
Ikan luping merupakan spesies yang gemar merentap umpan dengan rakus dan melarikannya secara tiba-tiba. Sistem penggera adalah perlu jika anda memancing malam dan pastikan pancing diikat supaya tidak menjunam ke air pada waktu siang apabila luping mula merembat.
Cara memancing pada waktu siang dengan kaedah hanyut atau bot berhanyut paling sesuai kerana pergerakan umpan menyusuri kawasan berhanyut, apabila ia melalui tempat di mana luping beristirehat pasti tidak melepaskan peluang merembat umpan tersebut.
Luping biasanya melarikan umpan bertentangan dengan pemancing, memberikan daya perjuangan serta tarikan yang cukup memuaskan pada peringkat permulaan. Saiz terbesar dilaporkan boleh mencapai kira-kira 3 kaki dan saya pernah melihat gambar luping seberat 8kg yang dipancing di Pulau Aur.
Saiz yang biasa ditemui sekitar 50cm sahaja. Melebihi dari 6kg dianggap bonus terutama untuk rekod tangkapan di Semenanjung. Jika terjumpa umpan pada waktu siang atau malam, luping jarang menyelinap di bawah karang seperti mana kerapu.
Ia akan berenang lari merentasi atau berlegar di kawasan karang terbabit berdekatan dengan dasar di mana perambut atau tali utama mudah bergeser dengan karang ketika bertarung. Barisan giginya tidak berupaya memutuskan perambut tangsi dengan mudah.
Luping pada dasarnya tidak memilih jenis umpan. Umpan hidup seperti selar, mahupun kembong kurang sesuai kerana faktor saiz Luping itu sendiri. Umpan yang paling berkesan ialah sotong sama ada hirisan sotong jarum, torak mahupun harimau, sotong cumit dan sotong kurita.
Sotong kurita lebih berkesan untuk kawasan yang mempunyai anak-anak ikan karang yang banyak kerana ia liat untuk dikutis oleh anak-anak ikan sebelum dijumpai oleh luping. Selain sotong, hirisan ikan Selayang, ikan tamban sisik potong dan ketam serta udang boleh digunakan pada bila-bila masa.
Peralatan terutama jenis perambut bergantung kepada padang pancing, kedalaman air serta saiz peralatan yang dibawa.
Jika anda ingin memancing dengan lebih mudah iaitu mengelakkan perambut tersangkut pada karang, gunakan teknik apolo. Pastikan perambut untuk mengikat batu ladung dipanjangkan lagi dan gunakan tangsi halus supaya ia mudah putus apabila tersangkut.
Mengunakan tanduk adalah untuk memancing di air dalam (50 kaki ke atas) dan untuk melayan luping yang bersaiz besar lagi.
Kekuatan perambut tangsi disyorkan 50lb atau 30lb dengan dawai di hadapan sejengkal. Mata kail saya gemar yang kuat dan tajam seperti Gamakatsu 2/0 dan 4/0. Kuat agar ia mudah menusuk masuk ke dalam bahagian mulut luping yang keras.
Puaka Lombong Terbiar!!

Masih segar diingatkanku kejadian yang dialami oleh kami ketika baru selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ketika itu kami berlima memang sahabat baik. Haziq, Afiq, Mirza, dan Iddin. Mereka merupakan sahabat baikku daripada aku darjah lima hingga sekarang. Kami bukan sahaja teman ketika senang namun susah pun bersama-sama. Malah, aku sudah menganggap mereka sebahagian dari darah dagingku sendiri.
Kami tidak berkira dalam apa-apa keadaan. Kami berlima juga berkongsi minat yang sama iaitu memancing. Kami tidak gemar memancing di kolam pancing berbayar tetapi kami lebih gemar di lombong-lombong terbiar.
Bagi kami inilah cabaran buat si pemancing. Sebagai seorang pemancing kita haruslah berani menghadapi cabaran. Pada hari Sabtu itu, Haziq mencadangkan tempat yang menarik untuk kami memancing. Tidak pernah mengatakan tidak, kami berlima terus bersetuju dengan cadangan Haziq.
Tempat yang dicadangkan olehnya di puncak Bukit Polo Iskandar, Ipoh. Oleh kerana perjalanan agak jauh dari rumah, kami sampai di situ kira-kira jam 5.30 petang. Sampai sahaja di situ kami mencari lokasi yang terbaik untuk memulakan memancing. Kelihatan kocakan air memang banyak. Tidak hairanlah banyak ikan di situ kerana dahulunya merupakan tapak bekas kolam ikan yang dibela.
