Mungkin ada di kalangan kaki pancing masih mempercayai mitos, pantang larang mahupun mengamalkan petua ketika memancing. Namun tidak kurang juga yang menolak fahaman tersebut malah menganggapnya tiada kaitan langsung. Walau bagaimana pun ada bagusnya juga kita buat kajian dengan akal logik bagi setiap mitos atau pantang larang tersebut.
Apabila tiba musim udang galah, ramai kaki penangkap udang sepit biru ini akan turun ke lubuk. Setiap kali ke lubuk udang galah, kebanyakan kaki penangkap udang ini sedia maklum mereka tidak keseorangan sebaliknya ditemani buaya. Maka, sikap waspada perlu ada.
Hal ini kerana udang galah biasanya menempel pada badan buaya untuk memakan lumut atau alga pada tubuh badan buaya. Pendek kata, ramai yang bersetuju dengan pendapat di mana ada udang galah, di situ ada buaya.
Makanan berdarah
Oleh kerana itu pemancing udang galah tidak digalakkan membuang makanan berdarah seperti daging atau ayam di kawasan pancing udang. Dipercayai, ia seperti mengundang buaya datang ke tempat anda.
Tepung kunyit
Jika anda berada di sungai yang dipercayai ada buaya, elak gunakan umpan tepung yang digaul dengan serbuk kunyit. Dipercayai buaya tidak suka bau kunyit dan buaya boleh mengamuk serta mendatangkan bahaya kepada pemancing.
Jangan sebut buaya
Jangan sesekali menyebut nama buaya sepanjang anda berada di atas sampan atau di kawasan sungai. Ia sama seperti berada di dalam hutan dan menyebut nama harimau. Gantikan saja dengan sebutan lain seperti sang bedal atau sebagainya.
Fenomena pertandingan memancing mula berkembang sejak awal tahun 90an lagi. Di dada akhbar, banner, bunting digantung di tepi jalan hingga ke media sosial Facebook dan blog, pasti terlihat iklan pertandingan memancing yang menawarkan pelbagai hadiah untuk pemenang.
Persepsi masyarakat pula bercampur baur mengenai pertandingan memancing. Bagi yang tidak meminatinya, mereka akan beranggapan ia suatu pelaburan yang belum tentu dapat membuahkan hasil. Sudahlah begitu, modal sebelum menyertai pertandingan pun besar. Mana duit untuk beli peralatan memancing, umpan, yuran penyertaan, makan minum, tol dan minyak petrol kereta dan sebagainya.
Namun, bagi ramai kaki pancing tegar lain pula ceritanya. Bagi mereka, mana tahu rezeki akan berpihak kepada mereka. Kalau menang tempat pertama dah menang puluhan ribu ringgit. Dah tak perlu bersusah payah menabung. Tambahan pula untuk pertandingan memancing sirkit, berpeluang menang hadiah utama sebuah kereta… uishh bukan kepalang lumayan.
Melihat kepada situasi tersebut dapat kita lihat percanggahan pendapat mengenai perkara ini. Adakah benar tohmahan sesetengah pihak mengenai pertandingan memancing ini sekadar membuang masa, wang dan tenaga atau adakah ia mampu memberi impak yang positif bukan sahaja kepada individu malahan kepada negara?
Impak Positif
Seperti yang diperkatakan awal tadi, terdapat beberapa elemen positif yang dapat dilahirkan melalui aktiviti pertandingan memancing ini: Pertamanya mengenai silaturahim yang dapat dibina melalui program sebegini.
Jika dapat kita lihat senario ini, tidak kira di mana sahaja pertandingan memancing dianjurkan pasti akan mendapat sambutan menggalakkan dari kaki pancing yang datangnya dari seluruh pelosok negara.
Jadi medium seperti inilah yang akan membantu para pemancing untuk mendapat lebih ramai rakan pancing yang datangnya dari daerah dan negeri yang berbeza. Para pemancing pula dapat berkongsi idea dan teknik terbaru bila mereka dapat berkumpul seperti ini.
Sumber pendapatan
Pertandingan memancing sebagai satu sumber pendapatan? Mungkin kedengaran agak janggal mengenai perkara ini, namun kita harus memandangnya melalui aspek yang lebih meluas. Sumber pendapatan di sini bukanlah hanya terhad kepada pemenang sahaja, bahkan ia meliputi keseluruhan industri ini.
Bagi pemancing yang berjaya menjadi juara di dalam sesebuah pertandingan memancing memanglah dianggap sebagai bonus untuk diri sendiri dan keluarga. Justeru itu, ini sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan mereka.
