Jangan segan untuk bertanya kepada tekong tentang peralatan pancing yang sesuai untuk digunakan. Ia lebih baik kelihatan seperti tak tahu apa-apa daripada berlagak pandai. Dari jenis kekili, joran, kekuatan tali, jenis perambut, mata kail dan batu ladung, sebaiknya tanyalah pada tekong kerana tekong sudah pastinya lebih arif.
Jangan kedekut umpan
Sotong kurita dan udang lipan merupakan umpan yang paling efektif di perairan ini khususnya untuk memancing ikan merah, jenahak dan kerapu. Namun harga bagi seekor umpan terutamanya sotong kurita semakin hari semakin melambung harganya. Tetapi, jika anda terlalu berkira-kira untuk membeli dan `sayang’ untuk menggunakannya, usahlah bermimpi untuk pulang dengan hasil penuh di dalam tong.
Ads
Putus dan rabut
Mana-mana tekong pasti akan meradang apabila kejadian rabut dan putus berlaku berulang kali terutamanya di lubuk ikan merah. Atas sebab itulah anda sangat-sangat digalakkan mendapatkan nasihat tekong terlebih dahulu terutamanya pemilihan perambut dan jenis ikatan yang bersesuaian. Jika putus juga itu cerita lain. Sekurang-kurangnya tekong tiada modal untuk menyalahkan anda lagi.
Ads
Tinjau pergerakan kapal
Jangan menunggu sehingga kapal membunyikan hon amaran sebagai tanda untuk beredar dari laluannya. Anda pula jangan bergantung kepada tekong sahaja untuk memantau kedudukan kapal yang lalu lalang di kawasan anda berhanyut. Ada kalanya tekong terlepas pandang juga. Bila mendapati ada kapal yang bergerak ke arah bot, cepat-cepatlah beritahu tekong walaupun ikan sedang galak membaham umpan di lubuk berkenaan.
Ads
Jangan semua tidur!
Ada ketikanya tekong akan terlelap juga ketika berhanyut terutamanya jika menotol pada waktu malam. Kalau lihat tekong tertidur ataupun sememangnya tidur untuk seketika, jangan pula ikut sama tidur. Lagi parah kalau kesemua ahli trip ikut sama tidur. Dan ia akan menjadi tragedi lebih parah jika kapten kapal dagang yang sedap bergerak laju ke arah anda juga tertidur.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
MYH : Bermula pada tahun 2008, saya mula serius memancing terutama dalam pertandingan-pertandingan kolam air tawar.
Namun kebanyakan joran yang terjual di kedai pancing tidak dapat memenuhi citarasa saya.
Oleh yang demikian saya pelan-pelan mencari maklumat tentang joran. Blank yang berkualiti. Ciri-ciri blank. Material yang digunakan begitu juga dengan guide.
Belajar perlahan-lahan dari seorang pembuat joran kecil-kecilan tentang teknik memasang guide. Reel seat handle dan aksesori.
Saya bertugas sebagai perfusionist (pembedahan jantung dan paru-paru) pada waktu siang. Pada waktu malam memenuhi masa lapang dengan hobi membuat joran custom.
Bukan untuk berniaga pun. Hanya sekadar membantu sahabat sama hobi dengan kadar bayaran yang sangat rendah. Tanpa memikirkan keuntungan.
Hanya sekadar upah kerja yang berpatutan. Bayangkan upah custom sebatang joran bagi spek yang biasa untuk blank buatan Malaysia hanya RM250. Dan maksimum sehingga RM300 untuk blank buatan Jepun dan USA.
Awal 2016 saya kian serius tetapi hanya sekadar hobi memenuhi masa lapang. Saya mula membeli mesin untuk wrapping dan dryer khas untuk joran custom.
Berita mengenai rod custom buatan sendiri cepat merebak dan sahabat terdekat mula menghantar joran untuk baik pulih.
Dan ada juga yang membuat joran custom harga bajet di bawah RM700 untuk kategori spinning kegunaan kolam air tawar.
Setelah beberapa bulan permintaan membuat joran custom bertambah dan saya mula mencari stok barang-barang custom seperti blank, cincin, butt cap, benang dan lain-lain.
Setelah itu mula menghantar hasil-hasil buatan dan gambar di Facebook maka dengan lebih cepat lagi dikenali di seluruh Semenanjung.
