Hadiah bernilai hampir RM50,000.00 menanti para peserta dalam pertandingan memancing Cabaran Tanjung Malim di Tasik YDP Slim River esok, 31 Januari (Rabu).
Pertandingan yang dianjurkan Wakjali Event Management itu menawarkan hadiah RM24,000 untuk juara, kedua sebanyak RM5,000 dan ketiga sebanyak RM2,000. Tempat ke-4 akan membawa pulang RM800, tempat ke-5 sebanyak RM500, ke-6 hingga ke-10 bakal memperoleh RM400. Manakala tempat atau ranking ke-11 hingga ke-20 sebanyak RM300 dan ke-21 hingga ke-50 membawa pulang RM250.
Selain ganjaran wang tunai turut ditawarkan 400 helai baju-T bagi peserta yang mendaftar awal, televisyen LED 32 inci sebagai cabutan bonanza dan hamper sebagai cabutan bertuah. Sementara yuran penyertaan RM90 bagi satu joran dan peserta layak memenangi lebih daripada satu hadiah.
Pengurus Besar Wakjali Event Management, Md Zali Kasran, berkata pertandingan yang bakal dilangsungkan ini adalah pertandingan yang pertama diadakan di Tasik YDP setelah lebih 12 tahun tiada sebarang pertandingan memancing dianjurkan di lokasi tersebut
Ads
“Pada awal penubuhan syarikat ini (Wakjali Event Management , Tasik YDP adalah antara venue yang pernah menjadi medan pilihan bagi pertandingan memancing anjuran syarikat ini. Namun, selepas itu tiada lagi pertandingan memancing seumpamanya dianjurkan di sini.”
“Pertandingan ini diadakan pada Rabu sempena cuti perayaan Thaipusam. Kaunter pendaftaran 24 jam akan dibuka di lokasi pertandingan mulai jam 3.00 petang Selasa (30 Januari) sehingga hari pertandingan.”
Ads
“Menurut penduduk setempat, tasik ini dihuni patin liar bersaiz mega dan toman serta rohu. Namun beberapa spesies lain yang bersaiz kecil juga seperti lampam, tilapia, belut dan lain-lain juga menjadikan tasik ini tempat bernaung mereka,’’ katanya.
Bagi memberi keselesaan kepada para peserta, pihak penganjur telah melakukan pembersihan tasik sejak seminggu lalu dengan sasaran mengeluarkan rumput di kawasan tebing dan dalam tasik.
Ads
Menurut Md Zali lagi pertandingan ini merupakan pertandinga pertama dianjurkan Wakjali Event Management bagi tahun ini sebelum ke Melaka pada 4 Februari yang menawarkan hadiah RM100,000.00 untuk juara.
Pertanyaan hubungi 012-2141401, 013-3838655 dan 012-6823479.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Kami sekali lagi mencari strike di Tasik Temenggor, Perak. Spesies sebarau dan toman menjadi ikan sasaran yang wajib dicari.
Dalam erti kata Lain memperbaharui rekod tangkapan trip terdahulu. Cuma, kunjungan kali ini air di Tasik Temenggor sedikit berbeza dari kerana paras air yang sedikit cetek.
Kami memilih untuk menginap di boathouse sepanjang tempoh 3 hari 2 malam di Tasik Banding.
Lazimnya, jika lakukan aktiviti mengilat di Tasik Temenggor, lebih baik rasanya lakukan trip yang lebih panjang kerana dapatlah mengintai spesies sebarau seawal sebelum jam 7 pagi!
Kami juga menguji keberkesanan gewang dari Taiwan, Strike Pro Flap Jack iaitu salah satu gewang jenis separa tenggelam yang boleh diguna pakai untuk pelbagai takat kedalaman terutamanya di lokasi yang dipercayai didiami oleh ikan sasaran iaitu sebarau.
Sebaik tiba di Tasik Banding, kami terus sahaja menerjah ke spot tumpuan yang menjadi lokasi permainan sang sebarau dan toman.
