Pakaian camouflage sememangnya sudah menjadi trend caster di tempat kita. Namun pakaian begitu boleh menimbulkan kekeliruan terhadap tentera atau pengawal keselamatan di negara tersebut. Tidak kiralah ketika memancing apatah lagi dalam kenderaan.
Sebagaimana anda menggunakan setting peralatan untuk casting sebarau di Tasik Kenyir atau Tasik Temenggor, setting yang sama boleh digunakan di Tasik Banglang ini. Kebanyakan daripada kami menggunakan rod dari serendah 4-10lb hinggalah 8-17lb. Tali utama pula berkekuatan dari 8lb hinggalah 20lb. Sementara gewang pula dari jenis permukaan dan sesudu.
Ads
Ada baiknya sebelum mula casting, ambil sedikit masa untuk melihat ikan-ikan apa yang dikerjakan oleh ikan pemangsa. Ketika kami datang ke sini kami dapati banyak aktiviti ikan pemangsa mengejar dan membaham ikan jenjulung.
Sifat ikan jenjulung banyak mendiami pra permukaan air menjadikan gewang-gewang kecil tetapi panjang aksi permukaan cukup laku untuk memperdaya sebarau terutama spesimen besar di tasik ini.
Ads
Bagi yang tidak biasa casting di atas bot pancung, anda dinasihatkan mengambil sedikit masa menyesuaikan diri untuk keseimbangan. Jika tidak yakin untuk berdiri maka lebih baik casting sambil duduk saja. Kebanyakan bot pancung di sini direka untuk kelancaran pergerakan tetapi agak kurang stabil.
Elakkan dari melakukan pergerakan mengejut lebih-lebih lagi jika ada rakan yang casting sambil berdiri. Jaket keselamatan merupakan kelengkapan wajib pakai.
Ads
Jarak antara lantai dengan dinding bot juga agak rendah bukan saja membuatkan anda berasa sedikit gayat, malah juga memudahkan hasil tangkapan terlepas kembali ke air. Pastikan anda mengendalikan hasil tangkapan dengan baik sekiranya tidak mahu melihat insiden badong yang didaratkan menggelepar hingga terlepas kembali air. Ramai pemancing berhadapan dengan perkara ini termasuk saya sendiri.
Kebanyakan boatmen atau tekong di sini bukanlah tekong sepenuh masa. Ramai di antaranya hanya penduduk setempat yang memiliki bot pancung untuk kegunaan sendiri, bukannya untuk membawa pemancing memancing.
Jadi, sedikit sebanyak bantuan perlu diberikan kepada mereka. Jangan segan meminta tekong bawa ke mana-mana spot yang berpotensi pada pengamatan anda. Begitu juga dengan kedudukan bot yang betul ketika menghadap lubuk.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Fenomena teknik jigging di kalangan kaki pancing Malaysia memang dilihat semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.
Ramai yang sebelum ini lebih ke arah bottom dan casting mula berubah minat. Tak kiralah dari micro jigging ke fast jigging, mahupun slow-pitch jigging, semuanya ada kelompok peminat yang tertentu.
Pun begitu, ramai kaki pancing lain mula mengatakan yang geng-geng jigger ini sudah besar kepala. Huh?
Benarkah begitu? Besar kepala yang bagaimana?
Umum tahu yang untuk teknik jigging ini setnya boleh dikatakan belum tahap mampu milik di kalangan kaki pancing.
Slow pitch jigging umumnya, untuk set rod dan reel yang bagus sahaja sudah menelan belanja ribuan ringgit.
Ini belum lagi cerita bab jignya yang seketul sahaja ada yang mencapai harga hampir RM100 malah ada yang lebih dari itu. Itu hanya cerita bahagian kelengkapan.
Belum lagi ditolak tambah dengan sewa bot dan tekong. Semuanya memang menelan belanja yang besar.
