Trip kali ini kami ingin berkongsi sekali lagi pengalaman memancing ikan tapah (Wallago leeri) di Sungai Pasai yang terletak di Sibu, Sarawak.Trip kali ini diketuai oleh saya sendiri dari Team Wallago Hunter Sibu dan sahabat saya Donald, tekong kami Wilson Pilo.
Seawal jam 6.00 pagi kami bertolak dari bandar Sibu menuju ke jeti yang terletak di Rantau Panjang. Perjalanan kami dari jeti menuju ke lokasi Sungai Pasai Siong memakan masa lebih kurang dalam sejam setengah menggunakan enjin 9.9 hp.
Ads
Setelah sampai di lokasi sungai Pasai Siong kami telah menemui air surut maka harapan kami memang tipis jika paras air rendah. Namun itu tidak mematahkan harapan kami dan kami terpaksa menunggu air masuk pasang dalam jam 2.00 petang. Menunggu air pasang masuk ke dalam anak anak sungai. Teknik yang kami gunakan kali ini ialah casting dan trolling. Pada petang itu kami pun mencuba tanpa putus asa.
Akhirnya berkat kesabaran kami bertiga membuahkan hasil salah seorang caster kami encik Donald strike ikan tapah seberat 1.6kg ini. Beliau berjaya mendapat lesen idaman para caster ini menggunakan teknik casting menggunakan lure K2 Tractor Floating 3.5. Lure floating selaman 3.5 meter amat sesuai untuk digunakan menjinak kan sang tapah ini.
Rod Abu garcia 20-25 lb heavy game.dan mainline 25lb leader 30 lb Sufix
Ads
Ikan tapah ini suka bermain di tepi rumput dan pusaran persimpangan air yang kuat. Untuk memujuk ikan ini haruslah bersabar dan jangan mudah berputus asa. Bukan senang nak dapat lesen yang rare ini.
Selepas setengah jam kemudian akhirnya saya mendapat sambaran menggunakan teknik trolling. Kali ini ikan tersebut berjaya ditewaskan menggunakan lure Zerek floating selaman dalam 3.5meter.
Ads
Faktor utama memancing ikan tapah ini paras air haruslah pasang besar dan ini boleh membuahkan hasil. Kami begitu gembira sekali kerana trip kali ini Zerek floating 3.5.
Setelah senja kami pun bertolak balik ke jeti dan kami amat berpuas hati trip kali ini amat membuah hasil yang memuaskan. Terima kasih Majalah Umpan kerana sudi berkongsi pengalaman dan cerita kami dari team Wallago Hunter Sibu. Semoga kita berjumpa lagi di lain hari.
Jika berminat ingin menduga sang tapah di Sungai Pasai Siong ini yang terletak di Sibu Sarawak bolehlah menghubungi saya dan tekong Wilson Pilo di talian 0124264440 / 0194674788 InsyaAllah kami akan usahakan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Kali ini saya ke perairan Pulau Jarak lagi. Untuk sekian kalinya saya mengandaikan trip memancing ke Pulau Jarak akan terbantut lagi. Apatah lagi ketika memandu secara solo ke Lumut, cuaca agak kurang memberangsangkan.
Hampir seluruh negeri hujan turun termasuklah negeri Perak yang menyambut kedatangan saya dengan hujan juga.
Tapi mujurlah… (lega yang amat) trip hari pertama ini cuaca merestui kami. Tiada hujan yang turun dan angin yang menjadi penentu sesuatu trip memancing ke perairan jarak juga agak ramah.
Walau bagaimana pun berikutan cuaca yang tidak menentu itu, tekong bot Baby Tuna mengambil keputusan menguji kawasan berdekatan terlebih dahulu sebelum ke perairan Pulau Jarak.
Mungkin disebabkan faktor cuaca yang agak muram dan arus turut sama lemah-gemalai, ia sangat mempengaruhi hasil pancingan kami hari itu.
Seolah-olah ikan mengambil kesempatan di sebalik cuaca yang murung dengan berkurung di dalam sarang masing-masing.
Membawa ke petang apa yang kami peroleh adalah ikan-ikan kecil yang menjadi diet pemakanan kepada ikan-ikan pemangsa monster.
