
SOALAN :
Saya baru berpindah ke sebuah tempat yang berdekatan dengan perairan air tawar yang luas seperti tasik dan lombong. Jadi apa umpan killer yang boleh saya guna untuk mancing di sini?
JAWAPAN:
Sebenarnya saya agak keliru untuk memahami umpan untuk pancingan jenis apa yang anda maksudkan. Oleh yang demikian saya mampu menjawab secara umum sahaja kerana untuk menyatakan umpan killer bagi setiap spesies ikan yang ada di dalam tasik atau lombong sememangnya tak terjawab.
Untuk mengetahui umpan apa yang sesuai apatah lagi killer, pertama sekali anda perlu mengetahui ikan apa yang ada di padang pancing (tasik atau lombong) terlebih dahulu dan ikan apa yang anda ingin sasarkan.
Sebagai contoh, jika padang pancing itu banyak didiami ikan patin dan anda ingin memancing patin, maka gunalah umpan lazim yang digunakan untuk memancing patin seperti dedak atau buah-buah hutan.
Sekiranya terdapat ikan pemangsa seperti toman, sebarau atau peacock bas maka gunalah diet ikan-ikan tersebut sebagai umpan atau juga umpan tiruan.
Bagi meningkatkan percentage dapat ikan, banyak perkara yang perlu anda lakukan. Antaranya, anda perlulah mengetahui lubuk kediaman ikan.
Memahami waktu aktif ikan mencari makanan. Mencuba kepelbagaian teknik sama ada pancingan dasar, apungan ataupun mengilat.
Peralatan pancing yang sepadan dan tepat. Serta penggunaan dan persembahan umpan yang memikat. Sekiranya semua aspek ini dipraktikkan serta semangat yang jitu, percentage anda untuk memperoleh hasil pasti meningkat.
Pertandingan Mini Kolam Sementeh

(Oleh : KD Negri)
Pada Sabtu minggu lepas penulis berkesempatan untuk menyertai satu pertandingan memancing anjuran 2M Event dengan kerjasama Kolam Sementeh Fight Club, yang bertempat di Lancang, Pahang.
Sebelum ini kami pernah datang ke sini dan merasai keseronokan suasana kampung dan kemeriahan memancing yang mana banyak terdapat ikan di dalam kolam ini.
Kolam Sementeh dimiliki sepenuhnya oleh saudara Mohd Rosaidy atau Ady (Sementeh Fight Club).
Tanah yang berkeluasan 6 ekar setengah ini digunakan sepenuhnya untuk membina 2 kolam.
Satu kolam khusus untuk pancingan dan satu lagi kolam diperuntukan untuk ternakan talapia.
Kolam ini semakin dikenali khususnya di sekitar Pahang dan di seluruh Malaysia amnya.
Jadi tidak hairanlah jika ada yang berminat untuk menyewa bagi melangsungkan aktiviti riadah berkumpulan serta pertandingan memancing.
Penulis difahamkan bahawa satu pertandingan memancing diadakan kali ini. Namun penganjuran di buat oleh rakan Ady iaitu dari group 2M Event.
Hadiah yang ditawarkan agak lumayan sebanyak hampir 20K keseluruhan.
Saudara Mohd Soffian Bin Zulkifli atau dikenali sebagai Bro Kuzi di Facebook selaku owner 2M Event menyatakan ini adalah kali pertama beliau menganjurkan pertandingan memancing di kolam.
Sebelum ini beliau lebih memberi tumpuan kepada pertandingan di tasik-tasik sekitar pahang.
Tepat jam 2.00 petang Sabtu bermulalah sesi pendaftaran. Sementara sesi memancang bermula jam 4.00 petang.
Hampir 350 peserta menyertai pertandingan kali ini. Tepat jam 9.00 malam bermulalah pertandingan.
Sebaik sahaja umpan dilabuhkan, kedengaran jeritan para pemancing meminta laluan bagi mendaratkan ikan.
Peserta dari dalam dan luar daerah malah ada dari Negeri Sembilan, Terengganu, Kuala Lumpur, Melaka, Johor turut datang mencuba nasib.