Lokasinya agak terpencil sedikit kerana lokasinya agak jauh di dalam hutan. Talian telefon juga tidak dapat ketika berada di sana. Faktor ini menyebabkan ramai yang tidak tahu akan tempat ini. Kami memilih lokasi yang strategik untuk memasang joran.
Setelah itu kami menunaikan solat fardu asar secara berjemaah. Berbekalkan roti kosong di cicah bersama sardin yang dibekalkan oleh ibu Afiq tadi, kami bersama menikmatinya sambil berborak kosong. Lebih kurang 15 minit menunggu, joran Mirza disambar. Naik seekor toman lebih kurang 3 kg beratnya. “Wow sangat lumayan tunggu tak sampai 15 minit dah kena”, kata Mirza.
Hari semakin beransur gelap. Ala-ala remang senja. Mirza dan Iddin sibuk memasang unggun api. Nak bagi kawasan terang dan juga menghalau agas kata mereka. Aku pula duduk berborak dengan Afiq dan Haziq. Sedang asyik berborak tiba-tiba aku terdengar bunyi sesuatu yang mencurigakan. Uuuiiii….uuiiii..uiiii. Afiq dan Haziq mungkin tidak terdengar bunyi itu kerana asyik membebel sahaja pasal ikan yang tak makan umpan.
Aku cuba mengamati bunyi tu betul-betul. Aku cuba mencari dari manakah arah bunyi tersebut. Hati aku sudah mula rasa tidak sedap. Tetapi untuk tidak melayan perasaan takut itu aku buat tak tahu sahaja. Akan tetapi bunyi itu semakin berlanjutan. Aku tak pandang joran ketika itu. Dalam keadaan bunyi yang mencurigakan tiba-tiba ada tambahan bunyi pula, aku terdengar bunyi budak menangis.
“Aduh anak siapa pula itu,” kata hatiku. Bulu romaku semakin meremang. Setahu aku hanya kami berlima sahaja di sini. Tiada pemancing lain. “Aduh ini sudah lebih,” dengusku seorang. Dalam hatiku sudah mula membaca ayat suci Al-Quran terutama ayat kursi. Ayat-ayat ini boleh melindung dari kejahatan syaitan.
Namun bunyi itu semakin berlanjutan. Tiba-tiba datang Mirza. Mukanya agak pucat. Dia duduk sebelah aku. Ada benda yang ingin disampaikannya. Tetapi agar sukar untuk Mirza berkata-kata. Kawan-kawanku yang lain juga perasan akan perubahan Mirza dan segera datang ke arah aku dan Mirza. “Kau kenapa ni Mir,”? soal Haziq cemas. “Ceritalah,” sambung Afiq.
Mirza menarik nafas. “Aku perasan ada orang memancing tadi di sebelah sana, aku pun tergur dia, tapi tak sampai 5 saat orang itu hilang betul-betul depan mata aku,” cerita Mirza dalam nada ketakutan. Ketika Mirza menceritakan kejadian itu, kedengaran uuuuuiiii…uuuuiii….uiii bunyi tangisan budak itu berselang-seli dan semakin kuat. Kini bukan sahaja aku seorang yang dengar malah yang lain juga turut terdengar bunyi yang sama.
Tanpa berlengah masa, aku terus mengajak kawan-kawanku pulang. Tetapi Afiq dan Iddin enggan pulang. Katanya baru sampai takkan mahu pulang. “Takkan kita datang jauh-jauh, dengan kos petrol yang mahal kita mahu pulang begitu sahaja tanpa bawa hasil? Apa kata mak dan ayah aku nanti? Ujar Iddin. Korang semua ni terlalu melayan perasaan takut,” bantah Iddin.
“Takkan kerana itu semua kau sanggup ambil risiko kemungkinan terjadi sesuatu yang tidak diingini,” kataku membantah. Akhirnya mereka semua akur dengan keputusan aku yang mahu pulang. Kami semua berkemas dan berjalan keluar dari kawasan itu. Bila sudah hampir dengan tempat meletak motosikal kami, baru aku sedar bunyi itu datang pokok yang paling hampir dengan tempat aku meletak motosikal. Hendak tak hendak aku harus melalui pokok itu untuk mengambil motosikalku. Tapi apa nak buat mesti lalu pokok itu dulu takkan nak terus berdiri di situ. Bertemankan cahaya lampu suluh kami melalui pokok itu. Itu pun lampu suluh meragam. Kejap menyala, kejap tidak. Masa lalu pokok tu hanya Allah yang tahu.
