Kami berempat bertolak dari Kuala Lumpur dan tiba di majlis sekitar jam 2.00 petang. Selesai makan kenduri, kami tidak bercadang untuk terus pulang ke ibu kota. Rugi pulak pergi jauh-jauh ke kampung orang kalau tidak cuba melontar gewang di mana-mana padang pancing berdekatan.
Berbekalkan maklumat dari sahabat yang baru menamat zaman bujangnya, kami meredah padang pancing sekitar Senggarang. Tujuan asal kami adalah untuk casting siakap. Namun tidak temui spot siakap yang dipetakan. Padang pancing yang kami temui agar menarik juga. Kawasan pantai bertebing tinggi yang memanjang dan bersebelahan pula dengan parit yang juga panjang.
Berikutan sukar untuk menuruni tebing tinggi, kami mengambil keputusan untuk mencuba nasib mengilat haruan di sepanjang parit yang menjadi sumber pengairan kebun sawit. Saya percaya parit itu menjadi padang pancing kepada pengilat tempatan yang kerap kelihatan meronda dengan motosikal bersama joran dan soft frog mini pada hujung joran.
Ads
Setelah meninjau dan berjalan di sepanjang tebing parit itu saya temui satu spot yang kelihatan agak berpotensi. Ada kelibat seperti haruan meneguk udara di kawasan lapang yang dipenuhi rumpair. Lontaran soft plastic (SP) yang pertama segera disambut namun sambarannya tidak lekat.
Ads
Menyedari keinginan seorang sahabat yang kepingin lesen haruan, saya segera memberi ruang tersebut kepada beliau. Saya yakinkan beliau ada haruan yang menunggu di spot tersebut dan perlu memujuk ekoran kes rabut tadi. Malah saya beri beliau guna SP yang gunakan tadi.
Beberapa minit memujuk, haruan tadi kembali menyambar namun tidak mengenai tepat pada sasaran. Karan pertama yang beliau rasai itu membuatkan adrenalinnya melonjak. Saya yakinkan beliau lagi haruan tersebut akan kembali menyambar. Beliau terus tekun melontar dan memujuk dan akhirnya… sukses!
Ads
Seekor haruan anggaran 1kg didaratkan dengan selamat. Selesai sesi bergambar, haruan tersebut kami lepaskan semula ke habitatnya. Kejayaan itu mendorong rakan lain untuk merasai tarikan haruan Senggarang.
Sehinggakan ada yang sanggup meredah lebih jauh parit tersebut. Hasilnya, seorang lagi sahabat berjaya juga memperolehnya walaupun bersaiz bocet (kecil).
Jika tidak kerana hari semakin senja dan kami perlu pulang ke Gombak, mungkin seorang lagi sahabat atau saya sendiri turut sama dapat merasai karan haruan parit Senggarang.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sepadan dengan nama kumpulan memancing yang kami tubuhkan iaitu Geng Menebing Klang (GMK), maka aktiviti memancing yang kami lakukan lebih menjurus kepada teknik pancingan dasar, menggunakan umpan dan batu ladung sebagai pemberat.
Cuma sedikit perbezaan pada trip memancing kami baru-baru ini, kami bukannya memancing di jeti atau tebing-tebing muara atau kuala sungai, sebaliknya di atas bot pengangkut yang berlabuh di Bagan Hailam, perairan selat Pelabuhan Klang.
Maka konsep pancingan yang dilakukan hampir sama sahaja dengan pancingan tebing atau menebing. Namun ia jauh lebih selesa berbanding menebing di tepi muara.
Untuk memancing di atas bot atau kapal parking ini tidaklah susah dan tidak perlu perancangan atau persiapan berhari-hari lamanya.
Apa yang perlu dilakukan hanyalah pergi ke Jeti Bagan Hailam yang terletak di Pelabuhan Klang.
Di jeti ini akan kelihatan sampan-sampan kecil yang menawarkan perkhidmatan menghantar pemancing ke bot-bot pengangkut yang berlabuh di tengah selat.
