Kerana ingin sangat mengetahui teknik memancing tenggiri, pernah dalam masa sebulan saya berulang alik ke Kuala Kemaman pada setiap minggu hingga empat minggu berturut-turut, mengikuti seorang nelayan yang merupakan seorang tekong tersohor di Kg. Geliga.

 

Beliau banyak memancing tenggiri berbanding lain-lain ikan. Pernah satu hari apabila kami tiba di lubuk, belum sempat saya siapkan set pancing, beliau sudah daratkan dua ekor tenggiri tidak sampai 5 minit!

 

Masa itu saya terkial-kial memasang perambut dawai! Apabila siap menurunkan umpan, berulang kali beliau menyarankan pada saya agar jangan pakai joran sebab lambat.

Kalau betul-betul nak pakai juga joran, pastikan sentiasa dalam gengaman. Kerana nak belajar cara pancingan moden, akhirnya saya kena11-0. Sebelas kali strike, 3 putus, 6 tidak sempat balas dan 2 rabut akibat lambat mengarau tali.

 

Kunjungan ketiga saya mula mengunakan koyan dan diajar melabuhkan umpan dengan teknik yang betul. Tidak sampai setengah jam tunggu sentapan mula dirasakan. Tangan basah dan tangsi licin pula mengganggu kelajuan karauan dan lambat maknanya hasil lenyap.

 

Tapi banyak kes sentapan saya terpaksa menyerahkan koyan pada tekong kerana tidak tahan jari ‘manja’ menggenggam tangsi. Dah banyak kali jari luka akibat geseran tangsi keluar dengan laju. Paling mahal dapat merasai sendiri sentapan tenggiri ketika tali dalam gengaman tangan.

IKLAN

 

Paling seronok melayan tenggiri ialah semasa saya mengadakan trip memancing di Pulau Jarak. Ketika itu kami berlabuh di karang tenggara dengan kedalaman air puncak karang 150 kaki dan paling dalam 300 kaki.

 

 

Bot besar mempunyai cahaya terang dan menarik perhatian pemburu berlegar di kawasan paling luar dengan cahaya lampu bot. Waktu itu juga saya malas nak mancing dasar kerana ramai memilih teknik pancingan dasar. Air terlalu dalam juga membuatkan saya memilih pancingan hanyut.

 

Kebetulan kami membawa kira-kira 3kg kembung segar dan 50kg pelaling. Saya mula perasan kehadiran ikan pemburu berlegar di keliling bot apabila terlihat banyak objek berkilat akibat pantulan cahaya lampu. Senyap-senyap saya cilok kembung yang bakal digunakan sebagai lauk.

 

Menggunakan perambut dawai 60lb, mata kail Gamakatsu 4/0 Octopus dan perambut tangsi 50lb 2 depa. Kembung dihanyutkan di belakang bot tanpa pemberat. Kembung berkulit hijau cerah mengundang pemburu dengan cepat. Tidak sampai 15 minit semua mata tertumpu apabila saya dah daratkan 2 ekor tenggiri dengan hampir 8kg dan 10kg. Lepas itu ramai menyertai saya memancing hanyut.

 

Bot besar memberi keselasaan 6 orang pemancing berada di belakang pada satu-satu masa. Bila ramai umpan kembung tadi diberi perhatian serius. Sejam berlalu kembung habis dan kami sudah menjerat 6 ekor tenggiri tidak termasuk berbelas kali putus dan rabut.

 

 

Di penghujung trip kami kehabisan perambut dawai selain umpan kembung walaupun pelaling menjadi pilihan kedua. Acara memburu tenggiri ditukar apabila yu sirip hitam dikesan mendominasi sentapan berbanding tenggiri yang mula memencilkan diri.

 

Jika ramai yang bijak manfaatkan peluang saya rasa lebih dari 30 ekor dapat ditewaskan. Sentapan rakus dan banyak masa perlu bertahan apabila tidak mampu mengepam tangsi masuk dan akhirnya tangsi utama banyak yang putus.

 

Ramai di antara kami leka dan membiarkan terlalu lama deringan pengera lantas memberi kelebihan ikan meloloskan diri. Banyak lagi kelemahan perlu diperbaiki ketika itu. Satu kenangan cukup indah buat saya.