Trip memancing ikan pari tidak sehebat sebagaimana trip memancing ikan tenggiri, jenahak mahupun ikan-ikan bernilai tinggi lain. Malah trip khusus pancingan pari turut jarang kedengaran kecuali sesi pancingan pantai yang menjadikan pari sebagai subjek sasaran utama.
Namun sesuatu trip memancing yang ada mendaratkan pari tidak pernah tidak menarik perhatian saya. Apatah lagi apabila melihat para tekong memuat turun deretan tangkapan pari di laman sosial. Hati segera berkata kenapalah bukan aku yang berada di atas bot berkenaan dan merakam pengalaman tersebut.
Apabila tekong memancing tersohor perairan Pelabuhan Klang di pangkalan Persatuan Pengail Selangor (Pengail) yang lebih dikenali dengan nama timangan Pokmud mencari teman untuk memancing secara santai, saya segera menawarkan diri dan mencadangkan pari sebagai spesies sasaran sesi pancingan santai tersebut.
Ads
Berikutan pada tarikh tersebut pasang surut air laut dalam keadaan menyorong laju dan kurang sesuai untuk memancing pari maka kami mulakan sesi awal pagi dengan pancingan utama memburu ikan jenahak. Sambil menotok atau pancingan dasar sambil berhanyut, saya turut berjigging.
Namun arus laju ditambah dengan angin kencang menyebabkan sesi tersebut kurang praktikal. Lalu kami mengambil keputusan mengikat bot pada boya dan memancing ikan-ikan pelagik seperti cencaru dan pelata dengan menggunakan apollo hingga penuh satu tong.
Ads
Menjelang tengah hari kami berlabuh pula di suatu lubuk berpotensi. Dalam pada menanti pemangsa mengambil umpan sotong kurita dan pelata hidup, kami turut mengunjun umpan besi atau jigging.
Penat memancing kami berehat dan melelapkan mata seketika. Sedang asyik dibuai alun dan angin, salah satu joran Pokmud mengena dan seekor jenahak anggaran berat hampir dua kilogram berjaya didaratkan.
Ads
Apabila tiupan angin mula berkurang kami kembali menyambung sesi menotok. Setelah hampir tiga jam kami menghabiskan masa tanpa sebarang hasil, akhirnya kami sepakat hati menamatkan pemburuan. Berbaki masa sedikit masa sebelum pulang ke pangkalan, berlabuh pula di kawasan cetek pinggir selat bagi menghabiskan saki baki umpan sotong kurita memancing sembilang dan saudara maranya yang bersengat.
Dalam pada ikan duri dan gelama yang didaratkan bersilih ganti, tiba-tiba salah satu joran milik Pokmud dihenjut kuat. Pari! Ujar Pokmud sejurus memegang joran yang dihenjut kasar tersebut. Secara spontan saya bersorak riang kerana hasrat saya tercapai juga walaupun Pokmud belum habis bertarung dan kelibat mangsa sama ada pari atau spesies lain belum dapat dipastikan.
Setelah hampir sepuluh minit bertarung akhirnya mangsa memperlihatkan kelibatnya di permukaan. Ternyata ia sememangnya pari malah lebih manis ia adalah seekor pari harimau seberat 14 kilogram. Merasakan pari tersebut berpasangan, kami meneruskan usaha memburunya. Namun setelah hampir satu jam menunggu dan hari semakin gelap, kami mengambil keputusan untuk menamatkan sesi santai tapi lumayan tersebut.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pancingan dasar secara berhanyut adalah teknik pancingan paling efektif di perairan Zee zone ini kerana kebanyakan lubuk adalah di celahan laluan kapal dagang yang mundar mandir sepanjang Selat Melaka.
Istilah menotok (pancingan dasar secara berhanyut) lebih banyak diguna pakai oleh pemancing otai di perairan ini kerana ia lebih menjurus kepada situasi dasar berbanding berhanyut yang berkisar di permukaan.
Apa-apapun istilah kini bertambah ramai yang sanggup meredah gelombang dan alun kapal semata-mata ingin merasai keperitan menarik jenahak, merah, kerapu dan ibu
gelama dari dasar manakala talang, haruan tasik, gerepoh, tenggiri pula pasti turut mendapat habuan jika umpan dilepaskan tanpa ladung.
TRIP
Dalam trip ke sekian kalinya, cuaca begitu menyebelahi kami kerana beberapa trip sebelumnya terpaksa menempuh alun menggila di pintu keluar kawasan merah yang dikenali Pintu Air Pulau Pintu Gedung.
