Lima individu lelaki warganegara berumur dalam lingkungan 20 hingga 57 tahun ditahan Pasukan Polis Marin dalam Ops Benteng Covid di sini semalam (27 Okt 2020). Kesemua lelaki tersebut ditahan atas kesalahan menembak ikan di kawasan Pulau Payar, Langkawi, Kedah pada jarak 0.2 BN dari daratan Pulau Payar. Menyedari kehadiran pihak polis, kelima lima saspek bertindak membuang peralatan menembak ikan ke laut.
Menurut Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Langkawi, DSP Rohizan Bin Mohamad Saaid tangkapan itu dibuat semalam pada jam 1 petang setelah botronda PSC 18 menerima maklumat dari orang awam.
“1 pegawai bersama 4 anggota telah dikerahkan ke sana. Antara barangan lain yang turut disita adalah sebuah bot aluminium berwarna biru berserta enjin sangkut 30HP, tong ikan dan 4 set alatan menyelam berserta ikan hasil pemburuan”, katanya. Anggaran keseluruhan nilai rampasan yang dibuat adalah RM 70,000.00 dan kesemua tangkapan dan rampasan diserah kepada Jabatan Perikanan Langkawi untuk tindakan lanjut.
Ads
Ads
“Semua ditahan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 43(1)(a), Akta Perikanan 1985; berada dalam taman laut atau rizab laut di perairan Malaysia tanpa mendapat kebenaran secara bertulis daripada Ketua Pengarah-(a) menangkap ikan atau cuba menangkap ikan.” Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Rohizan berkata, kawasan Taman Laut adalah zon larangan bagi sebarang aktiviti menangkap ikan menurut peruntukan Akta Perikanan 1985 (Pindaan 1994).
Ads
“Mana-mana individu yang melakukan kesalahan menangkap ikan di kawasan larangan Taman Laut boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM20,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.”
Sumber dari Cawangan Cawangan Pengurusan dan Perlindungan Pejabat Perikanan Negeri Kedah
(Sumber: Facebook Jabatan Perikanan Malaysia)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Seminggu sebelum bertolak ke jeti Tasik Temenggor, kekalutan menyiapkan ‘senjata’ masing-masing amat memuncak.
Dari sudut joran yang nak dibawa hingga kepada ‘peluru’ untuk membedil lubuk-lubuk sasaran.
Tujuannya adalah untuk memburu ‘encik sebarau dan toman ’ yang dikhabarkan bermaharajalela di Tasik Banding.
Pada malam sebelum bertolak, Pengerusi Kelab Sukan, Kebajikan dan Kebudayaan MPAJ Encik Shahrom Musa telah sudi untuk meluangkan masa hadir untuk melepaskan kami.
Semuanya 28 orang ‘hunter’ dengan menaiki bas coaster MPAJ, sebuah kenderaan pacuan 4 roda dan sebuah kereta.
Selepas bacaan doa, ucapan ringkas Pengerusi KSKK dan pastinya acara bergambar, kami pun berlepas ke jeti Banding tepat jam 11.45 malam.
Dengan dua perhentian di R&R Rawang dan Sungai Perak untuk melepaskan hajat, mengopi atau mengeteh, kami sampai di Gerik jam 5.30 pagi.
Selepas solat subuh di sebuah masjid, kami bersarapan di gerai nasi lemak sotong Pasar Awam Gerik.
Lebih kurang jam 10 pagi, kami telah bersedia di atas ‘boathouse Rafflesia Cruise’ 2 tingkat, untuk memulakan pelayaran selama empat jam menuju lokasi yang telah ditetapkan.
Sepanjang perjalanan para hunter pun menjalankan aktiviti membersihkan senjata serta menyediakan peluru masing-masing untuk menyerang sasaran yang akan ditetapkan kelak.
Ada yang membetulkan kail, memasang kekili, mesin, perambut dan batu ladung. Ada juga hunter yang tak sabar-sabar mencuba senjata masing-masing dengan melakukan teknik casting di atas boathouse yang bergerak perlahan.
Sambil melayan senjata masing-masing, dapat juga mata menikmati pemandangan yang menghijau serta hembusan angin yang nyaman.
Setelah empat jam belayar, maka kami pun sampai ke tempat yang dituju. Tak sempat boathouse nak parking, semua para hunter dah bersedia dengan senjata dan peluru
masing-masing untuk mencari ‘lesen’ dulu sebelum turun ke sasaran. Punyalah excited dan teruja.
