Kami sekali lagi mencari strike di Tasik Temenggor, Perak. Spesies sebarau dan toman menjadi ikan sasaran yang wajib dicari.

Dalam erti kata Lain memperbaharui rekod tangkapan trip terdahulu. Cuma, kunjungan kali ini air di Tasik Temenggor sedikit berbeza dari kerana paras air yang sedikit cetek.

 

Kami memilih untuk menginap di boathouse sepanjang tempoh 3 hari 2 malam di Tasik Banding.

Lazimnya, jika lakukan aktiviti mengilat di Tasik Temenggor, lebih baik rasanya lakukan trip yang lebih panjang kerana dapatlah mengintai spesies sebarau seawal sebelum jam 7 pagi!

 

Kami juga menguji keberkesanan gewang dari Taiwan, Strike Pro Flap Jack iaitu salah satu gewang jenis separa tenggelam yang boleh diguna pakai untuk pelbagai takat kedalaman terutamanya di lokasi yang dipercayai didiami oleh ikan sasaran iaitu sebarau.

 

Sebaik tiba di Tasik Banding, kami terus sahaja menerjah ke spot tumpuan yang menjadi lokasi permainan sang sebarau dan toman.

Mengaplikasikan gewang jenis separa tenggelam memerlukan konsistensi yang tinggi ketika mengarau.

 

Jika berhenti karauannya, gewang pasti tenggelam ke dasar. Kami bersepakat memilih saiz panjang badan gewang 4 cm hingga 7.5 cm berwarna oren kemerahan dan biru bagi menarik perhatian sebarau.

Bagi menghambat selera spesies yang juga digelar serigala air tawar ini, sesi pagi bermula seawal 7 pagi hingga 10 pagi manakala 4 petang hingga 7.30 malam untuk sesi petang.

 

Memandangkan kunjungan kami waktu itu paras air tasik sedang surut, pencarian sebarau memerlukan banyak kerajinan.

Agak berbeza apabila sebarau lebih mudah ditemui ketika musim tengkujuh. Jadi, kali ini kami perlu sentiasa rajin mencari spot mainan sang sebarau berada.

 

Kami memilih membuat lontaran gewang ke posisi atau spot yang sama atau berdekatan dengan pohon yang rendang dan celah-celah akar pokok atau pokok tumbang.

 

TEKNIK BALINGAN & GEWANG TIRUAN

 

Trip Retro – Mencari Strike Tasik Temenggor

IKLAN

 

Keutamaan kami adalah di kawasan berakar, pokok berdahan besar dan pokok-pokok tinggal yang tumbang ke dalam air.

Kami memilih membuat lontaran gewang ke posisi atau spot yang sama berulang kali. Selain menggunakan gewang separa selaman, kami turut menggunakan gewang jenis permukaan.

 

Kedua-dua jenis gewang ini bersesuaian untuk mencari sebarau di spot yang mencabar dan dipenuhi dahan ataupun ranting pokok.

Selain itu, kami turut menggunakan sesudu, dengan cara lontar dan biarkan ia tenggelam seketika sebelum dikarau laju.

 

SAMBARAN YANG PERTAMA

 

Trip Retro – Mencari Strike Tasik Temenggor

 

Ketika casting di kawasan pokok tumbang sekitar jam 1.15 tengah hari, kami telah dihidangkan strike dari sebarau, namun mangsa berjaya menyembunyikan diri di bawah

dahan besar pokok yang tumbang. Selepas menghenjut tali beberapa kali, akhirnya sebarau dalam skala 1.3 kg berjaya dihela keluar.

 

IKLAN

Selepas itu, kami berjaya mendaratkan beberapa ekor lagi spesies sebarau. Tidak kurang sang toman yang besar dan juga bersaiz bujang.

Kami turut bertemu toman jalur yang pelahap menyambar gewang kecil. Toman jalur ini, biasanya sudah berpisah dari ibunya, namun masih bergerak berkumpulan.

Ada kalanya toman jalur ini menjadi penghibur ketika pencarian toman bersaiz besar. Jika terkena saiz jalur, wajib bagi kami melepaskannya semula.

 

Trip Retro – Mencari Strike Tasik Temenggor

 

Ketika bot berlegar-legar mencari toman timbul menyedut udara di permukaan di satu suak yang sunyi sepi, tiba-tiba kami terserempak pula dengan anak toman yang masih merah timbul di permukaan.

 

Dengan merasakan ada mamanya, lantas gewang dilontarkan ke kawanan anak toman berkenaan.

Tidak sangka pula, gewang jenis versatil seperti Strike Pro Flap Jack yang kami bawa ini mampu bangkitkan nafsu pada toman.

Dalam beberapa kali karauan yang dilakukan, tiba-tiba sahaja terasa satu henjutan kuat, menandakan sang toman rakus membaham sebagai tanda amarah kami mengacau kumpulan anaknya.

 

Keadaan dasar Tasik Banding yang sedikit berlumut tebal memberi kelebihan toman menyusup.

Namun, dengan berinsuran perambut kejutan berkuatan 30 paun dan dipadankan dengan tali sulam 20 paun pertembungan yang didambakan oleh semua kaki casting mengambil masa lebih kurang 11 minit.

IKLAN

 

Selepas dinaikkan ke atas bot dan sesi bergambar, akhirnya toman berkenaan di lepaskan semula kembali ke pangkuan anaknya. Terima kasih di atas perlawanan ini.

Tidak lama kemudian, seekor lagi sang toman berjaya diperoleh. Dengan bersusah payah kami berusaha menaikkan toman bersaiz gadang.

 

Trip Retro – Mencari Strike Tasik Temenggor

 

KESIMPULAN

 

Walaupun trip ini agak singkat dan impaknya tidaklah sebesar trip terdahulu, lapangan di Tasik Banding masih sarat dengan spesies ikan air tawar.

Sememangnya, Tasik Banding adalah lokasi pencarian terbaik dua spesies yang begitu dipuja oleh ramai kaki casting.

 

Nasihat kami, jika datang ke sini, kawasan yang selalu didiami spesies ini ialah seperti di rekahan dinding berbatu, suak, kawasan bertebing berciri berbukit, kawasan tunggul kayu dan kawasan yang ada pokok tumbang.

Bawalah bersama gewang berwarna seakan menyala dan cerah seperti oren, jingga, hijau, merah, merah jambu dan hijau.

Saiz gewang paling ideal bersaiz 8-12 cm dari pelbagai bentuk dan jenis selaman bermula dari 2-4 kaki bergantung pada kedalaman lapangan tempat memancing.

 

(Oleh: Muhammad Safuwan)

 

Trip Retro – Mencari Strike Tasik Temenggor

baca juga Royal Belum : Lubuk Memancing Asli

Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!

Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan

Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI