Pulau Sembilan sememangnya salah satu padang pancing yang paling diminati kaki pancing. Salah satu sebab yang membuatkan ramai pemancing ke sana adalah kerana kehadiran giant trevally (GT) yang banyak berkeliaran di sekitar pulau. Saiz GT yang kebanyakannya bersaiz 2kg ke bawah membolehkan pemancing menduganya dengan set yang tidak terlalu berat.
Kami telah memilih boatman dari Kampung Permatang, Faizal kerana beliau sangat memahami kehendak pengilat. Mengilat ke sekeliling pulau sambil menghidupkan enjin menjadi teknik memancing di sana.
Perjalanan dari jeti ke spot pertama hanya memakan masa 20 minit sahaja. Sampai sahaja kami di pulau Agas balingan dimulakan sambil bot tawaf di sekeliling pulau. Tidak sampai 10 minit mengilat pancing saya sudah mengena GT. Balingan popper yang hampir dengan pulau memang pantang buat GT. Hanya dengan beberapa aksi pop dari popper ia terus disambar oleh GT bersaiz sederhana.
Larian GT biasanya akan membawa tali ke arah karang namun saya berjaya menahannya dengan joran yang Viper Hybrid yang agak keras. Tali yang baru ditukar juga membuatkan saya begitu yakin menahan dengan mengetatkan drag ke tahap maksimum.
Ads
Selain dari GT biasanya banang atau todak sering mengganggu gewang yang dilontarkan. Yang paling tidak digemari pemancing ialah banang sering memutuskan tali perambut. Bila terpaksa mengikat semula perambut dengan ikatan FG ramai pemancing mengeluh kerana ia boleh menyebabkan mabuk laut.
Kami bergerak dari sebuah pulau ke sebuah pulau. Apabila habis satu pusingan satu-satu pulau dan tidak ada sambaran kami terus berpindah dan jika ada sambaran satu lagi pusingan di lokasi yang sama akan dilakukan oleh kerana Faizal yakin ada kawanan GT yang lain ada di tempat yang sama.
Apabila sampai di Pulau Batu Putih kami meneruskan teknik mengilat sebanyak dua pusingan kerana ia agak kecil dari pulau lain. Faizal membawa kami keluar sedikit dari pulau apabila tiada sebarang sambaran dan mula memberi isyarat bahaya sudah tiba masanya untuk menurunkan jig.
Ads
Beliau berpandukan sonar dan bot berhanyut sahaja semasa kami jigging. Semasa jigging di Pulau Batu Putih saya berjaya menaikkan jemuduk yang pada awalnya saya sangkakan GT. Jig O-pass yang diunjun dengan laju tiba-tiba disambar dengan agak kasar.
Untuk menambahkan peluang untuk mendapat sambaran biasanya jig harus dilepaskan hingga ke dasar sebelum di karau. Namun begitu pemancing harus berhati-hati kerana ia sering menyebabkan jig sangkut ke karang.
Ads
Pulau Lalang merupakan pulau yang berpantai dan dilengkapi dengan kemudahan seperti tandas dan bekalan air tawar dari air bukit yang berdekatan. Jadi ia destinasi wajib yang perlu dilawati pemancing kerana ia sering di jadikan tempat berehat setelah separuh hari mengilat. Saya mengambil peluang untuk mandi dan menyegarkan badan dengan tidur seketika sebelum menyambung untuk mengilat sesi petang.
Kebiasaannya kami tidak turun terlalu awal selepas berehat, Ini adalah kerana GT biasanya lebih galak menyambar gewang semasa lewat petang. Daripada kami berpanas dan mengilat tanpa sebarang hasil lebih baik dipanjangkan sahaja masa berehat.
Semasa mengelilingi Pulau Nipis jam di tangan saya sudah menunjukkan angka 6.30 petang dan saya menyangka Faizal ingin terus pulang kerana sudah lewat petang. Setelah Zali menaikkan GT yang terakhir saya sudah bersiap sedia untuk menyimpan pancing tetapi rupanya sesi mengilat kami masih belum habis.
