Bermula lewat petang kelmarin, timeline Facebook kebanyakan kaki pancing memaparkan ucapan takziah di atas kematian seorang rakan pancing M Ryuzaimi Isseykando, yang terbabit dalam nahas pesawat merempuh kereta.
Petikan berita dari akhbar:
Juruteknik Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang parah dirempuh sebuah pesawat persendirian di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang semalam
disahkan meninggal dunia pada pukul 6.45 petang di sebuah hospital swasta sekitar Subang Jaya.
Ads
Difahamkan, arwah Mohd. Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, meninggalkan seorang isteri Nor Azawiah Md. Usuf dan empat anak berusia dalam lingkungan satu hingga 13 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, arwah Mohd. Ruzaimi merupakan seorang pekerja yang berdedikasi dan sentiasa komited dalam apa jua tugasan yang diberikan.
Ads
“Pemergian Mohd. Ruzaimi merupakan satu kehilangan besar buat Malaysia Airports dan kita akan memberi sokongan penuh terhadap keluarga mangsa termasuk membantu pengurusan pengebumian arwah bagi meringankan beban yang terpaksa dipikul mereka.
Ads
“Dalam pada itu, kita juga akan memastikan kebajikan keluarga arwah Mohd. Ruzaimi terjamin dan saya memohon orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang spekulasi yang mampu mengguris hati keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemergian Ruzaimi juga merupakan satu kehilangan dalam industri memancing. Allayarham merupakan seorang pemancing yang amat disenangi di kalangan rakan-rakan.
Kami dari portal Umpan turut merakamkan ucapan tahziah dan semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
AlFatihah…
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sudah agak lama juga saya tidak menyertai aktiviti memancing bersama geng otai haruan yang saya gelarkan Geng Temoh.
Mereka bukanlah orang-orang Temoh, sebaliknya geng pemancing Lembah Kelang tetapi kami bertemu dan memancing bersama di Temoh.
Kerap kali juga kami memancing bersama di Temoh dan memancing di kolam ternakan bagi mengeluarkan haruan dan puyu.
Setelah lebih setahun setengah yang tidak memancing bersama, saya berkesempatan juga memancing bersama mereka.
Spesies sasaran masih lagi sama iaitu haruan dan puyu tetapi lokasi berbeza. Kali ini kami memancing di sebuah ladang kelapa sawit di Bestari Jaya, Selangor.
Sementara padang pancing pula ialah sebuah lombong atau mungkin kolam saliran ladang yang sudah terbiar.
Apa yang menarik minat saya untuk sertai trip mereka bukanlah untuk memancing haruan, sebaliknya puyu-puyu liar yang bukan saja banyak tetapi juga mudah dipancing.
Menurut kata Anhar, pada trip sebelum ini mereka ada melihat seorang pak cik memancing di situ dengan begitu mudah memunggah puyu hanya sekadar menggunakan joran teleskopik.
Sesampainya di lokasi, Abang Lan segera menabur dedak ayam di spot untuk memancing puyu.
Ia bertujuan memanggil puyu datang berkumpul di situ. Saya dan Anhar segera menyiapkan kelengkapan untuk memancing puyu.
Sementara ahli trip lain yang memburu haruan, terus saja ke mengelilingi lombong yang boleh tahan juga luasnya.
Melihat pada keadaan lombong yang dipenuhi tumbuhan akuatik seperti teratai dan rumput panjang itu menyedarkan saya kesukaran yang bakal dihadapi.
Tambah pula dengan cuaca berangin. Bukan satu perkara yang mudah untuk memancing dengan santai. Keadaannya jauh berbeza dengan kolam ternak di Temoh.
Setelah lebih satu jam kami berdua memancing puyu dengan pelbagai umpan dan tidak membuahkan sebarang hasil , akhirnya Abang Lan kita sama memancing dengan kami.
Saya sendiri sudah hampir berputus asa kerana tiupan angin menyebabkan tali pancing dan mata kail tersangkut pada pokok teratai.
Dengan menggunakan teknik yang sesuai, tidak sampai setengah jam kemudian Abang Lan mempamerkan hasil tangkapannya kepada kami berdua.
Tidak sangka pula Abang Lan ada menyediakan peralatan lengkap untuk memancing puyu.
Nak meminjam peralatan seperti pelampung kecil dan batu kepit yang dibawanya itu terasa segan pula.
Setelah beberapa ekor puyu berjaya dinaikkan oleh Abang Lan termasuklah seekor dengan saiz monster (sepanjang tapak tangan), barulah kami meniru teknik yang digunakan oleh Abang Lan.
Namun waktu sudah sedikit terlewat. Hari dah nak senja barulah kami nak bertukar teknik. Walaupun agak terlewat namun kami berjaya jugalah memperoleh lesen.
Walaupun cuma seekor dan bersaiz kecil, ia begitu bermakna sekali.
Empangan Klang Gate ialah sebuah empangan di Ampang, Selangor yang merentangi Sungai Klang. Empangan tertua di Malaysia ini siap pembinaannya dan dibuka pada tahun 1959 sebagai salah satu projek dari Projek Nasional Malaysia.
