
SOALAN:
Boleh tak admin beri tips pemilihan perambut dari segi poundage (lb), dan panjang perambut untuk teknik pelampung dan juga tanpa pelampung, khusus untuk mancing siakap kolam air masin? Terima kasih admin.
JAWAPAN:
Dari segi poundage perambut untuk pancingan kolam siakap air masin, kebanyakan pemancing memilih perambut berkekuatan 20lb-40lb. Kebanyakannya memilih maksimum 30lb sahaja. Namun panjang perambut untuk pelampung bergantung kepada kedalaman sebuah kolam pancing.
Untuk mengetahui kedalaman kolam, sebaiknya anda bertanya dulu kepada rakan pemancing di kolam agar dapat ukuran perambut yang tepat. Sekiranya kolam berkedalaman 5 kaki, maka buatlah perambut 5 kaki dilipat dua.
Di mana sebelah untuk pelampung dan sebelah lagi mata kail. Mainline kili diikat di tengah perambut menjadikan sepanjang 2.5kaki semasa buat balingan. Di dalam air, panjang perambut kekal sepanjang 5 kaki.
Untuk mengetahui panjang perambut ngam atau tidak, anda lihatlah pergerakan pelampung. Jika pelampung bergerak laju bermakna perambut agak pendek dan umpan akan tergantung.
Sekiranya tidak bergerak langsung bermakna perambut terlebih panjang dan menyebabkan umpan (udang hidup) menyusup ke dasar dan memudahkan risiko sangkut. Sebaiknya biar pelampung hanya bergerak perlahan.
Sementara perambut direct tanpa menggunakan pelampung pula memadai 1.5 hingga 2.5 kaki panjang. Perambut yang terlalu panjang akan menyebabkan kesulitan untuk membaling umpan dengan tepat dan sempurna.
Trip Try Test Teknik E-Jiging!!

Setiap kali turun memancing laut dalam menggunakan bot memancing di Laut China Selatan, terutamanya di perairan Rompin, saya tidak akan melepaskan peluang untuk memancing atau lebih tepat lagi diistilah sebagai mencandat sotong mengabang.
Kawasan unjam bahkan juga bekas tapak unjam lazimnya akan menjadi kediaman atau ‘kandang’ sotong mengabang serta sotong lainnya dalam jumlah besar berikutan ia turut menjadi kediaman ikan-ikan kecil yang merupakan sumber makanannya.
Namun di Selat Melaka, terutamanya perairan Pelabuhan Kelang, saya tidak berpeluang untuk mengamalkan salah satu teknik memancing yang menjadi kegemaran saya ini.
Selain ketiadaan unjam, sotong mengabang dikatakan sukar untuk ditemui, mencandat sotong itu sendiri umpama sesuatu yang ganjil jika dilakukan di Selat Melaka.
Sehinggalah apabila mendapat perkhabaran dari tekong-tekong bot memancing kurangnya hasil jigging berikutan kehadiran sotong jarum yang agak banyak.
Secara tidak langsung ia merangsang saya untuk lakukan sesuatu dari situasi tersebut.
Justeru apabila ada trip jigging bersama rakan dalam tempoh tersebut, saya tidak tertangguh lagi mencubanya walaupun pada awalnya ia menjadi bahan gelak rakan-rakan.
Untuk mencandat di Selat Melaka, saya ubah sedikit tekniknya. Saya tidak mencandat sotong secara langsung dengan kaedah lazim candat dan pemberat.
Sebaliknya saya gantikan pemberat dengan jig lengkap mata kail. Dalam erti kata lain ia lebih kepada konsep 2 dalam 1.
Candat udang untuk memancing sotong dan jig untuk memancing ikan. Konsep ini sebenarnya agak besar belanjanya kerana apabila ia tersangkut pada karang atau sesuatu
di dasar laut sehingga mengakibatkan tali utama putus, maka bertambahlah kos kerugiannya.
Setelah dua kali tersangkut dan putus, saya hampir-hampir berputus asa sehinggalah apa yang saya dambakan menjadi kenyataan.
Setelah menemui kandangnya, seekor demi seekor sotong jarum saiz yang agak kasar berjaya saya naikkan.
