Sebelum menuju spot-spot berpotensi untuk pancingan dasar, unjam-unjam laut di luar kawasan taman laut Pulau Tenggol menjadi persinggahan kami bagi mencari umpan hidup seperti tamban, selar atau kembung.

 

Namun keterujaan penulis pada hari pertama terhadap potensi pancingan di Pulau Tenggol mula mengendur ekoran untuk mendapatkan seekor umpan hidup sekali begitu sukar. Hasil daripada umpan hidup yang diperolehi, berjayalah juga seekor belitong. Sementara hasil daripada pancingan dasar boleh dikatakan hampir sifar.

 

Setelah seharian berhanyut memancing kerisi pada hari kedua, menjelang petang kami kembali lagi ke unjam-unjam ini untuk mencari umpan. Sejurus tiba di kawasan unjam, gewang yang dikarau kembali setelah melakukan tundaan secara tiba-tiba disambar secara kasar dan tidak menunggu si belitong atau dorado mempamerkan aksi akrobatik di udara.

 

Ekoran bateri yang digunakan kehabisan kuasa maka ‘bangla’ terpaksa digunakan secara manual bagi menaikkan dorado tersebut. Setelah menanggalkan gewang dari mulut dorado, bagi tujuan keselamatan penulis mencampakkan kembali gewang tersebut ke air tanpa menyedari spool ‘bangla’ tersebut dalam keadaan free dan bot pula sedang berhanyut.

 

IKLAN

 

Perkara itu hanya disedari apabila tali pancing meluru keluar dari ‘bangla’ ekoran gewang dilepaskan hanyut itu disambar seekor dorado lain pula. Selepas beberapa ekor dorado dinaikkan hasil dari gewang yang sama dan hasil dari Apollo turut sama di cukai sang dorado, penulis tidak melepaskan peluang untuk menjeratnya dengan teknik jigging pula.

 

Mali jig 18 gm dilontar ke arah unjam dan di karau laju. Hanya sekali balingan saja, sudah mengena namun rabut. Balingan kedua berjaya dan seekor dorado berjaya didaratkan. Balingan seterusnya pula giliran sang pemangsa pula yang berjaya memutuskan perambut sekali gus meleburkan seketul jig.

 

Tidak sampai lima kali lontaran, jig yang dimainkan secara jigging casting segera disambut. Sebelum mata matahari tenggelam, 3 ekor dorado berjaya penulis daratkan daripada hasil 7 kali sambaran. Sementara rakan-rakan lain yang turut sama berjigging berjaya menaikkan beberapa ekor tongkol dan alu-alu di samping dorado yang mendominasi tangkapan.

 

 

Tanpa umpan hidup atau umpan segar dari unjam, aktiviti pancingan malam diteruskan ke spot pilihan tekong. Menggunakan saki baki umpan pasar, spot pilihan tekong ternyata didiami ikan-ikan berstatus mega.

 

Biar pun hanya seekor mayong bersaiz kasar berjaya dinaikkan, kejadian mata kail 4X yang berjaya diluruskan ikan, tali sulam 80lb dan perambut 100lb yang berjaya diputuskan membukti masih ada monster yang gagal didaratkan di spot tersebut.

 

Penulis yang lebih banyak berehat ekoran tidak membawa peralatan pancingan dasar tidak mengendahkan sangat kejadian tersebut. Sebaliknya lebih memberikan perhatian terhadap aktiviti bot pukat tunda yang seolah-olah mahu menunda sama bot yang kami naiki yang mengarah ke kawasan taman laut Pulau Tenggol.

 

 

Sebelum pulang ke jeti Kuala Dungun keesokan harinya, kami sempat singgah di unjam yang sama. Namun gerombolan dorado yang mendominasi kawasan unjam petang semalam sudah lesap entah ke mana. Ikan-ikan umpan juga menyepi begitu saja. Seolah-olah kawasan tersebut telah dijarah hasil perutnya.

 

Andaian penulis kawasan tersebut telah dijarah oleh bot-bot nelayan pukat tunda terbukti benar ekoran laporan daripada maklumat rakan pemancing yang kembali ke kawasan tersebut beberapa jam kemudian menyatakan bukan saja ikan sudah tiada, malah buluh-buluh serta pelampung unjam turut sama telah lesap ditelan pukat tunda!