Apa lagi semua joran yang ada digunakan untuk menjadi peserta pertama menaikkan ikan dengan pelbagai jenis umpan dicuba. Tiga puluh minit berlalu namun tiada hasil.
Maka cabaran pertama, siapa yang naikkan ikan akan mendapat hadiah RM10.00. Tunggu punya tunggu akhirnya Abang Ram berjaya menaikkan ikan pertama iaitu ikan lampam bersaiz kecil, jadi hadiah tersebut milik beliau.
Selepas itu, ramai yang berjaya menaikkan lesen masing-masing.
Tetapi ada juga yang tak dapat lesen dan ia dijadikan ‘bahan’ kepada mereka yang telah dapat lesen.
Bila boatman bersedia dengan bot-bot kecil maka para hunter dengan kumpulan mereka menuju ke sasaran masing-masing dengan semangat yang membara untuk memburu toman atau sebarau.
Beberapa orang tinggal di boathouse melayan senjata masing-masing yang kadang-kadang ada untung dengan menaikkan lampam atau baung.
Sebahagian daripada kami yang bergerak untuk mandi sungai terpaksa berpatah balik ke boathouse kerana cuaca tak mengizinkan kerana langit mulai mendung dan air sudah mulai keruh.
Selepas itu, hujan pun turun dengan lebat menyebabkan suhu menurun sedikit menjadikan keadaan mulai sejuk.
Bila mendengar enjin-enjin bot kembali ke boathouse, semuanya menunggu dengan debaran siapa yang akan membawa balik ikan terberat atau ikan yang banyak atau langsung tak dapat apa-apa.
Seronok bukan kepalang apabila Jemey dengan bangga menunjukkan ikan toman lebih kurang 2kg yang dapat dibawa naik oleh beliau.
Terdapat juga antara mereka yang menaikkan ikan toman dan sebarau. Hujan yang turun bagaikan mutiara tersebut dibayangi dengan air kopi, teh ‘o’ panas serta biskut dan keropok.
Aktiviti memancing di atas boathouse diteruskan sehingga malam. Apabila senja melabuhkan tirai, pemandangan menarik di sekitar boathouse telah diabadikan dalam handphone masingmasing.
Hari Kedua
Hujan lebat yang turun sebelah malam telah menyebabkan air naik dan menjadi keruh. Pagi yang dingin dan sunyi menyebabkan suasana menjadi lembap.
Pemandangan menjadi sangat menarik dengan awan serta kabus yang menyelubungi bukit bukau menjadi subjek foto yang menarik.
Setelah semua bersedia, masing-masing melompat masuk ke bot masing-masing menuju lubuk sasaran.
Bagi yang tidak menyertai bot-bot tersebut, maka aktiviti memancing diteruskan di atas boathouse sambil menikmati pemandangan pagi sambil melayan suara unggas dan keletah monyet, burung enggang dan helang.
Pada sebelah tengahari setelah bot-bot hunter kembali ke boathouse, tekong telah membawa boathouse ke tempat yang baru kerana air sekitar yang deras dan keruh tidak sesuai untuk memancing.
Makan tengah hari kali ini agak special di mana chef Khamis telah menyediakan menu istimewa iaitu nasi beriani kambing masak kuzi, sayur, keropok dan sambal. Apa lagi kami makan dengan berseleranya hingga ada yang bertambah-tambah.
Selepas makan tengah hari sekali lagi para hunter menuju ke lubuk untuk mencuba nasib menaikkan sebarau atau toman.
Mana yang ada di boathouse, sekali lagi aktiviti memancing diteruskan dan ada yang melelapkan mata.
Bila para hunter kembali, masing-masing sibuk dengan hasil tangkapan atau ada yang berlenggang tangan maka mereka riuh-rendah menceritakan pengalaman masing-masing.
Pada sebelah malam, kami melayan hal masing-masing. Makan malam yang disediakan menyajikan lauk pauk hasil tangkapan dengan menu filet toman sweet & sour serta masak lemak cili api ikan sebarau, lampam dan baung.
Masih ada yang melabuhkan joran untuk mencuba nasib. Kebetulan ada rakan yang membawa movie dimuatkan dalam pendrive, memang layan la dan kemudian disusuli dengan sesi karaoke.
Sesi karaoke tersebut telah memecah suasana hening malam gelap gelita yang ditemani dengan alunan muzik rimba.
Jam 5.00 pagi kami dikejutkan dengan bekalan elektrik terputus yang menyebabkan sebahagian kami terjaga dan mula mencari bilik air dalam keadaan yang gelap gelita.
