
SOALAN: Ada tak petua bagaimana nak bagi perumpun tahan lebih lama?
JAWAPAN:
Tak kira apa saja jenis perumpuan atau umpun-umpun, ia perlu disimpan di dalam bekas dan di tempat yang lembap dan jauh dari cahaya terus matahari.
Lebih bagus sekiranya dapat diletakkan selut asal (tanah dari habitat asal perumpun) sebagai tempat perumpun berlindung.
Perumpun mudah mati apabila kepanasan melampau dan tidak disimpan dalam air yang tidak ditukar ganti. Air yang terlalu lama akan menjadi berasid.
Bekas perumpun seboleh-bolehnya lebar dan dapat memberi ruang oksigen yang secukupnya. Jika rajin, ketika sepertiga perjalanan perlu ditukar air dengan air laut yang baru (dalam bekas berasingan).
Untuk perumpun sarang, lebih baik jangan keluarkan dari sarangnya sehingga waktu hendak digunakan.
Sentiasa lembapkan sarang dengan air laut yang baru.
Potong bahagian ekor terlebih dulu kerana bahagian kepala mampu bertahan lebih dari 3 hari jika kelembapan dikekalkan.
Asingkan perumpun mati dengan yang hidup.
Gunakan kertas surat khabar lembap dengan air laut sebagai pilihan. Tukar surat khabar selalu untuk kesegaran perumpun.
Soal Jawab Mancing – Perambut Terbaik Untuk Mancing Di Muara?

SOALAN:
Boleh tak admin bagi tip saiz perambut untuk memancing di muara. Contoh macam untuk mancing ikan sasaran utama siakap, tebal pipi, senangin, kurau, jenahak dan sebagainya.
JAWAPAN:
Untuk memancing ikan-ikan sasaran sebagaimana yang dinyatakan, saya mencadangkan anda gunakan perambut dari jenis fluorocarbon berkuatan 30lb sepanjang 1 hingga 1.5 depa dan mata kail saiz 1/0- 2/0. Umpan pula saya lebih sarankan udang hidup dan juga perumpun.
Namun, untuk memancing sasaran utama muara seperti siakap, saya menggalakan anda guna perambut dupont 30lb sepanjang satu depa dengan mata kail 2/0.
Umpan pula udang hidup atau ikan hidup. Sekiranya menggunakan umpan ikan hidup, sebaiknya ikan itu dicangkuk pada bahagian tengkuk ikan.
Sekiranya menggunakan udang hidup pula, cangkuklah pada bahagian ekor. Dan jika ingin menggunakan umpan ikan tamban segar, sebaiknya potonglah bahagian sirip ekor dan cangkuklah pada bahagian batang ekor.
Perambut dupont sangat sesuai untuk pancingan siakap kerana profil permukaan perambut itu keras dan kuat tanpa perlu menggunakan perambut dawai atau wayar.
Berbanding perambut fluorocarbon pula ia lebih elastik yang membolehkan umpan hidup bergerak lebih bebas dan tahan lama.
Kalau untuk pancingan semasa air berarus pula, amat disyorkan menggunakan teknik langsung tanpa pelampung. Sekiranya tiada arus barulah gunakan pelampung.
Namun, jika anda rajin bolehlah gunakan teknik casting. Teknik casting sebenarnya lebih mencabar dan menyeronokan bagi pancingan siakap.
Trip Memburu Spesies Kelah Made In Sabah

Bagi kaki pancing, dapat merasai pengalaman memancing tangkap dan lepas di kawasan tagal ini pastinya sesuatu yang sering diimpikan. Begitu juga bagi saya. Apa yang menarik tentang sungai yang saya terjah ini adalah, ia merupakan sungai bertagal yang 5 hingga 10 tahun tidak pernah dituai langsung!
Mujurlah ada kenalan dari Sabah yang mempunyai akses untuk memancing di kawasan tagal ini dan sudi membawa saya dan orang beberapa orang rakan pemancing lain memancing di syurga sungai pergunungan di kaki Gunung Kinabalu ini. Ikuti ekspedisi saya bersama beberapa orang rakan menerjah Hulu Sungai Kiulu yang terletak di daerah Tuaran.
Hari Pertama
8.00 pagi – Inilah hari yang saya nanti-nantikan. Segala persiapan untuk mendapatkan lesen pelian Sabah sudah lengkap dipersiapkan.
