Setelah membuat perancangan dan persiapan yang agak lama saya bersama tim komplot Zan Kail Utara Pancing yang terdiri daripada Aiman, Adi, Shah, Akhis dan Jan, pada jam 8.00 malam bertolak dari Sungai Petani, Kedah menuju ke Temerloh, Pahang bagi menjayakan misi kami iaitu memancing udang galah atau jenggo di Sungai Pahang.
Bertarikh 6 Oktober bersamaan hari pertama misi, kami tiba di destinasi yang kami iaitu Kg. Pangsenam, Temerloh kira-kira jam 3.00 pagi. Perjalanan yang jauh bagaikan tidak terasa kerana rasa teruja yang meluap-luap. Seawal jam 7.00 pagi setelah menyelesaikan urusan dengan Abang Salleh iaitu pemilik rumah rakit dan sewaan sampan, kami segera menyusut Sungai Pahang mencari lubuk jenggo.
Kami menyewa 4 buah sampan atau bot fiber. Umpan umpun-umpun nipah memang terbaik untuk menjerat spesies jenggo, siap dibawa bekal dari Sungai Petani lagi. Tanpa mengira rasa lesu akibat perjalanan panjang dan kurang tidur, kami gigih keluar memancing.
Hasil yang diperoleh untuk hari pertama memang terbaik walaupun ini adalah buat pertama kalinya kami memancing jenggo di Temerloh. Kira-kira jam 7.00 malam kami kembali ke jeti dan bermalam di rumah rakit Abang Salleh. Soal makan minum tidak menjadi masalah kerana rumah rakit Abang Salleh lengkap dengan peralatan memasak. Hanya bahan mentah sahaja yang perlu dibawa untuk memasak. Malah bilik pun lengkap dengan pendingin hawa.
IKLAN
Setelah makan malam dan berehat seketika, entah bagaimana secara tiba-tiba kami berbincang untuk cuba memancing pula. Dengan mudah kami sepakat kata untuk mencubanya. Kira-kira jam 9.00 malam kami menyambung operasi mencari jenggo.
IKLAN
Berikutan kegelapan malam yang membatasi penglihatan, sedikit sebanyak ia menjejaskan pergerakan kami. Namun hasil diperoleh jauh lebih baik berbanding waktu siang. Disebabkan mengantuk dan letih, jam 5.00 pagi terpaksa kami pulang ke jeti untuk tidur.
Tidak sampai pun dua jam kami berehat dan tidur, sebelum jam 7.00 pagi kami sudah pun keluar memburu jenggo lagi untuk sesi hari kedua pula. Berikutan Sungai Pahang yang terlalu luas menyebabkan kami kurang arif untuk menjejak lubuk yang berpotensi. Tambahan pula ia merupakan pengalaman kami yang pertama kali. Namun kami tidak mematahkan semangat kami. Kami mencari informasi lokasi daripada pemancing dan penduduk tempatan.
IKLAN
Berkat ringan mulut bertanya, hasil yang diperoleh ternyata terbaik. Keseronokan membuatkan masa berlalu bagaikan tidak terasa. Bagai tidak sedar hari sudah lewat petang dan perlu pulang ke jeti untuk berehat seketika sebelum menyambung pancingan malam pula. Namun hasrat kami untuk memancing malam terpaksa dibatalkan berikutan cuaca kurang baik dan hujan turun dengan agak lebat.
Jam 6.30 pagi pada hari ketiga kami keluar memancing udang galah untuk beberapa jam lagi sebelum bertolak pulang ke Sungai Petani kira-kira jam 11.30 pagi. Tiada apa yang dapat kami simpulkan dari trip ini selain amat berpuas hati. Layanan Abang Salleh juga terbaik. Kami mengakhiri trip jenggo Sungai Pahang di Temerloh ini hasil kira-kira 100 ekor lebih udang galah dengan anggaran lapan kilogram. Yang pasti kami amat bersyukur kerana selamat pergi dan selamat juga kembali.
Memandangkan ia hanya trip santai atau suka-suka saja, mereka tidak mensasarkan apa-apa ikan. Janji dapat melabuhkan umpan pun sudah seronok. Oleh kerana itulah apabila berjaya mendaratkan seekor ikan merah sepang pada spot pertama dan hanya menanti hampir satu jam, ia merupakan satu bonus yang besar bagi mereka.