Faizal berpatah balik ke Pulau Batu putih dan memberi kami peluang untuk mencuba di saat akhir. Kami mengilat sehingga hari betul-betul sudah gelap dan apabila tiada sebarang sambaran barulah Faizal membawa kami pulang.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Bila umpan segar tersedia menanti tatkala laut tenang, arus pula yang menjadi penghalang.
Jika sebelum ini arus begitu deras boleh mengangkat ladung saiz 32, tapi sekarang ladung saiz 10 sudah memadai buat tali pancing tegak ke bawah.
Jenuh memikirkan strategi terbaik untuk memancing malam tersebut. Pada lewat siang air masih berarus perlahan ketika sesi mencari umpan di unjam.
Siang hari pertama kebiasaan masa yang digunakan tertumpu kepada unjam sekitar menambah stok umpan yang di bekalkan sementara menanti malam.
Selain sotong pasar, bekalan umpan selayang dan selar segar siap sedia menanti waktu untuk memburu monster dasar di lubuk yang diwar-warkan oleh tekong sebagai tukun bot Vietnam.
Saya bersama geng pancing dari Team Proton Shah Alam dan seorang lagi rakan dari Proton Tanjung Malim melakukan kunjungan dan trip memancing 3 hari 2 malam.
Walaupun dikatakan trip memancing di Pulau Tenggol tetapi sepanjang 3 hari, Pulau Tenggol hanyalah samar-samar sahaja dari kejauhan.
Jarak lubuk kami dari Tenggol lebih dari dua jam perjalanan bot yang digunakan
Bila lautan tidak berarus, mana-mana kawasan sekalipun ikan tidak begitu galak memandangkan umpan digunakan tidak mengambai seakan memanggil ikan berdekatan.
Nasib laut yang tidak beralun memberi sedikit keseronokan menikmati suasana dan panorama di laut yang tenang.
Sama ada berarus atau tidak umpan tetap dihulurkan dengan bermacam cara teknik memancing. Usaha dan bekerja keras demi mencari kepuasan.
TEKNIK PELBAGAI
Menggunakan tanduk untuk umpan kasar, teknik apollo dengan hirisan sotong pasar dan ikan hidup dengan teknik hanyut di belakang bot.
Lazimnya teknik apollo lebih digemari dari teknik lain kerana ia cepat mengundang ragutan ikan biarpun kecil.
Sebab itu sebelum trip ramai di kalangan kami menyediakan set apollo kedai yang kasar di mana perambut utama 50 paun dan perambut anak sekuat 40 paun.
Set apollo begini mudah mengekang kekuatan ikan cermin dan sagai sehingga 2 kilogram.
Pada kedalaman air 170 kaki dengan bacaan pada kekili eletrik 70 meter, ramai berada di luar kabin bot berhadapan set pancing masing-masing menanti sepanjang malam.
Trip yang dirancang 6 bulan sebelumnya digunakan sepenuhnya memandangkan bukan mudah untuk mengambil cuti dan menabung belanja untuk trip.
Sesekali ada juga sambaran kasar diterima membuatkan cadangan masuk tidur awal ditangguhkan.
Seekor siakap merah dan seekor aruan tasik masih bertahan dengan status tangkapan terberat ketika awal malam.
Dalam pada itu jig turut dihulurkan kerana tukun bot dan kapal karam kebiasaannya spot terbaik melakukan aktivti jigging.
Rashid bersahaja jigging mengena ikan terlebih dahulu dengan sekor cupak. Kemudian beliau disertai Rahmad, Zainal, Zul, Dan menumpukan acara jigging seketika dari menunggu hasil dasar yang jarang-jarang ketika itu.
Belum sempat ceria berterusan datang pula spesies yang nakal mencuri kepingan jig. Bila ada cupak, alu-alu tentu datang mencelah.
Kalau dibedal jig dengan cara sepatutnya tiada masalah, tapi yang tidak digemari ialah memotong perambut bersama jig.
Jadi kaki pancing yang membawa kepingan jig ala kadar akan terasa bahang merungut jig hilang satu persatu.
Mahu tidak mahu terpaksalah perambut dawai diganti bagi menangkis masalah kehilangan jig.
