Sepadan dengan nama kumpulan memancing yang kami tubuhkan iaitu Geng Menebing Klang (GMK), maka aktiviti memancing yang kami lakukan lebih menjurus kepada teknik pancingan dasar, menggunakan umpan dan batu ladung sebagai pemberat.

 

Cuma sedikit perbezaan pada trip memancing kami baru-baru ini, kami bukannya memancing di jeti atau tebing-tebing muara atau kuala sungai, sebaliknya di atas bot pengangkut yang berlabuh di Bagan Hailam, perairan selat Pelabuhan Klang.

 

Maka konsep pancingan yang dilakukan hampir sama sahaja dengan pancingan tebing atau menebing. Namun ia jauh lebih selesa berbanding menebing di tepi muara.

 

Untuk memancing di atas bot atau kapal parking ini tidaklah susah dan tidak perlu perancangan atau persiapan berhari-hari lamanya.

Apa yang perlu dilakukan hanyalah pergi ke Jeti Bagan Hailam yang terletak di Pelabuhan Klang.

 

Menebing Cari Sembilang Bagan Hailam

 

Di jeti ini akan kelihatan sampan-sampan kecil yang menawarkan perkhidmatan menghantar pemancing ke bot-bot pengangkut yang berlabuh di tengah selat.

Tentu sahaja ia lebih mudah jika kita sudah memiliki nombor telefon operator-operator sampan ini.

 

IKLAN

Hari itu saya bersama empat rakan dari GMK mencuba nasib memancing di atas bot parking ini. Kami tiba jam 9 pagi dan bernasib baik kerana banyak terdapat kapal yang berlabuh.

 

Jadi kami bebas memilih bot mana yang dikehendaki dan mudah untuk berpindah sekiranya kapal tersebut perlu bergerak.

Lazimnya kapal-kapal tersebut jarang keluar jika sudah berlabuh dan di situ.

 

Memandangkan tiada sebarang bayaran dikenakan untuk memancing di atas bot-bot tersebut maka para pemancing haruslah menghargai kemudahan yang disediakan secara percuma.

 

Menebing Cari Sembilang Bagan Hailam

 

IKLAN

 

 

Jangan sesekali bersikap panjang tangan, merosakkan peralatan di atas bot dan meninggalkan bot dengan sampah atau dalam keadaan kotor.

Sebagaimana keadaan bot ketika naik memancing, begitulah jugalah keadaannya apabila kita selesai memancing.

 

Menggunakan umpan udang dan umpun-umpun, kami memulakan sesi memancing dengan santai tanpa sebarang tekanan.

Kami yang sudah biasa menebing dan faham dengan faktor spesies yang mendiami habitat di kawasan bot parking tersebut, tidak menaruh harapan tinggi untuk memperoleh ikan bergred tinggi seperti senangin dan jenahak.

 

Menebing Cari Sembilang Bagan Hailam

IKLAN

 

Justeru kami tidak merungut apabila kebanyakan spesies yang mengambil umpan kami terdiri daripada gelama dan duri.

Sekiranya ada ikan jenahak atau tetanda yang makan umpan, ia bolehlah dianggap sebagai satu bonus kepada kami.

 

Namun rezeki kami agak baik hari itu kerana di sebaliknya banyak duri dan gelama yang dinaikkan terdapat juga spesies yang enak dijadikan juadah iaitu sembilang.

Banyak ekor juga sembilang yang kami peroleh.

 

Sembilang yang bersaiz sesuai untuk hidangan kami ambil dan saiz yang kecil kami lepaskan kembali ke habitatnya.

Keseronokan melayan sembilang menyebabkan tidak tersedar masa berlalu.

 

Memandangkan servis operator sampan tamat pada jam 7 petang, sekitar jam 6 petang kami menghubungi operator sampan yang menghantar kami untuk kembali ke darat.

 

Oleh: Elias Jenahak

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI