Perkenalan penulis dengan tekong Angah bukanlah baru. Sebelum ini penulis pernah merasai pengalaman memancing sembilang bersama Angah di Kuala Lukut ini.
Justeru apabila penulis mendapat perkhabaran dari Angah yang beliau sudah mula membawa kaki pancing memancing di luar kuala dan kali ini katanya memancing di
sekitar Jimah Power Plant, penulis tidak teragak-agak untuk menghubungi Angah untuk mengatur trip memancing bersamanya di Jimah Power Plant.
Tiba hari yang dijanjikan, Angah terus memacu bot 25 kaki menuju ke unjam untuk mencari ikan pelagik yang akan dijadikan umpan nanti.
Menurut Angah, selain mencari umpan kawasan ini juga menjadi tempat terbaik untuk memburu spesies pemangsa yang gemar bermain di pertengahan air seperti tenggiri batang, tenggiri bunga dan talang.
Setelah bekalan umpan mencukupi, Angah terus memberi isyarat untuk mengubah lokasi.
Kali ini kami menuju ke kawasan karang panjang yang dikatakan menjadi kawasan permainan spesies gred A seperti jenahak dan kerapu.
Namun, nak dijadikan cerita, belum sempat kami tiba di kawasan tersebut, tiupan angin kencang dipadankan dengan alun besar telah membatasi perjalanan kami.
Ads
Akhirnya, kami akur terhadap kejadian alam, lebih baik berlindung daripada bahaya dan kami kembali ke kuala untuk berlindung sementara menunggu cuaca mulai reda.
Mujurlah, perjalanan ke kuala tidak mengambil masa yang lama. Sekurang-kurangnya rasa sedikit selamat memancing di sini walaupun dilanda ribut yang tak menentu.
Jadi sementara menunggu cuaca kembali pulih, sempatlah kami melayan sembilang, tetanda dan gerut-gerut di muka kuala ini. Jadilah, sedikit sebanyak menghilangkan rasa bosan kami di sini.
Apabila cuaca mulai pulih, kami terus menuju ke lokasi target iaitu Jimah Power Plant. Perjalanan dari kuala sungai untuk ke sini hanya sekitar 15-20 minit sahaja.
Tidaklah memakan masa yang lama. Bekalan umpan seperti udang hidup, tamban dan pelata telah kami siap sediakan sebelum menuju ke sini.
Ads
Adalah penting untuk membawa pelbagai variasi umpan kerana selera ikan sentiasa berubah-ubah dan kita sebagai pemancing harus sentiasa “trial and error” untuk mengetahui umpan mana yang lebih berkesan.
Setibanya di sini, Angah terus melabuhkan bot di bawah jeti Jimah Power Plant. Terdapat sebuah lagi bot yang awal-awal sudah menunggu di bawah jeti untuk memburu isi perut Jimah Power Plant.
Menurut Angah, di kawasan bawah jeti Jimah Power Plant ini kaedah menggantung umpan adalah terbaik untuk digunakan.
Ini kerana, jika umpan dilepaskan ke dasar, potensinya untuk sangkut ke karang adalah amat tinggi.
Ads
Jadi, cara yang biasa digunakan ialah penggunaan tanduk bersama perambut sepanjang sedepa setengah dan melepaskannya separuh atau tiga suku dari permukaan air.
Katanya, dengan teknik ini, ia terbukti berkesan untuk menawan ikan seperti senangin, GT, talang dan alu-alu yang banyak bermain di tiang-tiang jeti.
Jika tiba musim ikan masuk, memang tak menang tanganlah menarik penghuni Jimah Power Plant.
Melihat aksi ikan sewaktu memancing di sini, memang penulis amat galakkan untuk kaki pancing merasai sendiri pengalaman memancing di Jimah Power Plant. Henjutan padu senangin, GT dan talang di sini memang tak dapat dinafikan kehebatannya.
Jelaslah, Jimah Power Plant memang amat berpotensi untuk diketengahkan kepada kaki pancing.