KERAPU 20 KG
Saat ketika sunyi, set joran pantai yang digunakan penulis pula menerima getuan kecil. Kadangkala kita perlu karau sedikit pancing dalam usaha memujuk pemangsa dasar lebih tergoda dengan umpan.
Paling tidak buat henjutan kecil supaya umpan bermain di hujung perambut. Dari getuan kecil, kemudian terasa berat sedikit dan akhirnya joran terus melengkung ke bawah sehingga terbenam sepertiga joran di dalam air.
Tanpa buang masa joran terus di pam ke atas biarpun ia masih mencecah sebahagian di dalam air. Ia bertujuan untuk mengekang ikan dari membuat larian ke arah bangkai bot Vietnam.
Setelah dipujuk perlahan-lahan akhirnya ikan yang menelan sotong pasar mengalah dan muncul di belakang bot.
Kekili Command X-6 yang digunakan berdesing memuntahkan tali, masuk semula dengan bantuan tangan dan ia berterusan sehingga 15 minit berlalu.
Akhirnya muncul ikan kerapu gadang menghangatkan suasana seketika. Masing-masing tidak melepaskan peluang merakamkan kenangan bersama kerapu 20 kg tersebut.
Tidak lama kemudian Zul yang memancing di belakang bot pula menerima sentapan kasar. Beliau yang tekun menunggu selepas kerapu pertama dinaikkan berpuas hati dengan sekor lagi kerapu berskala 4 kg lebih di penghujung malam.
Siang berikutnya tekong memilih untuk memancing ke arah timur lagi kira-kira dua jam dari lubuk pertama.
Koordinat berpandukan kepada carta laut yang menunjukkan terdapat satu lagi tanda ‘wreck’. Tempat yang belum pernah dikunjungi tekong dan antara lokasi paling jauh beliau membawa kaki pancing bertandang.
Kebiasaannya tertumpu kepada kawasan sekitar 2 jam selepas Pulau Tenggol. Beliau menerima saranan kami untuk mengesan lokasi tersebut yang masih samar-samar kewujudan kapal karam tersebut.
Apabila tiba, tiada paparan yang jelas, skrin sonar mendatar sahaja. Bot berpusing-pusing merata dalam radius sehingga 0.5 batu nautika namun belum mengesan sebarang objek luar biasa di dasar.
Hampir 30 minit berlalu tekong mengambil keputusan untuk mencuba satu lagi lokasi berikutnya 6.8 batu nautika dari kedudukan kami ketika itu.
Menurutnya ia merupakan tapak unjam lama yang di tinggalkan setelah banyak unjam putus dilanggar kapal dagang.
Unjam putus tetapi pemberat di dasar menjadi tukun dan pastinya menjadi pilihan untuk ikan dasar bertandang.
BERALIH LOKASI BARU
Tiba di lokasi, perkara pokok ialah mengesan kedudukan sebenar tapak unjam yang di beritakan.
Sekali lagi bantuan navigasi dan skrin sonar Furuno digunakan untuk mengesahkan lokasi. Mungkin kerana unjam tidak ditambah sekian lama, dasarnya tidak begitu membukit dan mengujakan.
Tiada lagi kelibat kumpulan anak ikan bermain di kawasan sekitar.
Kemudian kami memancing sambil berhanyut di kawasan tersebut untuk melihat potensi terlebih dahulu.
Set pancing rata-rata teknik apollo berumpan sotong ketika itu banyak memikat ikan kerisi kasar dan beberapa ekor cermin.
Tiada kerapu mahupun spesies ikan dasar buruan. Akhirnya tekong mengambil keputusan untuk beredar apabila menyedari kawasan berkenaan tiada potensi untuk memancing.
Kadang-kadang elok juga meneroka kawasan pancing baru dari semata-mata bergantung kepada lokasi yang sering dituju.
Mana tahu lokasi yang jarang menerima kunjungan membuahkan hasil. Mungkin juga faktor arus yang hampir tiada menyukarkan lagi keadaan dan memberi kesan kepada hasil tangkapan.
Dalam perjalanan kami ternampak kawanan ikan tongkol bermain di permukaan berhampiran dengan unjam.
