Seorang kanak-kanak lelaki berdepan detik mencemaskan selepas jarinya tersepit pada sebuah kekili pancing yang dipercayai kekili menegak atau baitcaster, Khamis lalu.
Ketua Zon 3 Pahang, Penguasa Bomba Shahrulnizam Nasir berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub ke lokasi selepas menerima maklumat dari Unit Kecemasan Hospital Raub kira-kira jam 6.30 petang.
Menurutnya, pasukan EMRS Bomba Raub menggunakan mesin pemotong (ring cutter) dan sepana untuk memotong mesin pancing tersebut.
Ads
“Operasi memotong mesin itu berjaya mengeluarkan jari kanak-kanak berusia 6 tahun itu.
“Setelah selesai mengeluarkan jari mangsa, kanak-kanak terbabit diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Ads
Namun tidak dinyatakan sama ada kejadian itu berlaku di rumah atau kedai pancing. Yang pasti, admin percaya kanak-kanak lelaki tersebut adalah adik atau anak kepada seorang caster.
Ads
Pengajaran kepada caster yang lain, simpan baitcaster anda di tempat yang selamat dan jauh dari capaian kanak-kanak.
Trip kali ini kami disertai oleh beberapa orang malim dari Kampung Meligan sebagai jurupandu serta membantu mengangkut segala kelengkapan kerana kami akan bermalam di lokasi.
Setibanya di lokasi terakhir yang boleh dilalui kenderaan, kami terus bersiap untuk menyambung perjalanan dengan berjalan kaki. Perjalanan menuruni bukit mengambil masa lebih kurang 1 jam melalui denai pemburu.
Perjalanan agak selesa kerana cuaca yang sedikit redup serta suhu yang agak sejuk. Sekitar jam 11 pagi kami sampai ke tapak perkhemahan di kaki bukit betul-betul di atas tebing sungai. Kru malim yang turut serta banyak membantu menyiapkan khemah serta persediaan lain sebelum aktiviti memancing diteruskan.
Kawasan Sungai Meligan yang jauh daripada pembangunan serta tiada pencemaran memberi pengalaman indah sepanjang perjalanan kami. Tujuan utama kami bukanlah untuk mengambil ikan sebanyak mungkin, tetapi lebih kepada aktiviti riadah.
Perjalanan tidaklah begitu sukar memandangkan kebanyakan bahagian sungai menjadi kering akibat musim kemarau yang berpanjangan. Namun begitu terdapat banyak lubuk yang cantik di mana kebanyakan spesies sebarau dan pelian berkumpul.
Sepanjang 4 jam perjalanan menyusuri sungai kami sempat casting menggunakan set ala kadar dan menggunakan sesudu ekonomi. Oleh kerana sistem sungai yang masih terpelihara, banyak strike yang kami dapat sepanjang perjalanan. Terdapat juga lubuk yang dalam yang sesuai diduga dengan teknik pancingan dasar.
Apa jua teknik yang digunakan di kawasan ini hampir pasti akan mendatangkan hasil. Setelah jauh berjalan akhirnya kami sampai ke salah satu lubuk besar. Di situ kami menggunakan teknik mengilat serta pancingan dasar menggunakan umpan buah sawit masak. Ternyata banyak spesies sebarau serta pelian yang mendiami lubuk berkenaan.
Setelah berjaya mendaratkan spesimen sebarau dan pelian yang mencukupi akhirnya kami membuat keputusan untuk balik ke tapak perkhemahan. Kami bergerak pulang dengan kepuasan dan kegembiraan dapat menikmati seluruh pemandangan dan pengalaman indah sepanjang hari itu.
Setibanya di tapak perkhemahan, kru sudah siap sedia dengan pelbagai menu masakan termasuk pelian dan sebarau yang berjaya dipancing pada hari berkenaan.
Begitu segar rasanya dapat menjamu selera dengan juadah masakan sambil ditemani alam semula jadi yang masih terpelihara. Kepenatan sepanjang perjalanan bagaikan tak terasa sepanjang berada di sini.
Saya berharap sesiapa pun yang berpeluang untuk menjelajah ke Sungai Meligan akan merasai pengalaman yang menyeronokkan lagi berharga ini. Diharapkan juga agar keindahan sungai serta hutan kita akan terus terpelihara bagi menjamin kelestarian spesies sebarau dan pelian yang menjadi antara identiti sungai pergunungan.
