Walaupun banyak urusan lain pada hari itu, namun semuanya saya ketepikan dulu demi untuk melampiaskan nafsu dan menghanyirkan rod yang sudah agak lama bersawang di rumah. Biarpun tidak membawa peralatan yang secukupnya, namun kami tetap komited untuk melayan komplot santai ini.
Difahamkan di kawasan Seri Iskandar ini memang kaya dengan lombong-lombong tinggal yang dihuni pelbagai spesies ikan. Biarpun begitu, penulis memang tidak meletakkan sebarang harapan untuk misi ini berjaya mendapatkan hasil yang memuaskan. Cukuplah sekadar merasai ‘karen’ ikan-ikan kecil yang mungkin sudi menjamah umpan nanti.
Ads
Dengan berumpankan campuran dedak pandan dan dedak ayam kami terus melabuhkan umpan. Tidak perlu menunggu lama untuk memujuk ikan di lombong ini untuk buka mulut. Adik saya menjadi yang pertama mendaratkan spesies pendatang yang dikatakan semakin memonopoli lombong ini.
Tidak lama selepas itu bersilih ganti kami melayan pelbagai jenis ikan yang saiznya tidaklah begitu membanggakan. Biarpun saiz hanya sebesar tapak tangan namun bila melayani tarikannya dengan set ringan dapat memberi satu rasa yang hanya difahami oleh kaki pancing sahaja.
Ads
Ads
Sebelum senja, kami mengambil keputusan untuk menamatkan sesi pancingan di sini memandangkan penulis perlu berkemas untuk pulang semula ke Melaka keesokan harinya.
Biarpun tidak mendapat hasil dengan saiz membanggakan, namun penulis tetap berpuas hati kerana sempat juga melepaskan gian di kampung yang hanya dapat penulis kunjungi dua tahun sekali, itu pun pada musim perayaan!
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Pemancing di negeri Terengganu diingatkan supaya tidak menangkap ikan Kelisa dan temoleh di Tasik Kenyir.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Zawawi Ali berkata, tidak semua ikan di Tasik Kenyir boleh dipancing dan dibawa keluar tanpa permit seperti yang difahami kaki pancing.
“Ramai pemancing yang tidak mengetahui mengenai larangan itu justeru berharap semua pihak mengambil serius mengenai peraturan itu.
“Dua jenis ikan itu disenarai dalam Jadual Pertama, Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (Pindaan 1993) di bawah Kaedah 3 (4) iaitu jenis ikan yang dilarang tangkap tanpa permit.
“Justeru, pemancing yang berminat untuk menangkap dua jenis ikan itu perlu memohon permit untuk tujuan itu dengan bayaran RM50 bagi setiap ekor ikan,” katanya kepada pemberita pada Program Jalinan Mesra Perdana #myDOF Rakan Mesra Nelayan dan Penternak Akuakultur di sini, semalam.
Zawawi berkata, sebanyak lapan kes direkodkan sejak Januari 2016 hingga Januari 2018 di negeri ini membabitkan kes pencerobohan di kawasan larangan dan kes rampasan pukat, senapang ikan dan alat renjatan elektrik.
“Pihak kami memandang serius dengan kesalahan yang dibuat di Tasik Kenyir justeru, kami bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara
(PERHILITAN) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bagi penguatkuasaan undang-undang itu.
“Sebarang aktiviti menangkap, membunuh dan memiliki ikan yang disenaraikan tanpa permit boleh dikenakan kompaun sebanyak RM500 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Menurutnya, pihaknya menyedari kegemaran pemancing memburu ikan-ikan berkenaan, justeru JPNT akan mengkaji semula kewajaran larangan bagi jenis ikan itu.
“Memandangkan jenis-jenis ikan itu sudah berjaya dibiak, mungkin boleh dipertimbangkan semula untuk memberi kelonggaran menangkapnya pada masa akan datang,” katanya.
