Ikan tembaring (black bass) atau kanai memang spesies yang saya idamkan untuk memancingnya sejak sekian lama. Namun belum pernah ada kesampaian lagi untuk memancingnya. Kalaulah Sabah tu dekat sahaja dan boleh berkereta dari Semenanjung, tentu sudah lama saya sampai.
Perkenalan dengan rakan dari Sabah, iaitu Ralf dan Alam yang bekerja di Semenanjung telah membuka pintu untuk saya sampai ke sana. Itupun selepas mereka meracun saya dengan gambar-gambar tembaring dalam trip mereka terdahulu.
Selepas berbincang, lepak di kedai makan dan bersembang di Whatsapp, saya akhirnya menjejakkan kaki kali pertama di bumi Sabah atau lebih tepat lagi di Sandakan iaitu di kampung halaman mereka sendiri.
Hari Perjalanan
Setibanya di Lapangan Terbang Sandakan, kami bertiga, saya, Ralf dan Alam dijemput oleh adik Alam, Ulek dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju ke Kampung Sugut yang terletak kira-kira 4 jam perjalanan dari Sandakan.
Hari pertama tiba di Kampung Sugut, kami hanya berehat sahaja di rumah dan saya mengambil kesempatan bersiar-siar di sekitar kampung. Malamnya kami menyiapkan peralatan senjata tempur. Perasaan saya agak bercampur baur memikirkan bagaimanakah memancing ikan ini. Akhirnya saya terlelap buat kali pertama di bumi Negeri Di Bawah Bayu ini.
Ads
Hari Pertama
Selepas bersarapan, kami menuju ke di jeti berhampiran kampung berkenaan. Hanya lima minit sahaja dari rumah Alam dan lokasi pencarian tembaring adalah di Sungai Paitan. Selain nama tembaring dan kanai, orang di sini juga menyebutnya dengan nama ‘temaing’.
Di situ telah tersedia dua buah bot dan rakan lain yang menunggu kami. Saya, Ralf, Ujang menaiki bot yang dibawa oleh Daus. Manakala sebuah bot lagi yang dibawa oleh Farhan dinaiki oleh Ustaz Syukri, Alam dan Ulek.
Selepas 30 minit menaiki bot, kami memulakan trolling dan juga casting. Menurut Daus, mereka di sini lebih gemar bermain trolling dan bottom. Sesekali sahaja melakukan kaedah casting. Namun pagi tersebut, kami kumpau sekumpaunya.
Ads
Selepas solat Jumaat, kami sekali lagi turun ke lokasi tidak jauh dari susur sungai yang pertama tadi. Hasilnya kami berjaya memperoleh siakap merah, kerapu, baby GT dan juga anak alu-alu. Tiada tembaring berjaya di perolehi.
Setibanya dia sebuah persimpangan sungai yang agak strategik dengan keadaan struktur kayu bakau dan nipah yang tenggelam kami memberhentikan sampan. Menurut tekong, inilah lokasi di mana banyak tembaring bersaiz mega pernah dinaikkan.
Apa lagi tanpa membuang masa saya dan Ralf memulakan sesi casting. Setelah lama memujuk penghuni dasar tiada seekor pun yang sudi menjamah.
Kami meneruskan sesi trolling di kawasan tersebut. Baru seminit Ralf menunda rod Megabass Destroyer dipadankan dengan kekili Shimano Exsense DC telah menerima sentapan kasar. Gewang Zerek saltwater series dengan kekuatan tali sulam 40lb berserta tali perambut Sufix 50lb ditekan ke bawah. Keadaan menjadi kelam kabut disebabkan tali keluar mencurah-curah.
Ads
Hanya beberapa minit bertarung ikan berjaya melepaskan diri. Kami melihat kesan ragutan ikan memang sah ini tembaring. Jelas tertera gigitan bersaiz 1 inci seperti pontianak bak kata tekong kami. Anggaran saiz dalam 3 kilo ke atas.
Di penghujung waktu petang, saya dikejutkan bunyi sambaran yang kuat oleh bot di sebelah. Rupa-rupanya Ustaz Syukri yang melontarkan gewang pensil ke arah tebing, telah mendapat satu sentapan kuat. Saya melihat bagaimana Ustaz Syukri bergasak menahan tali dari terus keluar dari spool kekilinya.
