Korang gemar memancing ke Taman Negara? Jika benar, bersedialah untuk tambah kos bajet kerana bermula 1 Januari nanti tiada lagi bayaran RM1 untuk memasuki Taman Negara di Pahang.
Berikut adalah kenyataan rasmi yang dipetik dalam sebuah akhbar tempatan.
“Kerajaan negeri akan memperkenalkan kadar baharu fi dan permit masuk ke Taman Negara, berkuat kuasa 1 Januari depan.
Kenaikan kadar itu yang kali pertama dilakukan selepas Taman Negara dibuka lebih 70 tahun lalu, akan membabitkan bayaran antara RM10 hingga RM30.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata ia menggantikan kadar lama bernilai RM1.
Ads
“Kenaikan ini bagi meningkatkan kecekapan, mengurangkan ketirisan hasil negeri dan menambah pendapatan, sekali gus mencapai hasrat Pahang sebagai sebuah negeri berdikari.
“Bagaimanapun, tambahan hasil diperoleh ini akan dikembalikan semula kepada rakyat dalam bentuk sumbangan dan pelaksanaan projek pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bersama penjawat awam Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, pada awal Disember lalu.
Ads
Menjelaskan lanjut, Wan Rosdy berkata, kadar baharu yang akan dikenakan ialah RM10 bagi kanak-kanak berumur bawah 12 tahun, manakala golongan berusia antara 13 hingga 60 tahun pula RM30
Bagi warga emas berusia 61 tahun ke atas, bayaran RM15 akan dikenakan.
Ads
Sementara itu, beliau mengaku amat berpuas hati dengan prestasi kerja dan pencapaian jabatan serta penjawat awam negeri yang disifatkannya sebagai penentu kejayaan sesebuah kerajaan.
“Sebagai sebuah negeri pembangkang, Pahang perlu lebih berdikari dalam meningkatkan pendapatan demi memacu pembangunan negeri pada masa depan bersesuaian dengan tagline ‘Maju Terus Pahang’,” katanya.
Beliau berkata, ia termasuk menarik lebih ramai pelabur luar dan syarikat konglomerat untuk melabur di negeri ini, selain bergantung pada hasil kutipan cukai.”
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Trip memancing ikan pari bukanlah trip eksklusif sebagaimana trip memancing ikan tengiri, jenahak mahupun ikan-ikan bernilai tinggi lain. Malah trip khusus pancingan pari turut jarang kedengaran kecuali sesi pancingan pantai yang menjadikan pari sebagai subjek sasaran utama.
Namun sesuatu trip memancing yang ada mendaratkan pari tidak pernah tidak menarik perhatian saya. Apatah lagi apabila melihat para tekong memuat turun deretan tangkapan pari di laman sosial. Hati segera berkata kenapalah bukan aku yang berada di atas bot berkenaan dan merakam pengalaman tersebut.
Apabila tekong memancing tersohor perairan Pelabuhan Klang di pangkalan Persatuan Pengail Selangor (Pengail) yang lebih dikenali dengan nama timangan Pokmud mencari teman untuk memancing secara santai, saya segera menawarkan diri dan mencadangkan pari sebagai spesies sasaran sesi pancingan santai tersebut.
Berikutan pada tarikh tersebut pasang surut air laut dalam keadaan menyorong laju dan kurang sesuai untuk memancing pari maka kami mulakan sesi awal pagi dengan pancingan utama memburu ikan jenahak. Sambil menotok atau pancingan dasar sambil berhanyut, saya turut berjigging.
Namun arus laju ditambah dengan angin kencang menyebabkan sesi tersebut kurang praktikal. Lalu kami mengambil keputusan mengikat bot pada boya dan memancing ikan-ikan pelagik seperti cencaru dan pelata dengan menggunakan apollo hingga penuh satu tong.
Menjelang tengah hari kami berlabuh pula di suatu lubuk berpotensi. Dalam pada menanti pemangsa mengambil umpan sotong kurita dan pelata hidup, kami turut mengunjun umpan besi atau jigging. Penat memancing kami berehat dan melelapkan mata seketika. Sedang asyik dibuai alun dan angin, salah satu joran Pokmud mengena dan seekor jenahak anggaran berat hampir dua kilogram berjaya didaratkan.
Apabila tiupan angin mula berkurang kami kembali menyambung sesi menotok. Setelah hampir tiga jam kami menghabiskan masa tanpa sebarang hasil, akhirnya kami sepakat hati menamatkan pemburuan.
Berbaki masa sedikit masa sebelum pulang ke pangkalan, berlabuh pula di kawasan cetek pinggir selat bagi menghabiskan saki baki umpan sotong kurita memancing sembilang dan saudara maranya yang bersengat.