Lantas set mata rawai ‘mengolok aya’ dihulurkan di belakang bot. Sejam berlalu hanya dua ekor aya terpedaya dengan apollo tersebut sebelum bot berlabuh di hadapan unjam berkenaan.
Sesi pancing diteruskan menjelang petang. Janji layan sahaja apa juga hasil yang sudi dengan umpan yang dihulurkan.
Seronok juga melayan ikan di kawasan unjam yang dipenuhi dengan kumpulan ikan selar kasar, selayang dan penghuni dasar walaupun kecil.
Dalam kesibukan melayan set pancing apollo, kami tersentak seketika apabila melihat sekor ikan melompat ke udara beberapa kali.
Sebenarnya joran milik Zul mengena ikan tersebut. Dah lama tak melihat ikan belitung besar membaham umpan selayang yang dilabuhkan.
Tersenyum puas Zul apabila akhirnya berjaya menangani daya juang ikan yang enggan mengalah hingga saat-saat akhir.
Warna yang begitu cantik di air ini sememangnya boleh dikelaskan sebagai ikan ‘game’ tahap menengah. Daya juang belitung yang bersaiz 5 kg ke atas begitu mengujakan.
Berlegar di sekeliling bot, membuat aksi menghambur ke udara, menjunam serta membuat larian kencang boleh mengegarkan denyutan jantung.
Tapi hari itu belitung bergerak solo atau yang lain tidak berminat dengan umpan. Begitu juga umpanan tenggiri turut tidak mendatangkan sebarang hasil yang positif.
Keseluruhan tempoh memancing yang di lalui oleh geng ini tetap menceriakan, setidak-tidaknya apa juga hasil yang diperoleh bukanlah ukuran utama.
Dalam perjalanan pulang, fikiran bermain di benak fikiran mencari waktu yang sesuai untuk bertandang lagi.
Perjalanan hari pertama berjalan lancar dengan cuaca begitu cantik. Menurut Din, trip ini bukanlah 100 peratus trip ke Pulau Jarak, tetapi akan lebih banyak singgah ke check point lubuk-lubuk kegemaran Ah Heng.
Tiba di lokasi pertama, aktiviti pancingan pun bermula. Perambut apollo berumpankan hirisan kembung, udang pasar dan sotong diturunkan. Tidak lama kemudian, umpan yang dihulur disambut ramah oleh kawanan ikan karang terutamanya ikan kerisi dan anak kerapu.
Ah Heng beberapa kali menukar lokasi mencari lubuk paling strategik bagi mendapatkan boron dan si bantal emas. Ini kerana, trip geng paramedik dan TNB ini mensasarkan pancingan dasar sepenuhnya.
Malam itu semasa makan malam, kekili bangla Dr Rizal yang dipasang di bahagian belakang bot ditekan kuat oleh penghuninya. Nyata itulah kelebihan bangla yang tiada pada set pancing lain. Sambil makan nasi tekan sahaja punat dan tunggu ikan naik. Akhirnya jenahak dalam skala 2 kg lebih menyerah diri.
Kami cuba mencandat sotong, namun tiada seekor pun sotong yang berjaya di candat, malahan malam itu kelibat sotong juga langsung tidak kelihatan di alunan bot.
Apa yang boleh diharapkan ialah menggunakan umpan mati yang ada di dalam tong ais. Beberapa spesies ikan karang berjaya dinaikkan menghiburkan suasana walaupun umpan berkenaan lambat digetu.
Tekong Ah Heng cuba untuk memberikan kepuasan kepada kami dengan sedaya upaya menjejaki lubuk-lubuk yang berpotensi sepanjang hari kedua ini. Apa yang menariknya, jika tempoh 10-15 minit langsung tiada tanda umpan di getu, Ah Heng akan membunyikan hon sebagai tanda kami perlu mengangkat umpan untuk beralih lokasi lain.
Tengah hari, kami tiba di lokasi tukun kapal karam. Dr Rizal dan Dr Yu cuba untuk jigging terlebih dahulu. Baru sahaja jigging Dr Yu melangkaui beberapa meter di bawah, terus sahaja jig miliknya direntap kuat. Selang beberapa saat beraksi, jig tersebut putus yang dipercayai mangsa adalah spesies tenggiri.