Tentu sahaja ia lebih mudah jika kita sudah memiliki nombor telefon operator-operator sampan ini.
Hari itu saya bersama empat rakan dari GMK mencuba nasib memancing di atas bot parking ini. Kami tiba jam 9 pagi dan bernasib baik kerana banyak terdapat kapal yang berlabuh.
Jadi kami bebas memilih bot mana yang dikehendaki dan mudah untuk berpindah sekiranya kapal tersebut perlu bergerak.
Lazimnya kapal-kapal tersebut jarang keluar jika sudah berlabuh dan di situ.
Memandangkan tiada sebarang bayaran dikenakan untuk memancing di atas bot-bot tersebut maka para pemancing haruslah menghargai kemudahan yang disediakan secara percuma.
Jangan sesekali bersikap panjang tangan, merosakkan peralatan di atas bot dan meninggalkan bot dengan sampah atau dalam keadaan kotor.
Sebagaimana keadaan bot ketika naik memancing, begitulah jugalah keadaannya apabila kita selesai memancing.
Menggunakan umpan udang dan umpun-umpun, kami memulakan sesi memancing dengan santai tanpa sebarang tekanan.
Kami yang sudah biasa menebing dan faham dengan faktor spesies yang mendiami habitat di kawasan bot parking tersebut, tidak menaruh harapan tinggi untuk memperoleh ikan bergred tinggi seperti senangin dan jenahak.
Justeru kami tidak merungut apabila kebanyakan spesies yang mengambil umpan kami terdiri daripada gelama dan duri.
Sekiranya ada ikan jenahak atau tetanda yang makan umpan, ia bolehlah dianggap sebagai satu bonus kepada kami.
Namun rezeki kami agak baik hari itu kerana di sebaliknya banyak duri dan gelama yang dinaikkan terdapat juga spesies yang enak dijadikan juadah iaitu sembilang.
Banyak ekor juga sembilang yang kami peroleh.
Sembilang yang bersaiz sesuai untuk hidangan kami ambil dan saiz yang kecil kami lepaskan kembali ke habitatnya.
Keseronokan melayan sembilang menyebabkan tidak tersedar masa berlalu.
Memandangkan servis operator sampan tamat pada jam 7 petang, sekitar jam 6 petang kami menghubungi operator sampan yang menghantar kami untuk kembali ke darat.
Kira-kira 2 jam lebih diperlukan untuk tiba di lokasi pertama selepas bot bertolak dari jeti. Arus agak kuat dan ladung saiz 18 ke atas perlu digunakan. Sedang kami leka, tanpa sebarang amaran drag Chef Hamidon berbunyi nyaring dan terus menerus seakan-akan tanpa henti. Jorannya terus melendut. Akhirnya seekor ikan merah bersaiz 4.5kg dinaikkan. Man pula mendapat sambaran kasar selang 30 minit selepas itu.
Tiba di spot berikutnya, K.I yang awal-awal menurunkan pancing mendapat sambaran pertama ketika enjin baru sahaja hendak dimatikan. Seekor ikan saiz agak kecik dinaikkan. Selang 20 minit, salah satu drag pancing K.I berbunyi. Beliau terkial-kial kerana tidak bersedia disebabkan hampir terlelap ketika itu. Kali ini seekor cermin bersaiz agar baik dinaikkan.
Awak-awak serta kami juga berjaya menaikkan beberapa spesies kecil seperti kerapu, tambak dan sebagainya. Tiada ikan kasar yang sudi menjamah umpan di sini. Dalam pada itu, Mie Mamak yang mabuk teruk dari bermulanya perjalanan tetap cuba memancing, namun tiada hasil sehingga kini.
Kami ke kapal karam yang agak jauh apabila hari mulai gelap. Arus air sederhana namun angin pula bertiup agak kuat membuatkan bot sekali sekala bergoyang.