Sejam permulaan pertandingan dapat dilihat begitu banyak ikan didaratkan. Antara spesies yang berjaya didaratkan adalah patin, pacu, patin Chaopraya.
Pertandingan ini ditamatkan jam 2.00 pagi. Ikan patin seberat 11.880 kg dari saudara Orang Minyak telah dinobatkan sebagai juara. Kedua patin 10.04 kg dan ketiga patin 9.220 kg.
Bro Kuzi juga menzahirkan berbanyak terima kasih kepada pihak kolam, para pemancing yang hadir memberi sokongan.
Penulis juga difahamkan bahawa kolam ini hanya dibuka untuk pancingan 2 kali seminggu, Isnin dan Jumaat dimana hanya untuk pertandingan sahaja.
Sesungguhnya kolam ini cukup memberi kepuasan bagi mereka yang inginkan strike. Hampir 16 tan ikan berada dikolam ini.
Selain didominasi oleh patin, ia turut memuatkan pacu, patin Chopraya dan patin Mekong.
GALERI
Soal Jawab Memancing – Teringin Nak Try Memancing Di Sungai Hutan Pergunungan?

SOALAN:
Saya berminat untuk cuba memancing di kawasan sungai pergunungan. Bolehkah tuan admin berikan sedikit tip untuk memancing di kawasan sebegini?
JAWAPAN:
Pancingan sungai pergunungan salah satu cabang memancing yang menyeronokkan. Namun, dalam keseronokan keselamatan diri jangan mudah terlupa. Pertama sekali pastikan langkah keselamatan diutamakan.
Contohnya menggunakan kasut yang sesuai. Bawa bekal ubat-ubatan, mesti ada guide atau pergi secara berkumpulan, tidak berkhemah terlalu dekat dengan gigi air. Pilih waktu yang sesuai untuk berkhemah dan patuhi pantang larang di dalam hutan.
Jika memancing pada waktu malam, pastikan anda meminimakan cahaya seperti lampu suluh atau unggun api di kawasan anda memancing. Elakkan menggunakan loceng pada waktu malam pada hujung joran, sebaliknya gantikan dengan stik cahaya kerana ikan kawasan sungai pergunungan lebih sensitif dan sukar dipancing.
Untuk umpan, ia tidaklah sukar. Selain umpan sawit yang sangat sesuai untuk memancing kelah, anda juga boleh menggunakan umpan cacing dan juga hirisan isi ikan. Saya juga gemar menyarankan wisel dibawa ke mana-mana kerana, jika tersesat, anda boleh gunakan ketika kecemasan.
Bila Orang Lama Berjigging Di Pulau Jarak

Kali ini kami berenam mengadakan trip jigging seharian di kawasan perairan Pulau Jarak. Tekong pilihan kami dipanggil Abang Lan berpangkalan di jeti Kampung Manjung, Setiawan, Perak.
Sasaran utama jigging ialah jenahak dan kerapu. Joran jig yang sudah sedia mula diturunkan termasuk tekong sekali. Dengan 6 ketul jig yang menggeleng kiri dan kanan menuruni air berkedalaman 250 kaki. Ia mula dihenjut dengan pelbagai rentak mengikut kesesuaian si pemancing itu sendiri.
Awalnya kami menumpukan jig pada kawasan permukaan dasar mencari sasaran utama terlebih dahulu sebagai lesen aktiviti pagi. Anehnya tiada sambutan tidak seperti kebiasaannya menurut tekong Abang Lan. Kemudian baru kami perasan kemungkinan kumpulan yu yang berada di lubuk sekitar menakutkan ikan sasaran untuk menghentam jig yang dihulurkan.
Kalau jigging spesies bergigi tajam, hilang jig dan putus tali utama adalah perkara biasa. Yang tak sanggup ialah jig hilang ketika diturunkan ke air, sedar-sedar tali dah kendur dan tak sampai-sampai ke dasar. Jumlah keseluruhan jig terkubur dalam trip ini lebih dari 30 ketul, malah jig-jig yang lama sukar untuk diperolehi di pasaran juga turut sama berkubur.
