
Kena gelak kerana mempraktikkan sesuatu di luar kebiasaan sudah menjadi perkara lumrah dan ia berlaku tidak hanya dalam dunia memancing saja.
Kesan daripada gejala ini menyebabkan kita tidak berani untuk mencuba.
Tidak dinafikan penyambungan wayar steel atau kabel ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi aksi sebenar sesuatu jig yang digunakan.
Namun pada saya, kesan tersebut terlalu kecil hampir tidak menjejaskan langsung aksi jig. Melainkan jika menggunakan poundage kabel yang terlalu besar.
Saya sendiri jika jigging tenggiri pada waktu, wajib saya akan menggunakan kabel. Biasanya saya guna kabel 20-40lb. Panjang kabel tidak akan lebih dari sejengkal.
Saya lebih rela kena gelak tetapi dapat ikan daripada kena gelak kerana jig lebuh dihentam tenggiri kerana tak pakai kabel. Dah lah ikan terlepas, jig pulak melayang.
Malah saya juga pernah mengguna kabel ketika bermain jigging perlahan pada waktu siang hari. Saya percaya ramai yang tahu betapa pentingnya perlu memainkan jig dengan aksi sebenar dalam aplikasi jigging perlahan.
Malah kabel yang digunakan adalah dari jenis keras berkekuatan 60lb. Dan saya berhasil mendapat ikan!
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Fikir Dulu Sebelum Beli Mata Kail!!

Mencari dan membeli mata kail bukanlah hal yang susah tetapi pemilihan mata kail dengan konsep pancingan dan ikan sasaran itulah yang terpenting. Jadi, sebelum beli sebarang mata kail, korang perhatikan dulu panduan yang kami sediakan ini.
Sebelum beli sebarang jenis mata kail, ambil dulu sedikit masa untuk berfikir. Bentuk dan saiz mata kail perlu disesuaikan dengan saiz dan bentuk mulut ikan yang akan dipancing. Selain itu perlu diambil kira juga tentang tekstur dan kepelbagaian saiz umpan yang akan digunakan.
Jangan terpengaruh dengan satu reka bentuk mata kail saja kerana pernah melihat mata kail jenis itu pernah mendaratkan ikan. Jangan takut untuk bereksperimen sendiri. Malah dengan cara tersebut anda boleh menentukan sendiri reka bentuk mata kail yang sebagaimana lebih sesuai untuk sesatu spesies ikan.
Ciri Mata Kail
Sifat ketajaman mata kail adalah satu perkara yang tidak boleh bertolak ansur. Menggunakan mata kail yang tumpul, samalah seperti melakukan kerja yang sia-sia. Jadi, periksalah dengan teliti ketajaman setiap mata kail yang dibeli. Dan periksalah sekali lagi sebelum menyambungkannya pada tali perambut ataupun gewang.
Ibarat kata pepatah, dalam setandan kelapa bukan semuanya busuk walaupun jarang bertemu sebiji yang rosak. Begitu jugalah dalam pembungkusan mata kail. Memang jarang terjumpa mata kail yang rosak atau terdapat sedikit cela.
Tapi kemungkinan tu tetap ada seperti lubang mata kail yang tertutup penuh atau separuh, berteras lembut, bengkuk pelik atau kesat. Sekiranya tidak diperiksa dengan baik, ia boleh mengundang kekumpauan berlaku sebelum memancing.
Teknik asahan kimia atau chemically sharpened, merupakan salah satu proses pembuatan mata kail agar tahap ketajamannya berkualiti dan tahan lama. Namun tidak bermakna mata kail tersebut berkualiti dan mahal harganya. Proses tersebut bukan lagi hanya mampu dilakukan oleh pengeluar mata kail berjenama sahaja.
Jadi jangan berfikiran mata kail asahan kimia ini berkualiti tinggi. Kekadang ia hanya hiasan pembungkusan sahaja.
Sekarang ini terlalu banyak jenama mata kail dan reka bentuknya. Harganya juga berbeza-beza walaupun kualiti hampir sama. Apa yang penting, pilihlah mata kail berdasarkan fungsi dan kegunaannya. Bukan kerana harga atau pembungkusannya yang cantik.
Trip Retro : Tawan Monster Koh Similan – part 1/2

Laut Andaman merupakan salah satu lokasi memancing yang terkenal di serata Asia Tenggara.