Entah bagaimana muncul cerita baru-baru ini apabila ada yang mengatakan geng-geng jigger Malaysia sudah mula bersikap berlagak dengan kaki pancing lain.
Kononnya, bila dah pakai set ribu-riban, dah tak pandang dah teknik-teknik lain seperti bottom dan casting.
Malah ada juga yang merasakan diri mereka hebat bila terjun dalam bidang jigging ini dan mula memperlekehkan teknik-teknik pancingan lain.
Lebih teruk lagi, ada di kalangan jigger yang sudah mula menjauhkan diri dengan rakan-rakan bila terjerumus dengan teknik ini.
Mereka hanya bergaul dengan geng-geng jigger sahaja yang mempunyai kelengkapan mahal dan yang mampu sembang kencang tentang pengalaman mereka menarik ikan gred A dan sebagainya.
Persoalannya, benarkah begitu? Jika benarlah wujud golongan sebegini, itu benar-benar menunjukkan mentaliti kita sebagai kaki pancing masih di tahap rendah.
Belum tentu bila anda mempunyai set pancing beribu-ribu dan pengalaman mendaratkan pelbagai jenis ikan menunjukkan diri anda benar-benar hebat.
Apalah salahnya kita berkawan dengan semua dan kongsi pengalaman bersama-sama tidak kiralah menggunakan teknik pancingan apa sekalipun.
Benar, memang teknik jigging kini menjadi trend, tapi siapa tahu dua, tiga tahun akan datang mungkin teknik lain pula menjadi fenomena.
Jadi janganlah disebabkan mengikut trend anda sanggup memperlekehkan teknik pancingan yang sedia ada. Ingat setiap teknik ada tarikannya yang tersendiri.
Buat geng-geng jigger yang masih mengamalkan sikap merendah diri, penulis memang salute kepada anda.
Teruskanlah dengan nilai-nilai positif itu dan berikanlah galakan berterusan kepada kaki pancing yang lain untuk terus berjaya.
Diharapkan lebih ramai mengamalkan sikap rendah diri sebegini daripada jalan mendada dan tunjuk act yang entah apa-apa.
Apa yang ditulis oleh penulis ini tidak langsung berniat untuk menjatuhkan geng-geng jigger, tapi hanyalah untuk memberi kesedaran kepada sesetengah daripada mereka yang mungkin tanpa sedar bersikap sebegini.
Jika ia menyinggung hati mana-mana pihak, penulis memohon ampun dan maaf. Jadi, untuk bersikap adil, jom kita lihat pula apa yang dicoretkan oleh rakan-rakan kita dalam ruangan ‘Apa Kata Pemancing’.
Encik Lee
“Sejak bercimpung dalam arena jigging ni, tak pernah lagi jumpa rakan-rakan yang memperlekehkan pemancing dari teknik casting or bottom.
Bagi diri saya sendiri la, bila da terjebak dengan jigging ni memang jarang bermain bottom.
Sebabnye jadi gian nak ngenjut jig, nak-nak bila dah pernah strike ikan saiz mega, lagi la gian.
Tapi kene ingat, kita sebagai pemancing jangan sesekali memperlekehkan pemancing lain sebabnye kite kene tahu asal usul kita mula memancing.”
Tam Koscielny
“Saya akui memang ada jigger yang macam tu disebabkan kelas yang tersendiri. Tapi ada juga jigger yang tak macam tu.
Orang cakap talian hayat masih diperlukan sekiranya ikan malu-malu nak hentam jig. Terpulang pada individu.
Cuma jangan la kita mengutuk kawan-kawan yang membottom. Cukup sekadar gurauan. Ingat, jigger pon bermula dari bottom.”
Kemrol Yusop
“Tak kira apa teknik sekalipun, kalo mata kail dah msuk air dan kena”SENTAP”… lupa ngantuk ke, letih ke, mabuk laut ke dan masa nie NIKMAT memancing dirasai.
Nak guna alatan mahal2 tu lain kira…. Ada rasa sengsara menaikkan ikan tapi kepuasannya takkan lupa.