Dengan jarak perjalanan ke sini yang tidak terlalu jauh dari ibu kota dan kos yang tidak terlalu tinggi, kawasan ini memang boleh dijadikan lapangan yang sesuai untuk kaki pancing terutama yang baru hendak menjinakkan diri di dalam pancingan laut.
Tekong Angah adalah tekong yang amat penulis sarankan jika anda mahu merasai pengalaman memancing di sini.
Servis yang terbaik dan kecekapan mencari lubuk oleh tekong Angah memang amat penulis kagumi. Beliau juga tidak lokek ilmu dan sentiasa mementingkan keselamatan kaki pancing.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Pada hari pertama trip, saya tidak dapat merasakan tarikan black bass. Tiada seekor pun black bass yang berjaya dipancing.
Bagaimana pun saya dapat juga menaikkan beberapa ekor siakap merah atau MJ yang bersaiz sederhana dan beberapa ekor barracuda.
Berdasarkan info yang saya dapat dari boatman (Pak Sudir), faktor air memainkan peranan penting dalam mendaratkan ikan blackbass.
Hari pertama casting hanya tertumpu di kawasan Kuala Maruap. Pada hari kedua aktiviti casting tertumpu di kawasan Dagat yang memakan masa sekitar 2 jam perjalanan dari jeti Lasun.
Dengan panduan Pak Sudir, sebaik saja sampai di spot Dagat, saya pun casting menggunakan Fangbait 140dr.
Setelah casting selama 4 jam, saya tidak juga dapat merasakan tarikan black bass. Faktor cuaca juga tidak menyebelahi kami dengan turunnya hujan lebat yang lagi merumitkan
proses mancari black bass. Dengan tidak berputus asa, saya pun meneruskan pencarian black bass.
Pada hari ketiga, kali ini kami tertumpu di kawasan Sungai Segama dan hulu Segama. Hari ketiga boleh dikatakan amat bagus kerana akhirnya saya dapat mendaratkan beberapa
ekor black bass yang bersaiz kecil. Disamping itu ada juga spesies lain yang saya dapat dapat seperti barracuda, MJ, dan baby GT.
Untuk hari keempat kami meneruskan aktiviti casting di kawasan Pangalungan. Menurut Pak Sudir, keadaan air pada hari keempat amat bagus dan harap dapat mendaratkan black bass yang melebihi 5 kg.
Saya amat gembira bila air sungai amat bagus untuk mencari black bass dan saya pun casting betubi-tubi. Akhirnya saya mendapat strike yang amat kuat! Saya cuba sedaya
upaya untuk mendaratkannya tetapi nasib tidak menyebebelahi saya. Tali utama 72 lb yang saya gunakan meletup.
Namun ia tidak mematahkan semangat saya yang meluap-luap. Dengan segera saya mengambil set up pancing yang lain dan meneruskan casting di kawasan pokok yang
tumbang. Dengan beberapa kali cast saya mendapat strike dan dapat menaikkan seekor blackbass monster!
Sukar untuk saya beritahu perasaan saya ketika itu kerana berjaya menaikkan black bass seberat 9.12 kg! Dan black bass 9.12 kg itu menjaddi penamat atau tangkapan yang last untuk hari yang keempat.
Pada hari kelima kami meneruskan casting di kawasan hulu Sungai Segama dengan harapan dapat menaikan black bass yang melebihi 9.12 kg pula.
Pada sebelah pagi tiada strike langsung. Pada sebelah petang pula dapat strike ikan tarpon (ikan bulan), MJ dan baby black bass.
Hari kelima merupakan hari yang last untuk trip ini. Saya amat berterima kasih kepada Pak Sudir yang banyak memberi tunjuk ajar sepanjang trip dan tidak lupa juga Ng Yam Pin
(Ironman), NSA atau One Nation Anglers yang banyak memberi sokongan untuk menjayakan trip black bass sehingga menjadi kenyataan. Keesokannya saya terbang pulang ke Johor Bharu dengan hati puas.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Terdapat pelbagai sungai yang boleh dikunjungi di sepanjang Sungai Tembeling antaranya Sungai Terrengan, Keniam, Sat dan Sephia. Sungai keniam merupakan salah satu cabang sungai yang terdapat di Sungai Tembeling yang terletak di Taman Negara Kuala Tahan, Pahang.
