Selepas mengambil gambar tidak kira sama ada di laut mahupun darat, anda hendaklah sentiasa membersihkannya sebelum simpan di dalam beg kamera. Ia amat penting supaya kamera tersebut tidak termasuk pasir, air mahupun habuk.
Kamera amat sensitif dengan air terutamanya air laut mahupun air tawar. Jika terkena, segera lap dengan kain bersih dan kering.
Kamera yang terdedah dengan kelembapan tinggi akan menyebabkan fungus dan kulat membiak terutamanya lens yang boleh menjejaskan kualiti gambar.
Lilit, jangan gantung.
Lilitkan strap kamera anda di tangan berbanding gantung di leher. Ini kerana jika anda gantung di leher, ia akan menarik perhatian ramai untuk meragut. Jangan sesekali abaikan keselamatan kamera ini kerana sekali jatuh, memang menangis jawabnya.
Ads
Beli gel silika.
Gel silika digunakan untuk menyerap kelembapan kamera. Gel silika ni mudah didapati di pasaran. Harganya pun bukan mahal.
Kepentingan filter
Ads
Filter digunakan untuk melindungi lens anda dari sebarang calar. Sekiranya anda mempunyai 5 lens, seeloknya beli UV filter untuk melindungi lens tersebut.
Beg plastik
Kalau turun ke laut, sila pastikan anda membawa beg plastik atau kain batik atau tuala khas untuk kamera sahaja. Bukan tuala tersebut bercampur dengan peluh-peluh anda.
Ini adalah kerana tuala atau kain tadi dapat mengelakkan pasir masuk ke celah-celah lens. Balut kamera tersebut bila naik bot.
Ads
Cuci tangan
Cuci tangan bersih-bersih selepas anda memakai losyen, sunblock, minyak rambut atau sebarang produk penjagaan diri. Ini adalah kerana kamera amat sensitif dengan bahan-bahan ini.
Sebut sahaja Taman Negeri Perak atau Royal Belum, tergambar satu panorama indah mengenai sebuah landskap hutan semula jadi yang indah. Ia diberi pengiktirafan sebagai ‘Diraja’ oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 2003. Seterusnya ia diwartakan di bawah Enakmen perbadanan Taman negeri Perak 2001 oleh kerajaan Perak pada 17 April 2007.
Kawasan yang diwartakan seluas 117,500 hektar. Dianggarkan, Royal Belum memiliki lebih 3,000 spesies flora selain 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 jenis ikan sungai yang menjadikan kawasan hutan termasuk sungai serta tasik sebagai habitat. Ia juga dikenal pasti sebagai Kawasan Alam Sekitar Sensitif di bawah Pelan Fizikal Malaysia 2005 kerana menjadi tempat perlindungan gajah, harimau belang, badak sumbu dan tapir.
Sebagai lembah Hutan Tropika dara terbesar dan tertua di Semenanjung dan berusia lebih 130 juta tahun , ia lokasi penting kawasan perlindungan burung, terutama burung enggang. Namun, tidak mudah atau sewenang-wenangnya untuk memasuki Royal Belum melainkan perlu memohon permit dahulu dari Perbadanan Taman Negeri Perak sebelum memasukinya.
Caranya, jika untuk tujuan memancing, minta sahaja guide atau tekong menguruskan permitnya. Manakala untuk tujuan santai boleh minta pengurusan hotel yang terdapat sini membuatnya untuk anda dan selepas mendaftar masuk, pihak berkuasa akan merekodkan bila anda masuk dan keluar.
Lubuk memancing Bagi kaki pancing tegar, Royal Belum memang dianggap lubuk terbaik. Bahkan daripada susunan ranking lokasi pancingan tasik di negara ini, ada yang berani mengatakan, Royal Belum atau disebut juga Temenggor Utara lebih baik dari Tasik Kenyir kerana populasi ikannya seperti sebarau, toman, kelah, kejor, tengas, temoleh, kalui, baung masih banyak.
Untuk kaki casting tegar yang ingin mencari sebarau, toman, pilihan terbaik ke Sungai Tiang, Papan, Kenarong dan Sungai Kejar. Servis yang terbaik ialah menggunakan khidmat speedboat dan tidur di wakaf yang telah disediakan. Manakala untuk pancingan santai bersama kaum keluarga atau rakan-rakan, pilihan terbaik adalah menyewa boathouse sambil menyusuri tasik ini sehinggalah ke Sungai Kejar.
Bagi kaki pancing berhasrat mencari kelah, trekking ke hulu sungai adalah terbaik. Lokasinya ialah berjalan kaki dari tapak perkhemahan Sungai Kejar, melalui Sungai Ketir, Berting, Sanghur hingga ke Sungai Laho. Purata perjalanan 4-8 jam. Semakin menghala ke hulu, semakin bertemulah anda dengan lubuk-lubuk kelah, tengas, kejor yang bisa menggetarkan tangan apabila umpan yang dilontar dilarikan ganas oleh penghuni lubuknya.