Mengaplikasikan gewang jenis separa tenggelam memerlukan konsistensi yang tinggi ketika mengarau.
Jika berhenti karauannya, gewang pasti tenggelam ke dasar. Kami bersepakat memilih saiz panjang badan gewang 4 cm hingga 7.5 cm berwarna oren kemerahan dan biru bagi menarik perhatian sebarau.
Bagi menghambat selera spesies yang juga digelar serigala air tawar ini, sesi pagi bermula seawal 7 pagi hingga 10 pagi manakala 4 petang hingga 7.30 malam untuk sesi petang.
Memandangkan kunjungan kami waktu itu paras air tasik sedang surut, pencarian sebarau memerlukan banyak kerajinan.
Agak berbeza apabila sebarau lebih mudah ditemui ketika musim tengkujuh. Jadi, kali ini kami perlu sentiasa rajin mencari spot mainan sang sebarau berada.
Kami memilih membuat lontaran gewang ke posisi atau spot yang sama atau berdekatan dengan pohon yang rendang dan celah-celah akar pokok atau pokok tumbang.
TEKNIK BALINGAN & GEWANG TIRUAN
Keutamaan kami adalah di kawasan berakar, pokok berdahan besar dan pokok-pokok tinggal yang tumbang ke dalam air.
Kami memilih membuat lontaran gewang ke posisi atau spot yang sama berulang kali. Selain menggunakan gewang separa selaman, kami turut menggunakan gewang jenis permukaan.
Kedua-dua jenis gewang ini bersesuaian untuk mencari sebarau di spot yang mencabar dan dipenuhi dahan ataupun ranting pokok.
Selain itu, kami turut menggunakan sesudu, dengan cara lontar dan biarkan ia tenggelam seketika sebelum dikarau laju.
SAMBARAN YANG PERTAMA
Ketika casting di kawasan pokok tumbang sekitar jam 1.15 tengah hari, kami telah dihidangkan strike dari sebarau, namun mangsa berjaya menyembunyikan diri di bawah
dahan besar pokok yang tumbang. Selepas menghenjut tali beberapa kali, akhirnya sebarau dalam skala 1.3 kg berjaya dihela keluar.
Selepas itu, kami berjaya mendaratkan beberapa ekor lagi spesies sebarau. Tidak kurang sang toman yang besar dan juga bersaiz bujang.
Kami turut bertemu toman jalur yang pelahap menyambar gewang kecil. Toman jalur ini, biasanya sudah berpisah dari ibunya, namun masih bergerak berkumpulan.
Ada kalanya toman jalur ini menjadi penghibur ketika pencarian toman bersaiz besar. Jika terkena saiz jalur, wajib bagi kami melepaskannya semula.
Ketika bot berlegar-legar mencari toman timbul menyedut udara di permukaan di satu suak yang sunyi sepi, tiba-tiba kami terserempak pula dengan anak toman yang masih merah timbul di permukaan.
Dengan merasakan ada mamanya, lantas gewang dilontarkan ke kawanan anak toman berkenaan.
Tidak sangka pula, gewang jenis versatil seperti Strike Pro Flap Jack yang kami bawa ini mampu bangkitkan nafsu pada toman.
Dalam beberapa kali karauan yang dilakukan, tiba-tiba sahaja terasa satu henjutan kuat, menandakan sang toman rakus membaham sebagai tanda amarah kami mengacau kumpulan anaknya.
Keadaan dasar Tasik Banding yang sedikit berlumut tebal memberi kelebihan toman menyusup.
Namun, dengan berinsuran perambut kejutan berkuatan 30 paun dan dipadankan dengan tali sulam 20 paun pertembungan yang didambakan oleh semua kaki casting mengambil masa lebih kurang 11 minit.
Selepas dinaikkan ke atas bot dan sesi bergambar, akhirnya toman berkenaan di lepaskan semula kembali ke pangkuan anaknya. Terima kasih di atas perlawanan ini.
Tidak lama kemudian, seekor lagi sang toman berjaya diperoleh. Dengan bersusah payah kami berusaha menaikkan toman bersaiz gadang.