Pada program itu seramai 500 nelayan di sekitar Marang dan Kuala Terengganu memeriahkan program dengan sesi soal jawab bersama Zawawi.
Berita 2
Sementara itu Sinar Harian pada 22 Februari melaporkan, Jabatan Perikanan Pahang melarang masyarakat untuk menangkap ikan temalian atau temoleh (Prabarbus Jullieni) bermula bulan Februari hingga April depan.
Pengarahnya, Azahari Othman berkata larang tersebut dibuat kerana sudah tiba musin bertelur ikan terbabit di beberapa kawasan lubuk.
“Kita akui kegiatan menangkap ikan berkenaan yang banyak terdapat di Sungai Pahang, Sungai Jelang dan Sungai Tembeling kini berleluasa kerana permintaan menggalakkan selain harga yang tinggi.
“Untuk tempoh ini kita minta nelayan jangan menangkap ikan tersebut,” katanya yang meminta nelayan darat di Maran dan Jerantut supaya mematuhi larangan tersebut.
Beliau berkata pihaknya akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap nelayan darat dan pemancing yang melakukan aktiviti menangkap dan memiliki ikan temalian.
Jelas, peraturan Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai Pahang) 1991 Pahang yang membolehkan pesalah dikenakan kompaun RM100 dan peralatan menangkap ikan mereka dirampas.
“Larangan kita hanya beberapa bulan sahaja. Ini bagi membolehkan ikan itu bertelur dan memperbanyakkan spesiesnya pada masa akan datang.”
Dalam pada itu, katanya, pihaknya sudah memasang lebih 40 papan tanda di sepanjang Sungai Pahang, Sungai Tembeling dan Sungai Jelai sebagai peringatan kepada pihak berkaitan supaya tidak melakukan aktiviti menangkapnya.
Apa yang bermain di fikiran korang apabila nama Pulau Jerejak diajukan? Kalau diajukan kepada saya sebelum bergelar kaki pancing, pastinya yang terbayang di fikiran ialah sebuah penempatan bagi banduan atau orang yang dibuang negeri.
Hakikatnya, Pulau Jerejak ialah sebuah pulau yang kecil di selatan Pulau Pinang, Malaysia yang terkenal pada suatu ketika sebagai sebuah petempatan untuk banduan yang dibuang negeri.
Luasnya 362 hektar. Pulau Jerejak kini boleh dikunjungi dengan menaiki feri kecil dari Bayan Lepas.
Sejarah Pulau
Francis Light, pengasas Pulau Pinang, dikatakan tiba lebih dahulu di Pulau Jerejak pada awal tahun 1786 sebelum menuju ke Pulau Pinang.
Pada tahun 1797, Kolonel Arthur Wellesley mencadangkan bahawa Pulau Jerejak dijadikan tapak untuk Fort Cornwallis (Kota Cornwallis).
Cadangannya untuk membina sebuah pangkalan tentera di Pulau Jerejak berdasarkan tujuan untuk mengawal bandar Jamestown yang kini dikenali sebagai Bayan Lepas.
Pada awal tahun 1794, sebuah wabak malaria yang amat besar, mungkin diakibatkan oleh pemugaran hutan untuk mengasaskan Georgetown mengorbankan banyak nyawa, termasuk juga James Light.
Oleh itu, Wellesley tidak menyokong Pulau Pinang sebagai tapak untuk Kota Cornwallis.
Walaupun demikan, cadangan Wellesley tidak diterima kerana Georgetown telah menjadi sebuah pelabuhan yang menguntungkan dan Jamestown atau sebarang kemudahan ketenteraan di Pulau Jerejak jelas tidak diperlukan.
Diakibatkan oleh keputusan Francis Light yang awal bahawa pendatang akan dibenarkan memiliki apa-apa sahaja tanah yang dipugar oleh mereka, Pulau Pinang dibanjiri oleh pendatang-pendatang.