Selepas itu mulalah serius dalam hobi membuat rod custom sehingga ke tahap mengimport secara terus blank dan cincin dari Jepun dan USA.
Biasanya selepas jam 10.00 malam barulah saya membuat joran sehingga jam 4.00 pagi setiap hari.
UMPAN : Kenapa anda memilih usaha ini?
MYH: Saya memilih melakukan custom rod ini hanya untuk sekadar hobi yang bermanfaat untuk memenuhi masa lapang.
Malah sedikit menampung perbelanjaan harian walaupun tidak banyak. Namun lebih baik ada daripada masa lapang terbuang tanpa apa-apa aktiviti.
Hobi diisi dengan aktiviti berfaedah malah ada sedikit kemasukan kewangan walaupun hanya di rumah. Selain itu juga kerana minat. Joran-joran yang dihasilkan setakat ini spinning, Jigging dan casting.
Namun saya menolak untuk membuat bottom rod kerana barang-barang sangat mahal bagi mengeluarkan modal untuk stok simpanan.
UMPAN : Apa rintangan dan harapan anda dalam meneruskan usaha ini?
MYH: Pada waktu sekarang harga barang terutama yang diimport sangat tinggi. Tambah pula dengan caj perkapalan yang tinggi dari luar negara terutama USA dan cukai import yang tinggi.
Saya juga terpaksa bersengkang mata untuk menyiapkan tempahan dari kenalan satu hobi. Disamping itu juga perlu menjaga kualiti hasil custom itu sendiri. Kos membuat
sebatang joran buatan dari USA sangat mahal sehingga mencecah RM1500 makanya pemilik joran mahukan hasil yang terbaik.
Harapan saya semoga pengguna lebih memahami kos modal untuk satu-satu joran itu tanpa ada tanggapan pembuat joran hanya mengambil keuntungan yang lebih.
Malah saya berharap lebih ramai pembuat joran muncul agar persaingan secara sihat untuk meningkatkan kualiti dan memajukan dunia custom dan malah dunia memancing.
UMPAN : Boleh tak jelaskan apa keistimewaan joran yang anda custom?
MYH : Kelebihan tiap-tiap custom rod adalah berbeza antara satu sama lain. Kerana seseorang yang mahu membuat custom maka dia mahukan yang istimewa.
Berbeza dengan yang lain. Yang memenuhi ciri-ciri kehendak seseorang. Dari segi action (lb) gabungan cincin yang dikehendaki dan aksesori tiap-tiap joran yang dihasilkan boleh dipilih dengan selera masing-masing.
Dan yang paling penting, setiap batang joran yang dihasilkan itu adalah sangat istimewa kerana hanya sebatang joran itu di dalam dunia.
UMPAN : Boleh ceritakan sedikit pengalaman anda memancing?
MYH : Saya gemar memancing dan menyertai pertandingan kolam air tawar dengan serius. Saya pernah pernah juara pada 28.11.2010 dengan membawa pulang hadiah RM28 ribu bersama hadiah iringan sebuah motosikal.
Tempat kedua pada 2014 di Seri Bayu Tekala dengan membawa pulang RM 14 ribu. Dan juga juara di kolam Peragap pada 2018 dengan membawa pulang RM20 ribu.
Selain ikan, udang merupakan antara spesies kegilaan kaki pancing. Berbeza dengan ikan, sentapan udang turut mempunyai keasyikan yang tersendiri.
Mungkin tidak seganas ikan, namun penangan sentapan udang mampu membuatkan pemancing leka dibuai tarikannya.
Jika anda mahu mencuba pancingan spesies krustasia ini, apa kata anda berkunjung ke D’Ombak Kolam Pancing Udang Harimau yang terletak di Taman Rakan, Sungai Long, Kajang.
Kolam pancing di sini mampu memberikan kepuasan bagaimana tarikan udang harimau kepada anda dan pasti anda tidak pulang tangan kosong.
Menurut pemilik kolam pancing udang harimau ini, Aishah Bt Aziz atau mesra disapa Kak Shah, kolam ini telah beroperasi lebih kurang 8 bulan setelah dia mengambil alih pengurusan kolam ini daripada pemilik sebelumnya.