KESIMPULAN
Walaupun trip ini agak singkat dan impaknya tidaklah sebesar trip terdahulu, lapangan di Tasik Banding masih sarat dengan spesies ikan air tawar.
Sememangnya, Tasik Banding adalah lokasi pencarian terbaik dua spesies yang begitu dipuja oleh ramai kaki casting.
Nasihat kami, jika datang ke sini, kawasan yang selalu didiami spesies ini ialah seperti di rekahan dinding berbatu, suak, kawasan bertebing berciri berbukit, kawasan tunggul kayu dan kawasan yang ada pokok tumbang.
Bawalah bersama gewang berwarna seakan menyala dan cerah seperti oren, jingga, hijau, merah, merah jambu dan hijau.
Saiz gewang paling ideal bersaiz 8-12 cm dari pelbagai bentuk dan jenis selaman bermula dari 2-4 kaki bergantung pada kedalaman lapangan tempat memancing.
Pulau Sembilan sememangnya salah satu padang pancing yang paling diminati kaki pancing. Salah satu sebab yang membuatkan ramai pemancing ke sana adalah kerana kehadiran giant trevally (GT) yang banyak berkeliaran di sekitar pulau. Saiz GT yang kebanyakannya bersaiz 2kg ke bawah membolehkan pemancing menduganya dengan set yang tidak terlalu berat.
Kami telah memilih boatman dari Kampung Permatang, Faizal kerana beliau sangat memahami kehendak pengilat. Mengilat ke sekeliling pulau sambil menghidupkan enjin menjadi teknik memancing di sana.
Perjalanan dari jeti ke spot pertama hanya memakan masa 20 minit sahaja. Sampai sahaja kami di pulau Agas balingan dimulakan sambil bot tawaf di sekeliling pulau. Tidak sampai 10 minit mengilat pancing saya sudah mengena GT. Balingan popper yang hampir dengan pulau memang pantang buat GT. Hanya dengan beberapa aksi pop dari popper ia terus disambar oleh GT bersaiz sederhana.
Larian GT biasanya akan membawa tali ke arah karang namun saya berjaya menahannya dengan joran yang Viper Hybrid yang agak keras. Tali yang baru ditukar juga membuatkan saya begitu yakin menahan dengan mengetatkan drag ke tahap maksimum.
Selain dari GT biasanya banang atau todak sering mengganggu gewang yang dilontarkan. Yang paling tidak digemari pemancing ialah banang sering memutuskan tali perambut. Bila terpaksa mengikat semula perambut dengan ikatan FG ramai pemancing mengeluh kerana ia boleh menyebabkan mabuk laut.
Kami bergerak dari sebuah pulau ke sebuah pulau. Apabila habis satu pusingan satu-satu pulau dan tidak ada sambaran kami terus berpindah dan jika ada sambaran satu lagi pusingan di lokasi yang sama akan dilakukan oleh kerana Faizal yakin ada kawanan GT yang lain ada di tempat yang sama.
Apabila sampai di Pulau Batu Putih kami meneruskan teknik mengilat sebanyak dua pusingan kerana ia agak kecil dari pulau lain. Faizal membawa kami keluar sedikit dari pulau apabila tiada sebarang sambaran dan mula memberi isyarat bahaya sudah tiba masanya untuk menurunkan jig.
Beliau berpandukan sonar dan bot berhanyut sahaja semasa kami jigging. Semasa jigging di Pulau Batu Putih saya berjaya menaikkan jemuduk yang pada awalnya saya sangkakan GT. Jig O-pass yang diunjun dengan laju tiba-tiba disambar dengan agak kasar.
Untuk menambahkan peluang untuk mendapat sambaran biasanya jig harus dilepaskan hingga ke dasar sebelum di karau. Namun begitu pemancing harus berhati-hati kerana ia sering menyebabkan jig sangkut ke karang.