Selepas sarapan pagi nasi lemak yang disediakan oleh chef Khamis, para hunter sekali lagi menaiki bot dan menuju ke lubuk yang dijangka ada ikan untuk kali yang terakhir sebelum pulang ke jeti.
Mana tahu ada yang dapat menaikkan ikan lebih berat daripada hasil sebelum ini.
Ada yang berjaya dan ada yang pulang hampa. Bagi yang memancing di boathouse, beberapa peristiwa mata kail tersangkut pada batang kayu di dasar tasik dan terpaksa tali pancing diputuskan.
Terdapat juga peristiwa di mana sang ikan melarikan joran ke dalam tasik. Jam 10.00 pagi tekong kemudiannya bertolak pulang ke jeti dan para hunter dan yang lain-lain berkemas dan bersedia untuk check out setiba di jeti.
Dalam perjalanan pulang dan bot mulai bergerak, pihak penganjur telah mengadakan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang yang berjaya menaikkan ikan terberat.
Tempat keempat disandang oleh Adnie, ketiga Black, kedua Fendi Keting dan tempat pertama dimenangi oleh Jemey.
Jam 12.00 tengah hari kami selamat sampai ke jeti Banding dan setelah berlabuh serta barang-barang diletakkan dalam kenderaan kami bertolak menuju ke Kuala Kangsar untuk makan tengah hari. Kami selamat sampai ke Menara MPAJ jam 9.00 malam.
Trip kali ini walaupun tidak mendapat hasil yang memberangsangkan, namun ia tetap berjaya menitipkan pengalaman suka duka sebagai pemancing serta pencinta alam semula jadi yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.
Ia tidak berakhir di sini dan penganjur exco rekreasi KSKK telah merancang dan menjanjikan destinasi yang lebih menarik dan mencabar.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tekong-tekong yang akan membawa pemancing menduga perairan Pekan dan Rompin yang sudah tersohor dengan perkhidmatan servis yang mesra pemancing.
Saya, Faizal, Anhar, James, Sally dan Simon menaiki bot tekong tersohor di Merchong iaitu Zamri.
Target kami bertiga adalah untuk mencari melalui teknik jigging, casting dan drifting umpan hidup ekoran menerima perkhabaran sebelum datang ke sini bahawa layaran masih sukar untuk dikesan.
Bot melencong Destinasi pertama ke kawasan unjam sekitar 8 kilometer dari jeti. Setelah mendapatkan umpan hidup sekitar 30-40 ekor kami terus ke kawasan tukun berdekatan untuk mencuba nasib sebelum ke Pulau Berhala.
Berikutan Sally berjaya menaikkan seekor tenggiri bersaiz kecil yang terbelit pada mata apollo, kami pertingkatkan usaha dengan ketiga-tiga kaedah namun tidak berhasil.
Dalam perjalanan ke Pulau Berhala, tekong mengambil keputusan untuk melencong menghampiri kawasan bot nelayan yang sedang rancak memukat bilis.
Melihat pada banyaknya burung yang berlegar di udara saja sudah cukup menggembirakan hati.
Gerombolan bilis yang begitu banyak tentu saja akan mengundang pemangsa dan pelahap seperti tenggiri dan layaran.
Kesemua anggota trip mula sibuk bekerja dengan pelbagai kaedah pancing yang sesuai dilakukan.
Saya yang sebelum ini mencuba teknik slow pitch, beralih ke teknik fast jigging. Menggunakan kekili Twin Power 3000 dan joran prototype Kewl 0.3-08 keluaran Sea Tackle khusus untuk micro slow jig, saya mengarau laju jig 30gm yang dibiarkan mencecah dasar.
Setelah beberapa kaki dihenjut dari dasar terasa sesuatu menyambar jig dan memecut laju.
Setelah agak lama bertarung sehingga rakan-rakan lain kebosanan menunggu dan memberi ruang, saya cuba memaksa joran bekerja ke tahap maksimum walaupun terasa gayat. Namun joran prototype ini ternyata berkuasa menundukkan jemuduk berskala 4 kg.
Tidak lama selepas jemuduk tersebut dinaikkan, suasana di atas bot mula riuh dan tegang. Ada yang berjaya menaikkan tenggiri, ada yang kehilangan jig dan ada juga yang
kehilangan umpan hidup dan ada yang hanya sempat bertarung dengan layaran buat seketika.
Frenzy layaran
Dan kemuncak pesta di sebalik layaran frenzy membaham bilis apabila dihidangkan dengan aksi triple hook up.