Disebabkan setup yang digunakan oleh Ustaz Syukri agak kasar, iaitu rod PE 1-3, kekili Penn Conflict 4000, tali braided 40lb dan perambut 50lb, akhirnya tembaring seberat 3.7 kg memihak kepadanya. Kami semua tumpang gembira dengan tangkapan tersebut, lebih-lebih lagi empunya diri yang baru berjinak dengan teknik casting.
Ini menambahkan lagi semangat kami yang tengah berkobar-kobar memburu ikan pujaan kaki casting Lewat petang, kami pulang semua ke jeti Kampung Sugut sambil memujuk hati saya, “esok masih ada”.
… bersambung
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Gunakan tangguk atau sauk, bukannya lip grip apatah lagi cangkuk (gaff). Jaring pada tangguk pula perlulah dari bahan yang halus dan tidak mencederakan sisik ikan. Sebaiknya pilihkan jaring tanggung plastik berbanding benang.
Banyak aspek yang diabaikan seperti membasahkan tangan terlebih dahulu sebelum anda memegang ikan atau hasil tangkapan. Perkara ini amat penting bagi mengelakkan lendir yang menyelaputi badan ikan terhakis. Lendir pada badan ikan ini adalah agen pertahanannya dari penyakit!
Sebaiknya tanggalkan mata kail ketika ikan masih di dalam air bukannya selepas didaratkan atau diangkat ke bot. Disiplin ini bukan tidak diamalkan langsung tetapi kebanyakannya dibuat jika ikan dikehendaki untuk bergambar saja atau bukan spesies sasaran.
Setelah menanggalkan mata kail, pegang ekornya di dalam air, dan olakkan ikan sehingga ia mula meronta, kemudian lepaskanlah ia. Bantuan ini penting dipraktikkan bagi membolehkan ikan dilepaskan dalam keadaan sempurna kerana berkemungkinan ia berhadapan dengan risiko kematian atau menjadi mangsa kepada pemangsa lain.
Jika anda ingin mengambil gambar bersama ikan, buatlah secepat mungkin. Setiap saat ikan itu di luar air, maka semakin kurang peluangnya untuk hidup. Jangan gantung ikan dari insang atau bibirnya saja. Ini merosakkan organ dalamannya. Gunakan kedua-dua tangan anda, biarkan ikan itu dalam posisi mendatar.
Jangan sekali-kali melepaskan kembali ikan pendatang ke dalam air terutamanya dari jenis pemangsa (kecuali anda memancing di kolam berbayar atau perairan yang tertutup). Sekiranya anda pernah melakukannya maka anggaplah ia sebagai kesilapan yang tidak akan diulangi lagi.
Seketul jig dihulurkan menerima sambaran awal walaupun ia dilabuhkan agak lewat dari rakan jigging yang lain.
Pemiliknya menerima sambaran ketika kepingan jig baru mencecah sepertiga dari kedalaman air.
Manakala jig yang dilabuhkan lebih awal terus menjunam ke dasar sebelum di unjun ke atas.
Pada kedalaman air 120 meter, masing-masing menumpukan pemangsa dasar dan pertengahan air.
Menyedari ikan ketika itu banyak berlegar pada kedalaman 30 meter hingga 50 meter, barulah yang lain turut menyertai.
Keriuhan di tengah kepekatan malam menyemarakkan suasana. Bukan satu, dua malah ada masa hingga kesemua jig yang diunjun disambar ikan.
Kami ketika itu berada di bawah sekumpulan ‘baby’ aya budak anggaran purata bawah 3 kilo setiap ekor.
Walaupun kecil tetapi sifat ganas yang dimiliki oleh aya bergigi tajam rakus membedal kepingan jig.
Malah jig yang hampir sama panjang dengan saiz ikan aya ini tidak dihiraukan. Di sini keputusan jig yang paling digemari ketika itu dapat diukur.
Jig lutsinar lebih cepat disambar ikan berbanding jig biasa. Jenis yang paling digemari ikan kayu panggilan orang Sabah ini ialah yang jenis berbelang yang kemudiannya kami gelarkan nama ‘jig banduan’.