Laut yang sedikit beralun membolehkan proses mencari umpan hidup. Umpan hidup dari hasil apollo lebih mudah diperoleh namun ia sekadar umpan pilihan kedua.
Pilihan pertama sotong kurita menjadi pertaruhan terbaik namun permintaan tinggi dan bekalan sering tidak mencukupi memaksa ramai pemancing mencari umpan alternatif.
Penjimatan masa ke lubuk amat ketara ketika bergerak dalam kelajuan hampir penuh di kala laut mendatar. 15 hingga 30 minit diperlukan setiap kali berpindah lubuk.
Ikan tidak mendiami lubuk yang sama dan jumlahnya agak menurun.
Kalau disebut kawanan ikan tentu ratusan dan puluhan ekor, tapi di kawasan Zee Selat Melaka ini kawanan ikan biasanya kurang dari 10 ekor mengikut pemerhatian hasil yang dibawa pulang oleh kumpulan pemancing.
Penulis berempat bergerak ke lokasi dengan penuh semangat kerana kedua-dua jenis umpan iaitu sotong kurita dan ikan selar hidup serta tamban yang nyawa-nyawa ikan sudah tersedia untuk digunakan.
Lubuk pertama menjadi persinggahan kira-kira 11 batu nautika dari Pintu Gedung atau lebih dikenali Lubuk 190 darjah berpandukan bacaan kompas dari kuala Pintu Gedung. Kalau 230 darjah akan melepasi Rumah Api Permatang Sedepa.
Umpan Killer
Kedudukan lubuk hampir melepasi Paloh 3 di mana kawasan laluan kapal melintasi Pelabuhan Klang menuju ke arah Selatan.
Memandangkan umpan selar dan tamban masih lagi segar hidup, kami mengunjungi lubuk biasa yang banyak menerima strike oleh talang.
Umpan selar amat mudah menjerat talang manakala tamban pula menjadi taruhan untuk ikan dasar. Dalam keadaan laut agak selesa, muka baru yang pertama kali turun nampaknya masih tetap tidak tahan.
Mabuk membawa sehingga seharian di dalam sampan dengan baring sambil melihat rakan-rakan memancing.
Lama-lama nanti pasti akan biasa dengan alun dan akhirnya boleh mengikuti trip di kemudian hari.
Zon penantian bermula beberapa minit selepas semua peralatan pancing ditugaskan melabuhkan umpan selesai.
Pertaruhan umpan selar hidup, sotong kurita dan tamban yang nyawa-nyawa ikan pasti dinilai keberkesanannya merujuk kepada umpan mana yang disambar terlebih dahulu.
STRIKE
Bunyi hon kapal kedengaran apabila dari kejauhan menandakan ada sampan lain yang ketika itu terlalu hampir dengan laluan mereka.
Perkara yang dah biasa buat kami kerana tumpuan utama ke arah hujung joran, menanti lenturan dengan penuh harapan.
Tuah baju kuning, pada hari itu apabila si pemakainya menjadi orang pertama menerima sambaran. Umpan tamban segar menjadi korban pertama untuk sang jenahak remaja.
Strike kedua di kawasan yang sama turut mengorbankan umpan tamban apabila seekor lagi jenahak tewas dengan joran buatan tangan dengan pasangannya kekili elektrik Shimano Beastmaster 9000.
Umpan selar hanyut di permukaan akhir membuahkan hasil apabila disambar seekor talang.
Seronok melayan aksi talang lebih-lebih lagi dengan set aksi ringan. Dari 4 sambaran talang, pagi itu hanya dua sahaja mengena manakala selebihnya rabut di pertengahan jalan.
50% kadar ‘hook-up’ masih boleh diterima. Desingan kekili Stella 4000HG pula mencuit tumpuan yang dipacak di hadapan sampan.
Lenturan berterusan menyebabkan joran sukar untuk dikeluarkan dari rod holder pada larian awal ikan.
Umpan kurita pula tidak mahu mengalah sebagai umpan terbaik apabila empunya joran terpaksa berhempas pulas menangani larian ikan sebelum muncul di permukaan.
Larian ikan bermasalah – sang cobia, itulah gelaran yang diberi kepada aruan tasik. Apabila ia kena sahaja, pasti ia akan mengelilingi sampan apabila muncul di permukaan.
Kekuatan yang dimiliki spesies ini walaupun di permukaan air tidak terdaya lagi ditangani apabila larian kedua begitu kuat sehingga perambut 80 lb putus.
WAKTU PUNCAK
Suasana menyepi selepas kehilangan aruan tasik. Beberapa kali lubuk pertama diulangi namun tiada sentuhan kasar.