Penang Bridge atau jambatan pulau pinang yang merentasi selat utara (selat penang) sepanjang 13.5 kilometer siap pembinaannya dan diguna pakai pada 1985.
Manakala panjang jambatan di atas air pula sejauh 8.4 kilometer. Namun apa yang hendak dibicarakan bukanlah di bahagian atas jambatan yang menghubungkan georgetown di bahagian pulau dan seberang prai di tanah besar semenanjung, sebaliknya kisah di bawahnya
Sekitar awal tahun 1980-an iaitu semasa tempoh awal pembinaannya heboh diperkatakan bahawa Jambatan Pulau Pinang memerlukan 40 kepala manusia sebagai pemujaan.
Apabila siap pembinaannya dan diguna pakai pula, ia dijadikan pula sebagai platform terbaik untuk bunuh diri.
Dan ditambah dengan kisah-kisah mistik dan mitos menjadikan Jambatan Pulau Pinang umpama lokasi angker dan tidak selamat untuk dijadikan padang pancing.
Setelah terpaksa membatalkan plan sebelumnya, perancangan kali kedua barulah penulis berpeluang untuk memenuhi pelawaan rakan memancing, Cikgu Sabri.
Beliau beriya-iya benar mengajak penulis untuk mencuba pancingan di bawah Jambatan Pulau Pinang.
Sebelum pergi, penulis buat homework sedikit tentang senario memancing di bawah jambatan dan maklum balas yang diterima ternyata banyak menjurus kepada selangkah ke alam mistik.
Setibanya di jeti nelayan Ujong Batu, Bagan Dalam, kami segera mencari pengusaha bot yang menyediakan servis menghantar pemancing ke pelantar di bawah Jambatan Pulau Pinang.
Tidak sukar untuk mencari pengusaha bot ini kerana ramai yang sedia menanti di jeti.
Dalam masa yang sama juga serba sedikit info dapat diperolehi bagi menentukan tiang jambatan yang mana akan dituju nanti.
Selain servis menghantar dan mengambil pemancing dari bawah jambatan, pengusaha bot turut menghantar menyediakan servis menghantar makanan dua kali sehari.
Sebelum berlepas, kami mengisi perut dan membawa bekal untuk makan malam sekali kerana tiada sebarang kedai makan di bawah jambatan, yang ada hanyalah tiang dan pelantar kosong.
Semangat untuk ke bawah jambatan kian meluap-luap bila melihat ada pemancing yang baru pulang membawa hasil seekor siakap mega.
Segala gambaran mistik tentang hantu air, cik ponti hanyut atau mayat orang bunuh muncul dari air dan macam-macam lagi lenyap begitu saja.
Terbayang pula aksi-aksi bertarung dengan ikan-ikan mega yang lebih 30 tahun mendiami lubuk-lubuk di bawah jambatan.
Namun bayangan itu tak kekal lama apabila terbayang pula sekiranya terpaksa menggunakan tangga untuk naik ke pelantar yang tinggi dari paras air.
Daripada lebih 80 tiang menghala Georgetown dan lebih 80 lebih lagi menghala ke Seberang Prai yang sesuai untuk memancing, kami memilih tiang bernombor 40 menghala ke Seberang Perai.
Tiang ini tiang merupakan rebutan kerana sering menaikkan ikan-ikan mega dan kami bernasib baik kerana ia belum berpenghuni.
Bertambah lega kerana tidak perlu memanjat tangga yang didirikan dari atas bot kerana pelantar sekadar beberapa kaki saja dari paras air.
Agak memakan masa juga untuk membiasakan diri berada di atas pelantar tanpa pengadang dengan angin timur yang bertiup kencang tanpa henti. Terutamanya pada malam hari.
Biarpun masih tempias cahaya dari lampu jambatan, namun pergerakan seperti terbatas. Terasa cuak sekiranya tersilap langkah.
Sementara menanti ragutan ikan, apa yang mampu dilakukan hanyalah membaringkan tubuh beralaskan tikar kecil di belakang tiang sambil menggigil kesejukan.
Masuk hari kedua barulah penulis dapat menyesuaikan diri sepenuhnya. Hilang sudah rasa gayat dan boleh menumpukan perhatian sepenuhnya pada memancing.
