Lumrah kalau memancing laut dalam bukan saja pancing dasar (bottom) yang dipraktikkan. Teknik drifting, jigging, popping, casting dan trolling juga boleh dimainkan. Jadi, tiga set kekili adalah minimum dan kalau mampu bawa peralatan gantian untuk menghadapi sebarang kerosakan atau kehilangan.
Untuk teknik bottom dan trolling lebih sesuai kalau kita bawa joran panjang 2meter hingga 2.5meter dengan aksi berat 30-80lb, 50-80lb atau PE4-PE8. Jika meminati jigging, guna joran kekuatan PE3 / PE5 panjang 2meter sangat sesuai untuk ikan seperti cupak, tenggiri dan gerepoh bawah 15kg.
Kalau GT bersaiz XXXL elok gunakan joran berkekuatan sehingga PE8 dengan panjang yang sama atau 2 meter. Bagi popping, joran 2.5meter sangat efektif untuk lontaran jauh. Sedia satu joran selingan berkekuatan PE1 hingga PE3 untuk memancing apollo, anak ikan atau untuk digunakan sebagai pancing candat (bagi mendapatkan umpan sotong hidup).
IKLAN
Ini ada hubungan dengan kapasiti atau had muatan kekili berserta kekuatan maksimum drag yang terbina di dalamnya. Lumrahnya tali utama untuk pancing dasar dan menunda ialah 80lb-100lb untuk tali utama kalau menggunakan tali sulam atau 50lb-80lb jika menggunakan tali tangsi.
Bagi kekili yang digunakan aktiviti jigging dan popping pula perlu dipadankan dengan tali sulam 60lb hingga 80lb dan disambung dengan tangsi kekuatan 80lb hingga 100lb sepanjang tiga meter sebagai perambut serap kejutan (shock leader).
IKLAN
Penggunaan batu ladung kalau dibandingkan antara Pantai Barat dan Pantai Timur sedikit berbeza. Kalau di Pantai Barat had maksimum saiz 32 (1.5kg) di Pantai Timur pula had maksimum saiz 24 (1kg). Ini berdasarkan arus di pantai barat lebih deras berbanding pantai timur kerana laluan yang sempit. Di Sabah dan Sarawak, arus laut lebih kurang seperti Pantai Timur Semenanjung kerana berada di kawasan yang sama.
IKLAN
Jenis terbaik ialah bekalan ikan segar atau hidup yang diperoleh atau dipancing ketika perjalanan ke destinasi, membelinya di pasar atau di jeti. Umpan jenis ini adalah prasyarat utama kejayaan misi memancing kerana kesegaran dan keberkesanannya. Jenis umpan seperti ikan pelaling, ikan tongkol dan sotong pasar mencukupi untuk setiap trip.
Cara penggunaan umpan bulu ayam atau bullet fly ini sebenarnya tidak banyak beza dengan menggunakan sesudu atau jig micro. Namun ia lebih banyak dimainkan di permukaan air bagi memburu spesies pelagik.
Kekili spinning jenis high speed amat penting di sini. Disyorkan menggunakan kekili yang memiliki gear ratio 6:1 dan ke atas. Siri 2000-3000 paling sesuai digunakan dan ia mestilah tahan lasak dan kalis air masin. Jika bukan jenis air masin, harus membilasnya dengan segera bila tiba di daratan.
Rod casting 6’ hingga 7’ paling seronok untuk digunakan. Tetapi sebenarnya penggunaan rod haruslah sesuai dengan tinggi tubuh badan seseorang. Ini kerana jika seorang itu bertubuh rendah rod 6’ atau 6’ setengah adalah sesuai. Pendek kata, hujung rod jangan sampai mencecah air.
Rod dengan kekuatan 10-20lb atau PE 05-2 adalah pilihan yang seimbang. Tetapi jika inginkan ‘lebih perlawanan’ boleh mencuba joran yang lebih ringan.
Tidak kisah, apa brand yang digunakan. Asalkan ia jenis braided, kuat dan tahan lasak. Saiz 15-20 lb paling sesuai di sini. Boleh juga ingin menggunakan tali tangsi namun keupayaan hook up tidaklah sebagus jika menggunakan braided.
Pilih perambut jenis fluorocarbon 100%. Perambut nylon monofilament agak kurang praktikan berbanding fluorocarbon. Perambut berkekuatan 20-40lb adalah pilihan paling ideal.
Saiz mata bergantung kepada tempat. Biasanya mata kail no 2 digunakan. Paling penting, mata kail mestilah tajam, tahan lasak dan sedikit lembut, kerana jika tersangkut di celah batu, boleh menariknya sampai bengkok mata kail kerana paling penting dapatkan semula batu ladung yang berhias bulu ayam tersebut.