Cubaan mereka untuk terus jigging terus hampa kerana tiada langsung sambutan yang diterima. Bagi geng TNB, mereka memang terus setia menggunakan kekili bangla.
Hasilnya walaupun tidak besar tetapi ragutan yang kerap terutama dari spesies tanda dan kerapu menceriakan suasana. Dengan senyum Atok, berkata “Pancingan ekstrem bagilah kat orang muda,” katanya.
Lewat petang, angin begitu kuat menderu tiba-tiba sahaja datang dan pada malam itu ribut serta hujan lebat menimpa kami. Memang tiada pilihan, kecuali bertahan sahaja di dalam bot. Mujur bot Ah Heng memiliki kabin yang luas dan tertutup.
Malam itu, kami semua melayan sahaja alun laut sehinggalah jam 3 pagi keadaan mulai reda. Ketika ini, geng-geng paramedik yang dah lama ketagih mencari ikan sasaran, menurunkan umpan masing-masing.
Dr Rizal, Dr Jeeva, Dr Yu, Din, Atok dan Azzahari dilihat antara paling konsisten. Selain tidak jemu-jemu memeriksa umpan, Dr Rizal antara yang paling rajin mencandat sotong. Berbekalkan joran teleskopik khas yang diletakkan candat sotong dan dipasang pada rod holder sendiri, beberapa ekor sotong akhirnya berjaya di candat.
Hasil menggunakan umpan hidup beberapa ekor gerut-gerut bersaiz kasar serta jenahak bersaiz hampir 3 kg berjaya dinaikkan.
Syafiq yang menukar umpan baru tersenyum riang apabila Banax Kaigen miliknya menjerit kuat. Tetapi bila dinaikkan, hasilnya cumalah yu cicak. Patutlah kuat melawan katanya.
Menjelang subuh, hujung joran milik Dr Jeeva yang duduk di bahagian belakang bot melentur habis. Melihat aksi rod yang ‘minum air’ kami menjangkakan ikan boron besar berjaya dinaikkan dan apabila dihela sahaja ke atas, timbul seekor kerapu bersaiz sedap hidangan menjadi rezeki. Dr Jeeva tersenyum riang kerana walaupun ia bukan bersaiz boron dan hanya seberat hampir 4 kg, ternyata ia ikan yang paling besar dalam trip ini.
Menjelang tengah hari, bot mula bergerak pulang menuju ke Jeti Hutan melintang dan tiba di jeti bot Ah Heng kira-kira jam 2 petang.
Dr Jeeva dinobatkan sebagai pemenang ikan terberat iaitu dengan tangkapan kerapu seberat sekali gus menerima hadiah sehelai T-shirt Umpan. Walaupun hasil tidak memberangsangkan, tetapi trip ini berjaya menjalinkan hubungan sesama kami.
Nyata geng-geng paramedik ini begitu mendambakan tangkapan yang memuaskan. Terbaru saya menerima email gambar tangkapan dari Dr Rizal yang kembali ke perairan ini. Memang teruja melihat hasil tangkapan mereka, boron terberat 14 kg dan enam ekor yang lain bersaiz 6-9 kg setiap ekor.
Terletak di sebelah pantai barat semenanjung, Tanjung Tuan dalam kawasan Port Dickson merupakan antara spot memancing yang terbaik beberapa tahun kebelakangan ini.
Malah, Port Dickson sendiri telah menjadi antara destinasi percutian dan berlibur yang popular di Malaysia.
Lokasi ini juga terkenal dengan sejarahnya yang tersendiri. Juga dikenali sebagai Cape Rachado, nama yang diberikan oleh Portugis, lokasi ini terkenal dengan rumah apinya (Cape Rachado Lighthouse) yang menghadap ke Selat Melaka.
Perairan ini pernah menjadi medan pertempuran laut antara Dutch VOC dan Portugis dalam Battle of Cape Rachado sekitar tahun 1606.
Hari ini, Tanjung Tuan menjadi antara lokasi yang menjadi perhatian kaki pancing, lebih-lebih lagi bagi pemancing dasar dan jigging.