Bulu romaku meremang sakan. Masa nak sampai ke motosikal, kami terdengar orang ketawa mengilai panjang. Apa lagi kami semua hidupkan enjin tekan gear dan jalan. Mujurlah enjin senang dihidupkan ketika itu. Aku menjadi orang yang paling belakang. Tak tengok belakang aku terus menunggang dengan tenang. Ingatkan gangguan itu sudah habis, tapi masa turun puncak bukit itu ada berlaku kejadian aneh. Ketika turun dari bukit itu keadaannya memang gelap.
Tiba-tiba ada sebuah motosikal yang datang dari arah belakang memotong aku dan rakan-rakan. Lagi pelik motosikal itu tidak berlampu dan dinaiki seorang pakcik tua. Sedangkan kawasan itu gelap. Jika tiada lampu mustahil akan nampak dengan keadaan jalan yang berbukit pula,lagi bahaya. Tidak terus berfikir aku terus memandu dengan tenang.
Aku lihat kawan-kawanku juga tidak peduli dengan keadaan itu. Kami terus memandu dengan berhati-hati. Bukit di situ agak curam. Jadi aku menggunakan gear 1 sahaja. Dalam keadaan gelap begitu, kami diuji lagi. Ada sebuah kereta berwarna merah bertembung dengan kami. Kereta itu menuju ke puncak bukit.
Masa berselisih dengan kereta itu, aku menjeling untuk melihat apa yang ada dalam kereta itu. Alangkah terkejutnya aku kereta itu tiada pemandu dan di belakangnya ada seorang penumpang yang berambut panjang dengan paras rupa yang menyeramkan. Aku cuba kawal perasaan aku ketika itu. Mulutku tidak berhenti membaca ayat kursi dan 3 qul. Bulu romaku semakin menegak.
Kelihatan kawa-kawanku memecut motor laju masing-masing. Aku cuba fokus untuk menunggang dan berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku. Tanpa melihat kiri dan kanan aku terus memecut laju motosikalku. Oleh kerana sudah jalan landai, agar lancar perjalanan. Fikiranku hanya mahu sampai ke rumah dengan segera tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
Dalam hatiku masih lagi tertanya-tanya siapakah penunggang motosikal tadi? Dan tujuan apakah perempuan itu menuju ke bukit. Mujurlah hanya aku sahaja yang menjeling wanita itu, namun wanita itu tidak menjeling aku kalau tidak, mahu 120km/j aku turun dari cerun bukit itu.
Setelah memakan masa hampir 45 minit untuk keluar daripada kawasan itu, akhirnya kami semua sampai di jalan besar. Kami terus mengambil keputusan untuk singgah ke rumah nenek Iddin yang terletak tidak jauh dari situ. Oleh kerana hari sudah larut malam, kami bersetuju untuk tumpang di situ sementara menunggu hari siang.
Kebetulan pula,rumah nenek Iddin bersebelahan dengan jirannya berbangsa Cina. Rumah jirannya itu ada anjing. Semasa kami semua mahu masuk ke rumah nenek Iddin itu, anjing tidak duduk diam dan menyalak dengan kuat sambil memandang ke arah kami semua. Mungkin anjing itu tahu akan kehadiran entiti asing di situ.
Semenjak kejadian itu, kami berlima tidak lagi memancing di lokasi itu. Kami lebih selesa memilih pot yang ada orang ramai dan mudah meminta bantuan andainya berlaku kejadian yang tidak diingini. Kejadian yang berlaku itu kini menjadi satu memori misteri yang hingga kini sukar untuk dirungkaikan!.
Kisah seram memancing: Diusik Ketika Menjaring

Setiap kali melalui sebuah plaza tol lebuh raya Kesas (bukan lebuh raya sebenar), saya pasti akan menghentikan motosikal di bahagian belakang pejabat pentadbiran tol itu.
Ada sesuatu yang amat menarik perhatian saya iaitu dua tiga buah motosikal yang diletakkan di bawah sepohon pokok yang teduh.
Bukannya motosikal itu yang menjadi tarikan tetapi aktiviti yang dilakukan di situ.
Suatu hari, saya menghentikan motosikal. Tujuan saya adalah untuk melihat aktiviti yang berlaku di situ.