Selain sotong jarum, sotong kurita dan sotong mengabang yang dikatakan agak sukar diperolehi turut sama didaratkan.
Setelah percubaan pertama berjaya, saya luaskan teknik ini ke mana saja saya turun memancing di Selat Melaka.
Untuk menggayakan teknik 2 dalam 1 ini lebih kurang sama sahaja dengan teknik jigging perlahan.
Namun untuk mengesan sama ada sotong sudah mengena agak sukar sedikit apatah lagi dalam keadaan berarus dan jig melebihi 200 gram digunakan.
Yang pasti teknik 2 dalam 1 ini sudah terbukti bukan sekadar berkesan untuk mencandat sotong malah sudah berjaya mendaratkan spesies ikan juga.
Korang Tanya Umpan Jawab – Tip Memancing Di Sungai Dalam Hutan??

Trip memancing dan berkhemah di sungai hutan pergunungan salah satu cabang memancing yang menyeronokkan.
Malah, dalam kategori pancingan air tawar ia merupakan pancingan yang paling mencabar dan menyeronokkan tetapi tidak semua pemancing mampu mengaplikasikannya.
Namun, dalam keseronokan keselamatan diri jangan mudah terlupa. Pertama sekali pastikan langkah keselamatan diutamakan. Contohnya menggunakan kasut yang sesuai.
Bawa bekal ubat-ubatan, mesti ada guide atau pergi secara berkumpulan, tidak berkhemah terlalu dekat dengan gigi air. Pilih waktu yang sesuai untuk berkhemah dan patuhi pantang larang di dalam hutan.
Jika memancing pada waktu malam, pastikan anda meminimakan cahaya seperti lampu suluh atau unggun api di kawasan anda memancing.
Elakkan menggunakan loceng pada waktu malam pada hujung joran, sebaliknya gantikan dengan stik cahaya kerana ikan kawasan sungai pergunungan lebih sensitif dan sukar dipancing.
Untuk umpan, ia tidaklah sukar. Selain umpan sawit yang sangat sesuai untuk memancing kelah, anda juga boleh menggunakan umpan cacing dan juga hirisan isi ikan.
Saya juga gemar menyarankan wisel dibawa ke mana-mana kerana, jika tersesat, anda boleh gunakan ketika kecemasan.
baca juga Korang Tanya Umpan Jawab – Cara-Cara Menggunakan Spreader Bar?
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tapah Saiz Besar Bas Yang Pernah Didaratkan

Berikut beberapa kisah tangkapan ikan tapah gergasi yang pernah mewarnai akhbar arus perdana negara kita.
Tapah 60 kg (Harian Metro – 29 Jun 2016)
Penduduk Kampung Blok G Sawah Sempadan, Tanjung Karang, yang suka memasang taut di tebing Sungai Tengi tidak menyangka berjaya menangkap seekor ikan tapah gergasi seberat 60 kilogram.
Arbany Satimin, 59, yang dikenali Sidang Nandong berkata, ikan itu memakan umpan ikan keli yang dipasang rakannya.
“Ini adalah kali pertama kami dapat ikan sebesar ini dan memang kami tidak sangka sebab sebelum ini tangkapan paling besar pun sekitar enam kilogram saja.
“Walaupun kejayaan mendaratkan ikan tapah gergasi ini berlaku kira-kira dua minggu lalu namun ia masih meniti di bibir dalam kalangan penduduk setempat seolah-olah kejadian berkenaan baru berlaku semalam,” katanya.
Albany berkata, sebelum ini sebanyak 60 taut dipasang sepanjang dua malam sebelumnya dan setiap pagi dia memeriksa taut berkenaan.
“Selain dapat ikan tapah gergasi, beberapa spesies ikan sungai lain seperti belida, baung dan ketutu turut menjadi rezeki saya pada hari itu,” katanya.
Tapah 70 kilogram (Harian Metro – 16 Ogos 2017)
Seorang penduduk tidak menjangka jaring ikan yang dipasang di Sungai Beriah berhampiran Kampung Matang Pasir, Alor Pongsu, Bagan Serai, memerangkap ikan tapah seberat lebih 70 kilogram.