Besar kepala tak ada dalam kamus pemancing…. RAMAI KENALAN jauh dekat,u tak kenal I, i tak kenal u.. Tapi aktiviti ngail bole kenalkan kita ramai kawan… Kenal lubuk kenal ikan… kan gitu?”
Helmi Proton
“Memancing ni ibarat kita nak melihat alam ghaib .Kita tak nampak tapi kita percaya adanya kewujudannya.
Sama dengan memancing kita tak nampak apa hasil yang bakal kita dapat tapi kita percaya dengan teknik yang betul, umpan yang betul ,masa yang sesuai Insyallah dapat
ikan tak kiralah sama ada membottom, jigging, casting ker nawaitu pemancing tetap sama iaitu nak dapatkan strike.
Oleh itu tiada dalam kamus pemancing jigging lebih stardard dari membottom kerana rezeki atas yang bagi.
Kekadang sampai nak patah pinggang jigging habuk pun tak der walhal kat dalam sonar bersusun susun ikan di dalam air.
Cuma tidak dinafikan ler ada segelintir kecil dari mereka yang merasakan diri mereka hebat dan martabat mereka tinggi.
Bagi kawan, itu tak menjadik kudis pun dalam industri memancing ni kerana ikan dalam air tak kenal jenama, otai dan sebagainya.
Ada masa kita berhasil ada masa kita membangau dan ada masa kita kumpau. Lumrah pemancing.”
Wan Hafez
“Bulan 11 saya jigger, bulan 12 saya bottom, bulan 1 puyu ja, bulan 2 saya caster, sama ja… Sepanjang bulan tu ada kawan-kawan nak try jadi jigger, saya terpaksa besar kepala cakap tak yah join, elok mancing biasa-biasa je.
Bukan apa, sebab saya tau ekonomi mereka macam mana. A-Z nak setup semua pakai modal besar. Jangan kecam saya…”
Rafiqlutfi B Rahman
“Makin ramai bergaul dengan kaki pancing, makin banyak teknik yang kita dapat… Jolokan jigger yang besar kepala nie mungkin cara mereka bercerita hasil strike membuatkan kaki pancing yang lain tak senang.
Tetapi bagi saya, teknik jigging memang susah dan memerlukan stamina. Dalam masa yang sama kita perlu hormat teknik pancingan yang lain.”
Sempena cuti panjang tidak lama dulu, saya mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung isteri dan mencuba nasib memancing di suatu muara. Berbekalkan ikan kembung dan sotong segar yang dibeli di jeti nelayan berhampiran, saya mula melabuhkan joran selepas solat Asar.
Saya mengambil port dengan duduk di bongkah batu besar betul-betul menghadap ke muara sungai. Petang itu rezeki saya memang murah. Tidak sampai sepuluh minit menunggu, umpan saya sudah dimakan ikan. Walaupun setakat sembilang dan gelama yang bersaiz M, ia sudah cukup menggembirakan hati saya.
Sedar tak sedar senja sudah melabuhkan tirainya. Sayup-sayup azan yang kedengaran membuatkan saya mula berkemas untuk pulang. Apatah lagi ketika itu keadaan sudah mula sunyi. Kalau tadi, adalah juga seorang dua kaki pancing duduk berhampiran saya, tetapi entah bila masanya mereka angkat kaki meninggalkan saya keseorangan di situ.
Tiupan angin senja agak dingin hingga terasa ke tulang hitam. Di dada langit mega yang tadinya berwarna kekuningan sudah bertukar kehitaman. Air di muara juga sudah berkocak menandakan angin laut sudah mula bertiup kencang. Kelam-kabut saya mengemas kerana pada jangkaan saya, hujan akan turun bila-bila masa sahaja.
Tiba-tiba terasa titisan air hujan turun renyai-renyai. Saya sudah mula melangkah laju menuju ke motosikal yang saya letakkan betul-betul di bawah pokok ketapang, kira-kira 50 meter sahaja daripada bongkah batu tempat saya duduk tadi.