Sungai Keniam amat terkenal dikalangkan peminat atau pemancing ikan air tawar dan kaki trekking. Apa yang menarik tentang Sungai Keniam ini ialah sungai ini masih kaya dengan populasi ikan air tawar paling mahal di Malaysia iaitu ikan kelah merah.
PERANCANGAN
Walaupun hasil Sungai Keniam dikatakan tidak semeriah dulu dan sukar diperolehi, ikan kelahnya tetap masih ada. Dalam merealisasikan memperoleh ikan idaman ini, saya telah mengaturkan satu trip seramai 24 orang ke Sungai Keniam selama 4 hari 3 malam.
Untuk ke sana tidaklah terlalu sukar, kami hanya perlu membuat tempahan bot yang banyak terdapat di Kuala Tahan. Tanpa perlu bersusah payah, hanya taip sahaja perkhidmatan sewa bot ke Taman Negara di Google, pasti memberi pelbagai maklumat tentang pelbagai pilihan pakej untuk ke sana berserta nombor telefon orang yang perlu dihubungi.
Selain itu, pelbagai peralatan perkhemahan dan keperluan makanan perlu kami sediakan sebagai persiapan ke sana. Memandangkan Sungai Keniam amat terkenal di kalangan pemancing sungai pergunungan, lokasi ini pasti dilawati oleh pemancing setiap minggu. Oleh kerana itu, pihak Taman Negara Pahang mewajibkan setiap pengunjung yang hendak ke sana memohon permit.
Antara permit yang perlu dipohon ialah permit sewa tapak perkhemahan dan permit memancing. Ini kerana pihak Taman Negara Pahang akan memantau setiap kemasukan pengunjung di sepanjang sungai yang terdapat di Sungai Tembeling supaya kejadian over fishing tidak berlaku serta menjamin populasi ikan-ikan yang terdapat di sungai-sungai ini.
Pengunjung juga dilarang keras membawa sebarang jaring atau jala, bom ikan, tuba dan senapang ikan ke sana. Jika masih terdapat pengunjung yang berdegil membawa peralatan yang dilarang ini, tindakan tegas akan diambil serta merta oleh pihak Taman Negara.
LATA SAID
Selepas membuat pendaftaran di pos Taman Negara Pahang, kami bergerak menongkah arus Sungai Tembeling untuk ke lokasi yang dirancang. Sebelum itu, kami telah berbincang bersama pengusaha bot tentang lokasi perkhemahan kami nanti. Di Sungai Keniam terdapat beberapa tapak perkhemahan yang di sediakan untuk pengunjung antaranya ialah di Lubuk Rinching, Lubuk Rawa dan Lata Said.
Kami telah memutuskan untuk menginap di Lata Said memandangkan kawasan ini ialah lubuk paling berpotensi mendapat ikan sasaran. Perjalanan untuk ke sana memakan masa selama 3 jam perjalanan menaiki bot dari jeti Kuala Tahan. Selepas 1 jam perjalanan, kami sempat singgah di Kampung Pagi untuk membeli sebarang keperluan tambahan.
Tiba sahaja di Sungai Keniam, kelihatan perjalanan kami menjadi lebih mencabar. Kekipas bot terpaksa ditukar kepada saiz lebih kecil kerana setiap bot akan melalui ruang sempit yang penuh dengan batu-batuan yang banyak terdapat di sepanjang sungai. Sekali sekala kami terpaksa mengerah tulang empat kerat kami membantu boatman menolak bot apabila berada di kawasan cetek yang tidak mampu dilalui oleh bot.
