
SOALAN:
Saya perhatikan sesetengah pemancing pergi memancing laut dalam dengan membawa joran panjang seperti joran pantai. Boleh tak admin jelas kenapa sesetengah pemancing menggunakan joran pantai yang panjang-panjang atas bot? Saya tengok macam pelik pulak pancing atas bot tapi pakai joran pancing pantai.
JAWAPAN:
Penggunaan joran panjang sekitar 12-17 kaki sememangnya sinonim dengan pancingan pantai dan juga tasik. Justeru itu apabila joran panjang digunakan di atas bot untuk pancingan dasar, ia mencetuskan kekeliruan kepada sesetengah pemancing.
Ia mencetuskan kekeliruan bagi pemancing yang sudah tersemat di fikiran bahawa kegunaan joran yang panjang adalah untuk melontar umpan lebih jauh sahaja. Justeru itulah mereka membayangkan bagaimanakah caranya untuk melontar umpan dengan menggunakan joran panjang di atas bot. Sedangkan, jika menggunakan joran pendek sekali pun tiada sebarang lontaran umpan yang perlu dilakukan.
Kegunaan joran panjang di atas bot sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri. Jika kita menggunakan joran panjang kejadian perambut tersangkut sesama rakan dapat dielakkan kerana kita menghulur umpan jauh ke depan. Apabila ada ikan yang mengena, pasti seronok melihat hujung joran yang menunduk mencecah dan ‘minum air’.
Sekiranya ada rakan-rakan lain yang membawa joran panjang juga maka susunan joran secara berselang-seli, panjang-pendek pasti dapat mengurangkan kejadian perambut ‘kahwin’.
Kaedah biasa dengan menggunakan joran 5-7 kaki ialah ikan mencari umpan akan tetapi sekiranya kita menggunakan joran panjang, tali utama dilepaskan sedikit demi sedikit hingga jauh ke belakang supaya umpan ‘mencari’ ikan.
Walau bagaimana pun tidak semua joran panjang terutama yang digunakan untuk pancingan pantai sesuai untuk kegunaan pancingan dasar di atas betul. Lazimnya pemancing yang cari joran berketahanan sesuai dan kemudian dimodifisikasi.
Korang Tanya Umpan Jawab -S10S06- Beza perikanan rekreasi dan pancingan rekreasi?

SOALAN:
Boleh tak admin bagi pencerahan sedikit tentang istilah perikanan rekreasi dengan memancing rekreasi?
Saya agak keliru dengan istilah ini sama ada ia adalah perkara yang sama atau sebaliknya.
JAWAPAN:
Perikanan rekreasi bermaksud semua aktiviti menangkap ikan atau haiwan akuatik yang dilakukan bukan untuk tujuan komersil.
Perikanan rekreasi tidaklah membawa makna hanya memancing sahaja dan tidak pula hanya melibatkan ikan semata-mata.
Udang, ketam, sotong atau apa sahaja haiwan akuatik lain yang boleh ditangkap sama ada menggunakan peralatan pancing atau sebaliknya, dan tidak diperdagangkan maka ia tergolong dalam perikanan rekreasi.
Manakala memancing rekreasi ini lebih menjurus kepada aktiviti memancing bukan untuk tujuan komersial atau untuk lebih mudah fahamnya memancing sekadar suka-suka demi kepuasan hobi.
Hasil pancingan tidak dijual bagi menyara hidup sebaliknya diambil untuk kegunaan sendiri atau dilepaskan kembali.
Secara kasarnya perikanan rekreasi dan memancing rekreasi adalah dalam rumpun yang sama di mana kesemua hasil tangkapan tidaklah diperdagangkan dan ia bukanlah satu kerjaya sebagaimana nelayan.
Perbezaannya pula, jika seseorang individu itu menangkap ikan atau haiwan akuatik menggunakan joran dan kekili maka ia adalah pemancing rekreasi yang melakukan aktiviti perikanan rekreasi.