Hanya tengkerong dan ikan mengkerong pasir yang mencuri umpan yang semakin mahal harganya.
Waktu puncak pertama sudah lepas terpaksa menunggu waktu puncak berikutnya dalam masa 5 jam lagi. Sesi berhanyut sambil merehatkan badan seketika.
Memasuki waktu puncak kedua kami berpindah ke lokasi lain yang terletakkira-kira 6 batu nautika.
Dengan pecutan 24 knot, dalam masa 15 minit akan sampai kerana alun selat semakin mendatar menjelang waktu petang. Percaturan yang sama seperti sesi sebelah pagi.
Cuma tinggal beberapa ekor selar dan kurita sahaja. Umpan tamban semuanya mati kerana spesies ini perlukan kitaran air yang baik untuk kekal hidup.
Apabila arus semakin melemah, sambutan ikan dasar semakin kerap jika berada di kawasan lubuknya. Petang itu agak menceriakan kami apabila ikan lebih galak.
Semakin lewat petang semakin menjadi pula jenahak menyambar. Walapun tidak kesemua strike berhasil sekurang-kurangnya ada juga kepuasan yang diperoleh.
Lewat petang itu kami pulang dalam keceriaan sambil menyusun perancangan untuk kembali lagi. Jadi pemancing mana pernah puas tidak kira menggasak atau digasak.
Kumpau itu sesuatu yang indah dikenang walaupun pahit untuk ditelan.
Pancingan ikan siakap merah (mangrove jack atau digelar MJ), bukanlah aktiviti pancingan biasa dan sama dengan pancingan ikan-ikan lain.
Ia membabitkan sebuah kredibiliti tinggi seorang yang digelar pemancing tegar untuk mendaratkannya.
Ini kerana, spot siakap merah liar terutama di kawasan muara dan kuala sungai adalah kubu terbaik untuk ikan ini meloloskan diri.
Bagi kami sendiri, siakap merah yang kami gelarkan si ‘penyamun merah’ ini, bukanlah spesies yang mudah untuk ditewaskan.
Kehebatannya persis seorang atlet pecut 100 meter berlari yakni sifat semula jadinya yang licik dan pantas.
Malah, bagaimana cara pemangsa licik muara ini menarik mahupun mencuri gewang semasa casting di celahan reba juga dikagumi oleh kami.
Ia bersembunyi di celahan reba sambil mengintai dan menunggu mangsa yang lalu berhampiran tempat persembunyian.
Sebab itulah juga, bila sahaja strike dan kaki pancing terlewat beberapa saat menahan asakannya, pasti akan berputih mata. Sama ada mata gewang tersangkutdi celahan reba ataupun mata kail terkangkang.
Bagi kaki casting, mengaplikasikan tali dan mata kail yang bersesuaian perlulah diambil kira dalam usaha mencari ikan ini.
Jika tidak, siakap merah ini mudah melepaskan diri daripada kawalan pemancing dan kemudiannya memboloskan dirinya begitu sahaja setelah bersusah payah mencuba mengaraunya naik ke permukaan.
Lubuk Rahsia
Menyedari masih ramai lagi pemancing yang tidak mengamalkan pancingan tangkap dan lepas, kami bersepakat merahsiakan lubuk yang kami lawati kali ini.
Memadailah sekiranya berkongsi gambar bersama pembaca melihat ‘kepuasan’ yang kami sama-sama rasai.
Umpan Hidup atau Gewang Tiruan?
Siakap merah sebenarnya jika diperincikan merupakan spesies ikan yang melahap apa sahaja sasarannya bila waktu mencari makan.
Namun begitu, bergantung juga pada pemerhatian anda pada sesuatu lubuk dikunjungi tersebut.
Ini kerana ada kalanya, spesies ini juga berasa was-was dengan jenis gewang tiruan yang dihulurkan.
Pilihlah gewang jenis minnow yang berbadan sedikit slim. Namun, jika mengaplikasikan umpan hidup, udang merupakan umpan yang lazim dijadikan bagi spesies ini.
Di sesetengah tempat, seperti di Kuala Trong, Perak contohnya, ikan jenjulong adalah umpan hidup terbaik untuk menjerat ikan ini.
Pilihan set pancing Memandangkan ikan sasaran kami adalah siakap merah, kami memilih gewang tiruan untuk diaplikasikan.
Memancing menggunakan bot adalah cara terbaik untuk menjejaki spot terbaik ikan berada.