SANG BADONG
Selepas melepasi beberapa cabaran, akhirnya kami tiba di Lata Said. Dengan segera kami mengangkat segala kelengkapan kami di tapak perkhemahan. Selepas menyediakan khemah, kami sudah tidak sabar-sabar lagi untuk memancing. Yuhilmi yang mencuri-curi memancing ketika kami sibuk menyediakan khemah terus mendapat sambaran sebarau yang layak digelar sang badong.
Sang Badong yang mempunyai berat hampir 3kg ini menyambar sesudu Abu Island miliknya dan lokasin tangkapan hanya di depan tapak perkhemahan kami. Ia pasti menggujakan kami untuk memancing. Baru depan tapak perkhemahan kami sudah boleh mendapat Sang Badong, ini belum lagi kami singgah ke lubuk-lubuk lain yang berpotensi.
Hari pertama kami di Keniam, banyak kami habiskan masa memancing di lubuk-lubuk berhampiran dengan tapak perkhemahan kami. Beberapa ekor tengas bersaiz juvenil berjaya kami perolehi. Apabila malam menjelma, kami berpesta pula dengan ikan baung yang rakus menyambar umpan cengkerik yang kami bawa. Kebanyakan baung akar yang kami perolehi sebesar saiz 3-4 jari orang dewasa sahaja. Sudah pasti hasil tangkapan kami pada hari pertama ini dijadikan hidangan makan malam kami.
MENONGKAH ARUS
Pada hari kedua, awal-awal pagi lagi boatman menyarankan kami supaya berpecah kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama akan berjalan kaki meredah hutan rimba untuk naik lebih jauh ke hulu untuk memancing ikan. Kumpulan kedua akan menaiki bot menuju lubuk-lubuk di bawah seperti Lubuk Rawa atau Lubuk Rinching.
Sambil menuju ke lubuk tersebut, kami boleh mengilat sepanjang perjalanan di atas bot. Saya sendiri bercadang untuk mengikuti kumpulan trekking. Perjalanan ke lubuk yang dicadangkan oleh boatman mengambil masa 1 jam. Sepanjang perjalanan, kumpulan kami terpaksa menongkah arus sebanyak tiga kali untuk ke seberang sungai.
Menurut boatman, lubuk ini merupakan syurga buat ikan kelah dan tengas jika kena dengan masanya. Dengan segera kami terus melabuhkan umpan sawit yang dibawa dengan harapan mendapat lesen ikan idaman. Tanpa menunggu lama rod milik Cho’ort terus melengkung tanda telah disambar oleh ikan. Ikan kelah bersaiz 1kg berjaya dinaikkan.
Sekali-sekala kelihatan hamburan air berdekatan lokasi kami memancing tanda sang sebarau sedang galak menyambar anak-anak ikan. Lantas rod casting dicapai dan lontaran spoon dibuat ke arah kawasan hamburan tadi. Serta-merta sesudu Abu Island II disambar oleh sang sebarau seberat 750gram.
Selepas beberapa jam bertandang di sini, kami mula bercadang untuk pulang ke kawasan perkhemahan. Sempat juga boatman yang menjadi guide kami mencari cacing sungai sebagai persediaan untuk memancing malam dan hari seterusnya.
Apabila malam menjelma, kami hanya bersantai-santai di kawasan perkhemahan kami sambil memancing. Perbincangan tentang rancangan esok lebih diberi tumpuan. Selain itu bagi yang berhati waja, mereka meneruskan memancing di lokasi yang berhampiran hingga lewat malam.
LUBUK RAWA
Hujan pada lewat malam membuatkan kami liat untuk bangun awal. Tetapi semangat hendak memancing masih membara di dalam diri kami. Turunnya hujan, membuatkan air yang jernih di Sungai Keniam menjadi keruh. Hari ini saya bercadang untuk bertandang di Lubuk Rawa untuk memancing. Seperti semalam, umpan dasar yang kami gunakan ialah umpan biji sawit. Selain itu buah ara masak yang banyak terdapat di sana juga digunakan sebagai umpan.
Air sungai yang keruh dan berarus laju membuatkan ikan menjadi sukar dipancing. Hanya lampan, anak tenggalan, baung dan beberapa ikan kecil yang berjaya kami perolehi. Hingga ke lewat petang kami memancing tanpa sebarang hasil yang boleh dibanggakan.