Sebagai langkah mencegah, semua pendatang harus diperiksa di pusat pemeriksaan kesihatan Pulau Jerejak sebelum dibenarkan mendarat di Pulau Pinang.
Pada tahun 1910, Pulau Jerejak dijadikan sebuah pusat kuarantin kesihatan untuk para pendatang, dan pada akhir dekad 1930-an, sebuah hospital kusta dibina di bahagian timur pulau ini.
Sebuah tugu peringatan telah dibina di Pulau Jerejak untuk dua orang anak kapal daripada Angkatan Tentera Laut Empayar Rusia yang maut apabila kapal Zhemchug ditenggelamkan
oleh kapal Emden daripada Tentera Marin Kaiserliche dalam Pertempuran Pulau Pinang pada 28 Oktober 1914.
Ini adalah salah satu daripada hanya beberapa kejadian yang berlaku di kawasan Malaysia semasa Perang Dunia I.
Selepas Perang Dunia II, terdapat kenaikan bilangan mangsa batuk kering dan oleh itu, sebuah sanatorium telah dibina untuk mangsa-mangsa penyakit tersebut di Pulau Jerejak.
Pada 12 Jun 1969, Pusat Pemulihan Jerejak diasaskan sebagai sebuah penjara keselamatan tertinggi dan oleh itu, Pulau Jerejak mendapat nama samaran, Alcatraz Malaysia. Pusat ini akhirnya ditutup pada Ogos 1993.
Perkembangan terkini
Rancangan-rancangan telah dicipta untuk membangun semula Pulau Jerejak menjadi sebuah tempat peranginan pada tahun 2000.
Inilah satu-satunya alasan untuk menutup semua institusi yang tidak “begitu canggih” namanya di pulau ini, seperti auditorium dan penjara.
Pada Januari 2004, Jerejak Resort & Spa dibuka untuk perniagaan. Tempat peranginan ini dibina di atas kawasan yang dahulunya merupakan pusat rawatan kusta.
Pembangunan ini menimbulkan agak banyak perbalahan, dengan rasa bimbang terhadap penghapusan tinggalan dan warisan bersejarah pulau ini secara sistematik, serta juga kesannya kepada ekosistem Pulau Jerejak yang mudah terjejas.
Namun bagi kaki pancing, Pulau Jerejak merupakan sebuah destinasi padang pancing yang wajar dimasukkan ke dalam diari memancing.
Perairan pulau ini sangat berpotensi untuk diangkat sebagai ekopelancongan dalam aspek memancing terutamanya sukan memancing.
Selesai bersarapan dan menaiki bot, terus sahaja kami bertolak ke tuas. Perjalanan ke tuas mengambil masa kira-kira 1 jam setengah untuk sampai mengikut keadaan air. Tiba di tuas, dimulakan dengan teknik mengunjun appolo bersaiz 10 dan 12. Ternyata ia memang memberangsangkan.
Berjaya cencaru ditewaskan, sehinggakan strike 3-4 ekor sekali gus. Tiba-tiba Din berteriak kepada Abang Din meminta gancu. Keadaan terhenti seketika, semua tertumpu kepada Din. Rupa-rupanya dia dalam senyap-senyap sudah pakai peluru torpedo untuk casting tenggiri.
Dengan menggunakan kekili Shimano Solstage 4000 dan rod Eupro, memang mangsa suka berjuang untuk melepaskan diri. Tali utama 30lb dengan perambut steel 40lb sudah cukup untuk menewaskan spesies bergigi tajam ini.
Rakan yang lain termasuk saya mula menukar strategi dari mengunjun appolo kepada aksi casting pula. Kami semua mula casting dengan menggunakan peluru torpedo kecuali Mad Nord, Hj. Man dan Pak Long yang setia dengan apolo masing-masing.