Namun cuaca kurang menyebelahi mereka pada pagi hari. Tidak lama setelah berjaya memujuk ikan merah, ribut pula datang membadai. Begitu pun tekong tidak panik dan segera beralih arah atau berlindung di sebalik pulau berdekatan.
Apabila ribut reda dan cuaca kembali elok, Tekong Ahyi Hairi membawa kami ke spot yang dirasakan akan memberikan hasil. Terbukti spot-spot yang dibawa berjaya menaikkan sekurang-kurangnya seekor ikan. Keseronokan membuatkan kami tidak terasa masa berlalu. Dan lebih menggembirakan hasil yang kami perolehi ternyata agak lumayan juga.
Setelah solat jumaat di Masjid Balok, kami bertolak dari jeti Kuala Kemaman pada jam 3.00 pm dan menuju ke unjam pertama sekitar 3 jam perjalanan.
Tiba di spot yang pertama, apollo dilabuhkan untuk mencari umpan fresh seperti ikan selar, tamban dan lain-lain lagi. Selepas kami mencari umpan segar untuk jadikan umpan bottom, kami terus menuju ke spot yang pertama iaitu sekitar tukun kapal.
Tanpa buang masa para pemancing terus menurunkan umpan telah dilekatkan pada mata kail. Umpan sotong dan ikan menjadi taruhan kami. Tidak menunggu lama, joran Asmadi direntap kuat oleh penghuni dasar. Menggunakan set kekili Saltiga berjaya menarik ebek anggaran saiz 7kg dengan kepuasan kegembiraan terpancar pada raut wajah Asmadi.
Sebagimana kita tahu perairan pantai timur khususnya Kemaman menjadi lokasi tumpuan pemburuan spesies ebek. Sama ada ebek kapak atau ebek bulat, kedua-duanya menjadi sasaran utama trip kali ini.
Setelah beberapa minit kemudian joran Amir telah direntap oleh penghuni dasar yang tidak pasti sama ada sagai, GT, cupak mahu pun spesies tak bersisik. Dengan daya pecutan dan tekananan daya juang ikan sehinggalah melihat kelibat ebek bulat terdampar di permukaan laut. Kredit kepada tekong kerana sering berpindah lubuk bila tiada sambutan di lokasi.
Pada hari kedua seawal pagi tanpa buang masa umpan dilabuhkan untuk menjerat penghuni dasar, akhirnya joran Nan dan Aril disambut mesra penghuni dasar iaitu ikan bayan.
Menjelang pagi kami mula bertukar lokasi ke yang lain,kerna tiada tangkapan yang besar yang seperti diharapkan. Masing-masing masih ada yang tidur kerana kepenatan berjaga pada waktu malam. Semasa bot mula berangkat menuju ke spot yang lain, ada peserta mengambil kesempatan untuk berehat sementara sampai ke spot lubuk karang.
Organizer Abg Sham memberi tahu kami bahawa sekitar lubuk karang mempunyai ikan gred seperti kerapu bara, jenahak dan merah. Tanpa menunggu lama En. Mahat merentap joran terus sahaja menggulung tanpa tentangan yang berat. Rupa-rupanya seperti yang diberitahu Abg Sham kerapu bara berskala saiz 1kg dinaikkan dengan menggunakan umpan hirisan sotong.
Makan malam kami sediakan oleh Wan Mazhar. Fuhh… sedap beb! Menu ikan masak kari serta ulam dan pulak pekasam ikan tengas dibawa oleh Endy Kubis lagi penambah selera kami di atas bot dan kami berbincang dengan Abg Sham untuk pindah ke seterusnya.
Tidak menunggu masa, aksi joran Aril melentur sehingga mencacah air, fuhh… mesti monster yang ditariknya. Selepas beberapa minit aksi bertarung akhirnya pari 18kg dinaikan dengan menggunakan umpan hirisan sotang.
Selang beberapa minit En. Zam pulak menaikkan pari seberat 16kg selama 30 minit. Fuhh… lamanya. Hahaha… mana taknya habis berbelit tali pancing yang lain.
Pada awal pagi cuaca agak kurang mesra dengan kami, kami menerima alun yang agak tinggi menyebabkan bot terhuyun-hayang. Walau bagimanapun tidak melunturkan semangat kami sebagai pemancing. Kami terima dugaan itu dengan berlapang dada dan bersyukur terhadap Ilahi.