Pemilihan saiz gewang yang memiliki saiz yang ideal iaitu tidak terlalu besar adalah penting.
Gewang-gewang bersaiz ini sungguh efektif dipraktikkan pada lubuk berpotensi tinggi didiami siakap merah.
Selain itu, penggunaan gewang tiruan separa selaman dalam contohnya seperti Strike Pro Slingshot Minnow bersaiz 12 cm iaitu struktur bentuk panjang dan tiris juga terbaik kerana ia berupaya lakukan renangan yang laju.
Tentang joran, anda bebas memilih sama ada set baitcasting atau spinning bila berada di atas bot, joran panjang adalah ideal dan ia bergantung pada pemancing.
Manakala kekili adalah dari kategori ringan dan sederhana berat bersaiz 2000-3000 adalah memadai.
Tentang tali, ia bergantung pada kawasan pancingan. Saiz 15-30lb adalah yang sesuai dan jangan lupa gunakan tali perambut yang bersesuaian, 30lb ke atas bagi mengekang asakan ikan ini seandainya ia memasuki reba.
Kebiasaannya, kaki pancing perlu bersedia semasa karauan dibuat. Ini kerana, bila-bila masa sahaja di saat ini, strike akan berjaya diperolehi.
Apabila terkena sahaja, siakap merah akan menekan dan akan mencari reba berhampirannya untuk menyelinap masuk.
Ketika ini, pemancing perlu menahan dan melakukan karauan sepantas mungkin agar ikan ini, tidak sesekali berjaya membawa ke reba.
Sudah Rezeki Kami
Dalam usaha mencari spesies ini, kami turut memperoleh strike dari ikan lain seperti bulan atau tarpon dan juga alu-alau.
Elvi Ching sempat melayan alu-alu ini yang turut meronda di kawasan pencarian kami mendapatkan siakap merah.
Berderau juga Elvi Ching apabila lontaran gewang yang disangka siakap merah, direntap rakus oleh alu-alu yang turut mendiami di kawasan spot ini.
Walaupun akhirnya agak mudah untuk mengekangnya daripada melepaskan diri, tapi semangatnya untuk mencuba melepaskan diri menambah keseronokan bertarung dengan spesies gigi tajam ini.
Pada masa yang sama, kami turut melayan ikan bulan yang kebetulan boiling di permukaan air.
Lompatan demi lompatan bulan yang cuba melepaskan diri apabila mula menghampiri bot kami amat mengasyikkan.
Jangkaan kami pertembungan dengannya agak mudah, ternyata meleset kerana banyak ekor juga yang `miss`, apabila lompatan akrobatiknya berjaya melepaskan mulutnya dari mata gewang.
Suasana di atas bot menjadi riuh rendah seketika apabila berlaku strike serentak. Detik Menarik!
Kami kemudiannya meneruskan pemburuan siakap merah dan apabila bot memasuki satu anak sungai, Elvi Ching melontarkan gewangnya di satu spot tidak jauh dari tebing.
Tiba-tiba sahaja satu sergapan kuat diterima oleh Elvi dan sepantas kilat, dia melakukan hook-up dan strike!
Elvi terus sahaja menahan asakan sambil menahan asakan dan akhirnya selepas beberapa minit kemudian, si ‘penyamun merah’ ini akhirnya berjaya didaratkan.
Tuah buat Elvi yang berjayamemperoleh siakap merah bersaiz dewasa dan matang. Sudah tentulah, saat ketika strike, ia momen yang amat didambakan oleh kaki-kaki casting.
Sergahan rakus ia menyambar gewang dan terus melarikan gewang merupakan suatu detik yang tidak akan dilupakan oleh mana sahaja kaki casting tegar.
Lewat petang, beberapa lagi strike diterima sebelum kami menamatkan pencarian spesies tersebut.
2 ekor yang diperolehi Lim Kim Peng adalah bersaiz kecil dari tapak tangan dan kami telah lepaskan semula.
Walaupun secara keseluruhannya tidak lumayan hasilnya, kami pasti tidak akan serik untuk bertandang ke sini lagi.
Jadi, kepada pemancing di luar sana yang belum ada lagi lesen ikan ini, silalah berbuat demikian, kerana si penyamun merah ada karannya yang tersendiri.
Ketika mula menjinakkan kaki ke arena pancingan kelong lebih 10 tahun yang lalu, penulis hanya mampu memasang impian untuk menjejakkan kaki ke Kelong Paradise.
Atau kelong batu sebagaimana yang selesa disebut oleh rakan yang bertanggungjawab mengheret penulis memancing ke kelong-kelong.