Laut yang merangkumi empat buah negara iaitu Thailand, Myanmar, Indonesia dan Nicobar (India) merupakan syurga bagi pemancing yang mengidamkan ikan bersaiz gergasi.
Yellow fin tuna, ruby snapper, giant grouper, wahoo, dog tooth tuna, black marlin dan banyak lagi spesies ikan yang boleh dipancing di laut Andaman.
PULAU SIMILAN, PHUKET
Akhirnya peluang mengunjungi Laut Andaman telah terbuka sebaik sahaja saya menerima jemputan untuk kunjungan eksplorasi ke sana.
Apabila bercerita tentang laut Andaman, pastinya pemancing akan terbayangkan Burma Bank kerana ia merupakan lokasi paling popular di Laut Andaman.
Tetapi kunjungan saya kali ini di Pulau Similan yang terletak di Phuket. Kos dan perjalanan ke sana hanya separuh berbanding perjalanan ke Burma Bank.
Pulau Similan yang berada di Laut Andaman tetap mampu memberi kepuasan memancing seakan-akan berkunjung ke Burma Bank.
Pulau Similan yang berkeluasan 5.4 batu persegi merupakan pulau kerdil yang mempunyai peranan utama dalam sektor pelancongan di Thailand.
Pulau Similan atau disebut Koh Similan terletak hanya 46 batu nautika dari Phuket kaya dengan khazanah taman laut antara tercantik di dunia serta keindahan panorama dan pantai ini sering dikunjungi oleh pelancong asing terutama dari negara barat.
Pulau yang menjadi syurga kepada penyelam ini sentiasa sibuk dengan kunjungan pelancong asing tanpa henti.
PERJALANAN 1200 KM
Perjalanan kami bermula dari kota metropolitan Kuala Lumpur. Sebanyak tiga buah kenderaan pelbagai guna dan 4×4 akan berkonvoi dari Kuala Lumpur ke Phuket.
Setibanya kami tiba di sempadan Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah, kami menanti ketibaan Cikgu Shamwen yang berperanan sebagai organizer trip ini.
Kehadiran beliau juga bersama-sama rakan-rakan pemancing lain dari utara yang akan berkunjung ke lokasi yang sama.
Untuk ke Pulau Similan kami akan memandu kenderaan menuju ke Phuket. Jika dikira perjalanan kami dari Kuala Lumpur hingga ke jeti, kami akan melalui perjalanan pergi sejauh 1200km.
Ini bermakna perjalanan pergi balik sejauh 2400km! Perjalanan yang jauh ini amat meletihkan dan memeritkan kami.
Ditambah pula dengan harga minyak di Thailand yang lebih mahal berbanding negara sendiri.
Harga diesel untuk kenderaan 4X4 bernilai RM3.38 seliter perlu dibayar oleh kami untuk mengharungi perjalanan yang jauh ini.
Selepas hampir 20 jam memandu tanpa henti, akhirnya kami tiba di pusat peranginan terkenal dunia iaitu Phuket.Di sana kami membuat pendaftaran masuk di sebuah hotel bajet untuk bermalam.
Walaupun kami telah sampai di salah satu pusat peranginan terkenal dunia, semuanya tidak kami pedulikan gara-gara terlalu letih mengharungi perjalanan yang begitu jauh.
Kami hanya singgah sebentar untuk makan malam dan masa selebihnya berehat. Keesokan harinya kami bangun seawal pagi dan menyambung semula perjalanan kami menuju utara Phuket di Thap Lamu Pier dan 2 jam perjalanan diambil untuk ke sana.
Di Jeti Thap Lamu Pier kami menanti bot milik tekong Sai Yan berlabuh. Selepas menanti selama setengah jam, kami pun bekerjasama memunggah segala peralatan memancing kami ke dalam laut.
Ternyata bot milik tekong Sai Yan ini amat selesa. Bot ini lengkap dengan bilik tidur yang selesa, bilik air, popping deck, plug elektrik, meja makan, GPS dan sonar.
Cuma bot tersebut tidak dilengkapi dengan rod holder. Nasib baik kami telah bersiap sedia membawa rod holder dari rumah.
AYAM DAN ITIK MEMANCING BERSAMA
Masalah… masalah… masalah…! Itulah yang bermain di minda kami apabila mendapati tekong Sai Yan tidak pandai berbahasa Inggeris apatah lagi Bahasa Melayu.