Walaupun ada di kalangan kami menggandakan kekuatan tali kevlar sehingga 180lb, namun tali utama pula yang menjadi sasaran yu. Tiada cara untuk menghalau yu dari kawasan tersebut kecuali layan je dengan jig. Amran menjadi pemancing pertama berjaya menangani kerenah yu setelah beberapa ketul jig dibaham dengan mudah sebelumnya.
Jig jenis madai aka sotong tengkorak nampaknya berkesan mengatasi masalah perambut putus dek penangan gigi yu. Ketika Amran bertarung dengan yu, seorang daripada kami tidak sempat mengarau tali pancing.
Nahas apabila yu timbul di permukaan ia biasanya membuat satu pusingan mengelilingi sampan dan ketika itu mana-mana tali yang berada pada laluannya pasti menjadi mangsa. Hilang tali sulam 40lb sepanjang 250 kaki sekelip mata. Dalam hal ini masing-masing ada ‘back-up’ sama ada guna ‘spare spool’ atau mesin kedua menjadi pertaruhan. Kami seolah-olah tidak serik dengan permulaan dengan seketul dua jig beliau ketika disentap ikan yang rata-ratanya yu sirip putih.
Sebelah petang kelibat burung camar dan kumpulan tongkol sudah tidak kelihatan. Abg lan kemudiannya membawa kami ke arah spot kegemaran beliau. Sampan akan berhanyut dari kedalaman 270 kaki hingga puncak karang pada kedalaman 170 kaki dan kemudiannya turun semula pada kedalaman purata 250 kaki.
Tekong akan memantau pergerakan dan naik semula untuk membuat jigging ulang pada titik permulaan bersebelahan. Apabila yu sudah tidak kelihatan, baru kami mendapat beberapa sentapan dari dasar. Tekong Abang Lan yang rajin melakukan jigging terus sebaik sahaja jig mencecah dasar, mendapat strike permulaan petang di pertengahan air.
Jig Gomoku Storm seberat 100 gram menjadi pertaruhan. Saiz yang sesuai pada kelajuan arus ketika itu dengan tali sulam 30lb di padankan dengan perambut 40lb. Kekili Shimano Stella 6000PG dipadankan dengan joran PE 1-3 milik beliau melentur dengan tahap maksima.
Beliau yang biasa jigging di kawasan ini dari awal-awal lagi dapat meneka spesies yang menerkam jig yang sebelum ini tak mengena beberapa kali sambaran.
GT pertama awal petang membakar semangat kami untuk kembali beraksi. Nizam akhirnya dapat sambaran setelah berulang kali menghenjut jig di kawasan dasar. Namun kekuatan ikan tak terdaya untuk beliau menampung larian berterusan lalu terkubur satu lagi jig miliknya.
Sedang Abang Lan mendapat sambaran kedua, Amran turut sama menerima strike. Satu dari dasar dan satu di pertengahan air. Seekor lagi GT dan kerapu meniupkan lagi deruan angin petang. Bukan itu sahaja banyak juga sambar kami terlepas dan putus kerana masing-masing hanya menggunakan tali kekuatan 30 dan 40 lb sahaja.
Di kalangan yang gemar melakukan jig pada kawasan dasar terpaksa membayar harga lebih kerana kes tersangkut pada karang adalah tinggi. Ini kerana apabila tiba di bahagian cetek tetapi jig masih lagi dihenjut di kawasan cerun karang, banyak berakhir dengan titik noktah. Ikan lebih pantas mencari perlindungan walaupun ditarik berulang kali.
Sambaran pada joran berkekuatan PE1 hingga PE3 lebih cepat menawan mangsa kerana aksi hujung joran yang lembut dapat mengolah tarian jig dengan lebih menggiurkan. Hujan renyai serta tiupan angin bertambah laju tidak dihiraukan tekong kerana waktu tersebut ikan kian galak.
Kami terus berjigging sehingga lewat petang dengan 2 ‘double strike’ jenahak menutup tirai bagi mengejar wajah siang sebelum tiba di gugusan Pulau Sembilan.