Dan dalam perikanan rekreasi ini lazimnya tiada amalan tangkap dan lepas yang dipraktikan sebagaimana dalam memancing rekreasi.
Tentu saja ia sesuatu yang pelik apabila setelah bersusah memasing jaring atau pukat, hasil yang tersangkut pada jaring atau pukat itu dilepaskan kembali, dan dilakukan hanya untuk hobi menjaring semata-mata.
Trip Retro – Cabaran Trip Penutup Musim!!

Merencanakan trip pada hujung-hujung musim memancing di sebelah pantai timur semenanjung sering berdepan dengan kesukaran.
Ini kerana banyak kes ia terpaksa dibatalkan pada saat akhir atas faktor cuaca.
Percubaan untuk trip ke laut Pulau Tenggol tetap dilaksanakan juga walaupun hanya 7 orang pemancing yang tinggal bagi meneruskan misi.
Tekong hanya memandang apabila kami memberitahu misi kali ini ialah ke tukun kapal yang terletak 3 jam ke arah timur melepasi kedudukan Pulau Tenggol.
Seramai 4 pemancing tetap yang pernah mengunjungi kawasan laut Pulau Tenggol dan 3 muka baru yang menaruh minat memancing di laut.
Cuaca sedikit tenang ketika kami mula bergerak meninggalkan Kuala Dungun. Dalam perjalanan tekong mengangkat 4 biji bubu beliau untuk mencari lauk makan tengah hari.
Persiapan seperti biasa dengan bekalan kepingan umpan besi berketul-ketul yang dibeli di Hasya Joran, Sri Kembangan sehari sebelum bergerak ke destinasi.
Semua peralatan yang bakal digunakan sudah siap sedia menunggu masa sahaja.
Kecuali muka baru yang lebih fokus pancingan dasar, 4 orang pemancing lagi begitu teruja untuk mengulangi pertarungan sewaktu trip tahun lalu.
Dengan kombinasi joran pe0.8 – 1.7 untuk dan ketika arus perlahan, PE1-3 pada waktu penggunaan jig60 gm ke atas untuk sebelah malam.
Kami jangka akan tiba di lokasi melewati waktu Asar, bolehlah bagi ruang dan tunjuk ajar kepada muka baru melabuhkan set pancing dasar mereka.
Dua lagi set pancing dasar yang dipadankan dengan kekili elektrik diserahkan kepada tekong dan anaknya untuk kegunaan mereka sepanjang trip.
Jigging vs bottom
Kami memilih jig 45gm sebagai permulaan di kedalaman 150 kaki ketika arus lemah. Tiada masalah untuk jig mencecah dasar sebelum kayuhan rentak jigging dimulakan.
Dalam kepenatan dan keletihan geng jigging mula terasa bahang apabila geng pemancing dasar sudah sedikit demi sedikit menunjukkan taring mereka.
Bermula dari ikan kakap merah 6.5 kg sebagai pembuka episod ceria disusuli dengan seekor tenggiri yang turut menyambar umpan di dasar.
Patutlah banyak jig lebur setiap kali berlakunya strike. Belum sempat yang jigging berpeluang mengejar kedudukan, sekor lagi tenggiri terpedaya dengan lenggokkan ikan
yang tergantung di permukaan air ketika pemiliknya baru hendak menurunkan umpan selayang hidup ke dasar.
Lebih manis apabila kedua-dua tenggiri tersebut tewas tanpa penggunaan kabel sebagai perambut.
Malah perambut tangsi 90lb yang digunakan tidak menakutkan tenggiri yang selama ini culas dan takut dengan penggunaan perambut yang kasar.
Kami masih bernasib baik kerana kuasa angin masih dalam kategori sederhana dengan hujan renyai-renyai sekali sekala.
Kehadiran cupak bersama alu-alu yang lebih dianggap pengacau berselang seli mencabar lenturan joran aksi ringan sebagai impak kepuasan pemancing.