Waktu sesuai Sebenarnya Royal Belum boleh dikunjungi bila-bila masa sahaja sepanjang tahun. Apa yang penting, adalah apa target spesies yang anda sasarkan. Secara umumnya, bulan April hingga Julai dianggap waktu terbaik memancing kelah kerana ketika ini musim panas. Untuk merasai bagaimana kuatnya penangan toman Royal Belum, waktu ini juga dianggap sesuai.
Manakala musim tengkujuh, Oktober hingga Januari merupakan saat yang paling sesuai atau pesta untuk kaki casting mencari sebarau atau ikan trofi, iaitu badong kerana kumpulan ini biasanya kan lebih kerap ‘boiling’ untuk mencari makanan. Pokok pangkalnya, perlulah sentiasa berhubung dengan rakan atau tekong yang biasa di kawasan ini, terutama bila waktu ‘paling sesuai’ (kerap hujan, panas terik, air naik tinggi) atau ‘tidak sesuai’ (air tasik surut teruk, rumput telah masam, harimau bawa anak).
Teknik Memancing Di Royal Belum
Casting
Kesemua jenis aksi gewang (floating, sinking, suspending) disyorkan wajib ada dalam kotak gewang. Tapi bergantung juga dengan lokasi dan spesies yang disasarkan. Untuk yang baru berjinak dengan kaedah ini, bolehlah minta pendapat rakan kaki casting. Tidak perlu membeli gewang secara banyak dalam satu-satu masa. Sebaiknya beli sedikit demi sedikit dan beli mengikut warna dan jenis gewang ‘killer’ sahaja.
Spoon- Satu lagi item wajib ada, kerana ada masanya, sebarau memandang sepi gewang anda dan sedang boiling jauh dari speedboat. Pastikan warna-warna ‘killer’ (gold, silver) berat 7-18 gram mesti bawa.
Mengenai teknik persembahan, cubalah tanyakan otai-otai, sama ada perlu karau laju, perlahan, jerk, light jigging.
Bottom
Untuk kaki bottom, bawalah apa sahaja yang anda perlukan di sini, terutama tapa (baung), anak ikan kap, emas (baung besar, belida), cengkerik (baung, kalui), cacing tanah (baung, ikan terbul) dan anak keli (toman).
Tahukah anda?
Di sebalik nama Royal belum itu sendiri, nama Belum itu diambil daripada nama asal perkampungan Melayu, iaitu Kampung Belum Lama yang meliputi enam perkampungan kecil yang wujud sejak tahun 1952 lagi. Bahkan, belum itu sendiri sebenarnya diambil daripada bunyi yang dihasilkan oleh sejenis belalang besar berwarna hijau yang menghuni hutan ini yang mengeluarkan bunyi belum, belum, beluuummm!.
Sejarah juga pernah mencatatkan kawasan ini diwartakan sebagai kawasan hitam pada tahun 1984 kerana berlakunya ancaman pengganas komunis. Aktiviti ketenteraan dan kem tentera yang terdapat di sini berfungsi sebagai menjaga kawasan sempadan bagi menghalang sebarang aktiviti pencerobohan dan penyeludupan membawa keluar hasil hutan terutama kayu gaharu yang banyak terdapat di sini.
Sesiapa yang berhajat berkunjung ke sini untuk tujuan rekreasi, anda perlu mendapatkan permit terlebih dahulu dari Perbadanan Taman negeri Royal Belum dan perlu patuh terhadap peraturan sepanjang berada di sini.
Taktik dan teknik memancing udang galah sebenarnya hampir sama saja di mana-mana padang pancing. Jika ada pun mungkin tidak terlalu ketara.
Walau bagaimana pun jika anda ingin memancing udang galah di Sungai Kuantan, Pahang, kami ada beberapa tip dan panduan untuk memperoleh lesen udang galah Sungai Kuantan.
Peralatan
Joran pendek 3 kaki atau 4 kaki sudah memadai untuk memancing udang kerana mudah dikendalikan di dalam ruang bot yang sempit.
Joran ultra light 2-6 paun atau 4-8 paun dapat member kita kepuasan maksima ketika melayan aksi ‘gostan’ pak janggut.
Kekili pula, sudah cukup dengan kekili kecil berharga ekonomi yang dijual secara longgok dan dimasukkan tali tangsi atau sulam 10-12 paun.
Manakala tangsi halus sekitar 8 paun sesuai dijadikan perambut dan diikat mata kail udang jenis sabit saiz 4, 5 dan 6 yang banyak dijual di kedai-kedai pancing.
Kami tidak menggunakan perambut dari tali sulam kerana tidak banyak ‘tukang gunting’ di sini.
Lagi satu, andai mata kail tersangkut reba atau tunggul, perambut tangsi lebih mudah putus dan sudah tentu batu ladung dapat diselamatkan.
Maklumlah harga batu ladung semakin mahal sekarang.
Umpan
Dari segi umpan pula, udang galah membedal apa sahaja umpan asalkan ia berbau dan hanyir.
Sudah pasti umpan kegemaran seperti pedal dan jantung ayam, cacing, umpun-umpun dan anak udang menjadi pilihan utama.
Tetapi kali ini kami menggunakan isi ikan yang dipotong dadu. Tidak menghampakan kerana sambutan yang diterima agak menggalakkan.