Sekitar awal pagi ikan kacang menjadi ikan pengacau menyebabkan pemancing sering bertukar mata kail dan perambut.
Untuk kali ini kami berjaya menaikkan pelbagai spesies ikan terutama ikan target iaitu ebek. Pada trip ni jugak, ikan terbesar seberat 18kg berjaya dinaikkan oleh Aril. Trip bottom dan jigging kali ni amat berjaya dan nantikan trip seterusnya.
Berau merupakan salah satu daripada kabupaten (daerah) di provinsi Kalimantan Timur, Indonesia.
Dengan keluasan 34,127 kilometer persegi , ia hampir menyamai keluasan negeri Pahang (35,960 kilometer persegi).
Untuk menjejakkan ke Berau dari Malaysia haruslah menaiki dua penerbangan (sekarang ini 3 penerbangan).
Dari KLIA ke Sultan Aji Muhamad Sulaiman International Airport (Sepinggan Airport, Balik Papan, Kalimantan Timur) dan seterusnya ke Kalimarau Hero Domestic Airport, Berau yang memakan masa 50 minit perjalanan.
Jika melalui jalan darat dengan jarak 580 kilometer, ia akan menelan masa sekurang-kurangnya 13 jam.
Dari Tanjung Redeb (ibu kota Berau) ke Kecamatan Kelay pula haruslah meredah jalan darat pergunungan sejauh 100km dengan tempoh perjalanan sekitar 3 jam.
Buka Jalan
Melalui Azuan Man @ Pak One yang sering ke Berau atas urusan kerja, satu trip dibuka dalam grup Whatsapp Alucast.
Tidak sampai setengah jam kuota 7 orang pemancing segera terisi. Saya agak bernasib baik apabila 2 orang pemancing terpaksa menarik diri dan tempat tersebut segera ditempah sebelum impian yang sekian lama terpendam terus berendam lagi.
Setelah melalui jalan udara, jalan tar, jalan tanah merah dan melelapkan mata buat seketika, keesokan paginya kami berlapan (Pak One, Haji Salleh, Haji Din, Nik, Bujeng,
Anhar dan Blue) barulah memulakan perjalanan sebenar menerusi jalan air ke rangkaian sungai di pergunungan Berau.
Hari pertama
Empat buah bot pancung enjin ekor biawak digunakan dalam ekspedisi rangkaian sungai pergunungan Berau ini.
3 buah digunakan untuk membawa pemancing dan sebuah lagi berperanan sebagai kargo. Perjalanan mudik ke hulu sungai merentas jeram-jeram kecil berbatu yang cetek airnya ke tapak perkhemahan yang memakan masa hampir 2 jam pula.
Tiba di tapak perkhemahan di tebing sungai yang landai dan berbatu, waktu sudah menjelang tengah hari.
Setelah berehat seketika mengisi perut dengan ala kadar barulah sesi yang teramat sangat dinantikan menjelma.
Dua buah sampan menongkah ke hulu dan sebuah lagi menghilir dengan kaedah casting sambil berhanyut.
Destinasi mudik ke hulu adalah lubuk berjeram yang merupakan spot kegemaran Pak One.
(Video : Jeram yang banyak dihuni sebarau saiz badong)
Sejurus tiba, masing-masing tidak menunggu lama untuk melepaskan keterujaan yang sekian lama terpendam.
Sebarau Berau ternyata bukan gurau apabila salah seorang boatman menjadi individu pertama berjaya mendaratkan dan memperkenalkan sebarau Berau dengan skala saiz 4 kilogram.
Sememangnya saiz sebarau Berau bukan gurau. Setelah hampir 20 tahun saya melibatkan diri dalam dunia hanyir, inilah buat pertama kali saya melihat dengan mata kepala sendiri sebarau yang selayaknya digelar badong!
Sebarau yang dilepaskan kembali ke lubuknya itu menjadi inspirasi kepada kami untuk memburu lesen sebarau Berau.
Setelah agak lama tanpa lesen, kami tongkah ke hulu lagi sehingga ke penghujung jeram cetek yang gagal diharungi sampan dan berhanyut turun sambil casting.
Sebelum lewat petang dan menamatkan sesi memancing hari pertama, saya berjaya juga memperolehi lesen sebarau Berau anggaran 3 kilogram.