Muhammad Amirul Jamaludin berkata, kira-kira 7 pagi hari ini, dia bersama bapa, Jamaludin Mahmud, 60, dan adik, Muhamad Aiman Jamaludin, 19, terkejut melihat kelibat sesuatu yang besar tersangkut pada jaring. Menurutnya, selepas diamati dari dekat, ternyata ia adalah ikan tapah yang besar tersangkut pada jaringnya.
“Jaring ini dipasang pada petang semalam dan akan diperiksa hasilnya pada waktu pagi.
“Kami terkejut apabila mendapati jaring yang dipasang itu mengena ikan tapah gergasi itu lalu membawanya pulang,” katanya.
Dia berkata, atas permintaan penduduk kampung, ikan itu disiang dan dijual kepada penduduk dengan harga RM35 sekilogram.
“Alhamdulillah hasil jualan ikan ini kami memperoleh lebih RM2,000 dan selebihnya ada disedekah kepada penduduk.
“Sepanjang memasang jaring di sungai, ini adalah pertama kali kami memperoleh ikan tapah gergasi dan bersyukur dengan kejadian ini,” katanya.
Tapah 50 kg (Sinar Harian – 7 April 2017)
Penduduk Kampung Jerantut Feri digemparkan dengan kemunculan ikan tapah seberat hampir 50 kilogram dan sepanjang 1.5 meter yang ditangkap oleh salah seorang nelayan darat di situ.
Nelayan berkenaan, Roslan Mohamad Napiah, 45, berkata, dia menangkap ikan itu menggunakan sauk besar dikenali sebagai candit. Roslan yang bekerja sendiri memberitahu, Isnin lalu dia turun ke sungai jam 10.30 pagi untuk meninjau keadaan sangkar ikan miliknya yang dikongsi bersama rakan.
Tambahnya, selepas melihat sangkar ikannya, dia kemudian mencandik ikan di sungai menggunakan bot dan candik miliknya.
“Masa tengah candik ikan, tiba-tiba candik saya direntap kuat. Lepas tu saya tengok ikan yang tersangkut pada candik adalah ikan tapah.
“Disebabkan disentap agak kuat, saya terlepas candik tu. Masa tu kecewa juga. Tapi dalam 15 minit kemudian saya nampak candik saya tersangkut pada sangkar ikan.
“Saya tengok ikan tu masih lagi tersangkut pada candik. Disebabkan tak boleh bawa bot ke situ, saya pun berenang dan tarik candik ke tebing, tangkap dan letak ikan tapah dalam bot,” katanya.
Roslan berkata, selama lebih lima tahun menjadi nelayan darat, itulah kali pertama dia melihat dan menangkap ikan tapah sebesar itu.
“Saya kemudian menyeberang ke tebing sungai belakang rumah dan panggil isteri untuk sama-sama angkat ikan tapah tu.
“Ikan itu mempunyai kepanjangan melebihi ketinggian saya, ekor masih mencecah tanah walaupun kepala berada di bahu saya,” katanya.
Menurutnya lagi, berita penangkapan ikan tapah itu tersebar melalui aplikasi WhatsApp dan sebaik dinaikkan ikan itu, penduduk mula mengerumuni rumahnya.
“Saya minta bantuan rakan dan mereka cadang saya jual ikan tu ikut kilo kepada penduduk. Kami menjualnya di simpang masuk tapak pasar malam Jerantut Feri.
“Kami timbang ikan tu dan dapati beratnya cecah lebih kurang 50 kilogram. Sekilo ikan tapah saya jual RM40 dan telah terjual sebanyak 30kg.
“Saya anggap ia rezeki kami dan anak. Wang saya peroleh dapat saya belanja untuk keluarga,” katanya.
Roslan berkata, ikan tapah yang ditangkapnya itu betina berdasarkan telur seberat dua kilogram yang ditemui dalam perutnya.
“Telur ikan tu saya agih kepada rakan yang bantu jual. Saya ambil bahagian kepala ikan untuk dimakan bersama keluarga,” katanya.
Penangkapan ikan tapah besar itu sekali gus menaikkan nama Roslan yang juga dikenali sebagai Lan Tapah kerana dia sering berjaya menangkap ikan tapah yang jarang diperoleh itu.