Biarpun agak kelam-kabut sedikit saya, Anhar dan Simon berjaya juga mendaratkan layaran. Setelah memperolehi lesen, kami bertiga memberi ruang kepada yang lain pula.
Tidak menunggu lama, Faizal memperolehi peluangnya namun tidak bertahan lama. Kali kedua barulah berjaya mendapatkan lesen.
Sementara James dan Sally pula tidak terkira jumlah strike sama ada dengan kaedah popping, casting dan drifting umpan semuanya berakhir dengan kemenangan berpihak kepada layaran dan tenggiri.
Menjelang petang, setelah kehabisan umpan hidup dan layaran mula hilang bersama gerombolan bilis, tekong mengambil keputusan memancing ebek pula.
Udang hidup sengaja dibawa walau tanpa dipesan berikutan beberapa hari sebelumnya ebek mula memasuki perairan Merchong.
Kawasan yang banyak diturunkan bubu menjadi padang pancing kami memburu ebek dan spesies lain dengan cara jigging dan teknik dasar menggunakan udang hidup.
Tentu saja apabila udang hidup diturunkan maka untuk mendapatkan hasil melalui jigging terpaksalah berusaha berlipat kali ganda.
Ternyata udang hidup berjaya mengalahkan hasil jigging dari segi kuantiti namun dari sudut kualiti ikan, ternyata berpihak kepada jigging.
Paling menyeronokkan apabila seekor bawal emas bersaiz kasar dan kerapu bara berjaya dinaikkan melalui jigging.
Begitu juga dengan keadah micro jigging. Fast jigging lebih berkesan berbanding slow pitch. Selain menghabiskan beberapa set jig dan mata kail yang tersangkut pada karang,
penulis hanya berjaya menaikkan 2 ekor kerapu kecil yang tidak mendatangkan sebarang pertarungan.
Dengan jumlah kehadiran layaran yang banyak di perairan Merchong, tidak hairanlah ia menjadi destinasi popular apabila tibanya musim ikan berparuh.
Trip pancingan bottom yang dirancang sekian lama menjadi nyata. Lapan orang pemancing yang akan menyertai trip ini sudah pun bersedia.
Bateri untuk kegunaan mesin elektrik sudah dicas penuh. Batu ladung besar penumbuk pun dibawa. Sambil menunggu rakan yang belum sampai, kami ngeteh dulu.
Bila sudah cukup komplot, kami terus bertolak dalam pukul 12.30 pagi dan subuh kami sampai di jeti Mersing.
Kami menggunakan khidmat Tekong Azahar. Selesai barang keperluan dan peralatan tempur dimasukkan ke atas bot, maka bot menyusur kuala menuju ke perairan Pulau Aur.
Macam biasa, siapa yang asyik menguap dari tadi mengambil tempat di dalam dek bot untuk melelapkan mata.
Yang lain menyiapkan perambut dan sebagainya sebelum sampai ke port memancing. 4 jam perjalanan, tekong singgah di unjam pertama untuk mencari ikan umpan.
APOLLO LUMAYAN
Acara apollo cukup meriah. Selar, tamban, selar kuning dan anak kembung menghiasi mata apollo setiap kali dinaikkan. Satu tong ikan acara apollo kami perolehi.
Lebih dari cukup untuk dibuat umpan nanti. Selebihnya boleh dibawa balik, goreng! Tekong Azahar tidak mematikan enjin bot sepanjang kami ‘mengapollo’ anak-anak ikan.
Teknik berhanyut ini nampaknya lebih menjadi. Berpuas hati dengan umpan yang diperoleh, kami menuju ke spot pertama.
TAMBAK YANG BERLAMBAK
Labuhan pertama, kami diserang gerombolan ikan tambak. Tidak menang tangan kami melayan. Kekili elektrik menjerit di depan dan di belakang bot. Tekong tersenyum.
Walaupun pun kepala terasa pening-pening lalat (nak mabuk la tu) tetapi hilang kerana keasyikan melayan tambak. Sesekali kaci menyapa umpan.
Tidak ketinggalan jenahak juga sudi menjadi penghuni tong Coleman yang kami bawa. Jebong atau ikan ayam yang enak turut sama menyelit.
Berhenti sejenak menarik ikan apabila kami menerima isyarat daripada tekong, masa untuk ‘orang’ pulak makan. Masakan Tekong Azahar memang ‘terangkat’.