Sekitar 4 jam sesi memancing pada sesi hari pertama, hampir 50 peratus ahli gagal untuk memperoleh lesen sebarau Berau.
Namun ia bolehlah dianggap sebagai sesi pemanas badan kerana masih ada 3 hari lagi untuk casting sampai lebam.
Sementara itu Pak One awal-awal lagi sudah memperbaharui lesen tersendiri. Bukan lesen sebarau sebaliknya lesen sapan! Sapan adalah nama tempatan bagi kelah merah.
(Video : Aksi Pak One di jeram kegemarannya)
Hari Kedua
Hujan di bahagian hulu menyebabkan paras air sungai sedikit meningkat dan keruh. Berbekalkan makan tengah hari kami terus ke lubuk jeram.
Dua buah sampan berhenti di lubuk jeram dan sebuah lagi terus menongkah ke hulu.
Memadai hanya setengah hari, bukan saja kesemua ahli berjaya memperoleh lesen sebarau Berau malah lesen sapan juga.
Hanya di satu lubuk sahaja, berbelas ekor sebarau berjaya didaratkan dan saiz-saiznya seperti sukar untuk dipercayai. Semuanya purata saiz 3 hingga 5 kilogram.
Jumlah tangkapan sebarau dan sapan terus meningkat apabila sesi memancing dengan sampan diteruskan sehingga lewat petang.
Sekali gus menjadi hari terbaik kepada semua ahli trip.
Hari Ketiga
Hari ketiga kami mengambil keputusan menghilir keluar sambil memancing untuk ke sungai utama dalam rangkaian sungai pergunungan berau.
Sungai yang lebih luas dan panjang. Meskipun banyak masa dihabiskan dalam perjalanan dan sempat memancing beberapa jam sahaja.
Dari segi kuantiti tangkapan agak merosot sedikit, namun rekod tangkapan sebarau dan sapan terbesar dengan skala saiz melebihi 6kg berjaya didaratkan.
Hari Terakhir
Sementara pada hari keempat yang merupakan hari terakhir, sesi pancingan agak santai sambil berhanyut keluar dan kembali ke pangkalan di perkampungan para boatman.
Sejurus tiba di pangkalan pada lewat senja, kami segera bergerak pulang ke hotel penginapan di Tanjung Redeb melalui jalan bukit pergunungan yang sempit dan mendebarkan.
Berehat dan bermalam seketika sebelum bangkit di awal pagi agar tidak terlepas penerbangan ke Balik Papan dan seterusnya terbang ke tanah air.
4 hari memancing terasakan begitu pantas berlalu.
Tiada kenangan pahit yang dibawa pulang melainkan manis-manis belaka. Semanis isi sapan yang menjadi santapan kami sepanjang bergurau di Berau, sebarau Berau bukan gurau!
Apa kata pemancing:
Azuan Man aka Pak One
“Setelah beberapa kali melakukan trip survey dan terbukti sebarau berau bukan gurau adalah realiti, saya rasakan umpama satu dosa yang tidak terampun sekiranya saya sendiri saja yang menikmatinya tanpa membuka peluang kepada rakan-rakan pemancing lain.”
Nik Mahalil
“Trip freshwater terbaik setakat ini yang pernah saya sertai. Alhamdulillah… Merasalah jugak casting kelah menggunakan gewang.”
Shuk Rahim
“Kerjasama serta ukwah di antara para peserta menjadikan trip ini bukan setakat berjaya malah menjadi satu pengalaman dan kenangan manis yang tak dilupakan. Guide tempatan juga wajar dipuji dengan servis yang diberikan.”
Haji Salleh
“Trip yang sangat tidak mendukacitakan. Memang cukup teruja dan puas hati dengan tarikan ikan yang mega-mega. Sebarau 4.5 kg… Kelah 5.5 kg. Memang pengalaman yang tidak dapat dilupakan.”
Bujeng
“Pada setiap lontaran terasa macam ada bapak-bapak ikan yang akan membaham! Memang tak jumpa yang saiz S seolah-olah ikan-ikan di sini beranak… Bukannya bertelur!”
Anhar
“Satu pengalaman yang terlalu abstrak untuk diceritakan. Bagaimana mahu diungkapkan apabila anda menikmati realiti dalam fantasi anda.”