Apa sahaja jenis dan jenama jig digunakan waktu itu boleh dikatakan hampir semuanya menerima sambaran.
Yang menentukan cepat dan lambat sambaran bergantung pula kepada teknik karauan dan bijak meneka ‘strike zone’.
Bagi pemancing yang menggunakan tali braided 5 warna lebih mudah kerjanya, sebaik sahaja habis kelima-lima warna keluar dari gelendong, layan seketika sebelum mula dihenjut ke atas.
Benar lebih laju lebih cepat sambaran diterima namun teknik ini cepat meletihkan. Bijak menukar strategi di mana had laju hanya di kawasan panas sebelum diperlahankan rentak.
Kami juga cuba jigging di bahagian lebih dalam berharap spesimen yang lebih besar, namun hampa.
Kawanan aya budak ini hampir sebaya, kelas tadika sahaja. Tapi jangan diperlekehkan kekuatan aya ini kerana saiz 3 kg mudah sahaja boleh memuntahkan tali 40 lb yang
dipadankan dengan pelbagai set kekili Shimano Stella, Twinpower, Daiwa Saltiga, Daiwa Catalina dan Accurate.
Inilah set yang digemari kaki jigging bila membuat trip sebegini. Alatan pancing tak boleh kalah.
TAKAT 34
Kali ini penulis bersama 14 orang kaki pancing mengatur ekspedisi memancing di Takat 34, setengah perjalanan menuju ke Takat Jepun.
Ahli yang terdiri dari 2 pemancing dari Johor, 2 dari Pulau Pinang, 2 dari Sabah dan selebihnya dari KLIA bergabung satu trip yang menjadi rutin tahunan.
SJN 01099Z merupakan bot yang sering ditempah untuk trip tahunan. Hajat ke Takat Jepun terpaksa dilupakan kerana di kawasan tersebut airnya terlalu dalam untuk teknik jigging.
Kedalaman melebihi 300 meter di kawasan tersebut adalah perkara biasa, tempat sesuai mencari ikan ruby snapper.
Sesi perbincangan rata-rata memilih untuk lokasi yang lebih menjurus kepada teknik jigging berbanding dasar.
Di kala geng jigging bergasak, geng pancing dasar hanya memandang sahaja ketika itu kerana buruan ikan dasar amat sepi ketika itu.
Berbagai-bagai jenis umpan di gunakan kebiasaan seperti sotong termasuk sotong kurita, selayang dan aya tidak membuka selera mana-mana pemangsa dasar.
Malah beberapa ekor aya hidup yang terkena jig terus dijadikan umpan hidup mencari pemangsa dasar tidak mendapat sebarang sambutan.
Beberapa ekor kembung segar dihanyutkan di belakang bot turut disambar gerombolan aya ini. Tiada tenggiri seperti yang diharapkan.
Getuan sekali sekala hanya diterima kaki pancing dasar mengundang beberapa ekor ikan ‘durian’ dan ‘ping pong’.
Hampir sepanjang malam ramai yang menyertai kaki jigging bergasak dengan ikan aya. 100% yang menyambar jig adalah aya budak.
Dari mula kami tiba hingga saat menjelang fajar ikan tidak henti-henti menyambar jig. Tidak lama kemudian, aksi menyeronokkan menjadi haru biru apabila kumpulan yu tukul pula tiba.
Umpan pemancing dasar yang dilabuhkan ketika itu disambar ikan yu tukul. Kumpulan aya berkurangan ketika pemancing dasar bertungkus lumus menaikkan yu tukul sebelum tali perambut dipotong apabila tiba di permukaan air.
Untuk pengetahuan, elakkan menaikkan yu ini ke dalam bot kerana ia amat menyusahkan. Cara terbaik potong sahaja tali perambut bila kelihatan di permukaan air.
Tidak lama kemudian, seorang demi seorang geng jigging menghilangkan diri untuk beradu di bilik berhawa dingin yang sedia menanti.
MENCARI SANG RUBY
Tekong kemudiannya memberi isyarat tali pancing berpindah ke lubuk untuk memancing sebelah siang pula. Hampir dua jam kemudian, isyarat kedua dinantikan oleh kaki pancing dasar pula.