KELAH MASAK TEMPOYAK
Alhamdulilah, hasil yang diperolehi mereka amat membanggakan jika dibandingkan dengan hasil tangkapan kami di Lubuk Rawa. Ikan kelah dan tengas banyak diperolehi mereka. Selain itu, baung akar juga banyak diperolehi menggunakan umpan cengkerik dan cacing sungai.
Ikan yang diperolehi segera diuruskan oleh tukang masak kami. Memang menggiurkan bila mana tukang masak memberitahu akan masak menu masakan gulai tempoyak. Memang tidak mampu kami tolak jika menu masakan terkenal negeri Pahang terutamanya apabila masakan ini melibatkan ikan kelah.
Ikan selebihnya akan kami bakar sebagai hidangan sampingan. Pucuk paku liar dan pucuk hutan menjadi hidangan sayur dan ulam-ulaman. Selain itu siput sungai yang dikutip oleh boatman menjadi salah satu hidangan istimewa kami. Beginilah keistimewaan apabila berkhemah di dalam hutan, setiap hidangan masakan seboleh-bolehnya diambil daripada sumber alam semula jadi.
Selepas selesai makan, kami meneruskan usaha memancing pada malam terakhir ini. Terasa amat rindu dengan suasana damai dan hening apabila berada di dalam hutan. Udara segar dan pemandangan indah amat berbeza dengan hiruk pikuk di bandar. Sekurang-kurangnya trip singkat ini telah banyak menghilangkan stress.
Saya percaya, hampir semua kaki pancing bermula dengan pancingan tebing, kemudian barulah berjinak-jinak ke langkah yang berikutnya. Di sini saya ingin berkongsikan apa yang saya alami dan mungkin juga anda juga turut mengalaminya.
Menebing (landbase)
Dahulu sewaktu mula-mula berjinak dengan pancingan muara, hampir serata jambatan sama ada yang dibenarkan ataupun larangan, jeti tinggal, kuala sungai dan pinggir hutan bakau diterjah pada setiap hujung minggu. Asalkan ada getuan dan aksi tarikan tanpa mengira apa jenis ikan sudah memadai.
Hilang rasa gelegak keinginan memancing. Dari berseorangan memancing, lama kelamaan dapat berkenalan dengan kaki pancing yang lain maka bertambah geng yang sealiran. Lubuk dan kawasan pancing dapat diperluaskan. Sebut sahaja pesisir pantai sepanjang Selangor hampir semuanya dijelajahi.
Ketika itu perumpun sarang menjadi umpan paling mujarab, beli hari ini boleh bertahan 4 hari jika simpan tempat yang sesuai. Kadang kala cuba juga menggunakan udang hidup yang dibeli di tepi jalan namun banyak kes ia ‘kojol’ dan kemerahan sebelum sampai di kawasan memancing.
Dengan akal yang ada maka umpan yang berada di kawasan berhampiran seperti siput, kupang dan anak ikan yang di pancing turut boleh dijadikan umpan sekiranya kehabisan perumpun.
Atas pengalaman itu hanya perumpun sahaja yang terbaik untuk bergerak ke serata di kawasan muara sungai menggunakan kenderaan darat. Masa itu agas atau nyamuk bukan halangan asalkan dapat menghilangkan stress tekanan kerja pada hujung minggu.
Lama kelamaan apabila asyik gelama, gegerut, bebolos, duri dan sesirat, tetuka dan anak tetanda yang berjaya didaratkan, hati mula berteriak mencari spesimen yang lebih besar, lebih nilai, lebih gred sesuai dengan pengalaman memancing sudah mengembang.
Namun bila setiap kali terpandang sampan pemancing mundar mandir di kawasan kita memancing, hati tertanyatanya bila pula masanya untuk merasai memancing bersampan. Dah sampai waktunya, takkan selamanya asyik nak menebing?