Selain dua mata, ikatan tunggal juga boleh dipraktikkan. Tali yang sesuai untuk mengikat mata kail adalah jenis braided berkekuatan 80 lb ke atas.
Faktor air memainkan peranan penting. Jika air jernih, potensi sambaran lebih tinggi dan arus hendaklah tidak terlalu laju. Sebaiknya rujuk pasang surut air.
Menyandat sotong takkan berjaya dilakukan jika tidak ada gewang atau umpan tiruan yang dinamakan sebagai candat. Terdapat pelbagai jenis candat yang digunakan masa kini. Jumlahnya semakin bertambah jika dibanding sejak dahulu.
Untuk memudahkan anda membuat pilihan, di sini kami senaraikan jenis-jenis candat yang popular dan bagaimana cara penggunaannya.
Candat Timah (Twist)
Suatu ketika dulu ia lebih dikenali sebagai candat timah. Candat twist atau timah ini lazimnya berfungsi sebagai pemberat. Ia diperbuat daripada timah (ada juga yang mengubahsuai batu ladung), dan badannya dibalut dengan kain atau tali sulam yang berkilat terang atau mampu memantulkan cahaya. Ia turut dilengkapkan dengan mata kail candat yang berfungsi sebagai penyangkut sotong. Selain berfungsi sebagai pemberat, ia turut sama berupaya untuk memerangkap sotong dan tersangkut pada mata kailnya.
Candat Mayat
Candat mayat lebih merujuk kepada bentuk seumpama bentuk mayat yang dikafankan. Ia lazimnya diperbuat daripada plastik atau getah yang mampu menyerap dan memantulkan cahaya. Badannya dibalut dengan fabrik nipis berkilau dengan pelbagai warna. Ia turut dilengkapi satu atau dua sisir mata kail. Tanpa kehadiran pemberat, ia perlu digunakan bersama pemberat. Candat twist lazimnya digunakan sebagai pengganti pemberat.
Candat Payung
Menurut cerita candat ini suatu ketika dahulu diperbuat oleh para nelayan dengan menggunakan besi payung. Ada juga yang menyatakan ia dinamakan candat payung kerana bentuknya umpama payung. Yang pasti candat payung atau candat umpan lebih merupakan alat yang diperbuat daripada besi atau dawai keras sebesar lidi kira-kira sejengkal dan bersisir dengan mata kail dibawahnya. Sepadan dengan nama candat umpan, ia perlu dicucuk dengan ikan sebagai umpan untuk menarik perhatian sotong. Dan penggunaan pemberat diperlukan jika arus laju bagi mempercepatkan proses ia tenggelam ke dasar laut.
Candat Udang
Candat udang sebenarnya adalah gewang tiruan berbentuk udang yang dilengkapi mata kail bersisir, yang lazimnya digunakan untuk mencandat sotong mengabang. Dalam masa yang sama ia turut berkesan untuk mencandat sotong torak atau sotong jarum. Namun ia tidak sesuai digunakan secara berangkai (teknik apollo dua atau tiga candat) seperti mana candat mayat berikutan kehadiran pemberat akan menyebabkan ia mudah berpintal dengan perambut.
Candat Ikan
Candat ikan atau turut dikenali sebagai candat buntal lebih merupakan candat yang direkabentuk seperti ikan. Ia mempunyai ciri-ciri ringan dan tiada pemberat. Badannya pula agak gemuk dan gempal. Berikutan keberkesanannya bergantung kepada kualiti penghasilannya, ia kurang popular dan tidak banyak digunakan. Namun beberapa tahun kebelakang, penggunaan candat ikan ini seperti lebih efektif berbanding candat mayat atau candat udang.
Candat Gewang
Candat ini dinamakan sebagai candat gewang kerana bentuknya hampir sama dengan gewang replika ikan yang digunakan untuk memancing ikan. Jika tidak kerana gelungan dawai pada bahagian belakang candat, pasti ramai menyangka ia adalah gewang untuk casting ikan. Walau bagaimana pun penggunaan candat jenis ini lebih tertumpu kepada casting sotong mengabang sahaja.
Sebelum ini, nama Sungai Tiram pernah tercatat sebagai antara kawasan yang banyak tercatat sejarah hitamnya.
Daripada kisah penjajahan yang bermula di sini, ke kisah pencerobohan pendatang tanpa izin dan banyak lagi sedikit sebanyak mencalarkan nama baik kawasan ini di mata pelancong tempatan dan asing.
Namun, setelah berdekad-dekad mengalami perubahan dan atas usaha pelbagai agensi, nama Sungai Tiram kini kembali menyinar terutama di dalam bidang pelancongan negeri Johor.
