
SOALAN:
Dah agak lama saya guna tali pancing (braided dan tangsi) dan masih dalam keadaan ok. Sepatutnya berapa lama tempoh kita kena tukar tali-tali ni? 6 bulan sekali atau setahun sekali?
JAWAPAN:
Jangka hayat pada tali sulam atau tali tangsi bergantung kepada beberapa aspek. Pertamanya tentu sahaja cara penggunaan, kawasan padang pancing, cara penyimpanan, tempoh pengunaannya dan jenama tali tersebut turut sama memainkan peranannya.
Menurut pemerhatian saya, tali sulam atau tali tangsi tiada tamat tempoh selagi ia disimpan dengan kaedah yang betul. Contohnya saya masih menggunakan tali-tali tersebut yang sudah melebihi usia 10 tahun (berdasarkan tarikh pengeluaran tali tersebut) dan berfungsi dengan sempurna. Apa yang penting ialah mengetahui cara penjagaan serta cara mengesan masalah pada tali pancing yang perlu ditukar.
Sebaliknya jika kita kerap memancing (setiap minggu contohnya) dan kerap pula menarik ikan, walaupun ia masih kelihatan ok tetapi prestasinya sudah menurun. Terutamanya tali tangsi. Apabila ia kerap meregang ketika menarik ikan, tahap keanjalannya akan berkurang. Anda boleh memeriksa tahap anjalan tali tangsi ini dengan meregangkannya. Jika sudah kurang meregang maka eloklah ia ditukar.
Sementara tali braided pula anda perlu melihat keadaan permukaannya. Sekiranya terdapat kesan calar atau geseran maka eloklah ia dibuang bahagian hadapan dalam beberapa meter. Ia tidak perlu diganti baru terutamanya jika bahagian di dalam spool masih dalam keadaan sempurna.
Trip Retro – Komplot Memburu Cichla Temensis!!

Pada awalnya, ramai rakan yang ingin turut serta, namun pada saat akhir, tinggal kami berempat sahaja yang turut serta.
Setibanya di lokasi, rakan saya dan dua orang lagi rakannya menanti kunjungan kami.
Sempat jugalah, rakan saya ini mengajar kami tentang gewang apa dan juga setup terbaik untuk memancing spesies yang rakus ini.
Setibanya di lokasi, kami berpecah kepada dua grup dan mengambil spot masing-masing.
Masing-masing mempraktikkan cara pancingan dan bertukar-tukar jenis gewang dan beralih lokasi. Sayangnya, tiada sebarang sambaran bersaiz besar diterima, kecuali temensis juvenil.
Terdapat juga riak air menandakan ada kumpulan temensis bermain air terlalu jauh di tengah dan juga di celahan dahan pokok yang merimbun di tepi gigi air.
Tetapi agak sukar untuk memujuknya. Kerap kali juga gewang tersangkut di celah pokok. Ada juga yang putus… aduh… nak buat macam mana, redha jelah.
Pukul 11 pagi, kami keluar dari spot berkenaan dan kami berkumpul di sebuah gerai makan. Rupanya grup satu lagi, sudah sukses dengan tangkapan temensis masing-masing.
Malah ada juga mendapat ragutan kasar yang diterima oleh seorang rakan saya yang mencuba soft plastic (SP). Tetapi sayangnya rabut.
SPOT KEDUA
Lepas makan, kami menuju ke spot kedua. Kali ini, laluan untuk sampai agak jauh, perlu berkereta dan seterusnya berjalan kaki sekitar 20 minit untuk sampai ke kawasan berkenaan.
Semasa memakir kereta di bahu jalan, terdapat beberapa buah kereta lain. Tahulah kami, bukan kami sahaja yang ada di kawasan ini, tetapi juga geng pemancing lain. Bahkan mereka lebih awal daripada kami.
Setibanya di spot kedua, masing-masing berpecah mencari spot di yang dirasakan ada potensi. Kebanyakan spot kami terpaksa meranduk air bagi memudahkan lontaran.