Pada kiraan saya, mungkin ketika itu baru pukul 7.30 malam tetapi entah mengapa suasana ketika itu sungguh hening dan sunyi sepi. Apatah lagi, hujan sudah turun agak kasar dan ini sedikit menyukarkan pandangan saya yang sedang berjalan ke menuju ke tempat motosikal saya diletakkan.
Hanya berjarak sepuluh meter sahaja untuk sampai ke motosikal, telinga saya menangkap suara budak menangis. Pada mulanya agak sayup namun apabila saya picingkan telinga untuk mendengar, suara itu sebenarnya sangat hampir dengan saya.
Dalam kesamaran senja dan degup jantung yang kencang akibat berjalan laju, saya tercari-cari arah datangnya suara itu. Rupa-rupanya suara itu datangnya dari balik pokok ketapang berhampiran motosikal saya diletakkan.
Seorang kanak-kanak perempuan, berusia dalam lingkungan enam tahun sedang menangis teresak-esak sambil menutup mukanya. Dia duduk mencangkung sambil badannya menghadap laut. Baju gaunnya yang dipakai berwarna merah kelihatan kotor dengan selut lumpur.
Anak siapakah ini, hati saya mula tertanya-tanya. Saya memberanikan diri menghampiri budak itu. Rasa belas dan simpati bercampur baur di dalam hati. Budak perempuan ini sebaya dengan anak sulung saya.
Saya menanggalkan jaket yang saya pakai untuk melindungi budak itu daripada kuyup ditimpa hujan. Ketika itulah, budak perempuan itu berhenti menangis dan mendongak memandang saya. Allah, comotnya budak ni. Mukanya kotor kerana terkena lumpur. Rambutnya agak kusut masai dan matanya itu… ya mata bundar itu merenung saya dengan agak tajam.
Tiba-tiba saya terasa bulu tengkuk saya meremang dan badan saya seperti menggigil kesejukan.
“Pak cik, boleh tolong saya?” suara budak itu lirih pada pendengaran saya.
“Mana ayah dan ibu kamu?” Entah bagaimana, saya tidak menjawab pertanyaannya tetapi menyoalnya dengan soalan yang sedang bermain di fikiran saya.
Budak itu menangis. Jari telunjuknya dihalakan ke muara yang kelihatan berbalam-balam kegelapan. Sesekali kilat memancar di langit dan guruh kedengaran . Sungguh membingitkan telinga.
“Daddy jatuh dalam laut. Mummy pergi cari” jawabnya sambil menangis.
“Pak cik, tolong cari daddy dan mummy saya…” budak itu merayu.
Tangannya dihulurkan pada saya. Dia mengajak saya pergi mencari ibu dan ayahnya yang dikatakan terjatuh dalam laut.
Saya memegang tangan budak itu. Sejuk seperti baru keluar dari peti ais. Tangannya juga licin seperti ikan toman yang pernah saya tangkap di Tasik Royal Belum dahulu. Kami berdua berjalan menuju ke muara. Hujan semakin menggila. Tapi semuanya tidak saya endahkan.
Ketika mahu memanjat bongkah batu besar yang ada di situ, saya ternampak silauan lampu picit bersimpang siur dari bawah. Namun otak saya hanya terfokus mahu membantu budak itu mencari mummy dan daddynya.
Sampai sahaja di atas batu besar itu, budak itu memberi isyarat supaya saya terjun. Tidak jauh dari bongkah itu, saya ternampak sepasang tangan sedang menggapai-gapai ditolak arus laut.
Seorang perempuan muda dalam lingkungan 30-an sedang cuba berenang ke arah tangan yang sedang menggapai itu. Ketika mahu terjun membantu itulah, saya terasa badan saya dipeluk dengan kuat dari arah belakang.