Lubuk sedalam 160 meter kurang sesuai untuk kaki jigging yang masih beradu keletihan.
Misi utama trip ini ialah mencari ikan ruby snapper, namun tekong memberi pandangan jangan terlalu berharap pada spesies ini di kawasan air cetek.
Ruby snapper semakin hari semakin berkurangan di kawasan air kurang dari 200 meter. Ada, tapi tak begitu besar menurut kata tekong lagi.
Hulur sahaja umpan sambar berharap yang terbaik sahaja ketika itu. Sudah menjadi kebiasaan pemancing yang pertama melabuhkan umpan biasanya menerima sambaran terlebih dahulu.
Labuk, pemancing tegar dari Sabah mendahului sambaran pagi tersebut. Set kekili manual yang baki beberapa meter sahaja tali dalam gelendong kekilinya cukup bertenaga mengarau pancing.
Seekor kerapu perang 5 kg bermata besar muncul sebelum penulis menyusuli hasil tangkapan dengan seekor ruby snapper hampir sama saiz.
Melihat hasil Labuk naikkan, ia memberi semangat ahli lain untuk turut sama memancing berumpan hirisan aya pasar.
Sambil yang lain menunggu joran melentur, Sham diam-diam menaikkan seekor lagi ruby dengan teknik jigging.
Inilah hasil bagi orang memiliki kudrat luar biasa jigging dan sentiasa bersemangat berbanding pemancing lain Kemudiannya hasil sepi banyak masa dihabiskan pada siang hari kedua dengan menunggu sambaran sambil bersembang kosong.
MEMBURU AJI-AJI
Bila senja menghimpit malam, bot bergerak menuju ke lokasi berikutnya, atas pilihan ramai tempat yang boleh layan jigging diusulkan kepada tekong yang menurut sahaja permintaan ramai.
Kali ini sasaran dialihkan pula untuk ikan aji-aji. Bila bot memperlahankan kelajuan, kaki jigging mula mempersiapkan kelengkapan dengan macam-macam saiz dan warna jig.
Dapat sahaja isyarat ‘on’ dari tekong, 7 hingga 10 keping jig dihulurkan serentak. Bahagian belakang bot dikosongkan untuk yang berjigging sahaja, jadi tempat cukup lapang dan selesa bagi kaki jigging.
Biasalah bila dah lebih dari 5 kali turun naik jig, keletihan membahangi keringat yang pudar. Kerana tiada sambutan sama sekali.
Dari 10 turun ke angka 8, akhirnya yang masih berkudrat meneruskan usaha mencari sambaran setelah yang lain mengundurkan diri.
Bila angka kosong buat kaki jigging, kaki pancing dasar mempersiapkan diri pula untuk mengambil alih kedudukan mengumpan ikan pada kedalaman 120 meter.
Bila dah penat hilang, usaha jigging tetap diteruskan dengan harapan ikan aji-aji akan bertandang ke kawasan limpahan lampu dari enjin generator bot kami.
Usaha boleh dibanggakan, tapi hasil mengecewakan. Tumpuan kemudian beralih kepada joran Hidayyad yang mengena ikan.
Kekili Command ATS digunakan sesekali terhenti sesekali apabila mangsa di bawah begitu kuat melawan. Nampaknya aji-aji tidak berminat dengan kepingan yang dihulurkan, tetapi memilih umpan sotong pasar malam itu.
Bila muncul aji-aji di hujung perambut, kaki jigging tiba-tiba menjadi semangat. Adrenalin darah mengalir memberi kembali semangat yang pudar sebelumnya.
Berduyun kepingan jig kembali terjun ke dasar. Naik-turun berkali-kali kepingan jig, keputusan tetap sifar. Begitu juga dengan yang masih menunggu umpan pasar yang dihulurkan.
Mungkin kerana sebelah malam arus begitu lemah menjadikan ikan tidak tergoda dengan umpan yang dihulurkan. Bila tiada, usul di keluarkan untuk kembali ke lokasi malam sebelumnya.