Ada beberapa faktor yang membuatkan penulis hanya sekadar mampu memasang angan-angan untuk memancing di Kelong Paradise ketika itu. Pertama, kos pakej memancingnya yang mahal.
Maklum sajalah kos memancing di kelong-kelong biasa cuma sekadar RM30-RM40 seorang, sedangkan kos pakej di Kelong Paradise RM180. Itu belum campur kos-kos lain lagi.
Gedebak-gedebuk mahu cecah RM300 seorang. Dengan kos perbelanjaan sebanyak itu sudah pasti lebih afdal ke kelong biasa saja berulang kali.
Seperkara lainnya, penulis merasakan kelengkapan pancing yang ada ketika itu tidak menepati piawaian untuk memancing di Kelong Paradise yang terkenal dengan ikan-ikan berstatus monster.
Lebih kurang 8 tahun yang lalu, akhirnya penulis berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Kelong Paradise atas tiket media apabila ada sebuah universiti mengadakan program di kelong tersebut.
Tentu saja penulis tidak lepaskan peluang tersebut kerana tidak perlu mengeluarkan sebarang kos dan sudah memiliki kelengkapan pancing yang sepadan untuk bertarung dengan monster di Kelong Paradise.
Tapi bila berbual bicara dan melihat peralatan pancing seorang regular customer di kelong tersebut, terasa balik diri sebenarnya masih belum bersedia untuk menduga Kelong Paradise.
2 hari 1 malam tanpa sebarang hasil (hanya seekor ketuka) membuatkan penulis seperti berpatah arang untuk kembali ke kelong bercat merah kuning ini.
Tapi untuk bersikap adil, penulis tidak boleh nak cop kelong ini sudah takde ikan atau takde ikan kerana sepanjang tempoh itu ada juga pemancing yang berjaya menaikkan kerapu dan senangin bersaiz kasar.
Sembilang pun ada naik di tiang-tiang kelong tertentu. Cuma pari yang menjadi sasaran utama tidak muncul.
Beberapa tahun kemudian, apabila salah seorang rakan yang suatu ketika dulu cukup kerap memancing dalam masa yang sama mempromosi kelong tersebut tiba-tiba mengadakan komplot kecil-kecilan ke kelong itu, muncul balik keterujaan penulis yang hampir padam.
Berdasarkan pengalaman kali pertama dahulu penulis percaya trip kedua kali akan membuahkan hasil. Keyakinan rakan akan menaikkan pari gergasi sedikit sebanyak menyuntik semangat pada penulis.
Namun semangat yang meluap segera padam apabila bertemu dengan rakan tersebut di jeti sebelum menaiki bot ke kelong. Menyedari hari tersebut air pasang besar atau pasang ‘keling’, penulis bertanya sama ada ia sesuai atau tidak untuk memancing di kelong.
Jawapan rakan penulis cukup mudah, beliau tidak pernah ambil tahu pun pasal air pasang surut. Semuanya bergantung pada kelapangan masa. Nampaknya bayangan kumpau mula mengekori penulis ke Kelong Paradise.
Dengan arus yang laju sememangnya tidak sesuai untuk memancing di luar kawasan kelong. Dan walaupun tiada ikan luar yang masuk ke kawasan kelong, struktur konkrit kelong yang dibina sebenarnya menjadi tukun khusus untuk pembiakan senangin.
Tatkala sukar mendapatkan ikan lain, senangin masih boleh dipancing dengan teknik dan umpan yang betul. Ketika itu bilis yang banyak berteduh di kawasan kelong menjadi diet utama senangin.
Malangnya tiada seorang daripada ahli komplot yang bawa apollo bersaiz kecil untuk memancing bilis. Udang hidup yang beratus ekor dibawa bersama langsung tidak dilayan.
Dengan situasi tersebut rasanya sesiapa saja boleh mengagak keputusan trip penulis kali kedua atau mungkin juga kali terakhir ini.
Info pakej
Orang dewasa RM188 (tambang bot pergi balik,makan dan minum).
Kanak-kanak bawah 4 tahun ke bawah percuma. 4-10 separuh harga dan 10 ke atas harga biasa.
Bilik untuk 5 orang RM450
Bilik untuk 3 orang RM350
Bilik untuk 4 orang RM250 (katil double decker)
Dorm 1 orang RM50
Untuk tempahan sekurang-kurangnya 4 orang
Deposit perlu bayar 50% dan 50% selebihnya dibayar di jeti kelong.
• Maklumat penuh bolehlah hubungi pihak pengurusan kelong
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...