Kini giliran tekong (Abang Di) pula dibaham sang tenggiri. Melentok-lentok rod Lemaxnya. Tapi Abang Di tidak menggunakan peluru torpedo sebaliknya menggunakan spoon yang diupgrade sedikit iaitu dengan mencalitkan cat kilat merah di atas spoon yang berwarna krom.
Tenggiri dalam skala 4kg berjaya dinaikkan dengan mesin Tica 6000 milik Abang Di. Ini membuatkan saya makin bersemangat untuk menjinakkan spesies ganas ini walaupun tangan sudah lenguh dari tadi mengarau peluru torpedo.
Peluru torpedo dilontarkan berulang kali tanpa rasa jemu. Dalam hati menyatakan mesti mendapat strike sendiri. Memang tidak disangka, setelah mendapat lesen dari Abang Di kini tiba joran saya pula mendapat habuan. Dengan senjata yang agak sederhana iaitu joran Seahawk yang dipadankan dengan kekili Shimano Sedona 4000 sudah cukup untuk melayan karenah mama tenggiri ini.
Mad Nord juga tidak ketinggalan apabila bertukar menggunakan peluru berantai (mata appolo) kepada sebutir peluru yang berbulu. Aksi casting beramai-ramai di atas bot memang tidak digalakkan.
Melihat keadaan yang agak sesak dengan lontaran-lontaran liar, saya mengambil keputusan untuk berhenti aksi casting dan mula memasang satu strategi baru iaitu menggunakan teknik hanyut atau drift.
Sedang masing-masing rancak melontarkan, kali ini strike berpihak kepada Hj Salleh. Dia yang menggunakan teknik casting ikan temenung yang dibeli di pasar yang menggunakan 3 mata kail.
Suasana kembali rancak dengan Pak Long mula strike diikuti dengan Mad Nord, masing-masing strike anggaran sekilo hingga 2 kg. Mereka menggunakan peluru torpedo sebagai senjata utama untuk menewaskan mangsa di sini.
Jam menunjukkan 2 petang, agak lewat waktu makan tengah hari. Ini semua gara-gara berpesta dengan sang tenggiri yang sedang mengamuk. Abang Di mula mengambil seekor ikan tenggiri untuk menyiang untuk santapan kami.
Ketika Mad Nord menikmati hidangan tengah hari, tiba-tiba joran milik Hj. Salleh menerima sentapan hebat yang menyebabkan jorannya melentok sehingga mencecah air. Berlaku aksi perlawanan tarik tali antara 2 makhluk berbeza ini.
Ikan temenung pasar yang dipotong dua menjadi umpan istimewa bagi teknik bottom yang menggunakan perambut 50lb dan tali utama 30lb. Berbekalkan jentera Banax 5000 dan rod Vipernya sudah cukup untuk melemahkan mangsa dari melepaskan diri.
Pertarungan berlaku kira-kira 10 minit akhirnya timbul juga untuk memperkenalkan diri di permukaan air. Satu spesies yang dipanggil jenahak seberat hampir 3 kg menjadi habuan kepada Hj. Salleh. Apa lagi senyum lebar la pak haji ni.
Setelah kami semua kekenyangan ikan juga turut sepi tanpa ragutan, mungkin kenyang juga kot. Hal ini ramai di kalangan kami melayan bottom sahaja melainkan Mad Nord yang setia kembali kepada aksi appolo untuk mencari cencaru. Dapat juga habuan untuk bekalan di rumah nanti.
Jam menunjukkan pukul 4.30 petang dan tekong memberitahu supaya berkemas barang untuk pulang ke darat. Seekor alu-alu seberat 2 kg menjadi penutup trip kami kali ini yang menggunakan teknik drift.
Trip kami kali ini membawa hasil 19 ekor tenggiri, seekor jenahak, seekor alu-alu, seekor kerapu, 6 ekor anak talang dan satu tong cencaru. Memang satu trip yang menghiburkan dan menguntungkan bagi kami.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...