
Tiada yang lebih seronok ketika memancing terutamanya melalui teknik mengilat atau casting selain dari saat ikan menyambar umpan atau gewang yang digunakan. Tambah seronok apabila ikan tersebut berjaya didaratkan. Kadangkala dalam keadaan seronok itu alpa dengan aspek keselamatan. Terutamanya aspek keselamatan mengendalikan ikan.
Mengendalikan ikan bukan bermakna tindakan selepas mendaratkan ikan, tetapi juga tatkala ikan berada di hujung tali pancing.
Jangan terlalu gelabah atau tergopoh-gapah ketika melayan tarikan ikan. Sebaiknya amalkan konsep hulur dan tarik dengan tenang untuk mengelakkan berlakunya sebarang perkara tak diingini. Malah, ketika inilah sebenarnya kemuncak kenikmatan memancing.
Gunalah gancu, sauk atau lip grip untuk mendaratkan hasil tangkapan. Elakkan dari mendaratkannya dengan menggunakan kekuatan joran dan tali pancing kecuali ikan terlalu kecil.
Dan jangan terlalu berani menaikkan ikan menggunakan tangan kerana rontaan ikan mampu membawa kecederaan kepada pemancing sama ada menerusi ikan tersebut mahupun gewang yang berada pada mulut ikan.
Pastikan anda menanggalkan mata dari mulut ikan menggunakan playar atau alatan lain yang sesuai. Elakkan menggunakan tangan untuk mencabut mata kail! Apatah lagi jika gewang tersebut menggunakan mata tiga. Sebaiknya peganglah ikan dengan kemas bagi mengelaknya dari meronta.
Pastikan ikan yang bersengat sudah dipotong sengatnya terlebih dahulu sebelum sama ada sebelum menanggalkan gewang atau sebelum disimpan di dalam bekas simpanan ikan. Sengat yang sudah dipotong haruslah ditanam atau dicampak semula ke dalam air bagi mengelakkan anda terpijak atau terduduk ke atasnya.
Sekiranya ikan yang diperoleh bukanlah ikan sasaran atau tidak bercadang untuk dibawa pulang maka lepaskanlah ikan tersebut dengan selayaknya. Berilah ruang kepada ikan untuk pulih dengan sebaiknya sebelum dilepaskan. Jangan sesekali dicampak seperti membuang sampah.
Kaedah Terbaik Memancing Di Area Stesen Janakuasa!!

Salah satu teknik popular yang dimainkan di kawasan ini ialah teknik drifting. Teknik drifting ialah kaedah menghanyutkan umpan (tamban hidup) dengan batu hidup bersaiz kecil. Kegunaan batu ini adalah untuk memastikan umpan tidak berada terlalu atas dari permukaan air.
Ini kerana jika ia berada terlalu atas dari permukaan air, spesies pengacau seperti todak akan membahamnya terlebih dahulu. Melainkan kalau sememangnya ingin mencari todak maka ia merupakan teknik yang sememangnya perlu dilakukan.
Namun tujuan untuk drifting untuk memburu spesies bernilai tinggi seperti senangin dan juga tenggiri. Dikatakan, ada pemancing yang pernah menaikkan tenggiri berskala 10 kg.
Di sini, bot pancing tidak boleh melabuhkan sauh kerana keadaan dasar yang kurang sesuai kerana ia dikelilingi karang dan paip-paip yang agak bahaya untuk melabuhkan sauh.
Makanya, bahagian depan dan belakang bot perlu diikat pada tiang jeti untuk memastikan ianya tidak tersasar dari lubuk.
Kerja-kerja menambat bot pada tiang jeti ini sangat berisiko. Kerjasama antara pemancing dan tekong amat penting bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Untuk memancing di bawah jeti ini set heavy dan medium heavy adalah digalakkan untuk kaki pancing guna.
Set ringan amat tidak digalakkan kerana di sini pemancing perlu segera menarik ikan naik ke atas.
Dengan set ringan dikhuatiri ikan dengan mudah boleh membenamkan diri masuk ke karang-karang yang banyak terdapat di sini. Jadi potensi untuk berputih mata amatlah tinggi.
Set pancing yang disyorkan untuk pancing dasar:
Joran : Medium heavy @ heavy action
Kekili: Saiz 4000-8000
Tali utama: Tali sulam 30-50 lb
Perambut: 40-80 lb
Mata kail: Saiz 3/0, 4/0, 5/0
Batu ladung: Saiz 7-12
Tercucuk Mata Kail, Kenapa Ia Boleh Berlaku??

Tertusuk mata kail, bot terbalik dan luka akibat tali utama merupakan antara kemalangan sewaktu memancing. Jika tidak berhati-hati, keseronokan yang dicari kadangkala mengundang mimpi ngeri. Janganlah terlalu ghairah sampai lupakan keselamatan anda ketika memancing.