Bersampan dan tekong
Dari situ mula beranikan diri menyewa sampan kecil berserta tekong untuk memancing di sekitar Pelabuhan Klang. Barulah puas dapat melabuhkan umpan di tempat yang selama ini kena lontar sekuat tenaga. Dari atas sampan cuma hulur sahaja ke bawah. Menggunakan khidmat tekong kadang kala masa memancing terasa terlalu singkat, tekong kenalah banyak kerja lain yang dilakukannya.
Almaklum beliau bukan tekong sepenuh masa. Mana cukup nak menyara keluarga kalau hanya bawa orang memancing dengan kadar sewa RM200. Sampan berukuran 19 kaki menggunakan enjin sangkut 30Hp dengan kapasiti muatan 3 orang pemancing dan seorang tekong. 4 orang berada dalam sampan kecil tidak banyak pergerakan yang boleh dilakukan.
Duduk setempat seharian hingga kematu punggung. Belum masuk ke anak sungai bila tekong terpaksa menjala mencari bekalan umpan udang hidup. Keluar dari anak sungai muka merah-merah dipenuhi dengan tompokan lumpur sungai dan kesan lebam dek sang agas. Bila bersampan sesekali dapat merasa tarikan sembilang, ikan pari, tebal pipi dan senangin.
Spesies ikan yang gemar udang hidup atas sebab itu kami tiada pilihan lain kecuali mengikut tekong menjala di anak sungai bila air dah surut. Banyak juga kes terpaksa menunggu tekong yang tidak muncul-muncul. Masa memancing terbuang begitu sahaja. Panas hati membara apabila sering kena tipu dan kansel trip pada saat akhir.
Sendirian
Hati pemancing jarang sekali merasa puas. Bila tak tahan penangan agas, suruh tekong pergi menjala dahulu dengan kos tambahan umpan dan minyak dipersetujui. Dapat lama lagi memancing tanpa membuang masa mencari umpan. Apabila kita ada waktu terluang, tekong pula ada hal lain. Kemudian hati mula memberontak lagi, sewa sampan bawak sendiri lagi senang.
Lebih mudah, ada waktu terluang, beli umpan, isi minyak, bayar duit sewa sampan, start enjin terus ke lubuk. Bebas ke sana ke mari berpindah apabila hasil tidak menepati sasaran. Setiap kali air bah, setiap kali pantai berubah, pepatah yang hakiki kenyataannya.
Mana tidaknya, kalau memancing di tebing senang nak cam kawasan, ada jalan, ada pokok dan kesan lama kita memancing, tapi kalau di tengah sungai nak cam pokok tiba-tiba dah hilang ditebang dan ada yang tumbang ke air.
Kemudian apabila membuat penilaian dan rumusan trip keputusan hasil amat tidak berpadanan dengan kos yang dileburkan untuk memancing. Melihat orang lain membawa hasil yang lebih baik maka hati sekali lagi tersentak. Kawasan sama, argggh… Mungkin nasib mereka lebih baik. Atau mereka kena lubuk, tapi kita kena serbuk!
Apabila sukar nak cam lubuk kerana keadaan tebing yang berubah dek pembangunan, maka tiada jalan pintas lain kecuali menggunakan alatan yang sesuai. Selepas itu dunia pancing mula mengenal GPS dan carta pasang surut.
Mana boleh kalah sepanjang waktu. Memancing perlu ada pembaharuan, perlu ada revolusi seperti pesisir pantai dataran muara Klang, dari hanya Pelabuhan Selatan, Kemudian Pelabuhan Utara dan seterusnya Pelabuhan Barat.
Ketika pembinaan Pelabuhan Barat, banyak lubuk dan lokasi kapal karam tempat tumpuan memancing dimusnahkan, laluan diperdalami untuk memudahkan kapal dagang masuk ke pelabuhan.
Pesisir pantai dan hutan bakau digondol dan diganti dengan jeti dan dermaga siap sekali dengan papan tanda ‘KAWASAN LARANGAN MEMANCING’. Itu juga satu revolusi…!!!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...