Setidak-tidak boleh layan semula kumpulan aya budak yang berselera meligan kepingan jig. Dalam perjalanan menuju ke lokasi, masing-masing mengharap aksi seperti sebelumnya bagi mengutip kembali keceriaannya yang bakal dimiliki.
Sambil pada itu perancangan untuk trip tahun berikutnya sudah wacanakan lebih awal bagi menempah bot serta yang lebih utama tiket penerbangan.
Tidak lama dulu, sempena cuti hujung tahun, saya berkesempatan melawat sebuah rumah panjang di pedalaman Sarawak. Memandangkan saya peminat pancingan sungai pegunungan, peluang tersebut tidak disia-siakan dengan membawa set memancing ringkas untuk menduga penghuni sistem sungai di Ulu Baram, salah satu sungai terbesar di Sarawak selepas Sungai Rejang.
Namun, kerana kekurangan informasi mengenai keadaan di sana, saya dibuli teruk kerana set tidak sepadan dan kekurangan peralatan. Dari itu, saya telah merancang rapi satu trip ‘balas dendam’ setahun berikutnya dan berjaya merasai sendiri pengalaman hebat bergasak dengan ikan yang digelar raja sungai pegunungan dengan kaedah casting atau mengilat.
Setibanya di Miri, di mana saya bersama isteri dan adik yang juga kaki mengilat telah dijemput oleh Henry Agang selaku guide kami dan bermulalah perjalanan Ke hulu Sungai Baram melalui jalan balak selama 8 jam.
Kami tiba di sebuah perkampungan etnik Kenyah kira-kira jam 7.00 petang. Tidak banyak info yang boleh dilakukan malam itu kecuali menyiapkan diri serta peralatan untuk keesokan harinya.
Tempat penginapan kami boleh dikatakan mewah dengan keadaan rumah panjang yang cantik dan bersih, bekalan air pegunungan yang tiada had serta generator untuk bekalan elektrik.
Pagi berikutnya, walaupun saya bangun awal kerana tidak sabar untuk melontar gewang, namun perjalanan belum dapat diteruskan kerana masalah bot dan enjin sangkut. Menjelang tengah hari barulah masalah tersebut dapat diselesaikan.
Long Buang, salah sebuah anak sungai yang bersambung dengan Sungai Baram menjadi sasaran kami, hanya terletak kira-kira 30 minit menghulu dari perkampungan tersebut namun perjalanan terasa amat lama kerana keadaan sungai yang cetek dan deras dengan bongkah-bongkah batu besar di tengah-tengah sungai membuatkan enjin 15hp bagaikan hanya berkuasa 2hp lajunya.
Setibanya di Long Buang, kami terpaksa meninggalkan bot di muara kerana air sungai terlalu cetek. Rancangan asal adalah untuk terus berjalan kaki ke hulu di mana terdapat banyak lubuk besar dan dalam namun memandangkan kami hanya mempunyai masa setengah hari untuk memancing maka rancangan diubah untuk hanya menduga lubuk-lubuk kecil berdekatan muara.
Saya menggunakan set padanan Abu Garcia Revo MGX dengan rod custom 4-7lb, satu set ringan kerana berpendapat kawasan dekat muara ini tiada saiz ‘monster’ berikutan lubuknya yang kurang dalam. Namun lontaran pertama sesudu Abu Island II Gold 12 gram terus sahaja bersambut.
Saya dapat menjangkakan bahawa ini perbuatan sebarau kerana sambaran diterima ketika sesudu baru tenggelam dan larian pertamanya yang padu namun agak singkat. Setelah dihela ke tebing seekor sebarau dua belang dalam anggaran berat 500 gram berjaya dinaikkan.
Saya difahamkan, di lubuk ini hanya sebarau dua belang sahaja yang menghuni. Dan berdasarkan pengalaman memancing spesies ini di kebanyakan lokasi di Sarawak, daya juang sebarau dua belang jauh lebih hebat daripada saudaranya satu belang.
Dari segi penampilan fizikalnya juga memang berbeza dengan kepala yang lebih besar dan nampak garang, badan yang lebih ‘ streamline’ dan panjang serta dua belang hitam melintang di tengah badan dan pangkal ekor menampakkan lagi kelainan ‘sebarau Borneo’ ini.