Ini disebabkan semua tebing terdapat pokok. Apabila 10-15 minit tiada sebarang hasil, kami akan beralih lokasi.
Di satu lokasi, dari atas tebing saya sempat melihat seekor temensis yang pada anggaran saya 1-2 kg mengekori gewang saya.
Namun hanya mengikut sahaja hingga ke tebing, sebelum saya menjatuhkan semula gewang ke dalam air dan disambar.
Malangnya terdapat dahan pokok yang tumbang di dalam air menyebabkan ikan berkenaan berjaya menyelinap di situ sekali gus melepaskan diri.
Mungkin juga mata kail pada gewang berkenaan tidak tertancap kemas. Dek kerana kurang info apakah gewang-gewang yang sesuai semasa pergi, tidak banyak gewang yang saya bawa ke lokasi ini.
Salah satunya adalah jig. Ketiadaan jig menyebabkan gewang tidak dapat dihantar jauh ke tengah dan di bahagian dalam.
Keberkesanan lain penggunaan jig adalah semasa mata hari sudah tinggi kerana temensis akan mendiami paras air yang lebih dalam dan jig yang sampai ke dasar dan di unjun mampu menarik naluri spesies ini.
Walaupun dikatakan peluang menaikkan temensis menggunakan gewang bersaiz besar dan panjang (sehingga bersaiz 13cm), sambaran temensis sukar dijangka.
Ini kerana, kami yang membawa gewang bersaiz 5cm pun mendapat sambaran. Cuma, cubaan menggunakan SP agak kurang menjadi, meskipun saya diberitahu keputusan menggunakan SP juga ada kalanya menggalakkan.
BERANGKAT PULANG
Lewat petang kami berangkat pulang keluar dari lokasi berkenaan dalam keadaan hujan lebat yang diiringi guruh dan petir.
Mujur tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Setelah berkunjung sendiri melihat dan merasai pengalaman memancing spesies yang lebih ganas dari PB ini, barulah tahu bagaimana dan apakah setup terbaik untuk memancingnya.
Saya tidak menolak untuk datang ke sini lagi ke lokasi ini, lebih-lebih lagi mendapat tahu pernah ada kaki pancing yang berjaya menaikkan temensis bersaiz besar dengan kaedah casting.
Selain temensis, terdapat juga ikan zebra tilapia dan juga kelisa liar yang mendiami lokasi sama.
(Catatan: Alauddin)
baca juga ikan ikonik negara
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Trip Retro – Mancing Di Rumah Rakit Port Klang!!

Sepanjang jajaran sungai menghala ke laut Pelabuhan Klang ini, sebenarnya bukan sedikit rumah rakit yang dapat dilihat di kawasan Teluk Gong ini. Terdapat kira-kira 30 buah rumah rakit yang tersergam bertebaran dan setia menerima kunjungan kaki pancing saban hari.
Rumah rakit di sini biasanya dimiliki oleh orang perseorangan dan seorang pemilik biasanya memiliki lebih daripada satu rumah rakit. Keadaan di rumah rakit juga rata-rata cukup selesa kerana prasarana atau kemudahan yang disediakan seakan sebuah chalet terapung.
Setiap rumah rakit di Teluk Gong rata-rata dilengkapi dengan tilam, ruang dapur untuk memasak, bilik air dan juga televisyen. Jadi anda yang mahukan suasana pancingan santai bersama keluarga atau rakan-rakan, mungkin boleh berkunjung ke sini nanti.
Saya berkesempatan berkunjung ke salah satu rumah rakit di Teluk Gong yang dimiliki oleh Zainudin. Hanya memakan masa kira-kira setengah jam perjalanan dari Shah Alam, saya dan rakan tiba di Jeti Telok Gong. Tidak menunggu lama, kami dijemput oleh boatman iaitu Abang Jais dan terus dibawa ke rumah rakit yang mengambil masa lima minit dari jeti.