Perbandingan teknik slow jig dan fast jig ternyata banyak. Teknik slow jig lebih banyak menerima strike berbanding fast jig.
Mungkin juga ikan banyak berlegar di kawasan dasar berbanding yang berada di sub permukaan air.
Biasanya cupak yang berada di kawasan tukun karang tinggi ini tidak begitu besar berbanding yang mendiami kawasan tiang di pelantar minyak.
Strike bertalu-talu
Apa pun saiz cupak sudah sesuai dengan set jig yang digunakan. Othman Paling bertuah apabila mengena seekor cupak paling besar pada malam itu.
Ruang memancing ketika itu agak selesa kerana dari 7, tinggal 3 pemancing yang masih setia berada di luar kabin menahan kedinginan tiupan angin.
Mujur ada strike dari cupak dan alu-alu sebagai penawar menahan rasa mengantuk.
Bila melakukan aktiviti jig, kita tak boleh pilih ikan, yang mana hentam jig, gasak sahaja.
Sentuhan dari alu-alu selain memutuskan tali, ia membuatkan pemancing terpaksa bekerja keras mengikat semula FG knot dalam keadaan yang kurang selesa.
Mahu atau tidak ini satu kemestian mengikat kembali shockleader yang terputus sebelumnya.
Sebelum ramai yang memilih untuk berehat, satu-satunya joran dasar yang dilabuhkan mengena seekor lagi kakap merah .
Awal pagi pada hari kedua, bot kami masih lagi bertahan di lokasi yang sama.
Ketika kaki jigging masih lagi mendapatkan rehat yang secukupnya di kabin, geng pancing dasar mengambil alih kedudukan termasuk tekong kami.
Menyedari banyak perambut tersangkut apabila teknik perambut 3 depa bersama tanduk tidak begitu sesuai ketika itu, ramai bertukar untuk menggunakan teknik apollo dua mata seperti saranan tekong.
Karang tinggi yang tidak menentu apabila kedudukan bot sering berubah menyukarkan sukatan untuk melabuhkan umpan.
Atas dasar ini umpan terpaksa digantung lebih tinggi supaya ia tidak sama paras dengan rimbunan karang di bahagian dasar.
Masa untuk memancing ikan cermin bermula setelah beberapa ekor selayang disambar ikan cermin purata saiz melebihi sekilo.
Boleh tahan juga ikan cermin yang rakus dengan umpan selayang hidup di awal pagi. Kebetulan tempat yang sama terdapat anak ikan yang dipancing menggunakan set apollo.
Umpan hidup
Bekalan umpan hidup sentiasa cukup untuk sesi pancing pagi tersebut.
Cermin spesies ikan yang datang meronda sesekali di kawasan tempat kami berlabuh umpan sebab itu serangan kumpulan cermin tidak berterusan.
Sekejap makan kemudian hilang dan datang semula. Mata kail 3/0 sebentuk diikat pada perambut 50 lb sudah mampu bertahan dari asakan cermin.
Dalam masa yang sama juga kehilangan mata kail dan hasil tidak dapat dielakkan kerana alu-alu banyak lagi berterusan mengikuti pergerakan umpan kami.
Ketika yang lain fokus melayan ikan cermin, set pancing Junhairi pula mengena sekor ikan ebek yang menelan sotong kurita yang disasarkan kepada kakap merah dan jenahak.
Bayangkan sotong yang sama berjaya mengena sekor kakap merah disusuli ebek pertama dan ebek kedua sebelum sotong tertanggal dari mata kail ketika melayan asakan ebek kedua.
Melihat kehadiran ebek, geng jigging tidak senang duduk. Dalam usaha yang berterusan hanya seekor sahaja ebek terperdaya.
Pada masa yang sama, sekor lagi tenggiri berjaya ditewaskan dengan set pancing dasar.
Dalam perbincangan awal kami merancang untuk memancing dua malam di lokasi sama kerana tarikan ikan dasar buruan iaitu jenahak dan kerapu boron cukup kuat panggilannya memaksa kami bertahan.