Memandangkan hari semakin lewat tengah hari, kami memutuskan untuk casting secara ‘rapid’ dalam usaha mendapatkan lauk untuk makan tengah hari kerana kami hanya membawa nasi sahaja sebagai bekalan makanan.
Lagipun menurut guide kami, adalah senang untuk mendapat lauk-pauk di dalam perjalanan sebab banyak paku-pakis dan tumbuhan hutan lain yang boleh dimakan bersama ikan yang dipancing nanti.
Sebarau dan anak tengas rata-rata dalam lingkungan berat 500-900 gram berjaya kami naikkan. Dalam masa lebih kurang setengah jam casting hasil keseluruhan 3 orang ‘caster’ untuk dijadikan lauk kami adalah lebih kurang 15 ekor.
Agak menyedihkan, kerana terpaksa mengambil juvenil untuk dijadikan hidangan. Nak buat macam mana, survival.
TRIP PETANG
Setelah makan, kami berkemas untuk meneruskan agenda sebenar trip. Jam menunjukkan pukul 3 petang. Kami berpecah kepada dua kumpulan untuk meminimumkan bunyi bising dan setiap kumpulan diberi lubuk masing-masing untuk digempur.
Di satu lubuk yang dalam, lontaran pertama saya terus bersambut. Sesudu Abu Island II 12 gram disergap pemangsa jauh di dalam lubuk ketika dibiarkan tenggelam.
Drag kekili Abu Garcia Mgx disetkan tinggi namun tali mencurah-curah keluar. Saya terpaksa menambah tegangan dengan ibu jari menahan spool yang ligat berpusing. Ikan berjaya dihalang daripada masuk ke kubunya dan dilayan sehingga letih.
Kira-kira 2 minit kemudian ternampak kelibat ikan di dalam air yang sejernih kristal. Agak kecewa kerana apa yang menonjol adalah dua garisan melintang di tengah badan ikan.
Badong rupanya… ingatkan kelah sebab tarikannya memang syok habis. Yelah kan, penulis belum ada pengalaman bertarung dengan kelah, masih kurang arif dengan lariannya. Bacaan pada ‘lip grip’ menunjukkan angka 5 lb. Lebih kurang 2 kilo lebih. Memang puas hati.
Berita daripada kumpulan lain agak kurang memuaskan. Hanya sebarau juvenil yang banyak dinaikkan untuk hari pertama. Memandangkan hari semakin lewat kami bergerak balik pada pukul 5.00 petang.
Dalam perjalanan pulang, kami merancang untuk memancing dasar pada malam harinya, namun selepas sahaja berehat, semuanya terus hanyut tertidur dek keletihan. Keesokan harinya, kami bertolak agak lambat kerana porter dari suku kaum Penan yang diupah untuk mengangkat enjin sangkut ke perahu datang lambat.
Jam 10 pagi barulah kami dapat bergerak ke Long Buang. Hari ini, kami merancang untuk pergi lebih jauh ke hulu demi mendapatkan lubuk-lubuk besar yang dalam. Sepanjang ‘trekking’ menghulu tersebut, saya sempat melempar sesudu di kawasan-kawasan yang difikirkan berpotensi.
Sebarau amatlah banyak, sehingga ‘blind cast’ pun bersambut. Sekali-sekala anak-anak tengas juga turut terjerat. Strategi hari ini juga seperti hari sebelumnya.
Kami berpecah kepada 2 kumpulan untuk meneroka lubuk-lubuk. Jam 2 petang kami berkumpul semula untuk rehat makan. Sementara menunggu api hidup dan memasak, saya mencuba di sebuah lubuk berdekatan lokasi kami berehat.
Beberapa ekor sebarau berjaya didaratkan walaupun dalam keadaan bising dengan semua anggota trip berkumpul dan memasak. Saya masih lagi mencuba beberapa balingan.
Dalam satu balingan yang ‘miss q’, tali dalam spool menjadi kusut. Sesudu terus tenggelam ke dasar sementara saya membetulkan tali.
Pada karauan pertama, sebaik sesudu terangkat dari dasar,terasa satu terjahan padu menghentam dan menarik tali mencurah-curah dari kekili. Setelah dilayan seketika, menyerahlah seekor kelah dalam anggaran 600gram.