Pulau Lalang merupakan pulau yang berpantai dan dilengkapi dengan kemudahan seperti tandas dan bekalan air tawar dari air bukit yang berdekatan. Jadi ia destinasi wajib yang perlu dilawati pemancing kerana ia sering di jadikan tempat berehat setelah separuh hari mengilat. Saya mengambil peluang untuk mandi dan menyegarkan badan dengan tidur seketika sebelum menyambung untuk mengilat sesi petang.
Kebiasaannya kami tidak turun terlalu awal selepas berehat, Ini adalah kerana GT biasanya lebih galak menyambar gewang semasa lewat petang. Daripada kami berpanas dan mengilat tanpa sebarang hasil lebih baik dipanjangkan sahaja masa berehat.
Semasa mengelilingi Pulau Nipis jam di tangan saya sudah menunjukkan angka 6.30 petang dan saya menyangka Faizal ingin terus pulang kerana sudah lewat petang. Setelah Zali menaikkan GT yang terakhir saya sudah bersiap sedia untuk menyimpan pancing tetapi rupanya sesi mengilat kami masih belum habis.
Faizal berpatah balik ke Pulau Batu putih dan memberi kami peluang untuk mencuba di saat akhir. Kami mengilat sehingga hari betul-betul sudah gelap dan apabila tiada sebarang sambaran barulah Faizal membawa kami pulang.
Sebagaimana namanya, Dataran Otomobil Seksyen 15, Shah Alam merupakan pusat sehenti bagi penggemar dunia permotoran berikutan banyak tersedia premis aksesori dan modifikasi kenderaan. Sementara bagi kaki-kaki pancing sekitar Lembah Kelang dan Shah Alam khususnya, Dataran Otomobil Seksyen 15 menjadi lokasi pilihan kerana di sinilah letaknya sebuah premis atau kedai pancing popular, Fisher Tackles.
Antara pemancing yang sering berkunjung ke Fisher Tackles ialah Suffian Mahmud yang memiliki kemahiran menyelenggara dan membaik pulih kekili memancing. Berikutan kekangan masa untuk melayan permintaan pelanggan bagi membaik pulih kekili, Loh Mun Seng (pemilik Fisher Tackles) atau lebih dikenali Ahseng memberi kepercayaan kepada Suffian untuk membaik pulih kekili pelanggannya. Bermula dari situlah tertubuhnya Under15Roof – kios muafakat anglers.
“Saya mengamalkan konsep direct services,” ujar Suffian tentang kelebihan servis perkhidmatan yang beliau tawarkan.
“Maksudnya, pemancing boleh bawa kekili dan lihat sendiri apa yang saya lakukan pada kekili tersebut. Apa-apa kerosakan pelanggan boleh lihat sendiri dan boleh pilih sendiri alat ganti yang ingin digunakan.”
“Pelanggan juga boleh melihat sendiri cara-cara kerja saya, alat ganti dan kualiti minyak atau gris yang saya gunakan. Kalau pelanggan kesuntukan masa untuk menunggu dan perlu meninggalkan barang (kekili), saya tiada sebarang masalah untuk menerimanya.”
Menurut Sufian lagi, sudah lebih setahun beliau mengusahakan khidmat servis membaik pulih kekili ini hampir setiap malam bermula dari jam sembilan malam sehinggalah jam tiga atau empat pagi.
Pada mula beliau hanya bersendirian dan bermula dengan sebuah meja sahaja. Hari ini, tapak tersebut turut menjadi sumber pendapatan sampingan rakan-rakan lain sama ada menjadi pembantu beliau atau menawarkan perkhidmatan lain yang bersangkut dengan dunia memancing seperti jualan baju memancing terpakai dan mengecat semula kekili.
Sementara bagi Mohamad Zufayri Azmi, beliau sama sekali tidak menyesal meninggalkan kerjaya sebagai chef di bahagian artistik dan duduk di bawah bumbung Under15Roof dengan menawarkan khidmat mengecat semula semula atau modifikasi kekili.
“Setakat ini saya berjaya memperoleh pelanggan dari Surabaya dan Singapura. Saya percaya custom painted reels ini akan menjadi fenomena di negara kita sebagaimana di Jepun suatu hari nanti.”
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...