, gunakan perambut tangsi yang panjang.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...