Terutamanya spesies conor dan pelbagai spesies kerapu berstatus juvenil. Tatkala waktu memancing berbaki kurang dua jam, barulah suasana kembali meriah di atas Baby Tuna.
Ia bermula dengan jig yang saya gunakan disambar sesuatu sehingga menyebabkan perambut putus ketika dalam proses jig tenggelam ke dasar.
Hampir serentak pada waktu seorang lagi pemancing di bahagian hadapan bot mengalami situasi yang sama.
Namun nasib berbeza dialami oleh dua orang pemancing yang berada di bahagian tengah bot. Melihat pada kesan gigitan pada tali perambut yang agak tidak kemas, saya jangkakan ia adalah perbuatan alu-alu.
Namun spesies yang berjaya dinaikkan oleh dua pemancing di bahagian tengah bot rupanya adalah spesies Spanish mackarel atau pun tenggiri.
Menyedari kehadiran spesies bergigi tajam itu hampir kesemua pemancing beralih arah daripada memburu boron kepada spesies tenggiri.
Hasilnya, beberapa ekor lagi tenggiri berjaya didaratkan. Sementara beberapa orang pemancing lain kehilangan jig termasuklah saya sendiri.
Setelah kawanan tenggiri yang muncul dan menghilang secara tiba-tiba, kami meneruskan sesi memburu boron sehingga tamat tempoh memancing dan bertekad untuk memburunya lagi pada keesokan hari.
Setelah sekian lama menceburkan diri dalam segmen ini, saya kira baru sekarang ia benar-benar menarik perhatian pemancing. Khususnya pemancing muda.
Sotong mengabang antara spesies sotong yang terdapat di negara kita. Istimewanya sotong ini, ia boleh dijerat dengan cara mengilat atau casting. Di luar negara seperti Jepun dan Australia, eging atau casting sotong memang popular dan mempunyai peminatnya tersendiri.
Di negara matahari terbit atau Jepun contohnya, banyak pengeluar peralatan pancing yang direka cipta dan mengeluarkan produk seperti gewang candat atau squid jig, joran dan kekili khusus untuk memburu Bigfin Reef Squid ini.
Sotong mengabang atau di dalam bahasa saintifik dipanggil Sepioteuthis Lessoniano Lesson menggemari kawasan berstruktur sebagai tempat tinggalnya seperti di kawasan karang, unjam serta tukun. Manakala di pesisir pantai pula ia mudah diperolehi di sekitar pulau berbatu, benteng pemecah ombak serta jambatan terutama ketika air pasang, ia akan menghampiri sehingga ke pinggir pantai.
Pulau-pulau berbatu seperti Redang, Pemanggil, Pangkor, Tioman, Langkawi, Pulau Sembilan serta beberapa lagi pulau di negara kita yang telah diketahui terdapat sotong mengabang bermastautin.
Saiz dalam lingkungan 1kg ke bawah biasanya diperolehi jika mengilat di kawasan pantai manakala saiz yang diperolehi di sekitar unjam lebih besar.
Unjam-unjam di perairan Rompin contohnya sudah sekian lama menjadi padang pancing penggemar sotong mabang. Berikutan sudah ramai yang meminatinya, hari ini sotong mabang tidak lagi semudah dahulu untuk memperolehinya.
Komplot casting mengabang bersama Abe Din menyasarkan Pulau Ular yang terletak di Cherating, Pahang sebagai lokasi kali ini. Abe Din bukanlah orang baru dalam segmen eging ini malah beliau antara perantis yang banyak membongkar rahsia mabang dalam penulisannya.
Pulau berbatu dengan belukar kecil di tengahnya memang sesuai untuk tujuan ini. Ia juga tidak jauh dari pantai. Kami menggunakan khidmat Tekong Anuar untuk menghantar kami ke pulau tersebut.
Sebaik sampai, perbincangan ringkas diadakan. Hasil dari perbincangan ringkas itu kami sepakat sekata untuk mendirikan khemah sebagai penginapan sepanjang kami berada di sini. Khemah didirikan di kawasan batu hampar di atas bukit.