Awak-awak beliau juga hanya mengetahui beberapa patah perkataan sahaja. Memang menjadi adat setiap kali kami mengunjungi tempat baru, pasti ada pengalaman dan kesukaran yang perlu kami hadapi.
Walaupun ekspedisi jelajah Pulau Similan ini telah menjadi seperti trip ayam dan itik. Itu tidak mematahkan semangat untuk kami berkomunikasi dengan tekong Sai Yan.
Kami berkomunikasi dengan tekong Sai Yan menggunakan bahasa isyarat dan berpandukan gambar ikan di majalah sebagai rujukan beliau.
Selepas berbincang dengan tekong menggunakan bahasa isyarat tangan dan gambar, akhirnya tekong Sai Yan bersetuju membawa kami ke lubuk terbaik beliau untuk mencari
ikan sasaran kami iaitu kerapu hitam (Kertang, Giant grouper atau nama saintifiknya Epinephelus lanceolatus) yang begitu tinggi nilainya di pasaran.
Perjalanan kami ke lubuk pertama akan mengambil masa perjalanan selama 6 jam. Sepanjang perjalanan ke sana, kami cuba berkomunikasi dengan tekong untuk mencari lebih maklumat.
Walaupun perbualan kami dengan tekong seperti perbualan ayam dan itik, Sai Yan kelihatan amat peramah dan cuba sebaik mungkin memberi maklumat yang kami inginkan. Kadang kala, sempat juga dia berjenaka dan bergurau dengan kami.
… bersambung
Rebut RM19,000 di Taman Metropolitan

1,000 peserta dijangka memenuhi Taman Tas ik Metropolitan, Kepong, Kuala Lumpur yang menawarkan hadiah keseluruhan RM19,000 menanti peserta pertandingan memancing Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) 2018 tahun ke 7 siri kedua anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Ahad ini.
Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Khairul Anuar Mhd Juri berkata, sambutan yang mengalakkan pada siri pertama (1) di Tasik Ampang Hilir yang lalu telah menjadikan JPKL sentiasa dinanti-nantikan kaki pancing seluruh negara selain meningkatkan kesedaran warga kota bersantai bersama-sama keluarga memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi dalam aktiviti sihat ini bertemakan “Jom Pancing Rakyat Ceria Komuniti Sejahtera”.
“Dengan adanya aktiviti sihat pada hujung minggu, diharapkan program pada tahun ini dapat menambahkan semangat rasa cinta kepada Wilayah Persekutuan dalam usaha memastikan keharmonian serta perpaduan warganya terus dikekalkan demi kesejahteraan bersama.”
“Malah inilah waktu terbaik bersama keluarga dengan menyertai pertandingan dan seterus mewujudkan ceria bersama komuniti setempat”
“Tahun ini siri pertandingan yang masuk tahun 7, hadiah keseluruhan wang tunai dari RM16,000 telah dinaikkan kepada RM19,000 manakala setiap peserta yang mendaftar diberikan dua (2) botol air oishi sumbangan penaja.
“Juara pertandingan ini akan membawa pulang RM8,000 diikuti RM3,000 untuk naib juara dan ketiga bakal memperoleh RM1,000.
“Pemenang keempat akan menerima RM400, kelima hingga ke-10 akan menerima RM250, pemenang tempat ke-11 hingga 20 menerima RM150, pemenang tempat ke-21 hingga 30 akan menerima RM100, pemenang tempat 30 hingga 50 akan menerima RM70 manakala pemenang tempat 51 hingga 70 akan menerima RM50 setiap seorang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies di tasik itu hari ini antara patin bersaiz antara 4 hingga 5 kilogram.
Tambahnya, 1000 peserta dijangka mengambil bahagian selepas melihat sambutan yang cukup menggalakkan pada jelajah ke enam selain memperkenalkan lokasi-lokasi baru bagi warga kaki pancing tidak lepaskan peluang kali ini.
Menurutnya, Taman Tasik Metropolitan, Kepong mempunyai keunikan tersendiri kerana banyak spesies ikan terbaik termasuk tongsan dan toman bersaiz 10 hingga 20 kilogram menanti kaki pancing.
Turut memeriahkan JPKL 2018 ini ialah rakan strategik bersama iaitu Oishi Green Tea dan Igloo.
Yuran RM35 dikenakan untuk sebatang joran dan pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia di lokasi pertandingan pada sabtu ini dari pukul 1 tengahari hingga 10 malam.