Memancing udang galah Sungai Kuantan boleh dilakukan sepanjang tahun kerana pasang surut air diimbangi oleh dua buah empangan iaitu Empangan Cherih dan Empangan Kobat yang lebih dikenali sebagai ‘gate’ di kalangan penduduk setempat.
Tip Tambahan
Mata mesti cekap mengesan getuan udang di hujung joran dan sensitif dengan tali yang menegang ditarik udang.
Kecekapan inilah yang membezakan tangkapan anda dengan rakan-rakan sama ada lebih banyak atau lebih ‘membangau’.
Jangan menyentap joran dengan kuat. Mata kail akan terlucut atau mulut udang akan koyak dengan tindakan sedemikian.
Cukup sekadar mengangkat tinggi joran dengan lembut dan bila terasa ada henjutan, kekili dikarau perlahan-lahan.
Semasa memancing, keselamatan harus sentiasa dititikberatkan, terutama jika memancing di bawah rimbunan pokok-pokok, dikhuatiri ia lokasi sang ular berehat.
Ikan tenggiri sentiasa bergerak dari satu kawasan ke kawasan buruan dan dikatakan bermusim apabila mengunjungi kawasan yang biasa pemancing atau nelayan mengendapnya. Apabila kumpulan ikan tenggiri ini ditemui nelayan barulah ungkapan `musim tenggiri sembat umpan di lubuk’ muncul.
Musim tenggiri juga merujuk kepada faktor cuaca dan keadaan laut. Contohnya di Pantai Timur dari bulan April hingga September atau sebaik-baiknya selepas berakhir monsun Timur dan selepas angin Tenggara melanda.
Pantai Barat dari Setember hingga Januari dan November hingga April di Sabah. Jumlah tangkapan di Sabah hampir 2 kali ganda jumlah tangkapan di Semenanjung.
Teknik Pancing
Teknik memancing tenggiri bergantung kepada jenis umpan yang digunakan. Pemancing perlu tahu tabiat ikan ini pada satu-satu masa. Ia kadang kala enggan membaham umpan hidup dan sesetengahnya pula agak memilih umpan mana yang hendak ditelan.
Bagi saya ia sejenis ikan yang bijak dan merupakan buruan yang sukar untuk ditewaskan dengan teknik pancingan biasa. Di antara teknik yang biasa diamalkan oleh pemancing tempatan adalah seperti berikut:
Teknik Menunda / Trolling
Ia teknik paling mudah dan berkesan. Cara ini tidak memerlukan teknik khas dan kemahiran yang baik. Yang perlu disediakan ialah umpan yang sesuai atau paling lumrah mengunakan gewang yang diikat dengan perambut dawai.
Pemilihan warna gewang tertakluk kepada keadaan cuaca di mana warna perak putih, oren dan cerah sesuai waktu panas terang manakala warna hijau dan biru pada keadaan redup.
Yang paling baik cuba menunda 2 atau 3 jenis gewang berlainan pada satu–satu masa dan lihat sendiri yang mana lebih efektif.
Jarak gewang dari kedudukan bot perlu diambil kira kerana ia mengganggu selaman gewang yang digunakan. Cara ini diamalkan oleh kebanyakan pemancing rekreasi kerana bagi nelayan kos untuk membeli gewang lebih baik dilaburkan untuk keperluan dapur.
Selain menunda, teknik mengunjun juga menjadi pilihan tekong di mana sudu berkilat biasanya jenis aluminium digunakan. Teknik ini nampak mudah di mana sudu dilepaskan ke dasar dan ditarik pantas ke atas.
Tenggiri mudah terpedaya dengan teknik ini dan jarang terlepas jika ia menyambar kepingan aluminium tersebut.
Teknik Menunda Umpan Mati
Cara ini memerlukan sedikit pengetahuan terutama teknik mengikat dan memasang mata kail pada ikan mati. Mulut ikan mati biasanya dijahit dengan benang atau tangsi halus agar tidak terbuka semasa renang.
Jika mulut dibiarkan ternganga ikan akan berpusing dan daya renangan tidak akan menarik perhatian pemangsa. Di Pantai Timur teknik ini di kenali sebagai mengolok tenggiri.
Yang penting ketika mengunakan umpan ikan mati ialah memastikan cara persembahan ikan di dalam air. Ia mestilah kelihatan hidup dan berenang dengan sekata atau tidak berpusing-pusing yang bakal mengundang tali pancing bersimpul.
Cara ini banyak digunakan oleh pengail tradisional dan jarang diamalkan oleh golongan pemancing rekreasi.
Menghanyut umpan hidup
Sama ada percaya atau tidak, pemancing yang mengunakan perambut lagi halus lagi baik dan mempunyai sentapan yang tinggi berbanding perambut kasar. Tenggiri amat bijak mengesan perangkap yakni dapat melihat tangsi dan juga dawai yang digunakan.
Sebab itu ada di kalangan tekong tempatan mengakui fenomena ini. Pemancing itu boleh dikatakan pakar jika dapat menewaskan lebih dari 10 ekor tenggiri menggunakan umpan hidup pada satu trip memancing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...