Beberapa ekor sotong berjaya dicandat dengan menggunakan jig sahaja ketika ia hampir ke bot. Masing-masing menghiris sotong tersebut. Tanpa menunggu lama, Alip yang sedang bersembang di belakang bergegas ke hadapan bot apabila pancingnya mengena. Pok Din yang turut menunggu ikan juga mengena… ebek. Tepat sekali, seekor ebek dinaikkan. Semua pemancing mula bersemangat dan duduk di depan joran masing-masing.
Sedang saya mengelamun menanti ragutan, tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi drag Penn VSX International. Kuat sungguh lariannya kerana dapat menarik tali keluar walaupun drag pada tahap agak maksimum. Sekali lagi Pok Din mencangkuk ikan ebek tersebut yang berskala 5kg lebih.
Ketika baru saja melabuhkan pancing dengan umpan baru, sekali lagi dray saya berbunyi nyaring. Kali ini lariannya lain namun asakannya padu dan menjunam. Setelah berjaya dikawal, akhirnya jemuduk dalam skala 4kg menjadi habuan.
Yusri aka Mr Doe yang berseorangan di depan kelihatan sedang menahan asakan padu sang ikan ketika kami leka di belakang. Beliau menjerit meminta fighting belt. Junaman ikan yang kuat menyebabkan tali banyak keluar. Akhirnya berjaya dikawal dan muncul seekor telinga gajah. Alip segera menukar umpan kepada sotong candat tadi.
Kira-kira 15 minit kemudian, joran beliau melentur diikuti bunyi drag. Sekali lagi pertarungan bermula. Umpama pesta di lubuk ini. Hampir semua menjerit seronok apabila siakap merah didaratkan. Man yang berada di tepi bot juga menjerit secara tiba-tiba meminta fighting belt. Akhirnya muncul jemuduk besar skala 5kg. Berjaya juga Man setelah putus awal tadi. Ketika ini waktu telah pun melepasi tengah malam manakala angin bertambah kuat. Kami terpaksa beredar kerana tanda-tanda ribut telah muncul.
Ada juga yang sudah masuk tidur untuk berehat. Alip yang masih tekun memancing dikejutkan dengan tarikan yang kasar. Kelihatan seperti dragnya tidak keluar manakala joran hendak patah mencecah air. Kelam kabut seketika namun berjaya dikawal.
Lama beliau bertahan dan ikan seolah-olah tidak mahu mengalah. Pok Din yang sempat berkata yang ikan ni pasti besar. Setelah berhempas pulau, timbul seekor jemuduk 7kg dan menjadi ikan terbesar setakat ini.
Ketika ini hanya saya dan Mr Doe sahaja yang masih memancing. Menjelang Subuh, saya dikejutkan dengan panggilan beliau yang ketika itu sedang menarik sesuatu. Beliau menyuruh saya mengambil kamera. Seketika kemudian, seekor talang dinaikkan dan beliau masuk tidur apabila selesai bergambar.
Azizan pula dalam diam berjaya mendaratkan seekir ikan yu bersaiz 2.5kg yang membeliy tali kami sesama sendiri. Saya turut berehat selepas itu dan hanya terjaga apabila mendengar bunyi bising di belakang bot. Rupanya Pok Din sedang membantu bot anak beliau yang terbelit tali pada kipas dan kebetulan pula berdekatan kami.
Bot ditunda ke kawasan selamat untuk kerja menyelam bagi membuang tali tersebut. Kami kemudiannya berpindah ke lokasi kapal karam Vietnam untuk apollo ikan selayang. Hampir sebakul penuh kami dapat. Pok Din berpindah lagi dan kali ini mengadap resort di Pulau Tenggol.
Hampir 2 jam tanpa sambaran kasar telah menyebabkan saya mencadangkan akar kami singgah di Pulau Tenggol untuk mandi sambil berehat. Setelah 2 jam di sana, kami kembali ke bot dalam keadaan segar dan bersemangat.
Lokasi kapal karam sebelah laut dituju. Jam menunjukkan hampir 3.30 petang dan kelihatan tanda-tanda ribut muncul lagi. Laut agak kucah sedikit namun diteruskan juga. Kami tiba sejam kemudian.