Setelah memasang khemah dan menyusun barang-barang keperluan, masing-masing seperti tidak sabar-sabar lagi untuk beraksi, terus mencapai joran dan turun ke bawah bukit menyusuri tongkah-tongkah batu.
Saya lewat sedikit kerana menyediakan peralatan. Sebaik sahaja saya sampai ke spot casting, Abe Din mengangkat tangannya menunjukkan mengabang yang sudah dia perolehi. Cepat betul!
Saya yang menggunakan joran Squid Rock Egi sepanjang 8.5 kaki tiada masalah untuk melontar jauh candat. Cuma ketika mengarau, hujung joran perlu ditundukkan ke bawah supaya tangsi tenggelam ke dalam air.
Tiupan angin pantai yang laju akan menyebabkan tali tangsi jadi melengkung. Sudah tentu akan lambat merasai henjutan mengabang yang menyentap candat. Justeru itu amat penting bagi meluruskan tali sebelum melakukan henjutan.
Agak lama juga masa yang diambil untuk menguasai permainan eging ini. Setelah berjaya memperoleh lesen, barulah saya kembali ke tugasan utama saya iaitu merakam foto kejayaan ahli-ahli trip.
Pancingan ikan siakap merah (mangrove jack atau digelar MJ), bukanlah aktiviti pancingan biasa dan sama dengan pancingan ikan-ikan lain.
Ia membabitkan sebuah kredibiliti tinggi seorang yang digelar pemancing tegar untuk mendaratkannya.
Ini kerana, spot siakap merah liar terutama di kawasan muara dan kuala sungai adalah kubu terbaik untuk ikan ini meloloskan diri.
Bagi kami sendiri, siakap merah yang kami gelarkan si ‘penyamun merah’ ini, bukanlah spesies yang mudah untuk ditewaskan.
Kehebatannya persis seorang atlet pecut 100 meter berlari yakni sifat semula jadinya yang licik dan pantas.
Malah, bagaimana cara pemangsa licik muara ini menarik mahupun mencuri gewang semasa casting di celahan reba juga dikagumi oleh kami.
Ia bersembunyi di celahan reba sambil mengintai dan menunggu mangsa yang lalu berhampiran tempat persembunyian.
Sebab itulah juga, bila sahaja strike dan kaki pancing terlewat beberapa saat menahan asakannya, pasti akan berputih mata. Sama ada mata gewang tersangkutdi celahan reba ataupun mata kail terkangkang.
Bagi kaki casting, mengaplikasikan tali dan mata kail yang bersesuaian perlulah diambil kira dalam usaha mencari ikan ini.
Jika tidak, siakap merah ini mudah melepaskan diri daripada kawalan pemancing dan kemudiannya memboloskan dirinya begitu sahaja setelah bersusah payah mencuba mengaraunya naik ke permukaan.
Lubuk Rahsia
Menyedari masih ramai lagi pemancing yang tidak mengamalkan pancingan tangkap dan lepas, kami bersepakat merahsiakan lubuk yang kami lawati kali ini.
Memadailah sekiranya berkongsi gambar bersama pembaca melihat ‘kepuasan’ yang kami sama-sama rasai.
Umpan Hidup atau Gewang Tiruan?
Siakap merah sebenarnya jika diperincikan merupakan spesies ikan yang melahap apa sahaja sasarannya bila waktu mencari makan.
Namun begitu, bergantung juga pada pemerhatian anda pada sesuatu lubuk dikunjungi tersebut.
Ini kerana ada kalanya, spesies ini juga berasa was-was dengan jenis gewang tiruan yang dihulurkan.
Pilihlah gewang jenis minnow yang berbadan sedikit slim. Namun, jika mengaplikasikan umpan hidup, udang merupakan umpan yang lazim dijadikan bagi spesies ini.
Di sesetengah tempat, seperti di Kuala Trong, Perak contohnya, ikan jenjulong adalah umpan hidup terbaik untuk menjerat ikan ini.
Pilihan set pancing Memandangkan ikan sasaran kami adalah siakap merah, kami memilih gewang tiruan untuk diaplikasikan.
Memancing menggunakan bot adalah cara terbaik untuk menjejaki spot terbaik ikan berada.
Pemilihan saiz gewang yang memiliki saiz yang ideal iaitu tidak terlalu besar adalah penting.