11.00 pagi – Perjalanan menuju ke Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membuatkan hati lebih membuak-buak.
1.00 tengah hari – Berlepas dari KLIA menuju ke Kota Kinabalu. Jam 3 petang, saya selamat tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan seorang rakan telah pun menanti saya dan membawa saya hotel di Tuaran.
4.00 petang – Selesai sesi ‘mengeteh’ dan beramah mesra dengan rakan lain, saya pulang semula ke hotel dan merehatkan badan untuk berjuang keesokan paginya.
Hari Kedua
5.00 pagi – Seawal jam 5 pagi kami sudah bangun untuk bersiap sedia ke lapangan pancing.
6.00 pagi – Kebanyakan ahli komplot sudah berkumpul untuk bersama-sama menuju ke lokasi tagal ini.Trip kali ini turut disertai Pemburu Sungai, Rogon Besar, Kadie Calvin, Richard, Ezar, Buinaga Caster dan juga Rosdi Lusi selaku guide kami ke sini.
6.15 pagi – Dengan menggunakan kenderaan pacuan 4 roda, kami bergerak dari Tuaran menuju ke lokasi tagal di Kiulu. Perjalanan ke lokasi tagal ini memakan masa lebih kurang 45 minit.
7.00 pagi – Tiba di Kiulu. Selesai meletakkan kenderaan, kami meneruskan perjalanan untuk trekking ke lubuk-lubuk pilihan pula. Untuk ke lubuk pilihan ini, perjalanan mungkin memakan masa 35 minit lagi bergantung kepada lubuk yang ingin dituju.
7.30 pagi – Kami mula berpecah untuk ke lubuk pilihan masing-masing. Sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan pemandangan yang begitu mempesonakan. Memang benarlah kami seakan-akan berada di syurga.
7.45 pagi – Sedang melalui sebuah jambatan gantung, kami dapat melihat dengan jelas di bawahnya beribu-ribu ikan pelian berenang betul-betul di bawah kami. Perghh… Memang gigil tangan dan kepala lutut dibuatnya!
8.00 pagi – Sesi pancingan bermula. Semua ahli komplot mempertaruhkan pelbagai jenis gewang untuk menjerat sang raja sungai ini.
8.05 pagi – Tak perlu menunggu lama untuk ikan pertama berjaya saya daratkan. Biarpun saiznya sekitar sekilogram sudah mampu membuatkan saya tersenyum lebar. Ikan yang didaratkan ini juga selamat di CnR.
8.30 pagi – Suasana menjadi semakin riuh-rendah. Kebanyakan geng komplot berpesta mendaratkan hasil tangkapan. Ada juga geng yang sudah tidak kelihatan kerana meneruskan perjalanan trekking mencari lubuk yang lebih baik.
12.00 tengahari – Sesi memancing masih berterusan. Namun, ada juga ahli geng yang sudah melepak di tepi untuk merehatkan badan. Ada juga yang mengambil kesempatan untuk menambah tenaga dengan bekal yang dibawa.
2.00 petang – Meneruskan perjalanan ke hulu sungai untuk mencari lebih banyak spot berpotensi.
2.15 petang – Melalui sahaja kawasan yang berpotensi kami terus melemparkan gewang. Jika tiada sambaran kami meneruskan perjalanan ke lubuk lain pula. Atau dalam erti kata lain ‘cast & go’.
3.00 petang – Sesi casting semakin meriah. Di satu lubuk yang kami singgahi banyak kali berlaku kejadian double dan triple hook up! Memang mengasyikkan melayan ikan-ikan yang tidak segan silu menyambar gewang di sini.
4.30 petang – Singgah di sebuah kawasan air terjun yang sangat cantik. Kesempatan ini kami ambil untuk bermandi-manda sambil menyejukkan badan. Kepenatan trekking ke lubuk-lubuk ini bagaikan tak dirasa bila berdepan dengan panorama alam semula jadi yang begitu indah ini.
6.00 petang – Kami mengambil keputusan untuk menuju pulang ke kawasan parkir kereta. Bagaikan tak disangka impian untuk memancing di kawasan tagal menjadi kenyataan.
Harapan untuk renew lesen pelian di Sabah juga sudah termakbul. Spesimen yang terberat berjaya dinaikkan sewaktu trip ini ialah 3.7kg. Memang betul-betul monster! Bagi yang berhajat untuk merasai pelian di sini, boleh sahaja berhubung dengan ketua tagal. Apa yang pasti ia sangat berpatutan dan murah. jika dibandingkan dengan tempat lain.