K.I pantas mendapat sambaran kasar dan terpaksa menahan asakan demi asakan ikan tersebut dalam keadaan laut berkucah. Ikan tidak mahu mengalah malah menarik tali keluar lagi. Tali akhirnya putus ketika beliau sedang menahan larian ikan tersebut.
Suasana sepi seketika hingga ke ke 2 jam berikutnya manakala angin pula bertambah kencang. Menurut Pok Din, ribut kuat akan melanda malam ini. Kami segera beredar. Kami menuju ke tepian pulau dan cuba memancing ikan-ikan kecil namun hasilnya agak mendukacitakan.
Pada waktu yang sama, Mr Doe menukar umpan dengan menggunakan hirisan selayang. Tak sampai 5 minit, berdesing drag beliau dengan tarikan menjunam. Tenyata tentang ikan ini terlalu padu. Mr Doe sempat berkata yang beliau menahan sakit pinggang akibat tentangan ikan ini.
Akhirnya timbul ikan jahan skala 6.8kg. selepas itu, kami hanya berehat dan tidur sepanjang malam. Lebih kurang 5 pagi, kami membuat keputusan untuk berkemas dan pulang.
Setelah gagal dalam misi memburu tenggiri selama dua hari di perairan Kuala Terengganu.
Atau lebih tepat lagi tidak jauh dari perairan Pulau Kapas, kami berlima (Tamizam, Faisal, Shukree, Azri dan penulis) meneruskan cabaran ke perairan Dungun pula.
Lubuk kali ini tidak jauh kira-kira 5 batu nautika dari Pulau Tenggol.
Bagi cabaran memburu tenggiri di perairan Dungun ini kami menaiki bot pancing persendirian milik Nazar.
Bot berukuran 30 kaki dan enjin 175 kuasa kuda berkembar yang dipandu mencecah 40 km/j membolehkan kami tiba di lokasi bekas unjam lama sekitar 45 minit sahaja dalam keadaan laut agak berkucah.
Setelah agak lama berhanyut sambil mengunjun kepingan jig seberat 40 gram hingga 80 gram di lubuk pertama tanpa sebarang petanda positif, kami bergerak ke tapak unjam lama yang kedua pula.
Namun hasilnya masih kosong. Hanya di lokasi ketiga barulah membuahkan hasil. Aksi pembuka tirai Faizal menyuntik semangat untuk berjigging dengan lebih gigih.
Namun ikan yang didaratkan hanyalah alu-alu bukannya spesies yang kami sasarkan. Selepas itu seorang demi seorang merasai strike namun kesemuanya adalah alu-alu bukannya tenggiri.
Tongkol yang berjaya didaratkan pula tidak cukup sifat setelah sebahagiannya dicukai oleh alu-alu.
“Kalau kacang dah banyak macam ni memang payahlah nak tenggiri nak masuk,” ulas Nazar selaku tekong berdasarkan pengalamannya memancing di perairan tersebut.
Menjelang petang angin kian bertiup kencang menambahkan lagi laut berkucah. Kesukaran untuk berhanyut di kawasan lubuk mendorong tekong beralih ke lokasi sedikit terlindung di bahagian belakang pulau.
Air berkedalaman 20 hingga 50 kaki menjadi padang permainan kami sementara menanti angin teduh.
Lubuk yang tidak menjanjikan apa-apa tanpa disangka-sangka bertukar menjadi lubuk penawar duka.
Khususnya lubuk berkedalaman 20 kaki dengan dasar berbatu banyak dihuni beberapa spesies kerapu bara.
Setelah berseronok melayan pelbagai jenis kerapu dan sebelum senja menjelang, kami kembali lagi ke lokasi pemburuan tenggiri.
Namun tiada sebarang hasil yang berjaya didaratkan. Tenggiri yang dikatakan banyak didaratkan seminggu sebelumnya langsung tidak kelihatan.
Dengan beberapa ekor kerapu bara kami bergerak pulang sekaligus menjadi trip penamat di perairan Laut China Selatan berikutan monsun timur laut mula memperlihatkan tanda-tanda kehadirannya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...