Ya lah.. segar dari ladang katakan. Misi bottom diteruskan selepas makan malam di mana tambak terus mendominasi tangkapan.
Hari kedua kami memancing sambit bot berhanyut. Nampaknya anak-anak kerapu saiz hidangan pula mengambil bahagian.
Perambut dua mata sering menghasilkan double strike. Ikan merah dan ibu kerisi juga turut memenuhi carta tangkapan kami.
Suasana atas bot menjadi riuh-rendah apabila kami diterpa sekumpulan dorado@ belitung. Kelam-kabut kami melayan pancing masing-masing.
Aksi lompatan demi lompatan sang belitung disambut dengan sorak gembira. Berpesta belitung kami pagi tersebut.
Berbelas-belas ekor belitung sempat dilayan dengan set light casting yang ‘sengaja’ dibawa. Pemancing yang tidak standby, tengok saja lah..
BONUS TENGKUJUH
Seekor selar segar dicangkuk ke mata kail dan dilontar jauh oleh Borhan@Kilat. Sebaik sahaja mencecah air, umpan terus direntap ganas dan kekili berlagu nyaring.
Joran Expert Graphite yang baru dibeli dan ditukar cincinnya dipadankan dengan kekili Bossna 4000, melentur habis.
Tali 30lb sepanjang 200 meter nampaknya surut hanya beberapa saat. Pecutan awal yang penuh bertenaga tidak boleh berbuat apa-apa.
Satu lompatan akrobatik yang cantik menampakkan si pencuri umpan. Mersuji yang punya angkara. Apa lagi… bersorak lah kami satu bot. Kilat hanya dapat menahan joran 8 kaki yang melendut-lendut.
Lantas Tekong Azahar mengarahkan semua menaikkan pancing dan tekong segera mengejar ke arah ikan tersebut. Tiba-tiba ikan berpatah balik ke arah belakang.
Tekong membuat U-turn. Drama kejar mengejar masih berlangsung. 25 minit ‘berperang’ jari mula terasa kebas lantas Kilat menghulur joran kepada Jeff untuk meneruskan pertarungan.
Mersuji dalam anggaran 50kg selamat dinaikkan ke lantai bot setelah 5 orang melayannya secara bergilir-gilir. Terima kasih banyak kepada tekong yang bertindak pantas.
Kerjasama daripada pemancing lain juga adalah antara faktor yang membantu. Kalau buat ‘dono’ sahaja sudah pasti meletup tali atau terbarailah mesin.
Harapan untuk menatap wajah dan ‘memeluk’ mersuji tinggal harapan sahaja lah.
Keceriaan jelas terpancar di wajah geng D’Senu Anglers dan sudah tentu lah yang empunya lesen, si Kilat.
Menurut Azahar selama lebih 10 tahun dia menjadi tekong di sini, telah banyak kali mersuji membaham umpan pemancing tetapi tidak berjaya menaikkan ikan tersebut.
Setelah selesai sesi bergambar dengan mersuji berkenaan, bot dihalakan ke jeti Pulau Aur.
Kami mengambil peluang berehat di atas pulau setelah letih bertarung dengan ‘balak laut’ tadi,mandi,solat dan semestinya ngeteh. Ya lah..sudah dua hari tidak ‘pekena’ teh tarik.
SANGKUT PULAK
Sewaktu perjalanan balik , enjin bot mati secara tiba-tiba. Beberapa kali cubaan menghidupkan semula enjin gagal. Tiupan angin kencang menghanyutkan bot kami sehingga hampir 2 km . Menggelabah juga kami dibuatnya.
Akhirnya tekong terjun ke dalam air untuk memeriksa bahagian bawah bot pula. Rupa-rupanya kipas sudah terbelit tali hanyut.
Itulah sebabnya sebarang sampah atau apa sahaja yang tidak diperlukan lagi semestinya dibuang di tempat yang sepatutnya.
Jangan main campak sahaja sesuka hati. Kitalah yang sepatutnya menjaga kelestarian lautan kita. Betul tak bang..?
Dengan susah-payah tekong berjaya merungkai tali yang membelit kipas. Enjin dihidupkan dan bot meredah ombak menuju ke Jeti Mersing. Kami semua berpuas hati dengan trip ini.
Walaupun cuaca kurang elok dan alun yang membadai terutama pada sebelah malam angin monsun sering mengganas.
Disamping tangkapan bonus ikan mersuji, hasil ‘pecah tong’ yang dibawa balik pastinya dua bulan kami tidak perlu ke pasar mencari lauk.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...