Saya meronta-ronta minta dilepaskan namun suara riuh-rendah meminta saya agar bertenang dan mengucap dua kalimah syahadah. Hanya apabila muka saya disapu dengan air bacaan Yasin, barulah saya seperti orang yang baru tersedar daripada tidur.
Terkejut saya apabila mendapati saudara mara sebelah isteri bersama Tok Imam dan Tok Sidang kampung ada di Kata mereka, isteri saya yang kerisauan menunggu saya hampir jam sebelas malam.
Setelah diberitahu pada ayah mertua, mereka semua sepakat mencari saya di muara sungai ini.
Apabila saya bertanya akan budak perempuan itu, kata Tok Sidang, itulah penunggu muara yang suka mengganggu pemancing yang lewat pulang pada waktu senja. Penunggu ini akan menjelma dengan pelbagai bayangan untuk menarik pemancing itu agar terjun ke dalam laut.
Saya dikira sangat bernasib baik kerana sempat diselamatkan. Setakat ini sudah hampir tiga orang pemancing yang menemui ajal kerana dikatakan terjatuh dari bongkah batu besar itu dengan tiba-tiba.
Jika ia dianggap sebagai salah teknik memancing maka ia merupakan teknik paling murah di dunia. Ini kerana alatan yang perlu ada selain set joran dan kekili, apa yang wajib ada ialah mata tiga dan ladung.
Suatu ketika dahulu para penggemar teknik pancingan ini perlu DIY sendiri mata tiga dan ladung namun kini ia boleh dibeli terus di kedai-kedai pancing. Persoalannya sekarang, pernah atau tidak anda melihat atau menggunakan alatan di dalam gambar ini?
“Penah tengok orang pakai menatang ni. Memang siot punyalah lama aku cast pujuk mama haruan, boleh pulak beliau potong line main sembat… besar plak tu dapat!”
“Teknik yang agak jahat bagi kaki pancing. Tapi kalau dah bangau tu… bolehlah dipraktikkan sambil karau tali sambil ketawa… hahahaha. Menangislah ikan yang mana kena.”
“Pernah… benda inilah yang mengakibatkan peristiwa buruk terjadi dalam hidup saya. Tertusuk di punggung kawan… mujur dia selamat dan hidup lagi.”
“Mata ni memang kena ada kalau pergi melawat lombong-lombong atau tasik-tasik yang penuh pokok ekor kucing. Kalau takde benda ni payah nak naik ikan boh (buat buang rumpai ekor kucing je…. buat lorong ). Hihihi.”
“Senjata terakhir aku guna kalau ikan tak reti nak makan umpan. Last paling besar pernah aku sembat, ikan pecah periuk tengah mabuk. Ahahaha.”
“Dulu kat pekan Bangi Lama ada satu kolam tuannya bagi guna benda ni. Orang panggil langgar tali. Tapi mesin memang sekejap jahanam.”
– NOR ZAIHAN ABU BAKAR
“Kalau bangau berterbangan agak ramai, inilah ubat dia… hahaha. Tapi cara ni agak zalim untuk dipraktikkan.”
“Cara ini hanya digunakan setelah segala macam ilmu memancing diperturunkan kat situ tapi still membangau… hahaha.”
“Kadang-kadang je guna. Itu pun tengok tempat jugalah… kalau tempat tu banyak ikan berkumpul, masa itulah mata ini digunakan.”
“Inilah cara terakhir bila tengok ikan bukan main banyak, kita mancing pakai semua jenis umpan tapi dia langsung tak layan.”
“Hahaha… killer ni admin. Tapi jangan dok kerap ajaq pakai benda ni. Nanti hari-hari asyik nak pakai dia je.”
“Serius tak pernah tau kaedah ni… ilmu ni. Kalau boleh buatlah video sekali. Nak buat jugak… mana tau berhasil. Hehehe.”
“Senjata di kala ikan yang dipancing tak mahu makan.. dok berlenggang-lenggok depan mata… terpaksalah guna talian hayat terakhir.”
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...