Menyedari sotong yang dibeli di pasar tidak lagi segar, tengah hari itu kami banyak berusaha mendapatkan bekalan ikan selayang hidup dan tamban segar.
Sambil layan apollo, sempat juga kami melayan kumpulan belitung tadika yang sering meronda hampir dengan kedudukan bot.
Sebelum ini saiz sekitar 5 kg seekor, kali ini yang bertamu kurang dari 2 kg tapi masih lagi rakus menghambat umpan hidup yang dihulurkan.
Cuaca tidak menentu
Cuaca yang tidak menjanjikan apa-apa pada petang hari kedua bertambah garang.
Angin timur bercampur utara mula menolak bot melawan pergerakan arus.
Di kaki langit awan gelap mula berkumpul dari ketulan kecil menjadi gerombolan awan pekat dan bercahaya.
Masa untuk beredar menurut tekong kerana cuaca begini bot akan berada dalam keadaan tidak selesa.
Kalau bertahan ia berdendang lagu sedih tambahan pula aktiviti memancing terlalu merbahaya.
Hasrat untuk bermalam di lokasi tersebut dibatalkan sambil membiarkan tekong mengemudi haluan bot mencari perlindungan di Pulau Tenggol yang sudah tidak kelihatan ketika itu.
Waktu untuk melabuhkan badan mana tahu malam nanti cuaca elok boleh sambung memancing lagi.
Kami tidak sedar lagi selepas itu hanya membiarkan tekong meneruskan perjalanan ke destinasi yang selamat dari haluan angin dan hujan.
Melihat kedudukan gps ketika deruan enjin bot tidak lagi berbunyi ialah 6.8 batu nautika dari Pulau Tenggol.
Kedudukan baru ialah di tengah antara pantai Teluk Lipat dan Pulau Tenggol.
Laut agak tenang dan arus hampir tidak bergerak langsung. Sukar memancing apabila bot sering berpusing tidak menentu.
Cuma yang jigging sahaja masih berusaha sementara pemancing dasar meneruskan pancing mimpi mereka. Begitu pun misi hujung monsun dikira berjaya juga.
baca juga Umpan Pilihan & Teknik Persembahan Mengumpan Tenggiri
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Korang Tanya Umpan Jawab – Beza Gewang Crankbait dan Jerkbait??

Sebagai panduan sebelum membelinya, tuan bolehlah merujuk kepada pemancing yang pernah menggunakannya. Saya percaya semua gewang terutamanya yang berjenama besar telah diuji keberkesanannya. Lagipun, jika saya menamakan sesuatu model gewang dan tuan membeli tetapi hasilnya kumpau, ia boleh mendatangkan persepsi negatif pula.
Dalam istilah produksi, gewang crankbait adalah sinonim kepada gewang jerkbait. Justeru itu ia kelihatan hampir sama saja bentuk. Walau bagaimana pun, gewang crankbait lebih merujuk kepada gewang selaman dalam dengan memiliki lidah atau bip yang panjang.
Sementara gewang jerkbait kebanyakannya memiliki body panjang dan ada juga yang tidak memiliki lidah gewang. Dari segi penggayaan pula, gewang jerkbait perlu dikarau dengan aksi jerking untuk menghasilkan aksi renangan. Sementara gewang crankbait didatangkan dengan aksi renangan sedia ada dan hanya perlu dikarau perlahan atau pantas.
Bagi menghadapi ikan yang sombong dengan gewang topwater ketika faktor air yang jernih, selain menukar gewang crankbait atau jerkbait, warna dan aksi gewang juga perlu dimainkan dengan tepat. Hakikatnya, untuk menjinakkan pemangsa ketika air jernih banyak perkara perlu diambil kira kerana pada ketika ini deria penglihatan ikan berada dalam keadaan terbaik untuk menilai setiap mangsa sebelum membahamnya.