Kawasan tadahannya meliputi 77kilometer persegi dengan kelebaran 139meter dan ketinggian 37 meter. Selain sebagai empangan, lebihan dari tadahan air di sini akan disalurkan kawasan rekreasi Klang Gate.
Mencungap!
Penulis sendiri secara peribadi, sudah lama mendengar cerita perihal Empangan Klang Gate yang pernah dilabel sebagai ‘Mini Tasik Kenyir’ ini pernah memasang hajat untuk memancing di Klang Gate tetapi tidak pula berusaha untuk merealisasikannya.
Ini kerana dikhabarkan tiada jalan masuk ke Klang Gate selain trekking melalui denai dan bukit yang memakan masa satu hingga dua jam. Sama melalui Kampung Pusu atau Kemensah, kedua-duanya wajib trekking untuk ke pintu masuk Klang Gate.
Terbuktilah tiada masuk selain trekking dan jika hanya 10 minit itu sudah kira satu bonus! 10 minit?!! Ternyata penulis dah terkena. Dari tempat parkir kenderaan di kawasan perumahan yang masih dalam pembinaan sehingga ke tebing sungai Klang Gate memakan masa melebihi setengah jam!
Tambah memeritkan, akibat hujan lebat sebelumnya denai sempit yang menjadi laluan motor menjadi dalam dan licin. Silap percaturan boleh tergelincir dan bergolek bersama barang-barang sepanjang lereng bukit.
Dan penulis tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan bila pulang nanti memandangkan sepanjang jalan pergi hanya perlu menuruni lereng bukit yang curam dan licin.
Di tebing sungai, Brader Arip, guide pancing kami sedia menanti kami berlapan. Termenung dia sekejap melihat jumlah kelengkapan kami untuk diangkut dengan dua bot fibernya yang salah satunya tidak berenjin.
Nasib kami agak baik juga bila seorang rakan Brader Arip yang juga guide pancing sudi menyertai kami. Dengan 3 bot fiber dan 2 buah enjin 4 lejang 3-5 kuasa kuda, perlahan-lahan kami bergerak tapak perkhemahan.
Ekoran musim hujan, paras air di Klang Gate naik agak tinggi menyebabkan kawasan berkhemah agak terhad. Mujur juga Brader Arip awal-awal lagi sudah booking tapak perkhemahan dengan mendirikan khemah di kawasan yang terbaik.
Hasil casting dan trolling di petang hari pertama ternyata agak memberangsangkan. Empat ekor sebarau berjaya didaratkan. Paling besar berskala 1.8kg trolling dengan gewang Rapala Shad Rap Deep Fire Tiger.
Selain dijadikan hidangan malam, seekor sebarau bersaiz kecil dijadikan umpan untuk memburu toman yang menurut Brader Arip memang sukar untuk membaham gewang. Pada sebelah malamnya pula, baung dan temperas agak rajin memagut umpan cacing yang disuakan.
Hujan pada malam pertama dan cuaca yang agak mendung pada pagi hari kedua, umumnya petanda yang bagus untuk keluar mengilat sebarau dan toman. Ia terbukti benar apabila kerap sesudu dan gewang selaman dalam kami di ligan oleh sebarau berstatus juvana yang kemudiannya dilepaskan kembali ke habitatnya. Aksi toman pula banyak mengajar kami erti kesabaran. Pelbagai gewang dilemparkan langsung tak dipedulikan.
Malah seperti mengejek kami agar terus berdayung mengejarnya. Menjelang awal tengah hari, tiupan angin yang agak kuat menyukarkan kami untuk terus mengilat dan kembali ke tapak perkhemahan bagi memburu sang toman dengan cara pancingan bottom pula.
Awal petang ketika ramai ahli komplot ke hulu sungai untuk mandi-manda dan tiada aktiviti sampan-sampan nelayan sungai lalu lalang di kawasan perkhemahan, barulah sang toman berani membaham umpan sebarau yang dilontarkan.
Dua kali ia membaham dan memecut pergi membawa umpan namun kedua-duanya gagal dijinakkan. Tak lekat dan rabut. Tapi dari gaya sentapan dan pecutannya menggambarkan ia bukanlah berstatus juvana. Sementara pada petang harinya, hasil casting dan trolling membukti lagi sebarau masih menghuni lubuk Klang Gate dengan sihat.
3 ekor sebarau bersaiz hidangan dibawa pulang untuk dimasak stim pula setelah malam sebelumnya dibakar dan digoreng.
Angin yang bertiup kencang pada hari ketiga menyulitkan kami untuk mengilat manakala trolling pula kurang menjadi. Maka terpaksalah menghabiskan masa dengan pancingan bottom sebelum bergerak pulang.
Sekali lagi toman memperlihatkan aksinya ketika kami sedang menghadap juadah makan tengah hari. Dan sekali lagi juga toman yang menang. Kemenangan yang membuatkan kami berazam untuk kembali.
Perairan Sedili sememangnya sudah cukup gah dengan pelbagai khazanah laut yang sentiasa membuat pemancing terigau-igau. Pelbagai spesies lautan yang berupaya melemahkan kepala lutut pemancing apabila bertarung dengannya.