Apakah yang mungkin menjadi punca kemalangan seperti ini dan apa tip untuk kurangkan risiko seperti ini?
Ct Dahlia Yusoffie
Sikap… paling utama tidak gelojoh dn berebut2 nk baling umpan. Sentiasa alert dn amik ruang yg selesa. Pastikan semua selamat & beri isyarat pada kwn2 di sekeliling bila anda hendak melontar umpan….
Zanpaktou Azhar
Yaa saya ada pengalaman ketika land ikan siakap di kolam bedong, kedah..waktu tu casting pukul 3 pagi..disebabkan malas nak guna lips grip yg memang dah ada tergantung dekat pinggang…sekali siakap tu kelupur single hook dah lekat dalam jari daaa…
Amir Saifudin Ahmad
Dlm banyak kes.. kecederaan berpunca drp kecuaian sendiri.. suka anggap keselamatan tu perkara remeh.
Wan Bukhari
Bertindak melulu … atau tidak berhati hati dalam dunia hanyir akan mendapat risiko tinggi.. kita seharusnya mempraktik dan belajar terlebih dahulu sebelom turun padang pancing.
Kelisa Merah
Tertusuk gewang atau matakail ni asam garam seorang pemancing…mmg tak dapat nak dielakkan bila leka atau kurang berhati-hati bila memancing…apapun jangan cepat panik bila berlaku kejadian tersebut jadi kepada kita…cuba keluarkan dahulu matakail yang tertusuk di anggota badan dan jika ianya tak dapat dikeluarkan…saya cadangkan cari la klinik atau hospital berhampiran…
Ranting Taib Andak
Memang betul malang x berbau… Tpi kite bole beringt…wlaupon pndai berenang jgn la kite cuai ngn keselamatan…sekurang2nya pkai la jgk life jacket…peti first aid pon klau bole bwk la.. skurg2nye bole di gunakn dlm kesemasan…yg penting SAFETY FIRST!
Sayur Keladi
Penah sekali,misi menyelamat bot member terbalik.. tgh kalut2 ntah mcm mana tak perasan treble hook popper sangkut kat seluar,dah lama terasa pedih..nah terpacak kat peha. Mujur lah hook standart, senang nak cutter. Tapi nak menembusnya tu yg syahduuuuu…
Mohd Shaharol
Bagi saya ilmu kene ada dr segi pengendalian bot dan peka berubahan cuaca,pasang surut air dan lapang pancingan..jika ilmu masih kurang kita perlu cari seorang yg mahir dlm semua aspek..sentiasa alert ketika melontar gewang dan semasa kita menghampiri rakan yg sedang casting utk mengelakkan terjadi kemalangan yg tidak dingini.sentiasa bawa peti pertolongan cemas utk rawatan awal jika berlaku kemalangan..di samping itu pengunaan life jaket mesti di utamakan jika kita boating..
Awang Yusri
Elakkan memegang ikan yg baru landing guna tgn.. sebaiknya pakai lip grip… terutamanya ketika seisi bergambar. Guna playar ketika buka mata kail dr mulut ikn.. antara 2faktor yg ambe jumpa penyebab solid hook-up kat jari..
Awal Awie
Nak rase cmne sakitnye ikan kne mata kail huhu biasa la main ngan Mata kail
Shamsul Adha
Ya malang memang tak berbau.tp boleh kita berhati2.. pandang sekeliling sblum cast. elakan bergurau keterlaluan.dn guna playar dn lip grip.
Afj El Toyek
Fuh ingat lagi duri baung tebenam kat ibu jari. Gigil dibuatnya
Kd Negri
Kesabaran dan tenang dlm apa jua keadaan..inshaallah.. selamat
Salamander Cool
Jgn gelojoh dan bersabar…sabar itu penting..
Kisah Seram Pemancing : Misteri Lubuk Hulu Sungai!!

Cuti sekolah baru-baru ini, saya dan Apit sudah bercadang mahu mencuba lubuk baru yang lebih mengancam dan mendebarkan. Kali ini kami memilih sebuah lubuk yang mula menjadi sebutan di kalangan kaki pancing.
Lubuk ini terletak dalam hutan simpan yang masih dara dan belum sangat diteroka. Lokasinya di sebuah kawasan pedalaman di negeri Kedah. Selain saya dan Apit, Nasha dan Iwan juga menawarkan diri untuk pergi. Kami bercadang untuk bermalam sehari di kawasan ini.
Perjalanan dengan kereta Wira kesayangan saya mengambil masa hampir dua jam ke hutan simpan ini. Setelah meletakkan kereta di kawasan yang disediakan, kami terpaksa berjalan kaki meredah belukar setinggi pinggang hingga sampai di satu kawasan perkampungan orang asli.