Gewang-gewang bersaiz ini sungguh efektif dipraktikkan pada lubuk berpotensi tinggi didiami siakap merah.
Selain itu, penggunaan gewang tiruan separa selaman dalam contohnya seperti Strike Pro Slingshot Minnow bersaiz 12 cm iaitu struktur bentuk panjang dan tiris juga terbaik kerana ia berupaya lakukan renangan yang laju.
Tentang joran, anda bebas memilih sama ada set baitcasting atau spinning bila berada di atas bot, joran panjang adalah ideal dan ia bergantung pada pemancing.
Manakala kekili adalah dari kategori ringan dan sederhana berat bersaiz 2000-3000 adalah memadai.
Tentang tali, ia bergantung pada kawasan pancingan. Saiz 15-30lb adalah yang sesuai dan jangan lupa gunakan tali perambut yang bersesuaian, 30lb ke atas bagi mengekang asakan ikan ini seandainya ia memasuki reba.
Kebiasaannya, kaki pancing perlu bersedia semasa karauan dibuat. Ini kerana, bila-bila masa sahaja di saat ini, strike akan berjaya diperolehi.
Apabila terkena sahaja, siakap merah akan menekan dan akan mencari reba berhampirannya untuk menyelinap masuk.
Ketika ini, pemancing perlu menahan dan melakukan karauan sepantas mungkin agar ikan ini, tidak sesekali berjaya membawa ke reba.
Sudah Rezeki Kami
Dalam usaha mencari spesies ini, kami turut memperoleh strike dari ikan lain seperti bulan atau tarpon dan juga alu-alau.
Elvi Ching sempat melayan alu-alu ini yang turut meronda di kawasan pencarian kami mendapatkan siakap merah.
Berderau juga Elvi Ching apabila lontaran gewang yang disangka siakap merah, direntap rakus oleh alu-alu yang turut mendiami di kawasan spot ini.
Walaupun akhirnya agak mudah untuk mengekangnya daripada melepaskan diri, tapi semangatnya untuk mencuba melepaskan diri menambah keseronokan bertarung dengan spesies gigi tajam ini.
Pada masa yang sama, kami turut melayan ikan bulan yang kebetulan boiling di permukaan air.
Lompatan demi lompatan bulan yang cuba melepaskan diri apabila mula menghampiri bot kami amat mengasyikkan.
Jangkaan kami pertembungan dengannya agak mudah, ternyata meleset kerana banyak ekor juga yang `miss`, apabila lompatan akrobatiknya berjaya melepaskan mulutnya dari mata gewang.
Suasana di atas bot menjadi riuh rendah seketika apabila berlaku strike serentak. Detik Menarik!
Kami kemudiannya meneruskan pemburuan siakap merah dan apabila bot memasuki satu anak sungai, Elvi Ching melontarkan gewangnya di satu spot tidak jauh dari tebing.
Tiba-tiba sahaja satu sergapan kuat diterima oleh Elvi dan sepantas kilat, dia melakukan hook-up dan strike!
Elvi terus sahaja menahan asakan sambil menahan asakan dan akhirnya selepas beberapa minit kemudian, si ‘penyamun merah’ ini akhirnya berjaya didaratkan.
Tuah buat Elvi yang berjayamemperoleh siakap merah bersaiz dewasa dan matang. Sudah tentulah, saat ketika strike, ia momen yang amat didambakan oleh kaki-kaki casting.
Sergahan rakus ia menyambar gewang dan terus melarikan gewang merupakan suatu detik yang tidak akan dilupakan oleh mana sahaja kaki casting tegar.
Lewat petang, beberapa lagi strike diterima sebelum kami menamatkan pencarian spesies tersebut.
2 ekor yang diperolehi Lim Kim Peng adalah bersaiz kecil dari tapak tangan dan kami telah lepaskan semula.
Walaupun secara keseluruhannya tidak lumayan hasilnya, kami pasti tidak akan serik untuk bertandang ke sini lagi.
Jadi, kepada pemancing di luar sana yang belum ada lagi lesen ikan ini, silalah berbuat demikian, kerana si penyamun merah ada karannya yang tersendiri.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...