Selain sesudu, saya turut mencuba gewang selaman dalam berwarna terang yang menyerupai buah-buah hutan. Rapala Fat Rap 5cm berwarna Golden F1 Red (GFR) amat laku di sini. Dua kali tali utama 30 lb saya putus.
Mungkin kesilapan saya sendiri kerana menggunakan tali yang terlampau halus. Tali Gtech walaupun kuat, ia mungkin tidak dapat menahan geseran dengan batu-batu di dasar sungai lalu terputus.
Menjelang petang, kami bertolak balik dengan azam untuk ‘repeat’ keesokan harinya. Namun keesokannya, niat kami terbantut apabila hujan lebat turun sepanjang hari menyebabkan sungai menjadi keruh.
Kami memutuskan memancing dasar berumpankan cacing di Sungai Baram. Keputusannya beberapa ekor baung berjaya kami perolehi. Highlight hari ketiga ini adalah pertarungan isteri saya, Lydia dengan ikan misteri yang berjaya melepaskan diri walaupun dilayan dengan menaiki bot.
Menurut guide, mungkin angkara ikan ‘Keramu’ (bahasa Kenyah) iaitu spesies baung besar berwarna kelabu.
HARI TERAKHIR
Keesokannya harinya, cuaca begitu baik dan kami mengambil keputusan kembali ke Long Buang yang telah kembali jernih. Saya bergerak seorang diri menghulu sungai, mendahului ahli-ahli yang lain.
Keadaan lebih sunyi dan ikan kurang menyedari kehadiran pemancing menyebabkan penulis ‘lost count’ sambaran sebarau dan anak kelah yang dinaikkan tapi sayang tiada orang untuk merakamkan detik pertarungan.
Bergambar pun jadi malas sebab tiada sebarau dan kelah ‘monster’ sudi menjadi model. Namun, purata berat ikan-ikan yang dinaikkan tidaklah mengecewakan, memang ada ‘fight’! Kira-kira jam 4.00 petang kami bergerak balik menyusuri sungai. Sedih meninggalkan syurga sebarau ini. Namun kami akur dengan keadaan masa yang mencemburui kami.
Dalam perjalanan pulang ke rumah panjang, saya meminta agar bot berhanyut kerana mahu melontar gewang di sepanjang Sungai Baram sehingga ke kawasan kampung. Beberapa minit kemudian, lontaran Rapala Fatrap 5cm GFR ke satu sudut lubuk disergap sesuatu ketika gewang menyelam maksimum. Berdasarkan kedalaman strike zone itu, saya dapat membuat tekaan angkara siapa.
Sentapan balas dibuat dan larian tiada henti pun berlaku. Berdesit-desit tali keluar dari kekili. Penulis hanya mampu berharap tali utama, perambut, ikatan FG knot, swivel, split ring dan segala macam peralatan dapat bertahan.
Mujur perahu yang digunakan berada jauh dari tebing maka ikan dapat dihalang daripada masuk ke mana-mana reba yang sememangnya banyak di kawasan tebing sungai.
Apabila dirasakan ikan menyerah kalah, tali dikarau dengan cepat dan berhati-hati, manalah tahu pecutan tiba-tiba berlaku. Putih mata dibuatnya kalau putus lagi.
Kira-kira 10 minit kemudian,ikan berjaya dihela ke permukaan dan satu kilauan perak yang besar kelihatan. Gembira bukan kepalang apabila melihat ikan kelah atau lebih dikenali sebagai ‘jembala’ oleh penduduk tempatan menyerah kalah di tepi bot.
Namun kegembiraan itu tidak lama, digantikan dengan ‘sense of urgency’ untuk menaikkan ikan tersebut ke dalam bot kerana cangkukan mata treble VMC 4X di mulut ikan kurang kemas.
Sejurus terlantar di lantai bot, gewang terlepas dari mulut ikan. Mujur sempat dinaikkan. Gambar diambil sambil membelek kagum kecantikan ikan tersebut.
Dengan kejayaan menaikkan kelah tersebut, maka berakhirlah trip idaman bagi penulis, namun kejayaan ini telah menanamkan tekad untuk kembali lagi suatu masa nanti.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...