Dari situ perjalanan diteruskan dengan melalui celah bongkah batu yang besar. Aliran air yang mengalir di celah-celah batu sangat jernih dan segar hingga kami minum begitu sahaja. Inilah air mineral yang paling sejuk dan jernih yang pernah saya jumpa. Setelah berjalan hampir dua jam, akhirnya kami tiba di satu kawasan lapang yang boleh memuatkan tiga buah khemah. Inilah tempatnya. Di hadapan kami terbentuk sebuah lubuk dalam yang airnya berwarna kehijauan.
Suasananya sejuk dan nyaman. Pokok hutan sebesar dua pemeluk seolah-olah memayungi kawasan ini agar redup. Sesekali saya dapat melihat kocakan ikan di dalam lubuk seolah-olah menyambut mesra kedatangan kami ke situ. Tanpa membuang masa, saya dan Apit terus mendirikan khemah ringkas berbentuk A. Nasha dan Iwan pula sudah bersiap dengan joran dan umpan masing-masing. Misi kami untuk mencari lauk yang bakal dijadikan hidangan makan tengah hari.
Maklumlah perut sudah berkeroncong untuk diisi. Dengan berbekalkan umpan yang dibuat daripada isi kelapa sawit dan beberapa ramuan rahsia, Nasha terus melabuhkan jorannya di tengah lubuk yang airnya sangat tenang dengan riak kecil di atas permukaannya. Tidak sampai dua minit, seekor ikan baung sebesar lengan budak dua tahun melontar lemah di hujung kail.
Iwan pula berjaya memperolehi ikan tengas seberat hampir setengah kilogram dan dua ekor ikan baung. Saya terus membakar ikan-ikan itu setelah dibersihkan isi perutnya manakala Apit pula membuat bahan cicah yang berupa kicap yang dicampur dengan hirisan bawang besar dan cili api.
Setelah menikmati makan tengah hari, kami berempat berlumba-lumba melabuhkan joran. Menjelang jam 6 petang, ikan seperti beransur kurang dan saya mendapat ikan sebarau seberat setengah kilogram sebagai mangsa terakhir. Sedang asyik menaikkan ikan, Apit memberi isyarat dengan tangannya menunjuk ke satu arah.
Jelas pada pandangan saya seperti satu barisan panjang pelbagai jenis bunga-bungaan seperti mawar merah, kenanga, cempaka, melur dan beberapa jenis lagi hanyut dengan tenang di hadapan kami. Terdapat juga limau purut yang dipotong dua.
Haruman limau segar jelas menusuk hidung. Sebaik sahaja kami terlihat bunga-bungaan ini (seperti ada orang yang mandi bunga di hulu sungai) saya dan kawan-kawan melompat naik ke darat. Malam itu, perasaan kami sedikit berdebar.
Kami berempat seperti terkelu. Berlaku lagi satu peristiwa yang agak menyeramkan pada malam itu. Pada jam 11 malam, saya terdengar sekumpulan anak kecil sedang riuh bermain di tepi khemah yang saya diami bersama Apit. Saya menyuluh keluar, namun tiada satu apa pun yang kelihatan.
Entah mengapa tergerak hati saya untuk menyuluh ke atas pokok dan ketika itu terasa jantung mahu gugur apabila melihat beberapa kepala tergantung tanpa badan dan kaki, mata merah merenung saya dalam keadaan marah. Walaupun merasa gementar dan takut, saya tidak pula memberitahu kawan-kawan tentang perkara itu saya hanya mendiamkan diri dan tidur sehingga pagi.
Keesokan harinya, saya mengajak kawan-kawan pulang kerana tidak sedap hati dengan situasi yang dialami. Nasya meminta rancangan pulang ditangguhkan ke tengah hari supaya kami dapat memancing lagi. Namun, sebaik sahaja kami melihat seekor biawak sebesar anak buaya keluar daripada belukar berhampiran merangkak perlahan, menuju ke gigi air hasrat Nasya itu kami tolak mentah-mentah.
Kami mengemas segala peralatan khemah dan joran lalu bergerak keluar meninggalkan kawasan itu pada jam 8.30 pagi. Di pertengahan jalan, kami berjumpa dengan Tok Batin orang asli yang dikenali dengan nama Tok Maneh. Kami terus menceritakan kejadian aneh yang kami alami kepada Tok Maneh.
Orang tua itu hanya tersenyum dan berkata kami bernasib baik kerana tidak diganggu oleh puaka hutan yang memang biasa mengganggu pemancing yang baru berkunjung ke situ. Tok Maneh juga telah menunjukkan kami satu lokasi terbaik untuk memancing ikan. Di sini kami telah berjaya memperolehi lapan ekor sebarau yang sederhana saiznya, baung, lampam, tengas dan juga temperas.
Walaupun telah menempuh pengalaman aneh dan misteri namun saya dan kawan-kawan tidak merasa serik untuk berkunjung ke sini lagi. Saya percaya walau di bumi mana kita berada kita tetap berkongsi dunia dengan makhluk Allah yang lain. Wallahualam.