Seperti dijelaskan pada awal tadi, rumah rakit Zainudin ini turut lengkap dengan kemudahan dan sangat selesa. Keadaan kebersihan di bilik air dan ruang dapur juga agak memuaskan. Menurut Abang Jais, memang menjadi rutin baginya bagi mengekalkan kebersihan rumah rakit untuk keselesaan pengunjung.
Sewaktu kunjungan kami, keadaan arus agak laju kerana air pasang besar. Berbekalkan umpan udang dan perumpun, beberapa spesies agak galak menjamah umpan ialah ikan duri, gelama dan gelama pisang. Spesies lain tidak ada yang sudi mungkin kerana keadaan air yang besar. Walaupun begitu, kami tidak menang tangan melayan spesies tersebut terutama sekitar jam 8-10 malam.
Menurut Abang Jais, rumah rakit Zainudin yang beroperasi sejak tahun 1997 ini telah menyaksikan banyak spesies ikan pernah dinaikkan. Antaranya spesies pari, senangin, gemang dan siakap. Namun menurut pemerhatian peribadi Abang Jais, waktu yang sesuai ialah ketika air kecil dengan arus sedikit perlahan. Apa pun, kami tetap menikmati keseronokan melayan gelama pisang ketika ke sini.
Trip Mulut Betul-Betul Masin ®

“Boleh je… nanti kita try main kat Vikram.”
Sebagaimana yang diduga, Apex Kecik cukup mudah berkompromi dengan kehendak pelanggannya. Malah itulah keistimewaan Apex Kecik sebenarnya.
Berbanding tekong-tekong (tekong jigging) lainnya, Apex Kecik tidak terlalu taksub kepada sesatu konsep memancing.
Apa yang penting baginya adalah kepuasan pelanggan. Yang penting pelanggan dapat ikan!
Dalam perjalanan ke Vikram (lubuk kapal karam), Apek Kecik singgah dahulu untuk mencuba nasib di salah satu lubuknya yang berpotensi untuk memancing tenggiri.
Berikutan arus lemah dan waktu pula adalah tempoh air banir, saya menggunakan set spinning dan jig perlahan 80 gm sahaja.

Setelah agak lama mengunjun jig di dasar dan mengarau naik jig dengan agak laju, hanya tinggal beberapa meter untuk tiba ke permukaan, jig leper seperti badan sotong katak saya itu disambar sesuatu dan dibawa pergi dengan agak deras.
Berdasarkan corak tekanan dan pecutan, saya beranggapan ia adalah penangan tenggiri bersaiz kecil. Apabila mangsa memperlihatkan identitinya di permukaan air, ternyata betul ia adalah tenggiri.
Namun bukanlah tenggiri batang sebaliknya spesies buruan utama trip ini iaitu tenggiri bunga.
Memandangkan misi utama sudah terlaksana pada tangkapan pertama lagi dan persekitaran lubuk berkenaan kelihatan berpotensi untuk diteruskan aktiviti maka spesies sasaran beralih kepada tenggiri batang pula.
Dalam misi memburu tenggiri ini Shahrul Nizam muncul sebagai pembuka tirai apabila jig Papang Diamond Skyfall 200 gm Silver yang digunakan oleh Shahrul Nizam di permukaan dasar menjaya mendaratkan seekor tenggiri batang saiz sederhana.
Setelah berpindah lubuk dan beberapa kali kejadian kevlar dan perambut putus dikerjakan predator bergigi tajam ini, giliran Hafizuliz pula berjaya mendaratkan seekor lagi tenggiri batang dengan selamat.
Menjelang tengah hari, Apex Kecik membuktikan gelarannya sebagai tekong buntat terbukti benar apabila mendaratkan tenggiri batang anggaran berat empat kilogram.
Dan sebelum kami menamatkan sesi memburu tenggiri dan mencari spesies bersisik pula, Parman tidak mahu ketinggalan mencetak nama apabila berjaya juga mendaratkan seekor tenggiri batang.
Sekali gus menjadi pelengkap sesi setengah hari memburu tenggiri.