Dalam pada ikan duri dan gelama yang didaratkan bersilih ganti, tiba-tiba salah satu joran milik Pokmud dihenjut kuat. Pari! Ujar Pokmud sejurus memegang joran yang dihenjut kasar tersebut. Secara spontan saya bersorak riang kerana hasrat saya tercapai juga walaupun Pokmud belum habis bertarung dan kelibat mangsa sama ada pari atau spesies lain belum dapat dipastikan.
Setelah hampir sepuluh minit bertarung akhirnya mangsa memperlihatkan kelibatnya di permukaan. Ternyata ia sememangnya pari malah lebih manis ia adalah seekor pari harimau seberat 14 kilogram.
Ibu gelama! Pemancing mana yang tak pernah mengidam untuk mendaratkan spesies berharga ini.
Sama ada penunggu tebing muara, pancingan bersampan mahu pun kaki jigging, semuanya memasang angan-angan untuk memangkunya di atas riba.
Kejayaan sebenar memburu ibu gelama atau temerih ini apabila mendaratkan spesimen melebihi saiz 10kg. Itulah trofi impian semua pemancing.
Apatah lagi jika menewaskannya melalui teknik jigging. Melalui teknik jigging inilah menaikkan kembali status ibu gelama sebagai spesies sasaran paling atas.
Kaki jigging sanggup berhabisan untuk memperoleh lesen temerih. Jika tidak dapat spesimen melebihi 20kg, belasan kilogram pun tak mengapa. Malah, dapat naikkan saiz bawah 10kg pun tak mengapa, asalkan dapat lesen.
Lain pula ceritanya dengan seorang pemancing muda, Izzat Edanish Ahmad Izan yang berusia 13 tahun. Izzat barangkali tidak menaruh sebarang harapan menggunung apabila
menemani ayahnya memancing di perairan Batu Laut, Banting menggunakan khidmat tekong muda popular, Mohd Sufi atau lebih dikenali sebagai Apeng.
Menurut Apeng yang turut membimbing Izzat mendaratkan hasil pancingannya itu, jig yang diunjun oleh Izzat disambar pemangsa sekitar jam 10.00 pagi.
Ayah Izat dan seorang lagi ahli trip menghentikan aktiviti mengunjun bagi memberi ruang, semangat dan bimbingan kepada Izzat mendaratkan tangkapan sulongnya.
Meskipun bergelar pemancing muda, Izzat ternyata memiliki bakat menjadi pemancing handalan kerana cukup tenang berhadapan dengan spesies yang kuat memberi tentangan.
Izzat tidak kekok mengendalikan joran dan kekili kepunyaan ibunya untuk pancingan kolam.
Namun sedikit bantuan diberikan oleh ayahnya berikutan tenaga kecil Izzat tidak mampu untuk mengela naik spesies yang masih menjadi tanda tanya sama ada jenahak, kerapu mahupun aruan tasik.
Sekitar sepuluh minit bertarung, akhirnya spesies itu mengalah dan timbul di permukaan. Semua di atas bot tergamam dan teruja apabila melihat spesies dan saiz spesimen tersebut. Ibu gelama!
Kemuncak keceriaan terpampang di wajah Izzat apabila meriba ibu gelama seberat 15kg.
Keindahan Krabi tidak dapat disangkal lagi. Bagi yang pertama kali menjejak kaki ke sini memang sangat teruja. Keramahan penduduknya membuatkan kami terpaut hati untuk datang semula. Keindahan flora dan fauna di sekitar pantainya sungguh mendamaikan.
Sampai di jeti, tekong Sayan telah siap sedia menunggu kami bersama krew-krewnya Cheng dan Drogba. Apa yang menarik, pelbagai jenis teknik pancingan dapat dipraktikkan di lubuk-lubuk sekitar Laut Andaman ini.
Jigging, popping, trolling, drifting atau bottom, semuanya boleh belaka. Namun hasil perbincangan dengan tekong bot, satu resolusi telah dikeluarkan dengan teknik pancingan bottom pada siang hari manakala jigging pula pada waktu malam.
Keluar sahaja dari muka kuala kami terus melakukan trolling. Dua rod di kiri dan kanan dilengkapi set menunda Penn International serta Shimano Tiagra segera diturunkan dengan Rapala Redhead CD18 dan John Killers skirt.
Di tengah-tengahnya pula kami menunda bulu untuk mencari umpan tongkol segar. Bagi ikan pemangsa seperti tenggiri, wahoo dan tuna memang pantang melihat objek bergerak pasti disambarnya seolah-olah sedang kelaparan. Tundalah apa sahaja umpan tiruan pasti akan mengena.