Jigging atau mengunjun besi memang mempunyai ‘karen’ tersendiri. Bahkan melihat besi jig yang berwarna-warni pun kadang-kadang bole terlupa akan masa kerana asyik, apatah
lagi kalau jig tersebut berjaya menjalankan tugasnya dengan baik dan memberi pulangan dengan menaikkan ikan hasil godaannya.
TRIP ‘MEMBESI’ TANJUNG TUAN
Seawal jam 6 pagi kami bertolak menuju ke Port Dickson dari Kuala Lumpur bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Sebelum ke jeti, kami sempat bersarapan ala kadar serta membeli barang makanan lain di sekitar Teluk Kemang.
Usai bersarapan, tanpa membuang masa, kami menuju ke Jeti Pengkalan Teluk Kemang Batu 7, lokasi yang menjadi tempat janji temu kami berjumpa tekong Apex Kecik.
Jam 8 pagi kami tiba di jeti dan mula memunggah peralatan yang perlu digunakan. Kelihatan beberapa orang grup pemancing baru tiba di gigi air, mungkin baru pulang dari trip malam tadi.
Sementara menunggu Apex menurunkan bot, kami mempersiapkan set pancing masing-masing dengan ikatan yang perlu dan juga membuat pemeriksaan akhir agar tidak
tertinggal peralatan yang akan digunakan terutamanya besi-besi pelbagai warna dan berat yang akan digunakan sebagai modal utama menggoda isi perut Tanjung Tuan.
Sebaik sahaja Apex selesai menurunkan bot di gigi air, kami berlima bertolak dari jeti menuju ke lubuk-lubuk simpanan Apex yang bakal menjadi medan pertarungan jigging kali ini.
Bot sepanjang 24 kaki ini meluncur laju membelah air hasil lonjakan deruan enjin Johnson berkekuatan 40hp.
Sekitar 30 minit meluncur, akhirnya Apex menghentikan bot menandakan kami telah tiba di lubuk pertama yang akan menjadi medan unjunan besi.
BATTLE OF CAPE RACHADO BERMULA
Masing-masing mula mencapai set masing-masing dan jig pilihan digantung pada hujung tali.
Tekong Apex yang lebih arif dengan perairan ini khususnya lubuk simpanannya menyarankan kami menggunakan jig yang mempunyai berat sekitar 80g-120g kerana keadaan arus air yang tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan.
Lalu masing-masing menurunkan jig, unjunan menegak (vertical jigging) secara slow-pitch menjadi pilihan pertama pagi itu.
Tak menunggu lama, ketika masingmasing masih mencuba warna jig yang sesuai, tiba-tiba Apek yang melakukan unjunan di bahagian belakang bot mendapat henjutan pertama.
Hujung rod mula melengkung namun sayang, beban yang dirasakan pada mulanya tiba-tiba hilang menandakan besi yang dihidang telah dipotong.
Belum sempat nak mengeluh kecewa, jig yang digayakan menggunakan set custom PE 0.6 – 1.5 milik Zach pula mendapat henjutan dari bawah, tapi sekali lagi hampa apabila
mangsa terlepas mungkin kerana mata kail tidak tercangkuk kemas ketika melakukan strike.
Belum sempat besi jig Zach dinaikkan, Bob yang sedari tadi tidak putus-putus membuat unjunan perlahan di bahagian tengah bot pula dihenjut kuat menandakan pertarungan seterusnya.
Rod Crosstage PE 1.2 milik Bob menjunam mahu mencium riak air. Setelah menyaksikan Apex dan Zach tewas di depan mata, mangsa kali ini perlu dinaikkan.
Yakin dengan kemampuan rod Crosstage miliknya, Bob menahan asakan mangsa sebelum mula membuat asakan balas menggunakan kekili Ryojin 3000 sebagai padanan rod.
Kayuhan kudrat Bob menyebabkan tali utama mula memasuki spool Ryojin 3000 dan sesekali mangsa cuba mengasak, namun kekuatan beban milik Crosstage Bob serta drag kekili membataskan segalanya.
Akhirnya, mangsa mengaku kalah apabila menunjukkan sisik oren dirinya di permukaan air. Jelas, kemenangan milik Bob apabila menaikkan seekor jenahak sekitar 3 kg.