“Saya memulakan perniagaan kolam pancing udang harimau ini kerana minat dan Alhamdulillah sambutan yang diterima cukup menggalakkan,” tambah Kak Shah lagi.
Udang harimau di kolam ini bukan sahaja dilepaskan setiap hari, malah setiap jam juga udang akan dilepaskan bergantung kepada jumlah pemancing pada kadar 200 gram/pemancing yang ada.
Selain itu, antara tarikan lain ialah pada hari Sabtu dan Ahad yang dipanggil Happy Hour di mana pihak kolam akan melepaskan 10kg udang serentak untuk dipancing. Jangan khuatir, anda pasti tidak akan pulang dengan tangan kosong.
Bercerita tentang pancingan spesies udang harimau atau Penaeus monodon ini, cara pancingannya hampir sama dengan pancingan udang galah.
Di sini, umpan yang sering digunakan dan ada dijual di sini ialah umpun-umpun. Kemudian anda sudah boleh duduk santai setelah melabuhkan umpan dan bersedia untuk menyentap tarikan udang harimau.
Pastikan mata anda fokus pada tali pancing untuk melihat tarikan udang harimau ini kerana kadang-kadang pergerakan tali yang minima sudah menandakan ada yang menjamah umpan.
Jika yakin umpan dah mengena, sentap rod menggunakan pergelangan tangan atau istilah popular di sini iaitu ‘lock’, sebelum angkat rod bersama udang yang tewas.
Fuhh, penulis sendiri pun terasa keasyikannya setelah menaikkan beberapa ekor udang harimau dalam masa yang singkat.
Pemancing-pemancing lain sewaktu kunjungan penulis pun masing-masing seronok dibuai tarikan udang harimau.
Malah, anda tidak perlu segan atau malu kerana apabila berada di sini, bukan sahaja Kak Shah dan suaminya iaitu Abang Wan D’Ombak yang akan memberikan tip, malah pemancing lain pun tidak sukar memberikan tunjuk ajar.
Bak kata orang, memang sempoi habis. Setelah meluangkan masa berkunjung di sini, penulis melihat kolam ini memang sesuai bagi mereka yang mahu meluangkan masa santai
sambil melayan tarikan udang harimau baik yang datang berkeluarga, suami isteri atau pun solo.
Pendek kata, syok tarik udang dapat, syok makan udang pun dapat, memang berbaloi-baloi.
Umpun-umpun, ruat adalah perumpun adalah daripada kumpulan haiwan invertebrata hampir sama dengan jenis cacing tanah yang terdapat di belakang halaman rumah kita.
Namun, bentuknya yang lembut dan panjang sehingga mencapai 50 cm serta mempunyai kaki seperti lipan, memperbezakan spesies ini daripada cacing tanah yang sedia ada.
Habitat spesies ini boleh didapati di kawasan berlumpur yang diliputi pokok bakau atau nipah di persisiran pantai dan ia bersarang di dalam lumpur itu sendiri.
Kaedah menyimpan umpun-umpun adalah seperti berikut:
Panas melampau
Jangan simpan perumpun di tempat terdedah atau terkena cahaya panas terik atau terdapat pancaran terus matahari kerana ia akan mengeringkan selut dan kelembapan badan umpun umpan serta membunuhnya.
Sejuk melampau
Jauhi dari kesejukan hawa dingin atau air cond. Jika disimpan di bilik yang mempunyai air-cond, tambahlah sedikit air.
Angin kering yang dikeluarkan dari air-cond akan mengering kelembapan yang terdapat dari kulit umpun umpun.
Tempat teduh
Seboleh-bolehnya simpan di tempat sejuk atau masukan beberapa ketulan ais beku untuk menyejukkan tempat kurungan supaya cacing tersebut kurang aktif.
Tapi tak perlulah simpan di dalam peti sejuk apatah lagi di dalam bahagian sejuk beku.
Semut
Jauhi tempat simpanan umpun-umpun daripada dimasuki semut dan berdekatan dengan bahan-bahan kimia yang boleh membunuhnya.
Cara potong
Apabila memotong umpun-umpun untuk dijadikan umpan, sebaiknya anda memotongnya daripada bahagian ekor sedikit demi sedikit dan sekiranya tidak habis digunakan, simpanlah di dalam bekas asalnya dan letak di tempat yang teduh.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...