Terdapat banyak spesies gred A boleh di pancing di perairan ini. Jika berkesempatan ke Sedili anda boleh cuba menerokai lubuk lubuk yang sememangnya menjanjikan pulangan lumayan jika kena cara dan waktunya.
Kemudahan bot-bot pancing di Sedili boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu ‘darat & laut’. Bot darat membawa pemancing di kawasan sekitar Tukun Batu & Tukun Yu. Sesuai dengan namanya bot darat, servisnya adalah menduga lubuk lubuk sekitar 2 jam perjalanan dari jeti.
Walaupun tidak jauh dari pantai terdapat juga spesies ikan mega yang mampu membuat pemancing keletihan melawan asakan. Tenggiri, alu alu, aruan tasik, merah, ketarap malah yu kemejan sebesar budak 12 tahun pernah menjamah pancing sepanjang lawatan saya ke Sedili.
Kategori bot laut pula membawa pemancing jauh ke tengah sekitar Karang Ngah, Karang Long, Karang Laut , Pulau Aur dan Pulau Tinggi. Terdapat beratus-ratus lubuk ikan yang terbentuk disebabkan kapal karam, karang dan juga kawah dasar laut. Unjam-unjam persendirian yang dibuat sendiri oleh masyarakat nelayan Sedili juga banyak.
Semenjak kunjungan pertama saya ke Sedili hingga sekarang khidmat Tekong Mat Setia dan ayahnya Pak Aris memang menjadi pilihan utama saya. Ini adalah kerana kedua-dua tekong ini serta awak-awaknya Rambo dan Bobby tidak lokek ilmu, rajin dan sentiasa membuat perancangan rapi untuk memilih lubuk-lubuk yang berpotensi.
Lubuk Tenggiri
Tidak sah jika tidak mengaitkan Sedili dengan ikan tenggirinya. Lubuk seperti Karang Ngah dan Karang Long sememangnya amat terkenal dengan populasi tenggiri batang atau nama saintifiknya Scomberomorus commerson.
Spesies pemangsa ini seolah-olah bermastautin di sini kerana ia boleh di pancing sepanjang tahun. Banyak cara tenggiri batang ini boleh dijerat termasuklah dengan kaedah jigging atau mengunjun, namun cara paling popular di lubuk ini ialah dengan drift menggunakan umpan ikan kembong, tamban atau selar.
Kekili mendatar atau spinning boleh digunakan untuk kaedah drift. Penggunaan tali utama fluorocarbon amat sesuai disambung terus dengan coated steel 20lb sepanjang 6 inci. Dua bentuk mata kail Owner atau Gamakatsu (cutting point) mesti diikat pada coated steel itu.
Kebiasaannya tenggiri akan membaham bahagian kepala umpan dan kemudian barulah ia akan menelan semua umpan itu. Jika terasa halangan, tenggiri itu akan memuntahkan semula umpan. Sebab itulah kita selalu melihat umpan dihiris seperti pisau.
Selain itu tenggiri Sedili juga terkenal kerana kepandaian memutuskan tali utama ketika ia berenang laju menuju ke arah bot. Selalunya pemancing akan berhenti mengarau kerana menyangka ikan sudah terlepas. Ketika inilah tenggiri memutuskan tali utama.
Ebek Lubuk 60
Lubuk 60 diberi nama kerana kedalamannya iaitu lebih kurang 60 depa. Lubuk ini berbentuk kawah terletak berdekatan Tukun Yu. Di kalangan nelayan, lubuk ini terkenal dengan ikan ebek atau nama saintifiknya Alectis indicus. Ikan ebek ini sentiasa berlegar di sekitar lubuk mencari makanan. Diet utamanya sotong segar dan udang hidup.
Untuk memancingnya perambut mestilah panjang sekurang kurangnya 2 meter supaya umpan melayang cantik seolah melambai-lambai ebek untuk melahapnya.
Mata kail yang kukuh diperlukan kerana ebek akan memecut dan menjunam ke dasar di awal larian. Setelah letih ikan ini akan mengiring dan sesekali akan memecut membuatkan kita merasa amat letih untuk menaikkan ikan ini.
Set yang selalu saya gunakan untuk bertarung dengan Ebek ialah kekili mendatar Penn siri 50, rod PE 3-5, tali utama Power Pro 50lb dan perambut 3 meter suffix 40lb. Mata kail Gamakatsu saiz 3/0 berumpankan udang hidup kerap menjerat ebek di Lubuk 60. Selalunya ikan ini amat aktif pada sebelah pagi dan senja.
Banyak lagi spesies lain terdapat di perairan Sedili yang mampu memberikan debaran ketika cuba menawannya. Aruan tasik yang terkenal ganas, ikan jahan yang selalu meluruskan swivel Rosco, malah yu kemejan yang akan membuat kita terpaksa bergilir-gilir menahan renangan tanpa hentinya.
Sepanjang minat pancingan saya, Sedili banyak memberikan ilmu dan pengalaman praktikal yang tidak dapat dibeli di mana-mana kedai sekalipun.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...