Inisiatif untuk menaikkan kembali industri pelancongan di Sungai Tiram ini wajar dipuji. Pelaksanaan eco-village dan menaikkan resort mesra alam sekitar di kawasan Sungai Tiram mula menampakkan hasil yang positif.
Tidak cukup dengan itu, kawasan pelancongan di atas rakit untuk kaki pancing juga telah mula dibuka tahun lalu untuk lebih mewarnai impak pelancongan yang ada di Sungai Tiram.
Kampung Salam Rakit kini menjadi antara daya penarik terbaru di Sungai Tiram. Mula dibuka kepada orang ramai pada 31 Ogos tahun lalu, ternyata rakit yang mampu memuatkan 100-180 orang ini mula menjadi bualan di kalangan kaki pancing yang gemarkan suasana memancing yang santai bersama seisi keluarga.
Ternyata usaha pengambilalihan rumah rakit yang sebelum ini dikenali dengan nama Rakit Long Atan daripada pemiliknya yang terdahulu memberikan impak tambahan apabila terdapat pelbagai pengubahsuaian dan dekorasi baru yang dapat menggamit pelancong dan kaki pancing untuk ke sini.
Pengambilalihan oleh kumpulan yang menggelari diri mereka KSR Fishing Club ini bukan sahaja mewarnai industri pelancongan di sini, malahan mampu memberikan nafas baru untuk konsep resort atas rakit yang kini semakin menjadi fenomena di seluruh Malaysia.
Biarpun masih baru, ternyata sambutan yang diterima semakin menggalakkan. Setiap hujung minggu memang rakit ini sering dijadikan ‘rumah singgah’ oleh kaki pancing sekitar Johor, Kuala Lumpur, Selangor, dan Singapura yang ingin membawa keluarga bercuti sambil memancing.
Kemudahan yang ada di sini memang serba lengkap. Terdapat surau, tandas, kedai makan, pondok untuk berehat, kawasan barbeku dan bagi yang berminat untuk menginap juga terdapat bilik untuk disewakan di sini.
Bercerita tentang aktiviti memancing, Kampung Salam Rakit boleh dikategorikan sebagai ‘rakit mesra pemancing’. Biarpun hasilnya tidaklah menentu, tetapi boleh dikatakan setiap masa ada sahaja pelbagai jenis ikan berjaya dinaikkan kaki pancing. Besar atau kecil itu bergantung kepada keadaan air dan tuah anda pada waktu itu.
Antara ikan yang boleh dijadikan buruan di sini termasuklah siakap, ungah tanda, pari, semilang, tebal pipi dan senangin. Tapi kalau kena masanya, anda juga boleh bermain apollo untuk memburu segerombolan cencaru yang sering berlegar di kawasan Sungai Tiram ini.
Bercerita tentang perancangan masa hadapan, Kampung Salam Rakit bercadang untuk menaiktarafkan lagi rakit sedia ada ini dari segi fasiliti dan dekorasi agar ianya sesuai untuk bersantai sambil memancing.
Sedikit masa lagi, 10 lagi bilik yang berkonsepkan ‘bertam house’ akan dibina yang mana ia bercirikan tradisional seperti rumah kampung lama yang bumbungnya atap nipah dan mempunyai beranda menggunakan daun bertam akan dibina di atas rakit ini untuk dijadikan antara daya penarik buat pengunjung.
Tambahan Makan: RM50 (sarapan, makan tengah hari, minum petang, makan malam, minum malam)
Bilik untuk menginap: RM100/hari (2 katil single dan kipas)
: RM350/ hari (Famili Pack: 2 bilik, ruang tamu, tandas di dalam)
Tapau 1 rumah rakit: RM1500 untuk 24 jam.
Bagaimana ke sini
Jika anda melalui Lebuh raya Utara Selatan, ambil susur keluar ke Senai Utara dan kemudiannya mengikuti Lebuh raya Senai-Desaru. Dari Lebuh raya Senai- Desaru, keluar ke exit Ulu Tiram dan teruskan perjalanan sehingga anda menemui satu fly over.
Sebelum fly-over itu, ambil susur ke kiri dan di hadapan ada lampu isyarat dan ambil kanan. Selepas itu anda hanya perlu terus sahaja lebih kurang setengah jam sebelum menemui sebuah tokong cina di sebelah kanan. dari tokong itu terus sahaja lagi sehingga anda menjumpai papan tanda arah ke kiri Kampung Bukit Dagang dan Kampung Pasir Salam.
Ikut sahaja jalan tersebut sehingga habis jalan tar. Dari situ anda akan menjumpai papan tanda KSR dan ikut arah yang ditunjukkan sehingga anda sampai ke Surau Kampung Orang Asli Pasir Salam dan parkinglah kereta anda di situ.