Tepat tekaan saya, di tengah-tengah semak setinggi pinggang itu, terdapat sebatang anak sungai yang agak dalam tetapi jernih airnya.
Terdapat empat orang lelaki berusia pertengahan 40an sedang asyik memancing tanpa mempedulikan kehadiran saya.
“Banyak dapat ikan bang?” tegur saya ramah. Lelaki yang berbaju merah belang-belang putih itu mengangguk sambil tersenyum.
Di hadapannya terpacak dua batang joran yang talinya terlunjur masuk ke dalam air sungai yang mengalir dengan tenang itu.
“Ikan apa bang?” sekali lagi mulut gatal saya bertanya.
‘’Kat sini banyak ikan haruan, puyu dan keli,” jawab lelaki itu sambil mengambil satu bekas putih yang berisi ikan yang ditangkapnya.
Saya menjenguk. Terlihat dua ekor haruan sebesar tangan budak dan tiga ekor puyu yang memang enak dimasak lemak!
Malam itu juga saya menelefon Fazil dan Rahim untuk keluar minum di kedai restoran Mamak.
Selepas pekena dua bungkus nasi lemak panas dan segelas teh tarik, saya mula menceritakan pengalaman saya tadi.
Apa lagi, mereka berdua sungguh teruja mendengarnya dan kami bertiga mula merancang untuk pergi menjaring di kawasan itu pada malam Sabtu, yakni pada hari Jumaat pada sebelah siangnya.
Saya, Fazil dan Rahim sebenarnya agak malas memancing ikan. Kami lebih suka memasang jaring terutama pada masa hujan lebat dan air sungai menjadi keruh.
Pada waktu yang telah dijanjikan, kami bertiga pergi ke kawasan tersebut dengan menunggang motosikal.
Tiba di kawasan belakang pejabat tol, kami meletakkan motosikal di bawah sebatang pokok yang agak rendang.
Malam itu cuaca agak baik cuma berangin. Kawasan itu lengang dan permukaan air sungai berkilau kerana dipanah cahaya bulan penuh.
Setelah menghabiskan sebatang rokok, saya dan Rahim mula mengambil jaring manakala Fazil pula sedang bersedia untuk turun ke dalam sungai bagi membantu memasang jaring.
Kami melakukan pekerjaan itu dengan senyap. Mood untuk berborak seakan-akan hilang.
Sesekali saya memandang ke dada langit. Awan hitam yang pekat dan tebal ditambah dengan keadaan angin yang semakin kuat bertiup menyebabkan saya boleh membuat satu anggapan yang mudah iaitu hujan lebat akan turun pada bila-bila masa sahaja.
Sebaik sahaja jaring siap dipasang, rintik-rintik hujan mulai turun. Fazil mengajak kami berdua berteduh di bawah pondok sesikat yang ada di situ.
Timbul pertanyaan di hati saya, bila pula pondok sesikat ini ada di kawasan ini tetapi soalan itu hanya bermain di fikiran sahaja.
Hujan makin kasar berserta guruh yang berdentum. Tiba-tiba saya dapat melihat sesusuk tubuh berlari anak menuju ke pondok tempat kami menumpang berteduh itu.
“Lebat hujan malam ni” katanya sambil tersenyum. Saya mengangguk kepala. Lelaki tadi bertopi keledar dan memakai baju hujan berwarna hitam.
Mukanya tidak kelihatan sangat kerana dilindungi oleh cermin penutup pada topi keledar yang dipakai.
“Pak cik dari mana?” Tanya Rahim.
“Saya dari Jalan Kebun. Ingat nak ke rumah anak di Seksyen 13 Shah Alam.
Sampai sini tiba-tiba hujan lebat” jawabnya sambil kepala ditundukkan seolah-olah orang sedang bertakafur.
Entah kenapa mulut saya hanya membisu. Tidak ada niat langsung untuk menyampuk perbualan antara kawan saya dan pak cik itu.
Pada masa yang sama hidung saya bagaikan terhidu bau darah yang amat meloyakan tekak.
Semakin lama bau hamis itu semakin kuat menusuk ke hidung hingga menjadikan saya agak gelisah.
Tiba-tiba petir memancar. Cahayanya yang terang itu tepat menyuluh ke kawasan pondok kami sedang berteduh.
Hampir menjerit saya kerana terkejut dan pada masa yang sama takut apabila melihat pak cik yang berdiri di hadapan saya itu ‘berubah’ menjadi manusia yang berlumuran darah.