Umpan hidup tidak bermasalah di tiang 40 kerana agak mudah juga untuk mendapatkan kasai dan bilis dengan menggunakan apollo.
Hanya sambaran ikan saja agak kurang. Dan hampir setiap kali ada rentapan kasar pula, larian ikan ke tukun dan ke bawah pelantar pula menyebabkan tali utama bergeser dengan teritip dan putus.
Hanya seekor jenahak dan kerapu berskala remaja saja yang berjaya ditarik keluar dan selamat didaratkan.
Tiada sebarang tangkapan mega sepanjang tempoh lebih 50 jam memancing dan menggigil kesejukan sepanjang dua malam tidur di bawah jambatan.
Mungkin nasib tidak menyebelahi ditambah pula set pancing yang digunakan kurang bersesuaian.
Sekiranya menggunakan set pancing yang lebih kasar dan lasak menangani tukun dan teritip, kemungkinan besar ada tangkapan mega didaratkan.
Yang pasti bawah Jambatan Pulau Pinang masih ada banyak ikan mega dan wajar dimuatkan dalam kalendar trip memancing.
Dan penulis juga selamat dari dipertontonkan adegan mistik atau insiden bunuh diri.
Yang banyak kelihatan hanyalah sampah-sampah berterbangan dari atas jambatan yang turut menyumbang kemusnahan hidupan laut.
Beberapa tahun yang lalu, ajakan dari seorang rakan kerja untuk mengikuti pak ciknya memancing di Klang memang tidak saya lepaskan. Peluang sebegini memang datang hanya sekali sekala. Apatah lagi trip ini terdapat otai-otai yang turut serta.
Kami hanya memakai umpan udang hidup yang dibeli pangkalan jeti. Saya hanya membawa set pancingan ringan dan sederhana dari jenis seperti Toman X-Series dan Exori untuk joran, manakala Pioneer dan Abu Garcia untuk kekili.
Di lokasi pertama, ikan gelama mendominasi tangkapan dengan banyaknya. Puas melayan gelama, kami beralih tempat dengan harapan ada spesies lain yang boleh dipancing.
Alhamdulillah kami berjaya mendapat tarikan dari pari, ketuka, malong, mengkerong, senangin, mayong dan ikan duri. Bersyukur saya dengan tangkapan yang diperolehi.
Sebelum pulang ke jeti, kami singgah di muara sungai untuk menghabiskan saki baki umpan udang hidup.
Unggas dan nyamuk antara ‘rakan’ yang tidak diundang tetapi mereka tidak segan silu menghisap darah kami. Itu semua tidak mematahkan semangat saya.
Selang 30 minit kemudiannya, rod saya membengkok menandakan adanya sentapan dari ikan. Dengan berhati-hati, saya mengarau tali dan hasilnya seekor ikan daun baru.
Dalam pada masa yang sama, terdengar satu kocakan air dan pak cik kawan saya memberitahu itu kemungkinan siakap yang mengejar anak-anak ikan.
Saya dengan segera mencangkuk umpan udang hidup dan membaling ke arah kocakan air tadi. Tidak sampai pun 10 minit, rod saya melentur kuat diselangi bunyi drag menandakan tali dipaksa keluar.
Walaupun menggunakan joran berharga ekonomi, saya cukup sayangkannya dan apa yang penting sekali, ia mampu menahan asakan dari makhluk air ini.
Tali semakin banyak keluar dan drag diketatkan sedikit demi sedikit. Apabila ikan keletihan dan timbul di permukaan air, dengan badannya yang berkilat, saya dengan spontan menjerit… siakap!
Ia merupakan rekod pertama kali saya mendapat siakap. Walaupun badan, kaki,dan tangan bengkak-bengkak dikerjakan oleh unggas dan nyamuk, tapi dengan tertewasnya seekor siakap berskala 2.1kg, membuatkan saya cukup ceria malam itu.
Sampai di jeti pada pukul 3 pagi dan tanpa berlengah lagi saya terus memandu pulang ke rumah kerana pada pukul 8.30 pagi nanti saya terpaksa menjalani rutin harian sebagai seorang pekerja pejabat.
Badan letih adalah lumrah selepas memancing satu hari suntuk tetapi tangkapan yang dibawa pulang terutama tangkapan ’istimewa” pengubat kepada segala keletihan tersebut. Trip bersama otai-otai akan diulangi di masa depan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...