Menurut tekong, stok ikan-ikan di sini sentiasa banyak tetapi bergantung juga kepada musim-musim tertentu. Spesies wahoo dan tuna banyak pada bulan Oktober hingga Disember. Spesies lain seperti ebek, cupak dan gerepoh juga banyak ketika itu.
Spot pertama kami di kawasan unjam yang dalam untuk aksi jigging. Biasanya banyak gerepoh dan tuna mengejar anak-anak ikan pada waktu senja. Ketika itulah sang gerepoh dan tuna keluar memburu mangsa. Rezeki kami memang banyak di sini. Bertalu-talu gerepoh dan tuna menyerang tanpa henti. Cuma saiznya sahaja kurang memberansangkan buat kali ini.
Basri, Rustam dan Faisol memang expert bermain jig di unjam seperti ini. Antaranya jig kegemaran mereka seperti Shimano, Shout, Runaway, Evergreen, Williamson, Ima Gun dan entah bermacam-macam nama lagi.
Saya pula lebih syok menggunakan jig murah White Rabbit, Siam Spoon dan Jig Raider yang berkilat berikutan trip yang lalu mendapat banyak sambaran rakus tuna dan gerepoh bagak.
Hari semakin gelap. Acara jigging terus rancak berlangsung. Pelbagai jenis tuna dapat ditewaskan tetapi saiznya masih belum memuaskan hati. Hairan juga entah ke mana monster-monster perairan Andaman ni. Masing-masing merungut tetapi masih tetap berjigging tanpa henti. Kami semakin resah dan geram apabila tekong menayangkan foto tuna dan gerepoh bagak milik pemancing Jepun pada trip yang lepas.
Tekong segera berpindah lubuk untuk meneruskan aksi jigging. Mengikut jadual, pagi-pagi esok kami perlu sampai di spot bottom jadi kami perlulah jigging sepuas-puasnya. Nampaknya spot ini tidak kurang hebatnya. Bertalu-talu cupak menyerang tanpa henti berselang-seli dengan sambaran ikan pisang.
Walaupun saiz cupak kurang membanggakan tetapi kerana kegelojohan gerombolannya menyerang membuatkan kami begitu enjoy. Kehadiran cupak yang banyak membantut usaha memerangkap gerepoh dan tuna.
Memang cupak lebih cepat menyambar jig sebelum gerepoh mengintai kelibat besi jig yang di unjun. Tapi itulah, memancing ni bukan boleh memilih sangat. Apa yang ada bedal saja.
Hari semakin larut namun acara jigging terus rancak berlangsung. Pelbagai jenis tuna dapat ditewaskan tetapi saiznya hanya boleh tahan. Awak-awak segera menyimpannya untuk dijadikan umpan pancingan dasar keesokan harinya. Aya kurik dan tuna skipjack bolehlah dijadikan umpan untuk ruby snapper dan kertang hitam.
Namun anak-anak dogtooth tuna dan yellowfin tuna kami korbankan malam itu juga. Spesies mahal macam ni takkan la nak dibuat umpan juga. Buat umpan perut lagi bagus dan berwasabilah kami sepuas-puasnya malam itu.
Pada keesokan harinya kami telah bersedia di lubuk dalam mencecah hampir 200 meter untuk sesi pancingan suka ramai. Masing-masing sudah ready dengan mesin bangla pelbagai jenis dan kekuatan antaranya Daiwa Tanacom Bull, Daiwa Megatwin, Shimano Tankenmaru, Banax Kaigen di samping Command X4 hinggalah ke Command X8.
Jelas kelihatan di skrin menunjukkan kedalamannya antara 150 hingga 220 meter. Menurut tekong, ruby snapper hanya menghuni lubuk-lubuk yang dalam dan sejuk. Selain itu terdapat juga kertang hitam menghuni lubuk yang sama. Manalah tahu, untung-untung kedua-dua spesies mahal ini berjaya didaratkan.
Setelah siren dibunyikan umpan terus dihulurkan laju ke bawah. Sekejap sahaja kami dihiburkan dengan asakan bertali arus daripada mangsa di bawah. Masing-masing bersorak apabila ruby snapper pertama mula menjamah umpan. Penggunaan kekili elektrik memudahkan lagi kerja-kerja ini.
Tekong dan awak-awak pula tidak kurang hebatnya apabila berjaya menaikkan beberapa ruby snapper di hadapan bot. Umpan sotong segar dan tongkol yang masih berdarah memang cepat menarik perhatian si ruby snapper.
Setelah tiga malam di perairan Andaman, ternyata masing-masing berpuas hati dapat memancing pelbagai spesies mahal terutama kepada yang mencapai target untuk menawan spesies idaman. Bagi kaki bottom kali ini lebih bagus berbanding dengan hasil jigging.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...