Melalui pertandingan memancing ini jugalah dapat membantu peniaga-peniaga kecil yang ada di Malaysia. Apa tidaknya, bukan mudah untuk mereka mendapat peluang berniaga di dalam suasana meriah yang dapat mengumpulkan beribu-ribu orang di dalam satu masa. Jadi aspek sebeginilah yang dapat diperkatakan bahawa pertandingan memancing boleh menjadi salah satu sumber pendapatan.
Isu negatif
Sebagaimana yang kita tahu, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari dengan isu-isu atau insiden yang sedikit sebanyak dapat merencatkan industri ini. Halal ke haram? Kini timbul perdebatan mengenai isu halal atau haram sesebuah pertandingan memancing itu. Ia telah pun menimbulkan kesan dan persoalan kepada ramai kaki-kaki pancing. Terdapat beberapa ahli Ulama yang berasa terpanggil untuk memberi komen mengenai perkara ini.
Berikut jawapan daripada Halaqah.net yang dapat menjelaskan mengenai isu halal dan haram pertandingan memancing.
“Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah daripada penganjur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta. Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil daripada sumber yang mana? Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan daripada individu atau agensi?
Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya HARAM. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian. Dua, keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini.
Pertamanya kerana menyertai pertaruhan dan yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut. Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) daripada penganjur atau agensi yang menaja.”
Memancing merupakan aktiviti reaksi berstatus sukan yang banyak menggunakan tenaga. Kesan sampingan juga bukan sedikit. Paling kerap berlaku di kalangan kaki pancing adalah pening kepala akibat perubahan cuaca, panas terik dan sejuk, luka kecil akibat gigitan serangga, terkena tusukan mata kail. Kerap mood memancing hilang gara-gara pening atau sakit kepala, sedangkan ketika itu mungkin ikan sedang galak memakan umpan.
Oleh itu, sediakanlah ubat-ubatan yang difikirkan perlu seperti minyak angin, ubat paracetamol, ubat luka, plaster luka, balm atau semburan penghalau nyamuk dan sebagainya.
Setidak-tidaknya dengan persediaan sebegini, ia akan membantu anda ketika dalam kesusahan dan sekurang-kurangnya mood memancing anda akan terus ’membara’ sehingga selesai trip. Sila simpan semua ubat ini dalam bekas kedap udara dan air.
Banyak Minum Air
Banyakkan minum air kosong, terutama cuaca panas. Begitu juga pada waktu musim jerebu sekarang ni. Pastikan bawa bekalan air minum secukupnya.
Rehat & Rawat
Jika anda berasa pening, ada baiknya selepas anda memakan ubat, berehatlah di tempat yang teduh dan lelapkan mata seketika.
Sediakan Baju Hujan
Jika memancing pada musim hujan, ada baiknya anda mengenakan baju hujan dan juga jaket keselamatan sebagai perlindungan keselamatan.
Jus Minuman
Bawa makanan ringan seperti asam atau air berunsur masam seperti jus oren, air asam jawa ketika pergi memancing. Jus oren mampu meneutralkan kandungan PH badan, jika anda berasa mual, air liur terasa pahit.
Kurangkan Merokok
Kaki pancing kebanyakannya merokok. Sila kurangkan atau elak dari merokok secara berterusan, jika ada tanda-tanda sakit tekak, kerana ia akan memudaratkan kesihatan anda.
Bahaya Bahang Haba
Jangan terlalu lama terdedah di kawasan terbuka, terutama jika casting. Sebaiknya, pilih lokasi yang agak redup bagi mengelakkan kepanasan melampau.
Jauhi Terkena Embun
Elakkan dari terkena embun terlalu lama jika memancing hingga larut malam. Kenakan pakaian yang sesuai dan tebal bagi menghindari udara sejuk. Minum minuman panas amatlah digalakkan.
Guna Alatan
Gunakan alat bantuan seperti playar untuk membuka mata kail dari mulut ikan. Jangan sesekali menggunakan tangan, terutama jika berjaya menaikkan ikan yang memiliki sengat dan duri seperti keli, sembilang, duri, kerapu.
Jika berkhemah di dalam hutan, pastikan anda membawa parang sebagai langkah berjaga-jaga dari serangan binatang buas.
Berteman
Sebaiknya memancing lokasi atau lubuk yang jauh perlulah berteman. Sentiasa berhati-hati ketika melangkah dan jaga perilaku dan adab semasa memancing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...