Bob menjerit kepuasan sambil memegang jenahak yang menjadi trofi kemenangan miliknya pagi itu.
ANGKATAN TALANG TANJUNG TUAN
Di lubuk berikutnya, unjunan jig daripada Bob sekali lagi mendapat berjaya menggoda mangsanya.
Sekali lagi Bob tenang mengawal keadaan. Kudrat rod Crosstage PE 1.2 dan kekili Ryojin 3000 sekali lagi digunakan sebaik untuk membataskan asakan lawan.
Pertarungan kali ini lebih singkat tanpa banyak masalah dan Bob sekali lagi tersenyum puas dengan seekor lagi jenahak hampir 2 kg ketika matahari semakin menegakkan sudutnya.
Ketika terik matahari semakin menikam kulit, tekong Apex menghidupkan enjin bot untuk membawa kami mengejar boiling talang.
Tiba di lokasi, kelihatan riak-riak boiling sang talang umpama air mendidih di bawah payungan burung-burung laut.
Serta merta, kami yang turut mendidih keghairahan mencapai set masing-masing dan melakukan teknik jig-cast menggunakan jig yang lebih kecil.
Berat sekitar 20-40g, sebaiknya warna silver atau biru menjadi saranan Apek untuk teknik jig-cast.
Seekor demi seekor talang mula menyerah diri akibat terpedaya dengan luncuran jig kami.
Apek yang masih tekun dengan teknik vertical jigging di bahagian belakang mendapat henjutan yang agak kasar.
Menjerit-jerit drag kekili Apek meraung akibat strike demi strike yang dilakukannya, lepas geram untuk pagi tadi agaknya. Dengan tenang seekor talang atau Queenfish dinaikkan.
Talang hasil vertical jigging mempunyai saiz yang lebih besar berbanding talang hasil buruan jig-cast semasa boiling.
Keasyikan mengejar boiling talang tidak terhad kepada teknik jig-cast sahaja. Untuk menambah keseronokan, kami bertukar kepada teknik popping dan hasilnya memang terbaik.
Malah lebih teruja melihat riak air apabila talang menghentam popper di permukaan air.
Untuk aksi popping talang di Tanjung Tuan, popper berwarna putih atau clear merupakan salah satu gewang mujarab sebagai pertaruhan.
JUMPA LAGI CAPE RACHADO
Keasyikan mengejar boiling talang menyebabkan kami terlupa sudah mengheret waktu ke petang. Kami sempat dibawa ke lubuk kerapu ketika dalam perjalanan ke jeti sebagai persinggahan akhir.
Walaupun singkat, seekor kerapu berjaya dicungkil dari celahan batu sebagai hasil penutup untuk pertempuran Naval Battle of Cape Rachado.
Sekitar jam 6.30 petang, kami tiba di jeti bersama hasil cungkilan Tanjung Tuan. Sepanjang trip berlangsung, penulis secara peribadi cukup tertarik dengan kerajinan, tip dan khidmat tekong Apek Kecik sepanjang trip berlangsung.
Tidak hairan, sebelum ini ada khabar mengatakan dia antara tekong terbaik di Tanjung Tuan untuk trip jigging dan casting, sehinggakan terpaksa menempah 2 atau 3 bulan lebih awal.
Diharapkan tekong Apex Kecik terus menawarkan khidmat terbaiknya kepada kaki pancing.
Trip kali ini boleh dianggap sukses walaupun tiada mangsa bersaiz mega, namun rata-rata spesies yang dinaikkan cukup untuk membuktikan bahawa Tanjung Tuan merupakan antara lokasi terbaik untuk teknik jigging di pantai barat Semenanjung.
Dengan pengurusan di jeti yang tersusun dan dijaga bersih, penulis melihat Tanjung Tuan akan menjadi lokasi tumpuan yang lebih besar di kalangan pemancing untuk tahun yang mendatang.
Matahari yang terbenam menandakan kami perlu kembali pulang. Pertarungan sepanjang trip dan hilangnya jig sepanjang trip membuatkan kami bertekad untuk kembali. Sampai jumpa lagi Cape Rachado.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...