HARI KETIGA
Saya melalui lagi momen yang sama seperti hari kedua. Walaupun berlainan arah sungai, hasilnya tetap mantap seperti mana anda boleh lihat melalui gambar-gambar yang tertera. Apa yang boleh disimpulkan melalui trip ini ialah ia betul-betul memuaskan hati semua geng-geng komplot.
Biarpun hanya dua hari memancing di sini, namun pengalaman bertarung dengan si raja sungai yang semakin sukar didapati di Semenanjung ini benar-benar memberikan impak kepada kami. Apa yang pasti, saya akan kembali lagi ke sini suatu hari nanti.
Pesta Toman Bujang!!

Berikutan dangau lama sudah usang dan menunggu masa untuk rebah ke bumi. Ia tidak boleh dijadikan tempat berteduh lagi, maka dangau terapung milik penduduk setempat
yang kami panggil Abang Atan menjadi kediaman kami dalam trip percutian sambil memancing selama tiga hari dua malam kali ini.
Dangau Abang Atan sebenarnya adalah pondok kecil di sangkar ikan atau lebih tepat lagi rumah rakit yang baru dibina oleh Abang Atan.
Kunjungan saya dahulu dangau itu masih lagi dalam proses pembinaan. Sementera pulau (tanah tinggi yang tidak ditenggelami air tasik) yang dihubungkan ke dangau dengan
batang balak merupakan kebun getah dan buah-buahan yang diusahakan oleh Abang Atan sendiri.
Oleh kerana kami sampai ke dangau itu sudah lewat petang, maka kami keluar mengilat di kawasan tasik empangan terbuka berdekatan dengan dangau.
Keesokan hari barulah kami akan masuk ke suak simpanan yang sudah setahun lebih tidak diusik. Mengilat toman di kawasan tasik empangan terbuka itu sahaja sudah menyeronokkan.
Kehadiran ikan seluang yang agak banyak memudahkan kami untuk mengesan toman. Hanya kehadiran ikan loma yang timbul bermain air sedikit sebanyak mengganggu tumpuan untuk mengesan toman timbul meneguk udara.
Keesokan petang harinya barulah kami memasuki suak yang sekian lama tidak terusik itu. Kami masuk dengan menggunakan dua buah sampan sahaja.
Enjin-enjin sampan disimpan di dangau usang di muka pintu suak yang sudah hampir roboh sepenuhnya.
Sementara keadaan di dalam suak semakin berselirat dengan pokok-pokok tumbang menyulitkan sampan untuk bergerak walaupun tanpa menggunakan enjin.
Sementara aktiviti yang diperlihatkan oleh penghuni-penghuni suak ternyata meningkatkan adrenalin kami. Tanpa perlu berdayung lebih jauh ke dalam suak, sekadar membaling gewang ke reba-reba berdekatan sudah pun menerima sambaran dari toman.
Sama ada gewang permukaan, katak tiruan, atau umpan tiruan plastik, semuanya menerima sambaran dari pemangsa yang majoritinya adalah toman.
Disebabkan banyak pokok tumbang di dalam air, maka banyak jugalah toman-toman bujang menyambar gewang berjaya meloloskan diri dan meninggalkan gewang kami melekat pada reba di dalam air.
Boleh dikatakan sesiapa yang saja masuk dan memancing di dalam suak itu walaupun pertama kali belajar mengilat akan memperoleh banyak strike.
Sepetang di suak itu sahaja kami memperoleh sekurang-kurangnya 50 strike namun hanya beberapa belas ekor toman bujang sahaja yang berjaya didaratkan dan dilepaskan kembali ke habitat asalnya.
Keesokan paginya sebelum bergerak keluar dari tasik empangan itu kami kembali lagi ke suak tersebut.
Biarpun keputusan pagi itu tidak serancak hari sebelumnya, namun kami berjaya juga mendaratkan mama toman yang agak culas untuk membaham gewang.
Malah kami turut berjaya memujuk beberapa ekor sebarau remaja. Yang pasti suak persendirian itu masih lagi dihuni oleh banyak pemangsa dan sedang membesar dengan semulajadi.
Dan pasti juga kami akan kembali lagi ke suak ini untuk berpesta dengan toman-toman yang setahun dari sekarang akan bertambah saiznya dan lebih ganas menyerang gewang-gewang yang kami gunakan.