Darah yang mengalir dari atas kepalanya terlalu banyak hinggakan membentuk satu aliran yang bercampur dengan air hujan yang mula berlopak di hadapan pondok kami.
Pak cik itu hanya memandang kami dengan sayu dan bertukar bentuk menjadi seolah-olah kabus putih yang kemudiannya hilang begitu saja.
Saya lihat muka Fazil dan Rahim pucat. Sempat juga saya melihat jam tangan. Tepat jam 1 pagi.
Kami bertiga kemudiannya berlari anak menuju ke surau kecil yang ada di dalam kawasan tol itu untuk berteduh dan berbaring.
Keesokan harinya barulah kami berani untuk melihat jaring yang dipasang.
Saya sempat berbual dengan seorang pekerja yang sedang bertugas menyapu di situ. Saya menceritakan pengalaman seram yang dialami.
Kata pekerja itu, sudah ramai pemancing yang terkena. Kononnya pakcik itu merupakan seorang mangsa kemalangan ngeri yang pernah berlaku di situ.
Dia menunggang motosikal tanpa mengikut di jalan motor yang dikhaskan. Akibatnya, motosikalnya bergesel dengan sebuah treler 16 tayar. Dia meninggal dunia di situ juga.
Walaupun seram kerana diusik, saya dan kawan-kawan berasa gembira kerana habuan yang kami dapat pada malam itu agak berbaloi juga.
Lepaslah juga hajat saya untuk menyuruh orang rumah memasak gulai lemak puyu kesukaan saya!
Trip Trobek – Trolling Barra Yan!!

Ketika kami sedang trolling, tiba-tiba kami dikejutkan dengan sergapan kuat. Paling mengejutkan adalah gewang berkenaan terkena ikan kerapu besar. Berkemungkinan ketika kami sedang menunda berhampiran pulau yang airnya tidak terlalu dalam, gewang berkenaan melalui rumah sang kerapu. Ia memang satu bonus kerapu diperdaya dengan teknik trolling.
Tiada Lagi Barracuda
Pada sebelah lewat petang, kami sedikit hampa kerana tiada lagi barracuda yang berjaya diperdaya ole kami meskipun banyak kali tundaan dilakukan di lokasi yang berbeza. Lantas, kami sebulat hati untuk mencuba casting dan mikro jigging di sekitar pulau-pulau di sini.
Khabarnya, pada lewat petang terdapat GT yang mencari makan di kawasan kami di antara Pulau Bidan dan Pulau Telor. Menunaikan hasrat yang terpendam sekian lama untuk mencuba, akhirnya tidak memerlukan durasi masa yang panjang untuk menjumpai saiz GT sederhana yang terjerat dengan mikro jig Bakau.
Memanglah seronok sekali, apabila tertancap sahaja mata kail pada gewang di mulut GT. Larian yang tajam dan kencang memberi sedikit sebanyak perasaan keterujaan lebih-lebih jika kekili yang digunakan berkategori sederhana ringan di antara 3000 hingga 3500.
Cuba-Cuba Appolo
Menuju penghujung trip, kami sempat mencuba-cuba memancing teknik pancing appolo. Menyedari potensi pancingan appollo di kawasan ini agak tinggi dengan tidaklah berhadapan kesukaran begitu ketara.
Kami dihadiahkan dengan saat-saat pancingan yang indah sekali apabila selang beberapa minit mencuba akhirnya beberapa ikan sasaran yang kami hajati naik ke permukaan. Kami akui pancingan teknik appolo tidak membosankan jika mencubanya.
Durasi masa yang hendak ditunggu untuk ikan sasaran menjelma ke permukaan tidaklah begitu lama. Walau bagaimanapun, bergantung pada keadaan air laut dan cuaca, jika segalanya baik dan air tidaklah begitu bergelora pastinya pancingan appolo hasilnya lebih baik di sini.
Kesimpulan Trip
Apa yang boleh kami simpulkan sepanjang trip di Pulau Telor dan Pulau Bidan untuk trolling boleh disifatkan memberangsangkan. Walaupun pada mulanya, kami berhasrat untuk melihat beberapa lagi strike dari barracuda yang bersaiz gadang tidak kesampaian.
Namun begitu, kepuasan apabila setiap kali tancapannya paling bakal kami tagih jika berkesempatan datang ke sini semula. Melihatkan pemilihan warna gewang juga memainkan peranan yang besar.